Friday, January 22, 2010

Murah Hati atau Boros?

Kepakaran Tok Aki

Dalam catatan ini kita sambung cerita tentang keluarga Siti. Semasa kecil Siti pernah mendengar cerita Tok Aki yang ketika mudanya bekerja sebagai `Captain’ kapal (boat besar) yang belayar berulang alik dari Kuala Terengganu ke Pattani dan ke Mersing, Johor. Zaman itu pengangkutan darat tidak begitu popular kerana jalan darat belum begitu baik. Jadi pengangkutan laut banyak digunakan untuk membawa barang-barang dagangan dan juga penumpang ke utara hingga ke Siam dan ke selatan hingga ke Johor dan Singapura.

Tok Aki memang bangga dengan tugasnya sebagai captain kapal. Dia pernah menunjukkan kepada Siti buku panduan/catatan ilmu pelayaran yang digunakannya semasa mudanya. Siti juga pernah lihat gambar Tok Aki semasa mudanya yang segak memakai pakaian seragam captain kapal. Gambar itu diambil barangkali ketika ayah Siti (Pak Mat) berumur 7 tahun, masih budak kecil dan memakai seluar pendek. Kata Pak Mat, dia biasa hidup mewah semasa kecil, selalu memakai pakaian import dan barang-barang permainannya (toys) pun yang diimport, maklum sajalah yang dibawa balik oleh Tok Aki dari Siam.

Mengikut Tok Aki, semasa perang Jepun, ia hilang pekerjaan kerana kapal penumpang yang berulang alik ke Siam dan Ke Johor itu tidak lagi beroperasi. Malah Tok Aki pernah ditangkap oleh tentera Jepun dan hampir-hampir nak kena pancung leher kerana dituduh berkerjasama dengan British. Nyawa Tok Aki masih panjang sehingga dapat melihat dan menimang beberapa orang cucunya termasuklah Siti.

Semasa masih sihat Tok Aki bekerja mengambil upah melarik barang-barang tembaga, iaitu kerja-kerja `finishing’ yang memerlukan kepakaran dan ketelitian untuk membersih, mengukir, melicinkan dan mengilatkannya. Tok Aki juga pakar membuat sarung keris dan ulunya (pemegang) yang berbentuk kepala burung. Kepakaran ini diwariskan kepada anaknya Pak Mat, manakala kepakaran melarik barang-barang tembaga diwariskan pula kepada Pak Cik.

Kesempitan Hidup

Pada hemat Siti, oleh kerana Tok Aki ni seorang yang banyak kebolehan dan kepakaran, tentulah Tok Aki banyak duit dan berharta. Seingat Siti, masa dia masih kecil, adalah Tok Aki beri dia duit sebagai upah pergi ke rumah atau tidur di rumah Tok Aki. Siti masa tu tinggal di rumah nenek sebelah emaknya, jadi jarang-jarang pergi ke rumah Tok Aki kerana takut kena cerlung bila buat salah. Bila dipujuk oleh ibu atau ayahnya barulah Siti pergi sekali sekala. Masa tidur di rumah Tok Aki itulah Siti mendengar cerita-cerita zaman muda Tok Aki.

Mengikut Tok Aki, masa hilang pekerjaan sebagai captain kapal, dia menjual tanahnya untuk dapatkan duit bagi keperluan hidup. Dia dapat banyak duit Jepun, berguni, tetapi tak lama lepas tu Jepun menyerah kalah dan duit pun tak laku. Siti masih ingatlah, masa kecil dulu dia bermain rumah-rumah dan berjual beli menggunakan duit Jepun yang nampak masih baru kerana tersimpan elok dalam peti kayu di bawah rumah Tok Aki.

Sewaktu masih sihat, kehidupan Tok Aki taklah susah sangat sebab dia masih boleh bekerja untuk menyara kehidupannya. Tapi bila Tok Aki dah mula uzur, kemudian diikuti dengan penyakit nyanyuk, maka kehidupan Tok Aki menjadi semakin susah dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga Siti. Ayah Siti, iaitu Pak Mat lah yang menyara Tok Aki dan isterinya. Adalah juga isterinya membantu dengan bekerja memasak di rumah jiran, dan membuat jualan kuih muih, tetapi apabila Tok Aki semakin uzur, maka perhatiannya adalah untuk menjaga Tok Aki.

