Setelah anak berkahwin dan mereka bahgia bersama pasangan masing-masing, ada lagi perkara yang merisaukan si ibu. Apakah sememangnya begitu menjadi seorang ibu yang sentiasa risaukan anak-anaknya? atau disebabkan kasih sayang ibu kepada anak-anak, maka si ibu tidak sanggup melihat anak mengamalkan sesuatu atau bersikap berbeza daripada standard atau norma yang diingini oleh si ibu?
Barang kali keinginan ibu adalah seperti kata pepatah `bagaimana acuan begitulah keknya’. Modelnya adalah ibu dan bapa, walaupun mungkin pada pandangan anak berbeza, citarasanya tidak sama, ibu dan bapa tidak sentiasa betul dan mereka mempunyai pemikiran dan cara tersendiri.
Komitmen Berkeluarga
Semasa anak-anak saya di peringkat akhir remaja, saya selalu berpesan kepada mereka terutama anak lelaki supaya jangan memberi komitmen kepada wanita jika masih belum mampu membina dan menanggung keluarga. Ini kerana saya tidak mahu anak-anak saya mengalami sebagaimana yang pernah saya alami, bukanlah menyesal tetapi sebagai peringatan kepada mereka supaya bersedia menghadapi dunia yang berbeza dalam alam rumah tangga berbanding dengan semasa bersendirian.
Saya dan suami berkahwin ketika kami sama-sama masih belajar di universiti, belum ada pendapatan untuk kehidupan sebuah keluarga. Masing-masing bergantung kepada biasiswa tajaan kerajaan untuk sara hidup. Alhamdulillah, kami dapat menghadapinya dengan baik kerana keperluan kami terhad, hanya untuk membiayai sewa bilik, makan dan keperluan pengajian.
Pada tahun kedua perkahwinan, suami saya dah mula bekerja, dan saya pula mengandungkan anak pertama, maka dengan pendapatan tetap itu kami mula merancang membeli rumah sebab kami tidak mahu lagi mengalami peristiwa dihalau dari bilik sewaan. Itulah nasib orang menumpang, walaupun membayar sewa, boleh dihalau sesuka hati pada bila-bila masa oleh keluarga tuan rumah.
Dengan bantuan ibu bapa saya, kami membayar deposit rumah dan berpindah memasuki rumah baru dengan perabot yang ala kadar, dua bulan sebelum kelahiran anak pertama saya. Kami diami rumah itu hingga sekarang.
Namun kehidupan sekarang berbeza, keperluan anak-anak muda sekarang semakin rencam dan pelbagai, tentulah agak sukar membina rumah tangga dan mempunyai kediaman sendiri jika tiada pendapatan tetap. Mengenangkan peristiwa itu saya seboleh-boleh mahukan anak-anak saya mempunyai kediaman sendiri dahulu sebelum berkahwin.
Anak-anak saya mengikut nasihat saya dan mereka berkahwin setelah mereka mempunyai pekerjaan dan bersedia membina keluarga.
Keselesaan Pasangan
Pada peringkat awal perkahwinan anak-anak masih belum memiliki rumah kediaman sendiri tetapi telah merancang dan membuat booking. Ini adalah merupakan perkara yang merisaukan saya, berapa lamakah mereka hendak menumpang sama ada di rumah saya atau di rumah ibu mertua mereka. Bagi saya, tiada masalah jika mereka nak tinggal di rumah saya selamanya kerana sebagai ibu tentulah tidak mahu berjauhan dari anak, kalau boleh saya mahu anak-anak sentiasa berada bersama saya. Tetapi adakah pasangan mereka merasa selesa hendak bergeark bebas dan bersenda gurau dalam rumah saya.
Biasanya anak perempuan akan memilih tinggal bersama keluarganya. Begitulah pilihan yang dibuat oleh anak-anak perempuan saya dan menantu-menantu perempuan saya, maka saya menerima menantu-menantu lelaki tinggal bersama kami, dan melepaskan anak-anak lelaki tinggal bersama mertua mereka. Pandai-pandailah mereka menyesuaikan diri dengan keluarga mertua mereka.
