Monday, August 19, 2013

Bertambah Keahlian

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kehadrat ilahi atas kurniaanNya kepada keluarga kami.  Dari famili2748 berkembang menjadi famili2749 dengan kelahiran cucunda lelaki pada 17 Oktober 2011, yang diberi nama Idzhar Khaliq Bin Adzfar.  Dalam sejarah ahli keluarga kami setakat ini, Idzhar adalah bayi terbesar pernah dilahirkan iaitu seberat 3.41 kilogram.  Cerita lanjut boleh diikuti di sini  http://www.fulloflifeandhope.com/



Idzhar kini



Pos ini tertangguh sejak ditulis setakat para di atas sahaja, kini saya akan mengupdatekan semula pos ini.   Kini cucunda kami itu dah berusia 22 bulan, cergas berlari ke sana sini, dan banyak bercakap tapi tidak dapat difahami sepenuhnya apa yang dicakapkan.  Sejak dari kelahiran Idzhar terdapat pertambahan lain dalam keluarga kami, satu persatu menambah kepada bilangan ahli keluarga kami.  

Pada 1Muharam 1433H, bersamaan  27 November 2011, kami menerima menantu perempuan iaitu isteri kepada Anak Teruna Ku.  Kisah mereka boleh dibaca dalam posting terdahlu, 'Aduhai Anak Teruna Ku - Cahaya di Hujung Tiga puluhan.'  Mereka selamat di ijab qabul di rumah pengantin perenpuan di Seri Gombak.  Majlis resepsi di sebelah pihak perempuan seolah-olah di atas kayangan, diadakan  di Golden Chersonese Mediahall, Level 10 Maju Tower, Maju Junction Mall, Kuala Lumpur, pada 31 Disember 2011.  Ini merupakan acara penutup bagi tahun 2011 bagi pasangan pengantin ini.  Manakala majlis resepsi sebelah pihak kami telah diadakan pada 1 Januari 2012 di Dewan Ketibaan Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, merupakan acara pembukaan tahun bagi mereka. Ini lah dia satu-satunya majlis perkahwinan dalam kelaurga kami yang memakan masa 2 tahun.  Kini keluarga kami berkembang lagi menjadi Famili2759.  

Pada tahun2013 ini pula berlaku dua pertambahan bilangan ahli keluarga kami.  Masa terasa begitu cepat berlalu, rasanya baru saja kami mengadakan majlis walimah, belum pulih letih dah bersiap sedia untuk mengadakan satu lagi majlis walimah. Kata orang dah sampai jodoh, maka hendaklah disegerakan.  Kalau lambat bertemu jodoh, risau juga dibuatnya, asyik fikir bila lagi lah anak ku ini nak menamatkan zaman bujangnya, seperti yang pernah dialami dan dirasai bagi Anak Teruna Ku dulu. 

Alhamdulillah, pada hari Jumaat 11 Rabiulakhir 1434H bersamaan 22 Febuari 2013, jam 9.00 malam anak perempuan kami (anak keenam) telah selamat diijab qabul dengan pasangannya.  Kali ini kami menerima menantu lelaki.  Majlis resepsi diadakan pada keesokan harinya, Sabtu 23 Febuari 2013 di Dewan Gemilang Felda, Kelana Jaya, manakala majlis resepsi sebelah pihak lelaki diadakan di Club House Bandar Bukit Mahkota, Kajang Selangor.  Keluarga kami menjadi Famili 2769.



Acara Menyerahkan Mas Kahwin dan Menyarung Gelang

Majlis Resepsi Di Bukit Mahkota



Allah, Maha Kurnia, Maha Pemurah.  Dia memberi rezeki mengikut kehendak Nya dan kepada orang yang Dia kehendaki.  Alhamdulillah, keluarga kami diceriakan lagi dengan kehadiran cucu kesepuluh iaitu anak kelima kepada anak sulung kami.   Cucu perempuan dilahirkan secara pembedahan pada 31 Mei 2013 di Hospital Pakar Kuantan.  Kini keluarga kami berkembang menjadi Famili27610.



