Dari catatan yang lepas, pembaca mungkin berkata, banyak sangatlah kerisauan blogger ni, apakah dia ni tak waras ke? Oh! jangan salah sangka, saya masih siuman, waras dan rasional. Kerisauan saya tidaklah bersangatan hingga membawa kepada penyakit seperti: kerunsingan yang mengganggu fikiran, tidak dapat berfikir rasional, tidak siuman, kemurungan sehingga melupakan diri sendiri atau tidak dapat menjalani kehidupan harian secara normal.
Harapan Seorang Ibu
Catatan saya mengenai kerisauan seorang ibu adalah merupakan pengalaman saya dalam kehidupan berkeluarga, menghadapi pelbagai kerenah semasa membesarkan anak-anak dari bayi sehingga dewasa dan keinginan (expectatioan) seorang ibu terhadap anak-anaknya. Kerisauan timbul dari kerana keprihatinan, cakna (caring) dan rasa kasih sayang ibu terhadap anak-anaknya, sehingga si ibu meletakkan suatu tahap piawaian (standard) yang diharapkan dapat dicapai/diperolehi oleh anaknya.
Tujuan semua catatan yang telah diketengahkan adalah supaya anak-anak membacanya dan memahami hasrat yang tersirat dalam catatan tersebut. Ibu akan sentiasa memikirkan hal anak-anaknya dan ada kalanya membawa kepada rasa risau jika keadaan anak-anak tidak sama dengan apa yang diharapkan (expectation). Seboleh-bolehnya si ibu tidak mahu anak-anaknya mengalami keadaan atau kerisauan yang sama sepertinya sewaktu anak-anaknya menghadapi kehidupan berkeluarga nanti.
Tips Ringkas Menyelesaikan Masalah
Apa yang penting adalah bagaimana kita mengatasi masalah yang membawa kepada kerisauan kita. Dalam ilmu pengurusan, banyak kaedah-kaedah penyelesaian masalah yang boleh diaplikasikan dalam menyelesaikan masalah kehidupan kita. Tapi ada pula yang kata, semasa kita menghadapi masalah, tak sempat pun nak merujuk kepada kaedah-kaedah tu. Biasanya kita mengambil tindakan secara instant untuk menyelesaikan masalah, dengan kata lain pakai hentam saja atau cuba-cuba. Sudahnya kita yang menanggung akibat sama ada masalah tak selesai, atau masalah lain yang timbul, atau penyelesaian tidak memuaskan.
Secara umumnya, tips ringkas untuk menyelesaikan masalah:
i. Kenalpasti apa masalah sebenar;
ii. Kenalpasti apa punca masalah;
iii. Kenalpasti alternative tindakan untuk menyelesaikan masalah dan kesan-kesannya;
iv. Mengambil tindakan mana-mana alternatif yang paling efektif untuk menyelesaikan masalah, tetapi paling minima dari segi kos dan kesan sampingannya (kesan negatif).
Kita tidak boleh melarikan diri dari masalah tanpa menyelesaikannya. Ada orang yang melarikan diri dari masalah dengan pergi mengembara ke mana-mana, selama beberapa hari, kononnya untuk mencari ketenangan dan `mencari diri’, kemudian kembali dengan cuba melupakan masalah tanpa menyelesaikannya. Perkara yang menjadi masalah tidak selesai dan akan datang kembali menghantui fikiran orang itu. Dia akan pergi lagi mencari diri dan cuba lagi lari dari masalah. Begitulah keadaannya, masalah tak juga diselesaikan.
Biarkan Berlalu
Jika kita gagal menyelesaikan masalah mengikut kaedah-kaedah di atas, maka biarkanlah berlalu untuk sementara waktu masalah itu dari pemikiran kita dengan cara menyibukkan diri kita dengan perkara-perkara lain, umpamanya: memberi tumpuan kepada tugasan di pejabat, melakukan sesuatu yang menjadi hobi (misalnya mengait crochet, menghias rumah, berkebun dan lain-lain), membaca buku/novel/majalah, beriadah dan seumpamanya. Insya Allah dengan usaha dan doa, masalah akan dapat diselesaikan.