Kerisauan seorang ibu pasti ada dari segi penyesuaian diri anak lelakinya di rumah keluarga mertua., sama ada anak lelakinya berkelakuan sopan di hadapan mertua, adakah ia pandai membawa diri dalam rumah tersebut atau berlagak jadi tuan dan perintah itu ini kepada isteri, adakah ia membantu isteri menguruskan pakaiannya, adakah ia membantu untuk keperluan makan minum dan utiliti di rumah itu atau menambahkan beban perbelanjaan kepada keluarga mertua dan pelbagai lagi.
Kerisauan ibu pada anak perempuan pula adalah berkenaan layanannya sebagai seorang isteri terhadap suaminya. Bilakah anak itu nak belajar menguruskan rumah tangga, melayan makan minum suami, memasak untuk suami, menyediakan pakaian suami dan seumpamanya kerana di rumah ibu semua keperluan tersedia, malah ada pembantu yang membuat kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas, membersih, menstereka pakaian dan lain-lain.
Kediaman sendiri/ Rumah Baru
Tidak mudah bagi anak-anak saya hendak memiliki rumah yang sesuai dari segi: lokasi iaitu tidak jauh dari kediaman kami di persekitaran Petaling Jaya dan tempat kerja mereka, serta dalam batas kemampuan kewangan mereka. Rumah berkembar di atas tanah yang mampu dibeli terletak jauh di kawasan baru seperti di daerah Klang dan Semenyih. Oleh itu alternatif yang mampu dipilih dalam kawasan berhampiran adalah kediaman berbentuk apartmen.
Alhamdulillah, kerisauan saya pada anak-anak yang hidup menumpang ini bersifat sementara, ianya luput apabila anak-anak telah memiliki kediaman sendiri. Mereka berpindah ke rumah baru untuk menjalani episod baru kehidupan berkeluarga, merancang dan mengurus sendiri kediaman dan keperluan mereka sekeluarga.
Setelah mereka berpindah ke ruamh baru, ada perkara lain pula yang merisaukan saya tentang ana-anak saya yang dah berkeluarga ini. Sepatutnya saya tidak perlu lagi risaukan mereka kerana boleh dikatakan kehidupan mereka dah settle dan stabil. Tapi hati si ibu tetap risau terhadap anak-anak ini kerana cita rasa dan gaya hidup generasi sekarang berbeza dengan zaman saya dahulu. Banyak benda-benda yang dianggap luxory pada zaman saya, mungkin tidak lagi luxory pada mereka. Maka itu, keperluan kewangan melebihi pendapatan. Jika tidak bijak menguruskan kewangan, tidak pandai berjimat cermat, tidak tahu menentukan keutamaan, mereka akan terjebak dengan beban hutang.
Oleh itu, mereka perlu menguruskan dengan sebaik-baiknya kewangan keluarga supaya tidak terperangkap dengan terlalu banyak komitmen hutang, terutama untuk membayar pinjaman bank bagi rumah dan kereta, penggunaan kad kredit untuk membeli perabut dan ubah suai rumah, komitmen insuran kesihatan dan pendidikan anak-anak, serta lain-lain keperluan harian. Semoga, pelajaran dan pengalaman yang mereka miliki selama ini membantu mereka merancang perbelanjaan dengan baik.
Salam.Hebat ingatan walaupun cerita-cerita itu dah lama. Ia tak ia pulak. Kalau tak hebat nak dapat PHD macam mana pulak. I think you should write as a novel kisah anak-anak ini. Tambah sikit-sikit perbualan lagi. Novel untuk remaja. Ada contoh-contoh boleh di ikut. InsyaAllah boleh dimunafaatkan.
ReplyDeleteAla, ni saja-saja tulis sebab nak beri tau anak-anak kisah dia orang yang mungkin dia orang tak ingat dah, nanti cucu pun boleh baca. U kan bagi nasihat kat saya supaya tulis pengalaman bagi anak cucu baca.
ReplyDelete