Selepas dikeluarkan dari perut Umi

Farzana Madeeha







Nostalgia Kenangan Berhari Raya di Kampung

Lama tidak berhari raya di kampung, balik selepas hari raya masih terasa suasana meriah berhari raya di kampung.  Tambahan pula saudara sebelah suami mengadakan majlis walimah sempena perkahwinan anaknya pada hari raya keempat di sebelah pihaknya.  Pada hari raya ketiga majlis nikah dan respsi di sebelah pihak perempuan di Setiu, Terengganu, tapi kami masih dalam perjalanan dan singgah berhari raya dirumah besan kami di Dungun.  Pada majlis walimah itu sempatlah kami bertemu saudara mara, rakan sekampung yang lama tidak bertemu.  Itulah bagusnya mengadakan majlis walimah pada musim hari raya, merupakan 3 dalam satu, iaitu kenduri walimah, open house raya dan berhari raya dengan sanak saudara.

Ketika berada di kampung, terimbau kembali kenangan nostalgia beraya bersama ibu bapa kami ketika mereka masih ada.  Saya dan famili biasa balik ke rumah ibu bapa saya di Kuala Terengganu.  Di situlah tempat kami berkumpul 7 beradik dengan keluarga masing-masing.  Suasana riuh rendah dengan suara anak-anak bercerita, menangis, ketawa, bergurau senda, bermain, bertengkar, berebut mainan dan macam-macam lagi gelagat mereka.  Waktu awal  malam, ditengah-tengah rumah agam tu terdampar berbaris anak-anak mengambil ruang untuk tidur. Menjelang dinihari, mereka bergelimpangan, kaki panggung memanggung antara satu dengan lain.  Waktu berbuka puasa riuh pula memilih juadah, ada yang suka itu tak suka ini, nak itu nak ini, apa tah lagi jika banyak juadah yang dibeli oleh masing-masing keluarga.  Biasanya bila berkumpul anak cucu, emak saya pasti menyediakan masakan tradisi Terengganu, bubur lambuk lada hitam berserta pucuk midin, pucuk ubi kayu, pucuk minja dan lain-lain daun kayu. Bubur lambuk ni berbeza dari bubur lambuk yang biasa disediakan di masjid-masjid di Kuala Lumpur. Anak-anak saya merindui suasana berhari raya bersama sepupu-sepupu mereka di rumah ibu saya, dan sesama mereka kerap bercerita tentang nostalgia berhari raya di kampung.  Selepas berbuka, anak-anak perempuan remaja ditugaskan membasuh dan mengelap pinggan mangkuk.  Tau-tau sajalah ada di antara mereka yang mencuri tulang, itulah isu yang mereka selalu bualkan bila berjumpa mengimbau kenangan lama ketika beraya di kampung.  Sebelah pagi pula, berebut mesin basuh, siapa cepat dapat basuh pakaian, diikuti dengan kerahan tenaga untuk menjemur pakaian,  sebelah petang pula kerahan tenaga untuk mengangkat pakaian dari jemuran dan melipatnya. 

Pada hari raya kedua, ketika anak-anak saya dan famili mereka nak balik ke kampung mertua masing-masing, salah seorang cucu kami merungut kepada ibunya yang ia tak pernah balik kampung untuk berhari raya.

Aimar:        `Mummy, kita tak pernah balik kampung, raya kat kampung.  Kawan Aimar ramai balik                                 kampung raya,' 
Mummy:     'Kampung Aimar kan kat sini, Kg. Tunku, sebab Aimar lahir kat hospital di sini, dan tinggal kat                      sini.'
Aimar:         'Orang lain pun macam tu jugak, tapi ada kampung.'
Mummy:      'Kita kan selalu balik kampung, rumah Tok Abah dan Tok Mama kat Sungai Buluh tu.'
Aimar:          'Tu bukan kampung.'