Selain daripada itu, boleh juga berbincang dengan kawan-kawan yang pernah menghadapi mengenai masalah yang sama dan mendapatkan nasihat atau cadangan mereka mengenai cara menyelesaikannya. Walau pun masalah sama, tetapi cara penyelesaiannya mungkin berbeza mengikut keadaan dan situasi.
Mengubati Diri
Bagi orang yang menghadapi masalah, hanya dia saja yang mengetahui betapa berat atau rumitnya masalah itu bagi dirinya. Orang lain mungkin juga boleh merasainya, tetapi tentunya berbeza dari segi degree perspektifnya. Orang lain tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah untuk kita, dan tidak mungkin juga dapat mengatasi kerisauan kita. Oleh itu kitalah yang perlu menghadapi masalah itu dan berusaha mengatasi kerisauan kita.
Cara-cara efektif untuk mengatasi kerisauan adalah dengan mengamalkan kaedah-kaedah yang disarankan dalam agama kita, iaitu dengan merujuk kepada al Quran dan al Sunnah. Di antaranya ialah :
i. Beristghfar – memperbanyakkan istighfar, memohon ampun kepada Allah atas kesalahan-kesalahan kita.
ii. Qiamullail dan Solat hajat – minta Allah melapangkan dada dan menunjukkan jalan ke arah penyelesaian masalah yang dihadapi. Solat Istikharah juga boleh dilakukan untuk memilih penyelesaian terbaik kepada masalah.
iii. Berzikir - memperbanyakkan berzikir mengingati Allah seperti dengan bertasbih, bertahmid, bertakbir, dan lain-lain zikir yang disunnahkan dari Rasulullah.
iv. Berdoa – memperbanyakkan membaca doa-doa yang ma`athurat, iaitu daripada hadith Nabi dan daripada al Quran.
v. Membaca al Quran – memperbanyakkan membaca al Quran. Al Quran adalah penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman dengannya dan mengamalkan isi kandungannya. (Maksud Surah Al Isra’ : 82)
vi. Sabar dan bertawakkal kepada Allah.
Allah menyuruh kita memohon pertolongannya dengan sabar seperti dalam firman Nya yang bermaksud:
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
(Surah Al Baqarah : 45)
Allah juga berjanji akan memperkenankan permohonan orang-orang yang berdoa kepadanya sebagaimana dalam firman Nya yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beri tahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada Ku. Maka hendaklah ia menyahut seruan Ku (dengan mematuhi perintah Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
(Surah Al Baqarah : 186)
Terdapat banyak ayat-ayat atau surah-surah tertentu yang boleh diamalkan sebagai doa untuk melapangkan hati dan fikiran, meringankan rasa terbeban dari masalah yang dihadapi serta memohon Allah memudahkan urusan kita. Di antaranya:
i. Surah Al Insyiraah : 1-8
ii. Surah Al Baqarah : 285-286
iii. Surah Taaha : 25-28
Salah satu doa yang ma`athurat (daripada Rasulullah) yang patut diamalkan pagi dan petang atau setiap lepas solat, fadhilatnya untuk menghilangkan rasa gundah, risau, rungsing serta memohon terlepas daripada bebanan hutang adalah seperti berikut:
“Ya Allah, aku berlindung dengan Mu daripada kegelisahan dan kesedihan, dan aku berlindung dengan Mu daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung dengan Mu daripada sifat penakut dan bakhil dan gagal, dan aku berlindung dengan Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.” (HR: Abu Daud daripada Sai`id Al Khudriy; Menurut Imam Al Nawawi: Hadith Hasan)
Sila rujuk kepada buku-buku doa berikut untuk doa ini dan doa-doa lain dalam versi bahasa Arab:
- Dr. Abdullah Yasin. `Koleksi Doa dan Zikir.’ Al-Furqan Enterprise, 2005
- Dr. Abdullah Yasin. `Wirid Rasulullah S.A.W. Pagi dan Petang.’ Al-Furqan Enterprise, 2003
No comments:
Post a Comment