Masa keluarga Siti menghadapi kesempitan ini, Siti dah berada di sekolah menengah dan semakin faham akan kesusahan keluarganya. Siti hairan juga, tak adakah simpanan Tok Aki yang boleh digunakan semasa usia tua. Barang kali budaya menyimpan pada zaman Tok Aki muda masih belum ada atau belum dibudayakan dan institusi bank masih belum berkembang. Mungkin juga ada sedikit simpanan, tetapi telah habis digunakan, Wallahu`alam. Itu merupakan ujian untuk keluarga Siti, terutama kepada ibu dan ayahnya, supaya bersabar menjaga bapanya yang uzur dan dalam masa yang sama membesarkan anak-anaknya.

Tok Aki Pemurah?

Mengikut ayah Siti, Tok Aki seorang yang pemurah, bila dia mengambil upah membuat sarung keris, dia tidak menetapkan harga upahnya, jadi orang akan memberinya sekadar sagu hati, bukan upah yang setimpal dengan kerjanya. Malah Tok Aki tak kisah pun sama ada orang membayar upahnya atau tidak kerana itu merupakan hobi yang diminatinya dan merasa puas dengan kreativitinya. Semoga Allah merahmati Tok Aki dan menjadikan usaha, kreativiti dan kepakarannya sebagai amal jariahnya, Amin.

Warisan Kepakaran

Semasa Tok Aki bekerja melarik barang-barang tembaga, anaknya Pak Cik yang masih remaja pada masa itu juga melakukan pekerjaan yang sama. Sebenarnya, Pak Cik pernah ditawarkan menjadi guru pelatih selepas tamat darjah 5 sekolah rendah, tapi mati-matian dia tidak mahu. Menurut kata ayah Siti, Pak Cik pernah dipukul dan diikat pada tiang oleh Tok Aki kerana kedegilannya tidak mahu menerima tawaran menjadi guru pelatih.

Itulah yang dikatakan `bukan rezeki’ dia nak menjadi seorang guru, rezeki datang bergolek pun ditolaknya. Pak Cik memilih kerja melarik barangan tembaga kerana upahnya lebih lumayan dan kalau banyak yang dapat disiapkan, maka banyak pulalah pendapatan yang diperolehi. Sedangkan kerja sebagai guru pelatih, walau pun gaji tetap tapi rendah saja pada masa itu.

Warisan Sikap

Selepas berkahwin dan mempunyai anak, Pak Cik bertukar kerjaya kepada mengusahakan kantin sekolah dan menyediakan makanan di asrama. Keluarga Pak Cik tinggal di bahagian dapur asrama sekolah, jaraknya kira-kira 2 km dari rumah Siti. Bila sekali sekala Siti menziarahi Pak Cik di kantin sekolah, dia akan dijamu dengan pelbagai makanan yang dijual di kantin serta air batu campur. Masa itulah Siti diejek oleh anak-anak Pak Cik dengan istilah yang tidak difahami oleh Siti, iaitu `sekut 4 segi’. Keluarga Pak Cik pula jarang menziarahi Tok Aki, mungkin kerana prasangka terhadap Pak Mat yang telah diceritakan dulu.

Sesuatu yang baik ada pada Pak Cik, yakni turut mewarisi sikap Tok Aki yang pemurah itu. Siti pernah mendengar rungutan dari anak-anak dan isteri Pak Cik yang mengatakan Pak Cik berniaga selalu rugi kerana terlalu murah hati, selalu memberi lebih makanan kepada pelajar. Dah tu, kalau ada kawan-kawan Pak Cik yang datang ke kantinnya, pasti dijamunya mereka dengan percuma. Sebab itu Pak Cik tidak dapat membesarkan perniagaannya.

Selepas berpindah ke rumah pusaka Tok Aki, Pak Cik tidak lagi mengusahakan kantin sekolah, sebaliknya melakukan kerja warisan membersih dan mengilatkan barangan tembaga. Itu pun secara sambilan sahaja kerana Pak Cik mengalami masalah kesihatan.

Sikap murah hati Pak Cik ada hikmahnya. Dia ramai kenalan yang terdiri dari orang-orang berpangkat dan berada. Semasa usia tuanya, rezeki Pak Cik jadi murah, ada saja orang yang bersedekah kepadanya. Walau pun dia tidak lagi bekerja, tetapi dia berjaya mengumpul duit untuk menunaikan fardhu haji ke Mekah. Alhamdulillah. Semoga amal jariahnya diterima oleh Allah dan mendapat rahmat daripada Nya. Amin.

1 comment:

  1. OK...so now I can confirmed already who this Siti is...hehe.
    Ma, apa kata sekali-sekala kan, you write in English mcm Aunty Ngasobah? Ada variety sikit.

    ReplyDelete