Begitulah persepsi anak-anak sekarang yang dibesarkan di bandar metropolitan, tak kenal kampung halaman mereka. Barang kali konsep kampung bagi mereka adalah seperti dalam cerita Upin dan Ipin, rumah papan bertangga dengan persekitaran yang banyak pokok-pokok (buah-buahan atau hutan), ada ayam/itik atau haiwan ternakan lain yang berkeliaran.  Walau pun rumah besan saya di Sungai Buluh terletak dalam kawasan persekitaran kampung, ada kebun buah-buahan di belakang rumah mereka, tetapi rumah batu dengan di kelilingi pagar setinggi 5 kaki dan bergate otomatik, bagi kanak-kanak bukanlah merupakan rumah kampung.   

Pada kesempatan raya tahun ini, semua anak-anak saya membuat keputusan untuk berkunjung ke kampung di Kuala Terengganu, terutama untuk menghadiri majlis perkahwinan `ibu' yang membela mereka dari sejak lahir.  Tempat berkumpul kami adalah di rumah arwah ibu mertua saya di Kampung Rusila, Marang Terengganu.  Aimar begitu teruja nak balik ke kampung Tok Papa nya.  Tok papa juga teruja nak menyambut anak cucu yang nak balik ke kampungnya. Perancangan dibuat agar anak cucunya dapat tiba sebelah petang, untuk dibawa turun ke pantai dan mandi laut. Tok papa sibuk berkemas rumah dan tertunggu-tunggu ketibaan anak cucunya. Saya melihat suami saya seolah-olah memang benar-benar menyambut hari raya di kampung, menunggu-nunggu kepulangan anak-anak cucu, sebagaimana dalam drama di TV.  Alhamdulillah, perancangan berjalan lancar.  Sempatlah pada petang hari raya ketujuh, sebahagian anak cucu kami mandi laut di Pantai Rusila, Marang.  Bagi mereka, balik kampung pada kali ni merupakan satu trip yang menyeronokkan.  Cucu-cucu kami teruja berada di rumah kampung melihat ayam itik berkeliaran di halaman rumah. 

Tiga famili yang tiba pada hari ini tidak bermalam di rumah kampung ni kerana tidak cukup bilik.  Mereka menyewa sebuah apartmen 3 bilik berhampiran Hotel Primula di Kuala Terengganu.  Mereka memerlukan rehat yang cukup dan selesa setelah perjalanan yang jauh dari awal pagi.  Tambahan pula, famili dari Kuantan ada baby yang baru berusia 2 bulan memerlukan bilik yang lebih selesa berbanding di rumah kampung.   

Pada pagi hari raya kelapan, suami saya menempah nasi dagang untuk menjamu anak-anak cucu, berserta keluarga saudara-saudaranya.  Tambahan pula pada hari Jumaat itu, seperti biasa di Masjid Rusila ada kuliah pagi oleh YB Datuk Hj. Abdul Hadi Awang, maka pasar pagi diadakan di kawasan persekitaran masjid dengan pelbagai barangan dan juadah ada dijual.  Di samping nasi dagang yang ditempah khas, suami saya turut membeli pelbagai juadah lain untuk dihidangkan kepada anak-anak cucunya, termasuklah pulut lepa, kayu keramat, mini apam balik (apam Jepun kata orang Rusila), ketupat ubi kayu dan buah-buahan.  Pasar pagi terhenti dari aktiviti jual beli selama 2 jam ketika kuliah sedang berjalan.  Selepas selesai kuliah aktiviti jual beli bejalan semula di pasar pagi itu.  Anak-anak dan menantu saya turut serta meneroka pasar pagi itu untuk mencari sesuatu idaman, malangnya sudah kehabisan.  Biasanya, pasar pagi ni rancak sebelum kuliah bermula kerana barang-barang dagangan seperti ikan, ayam, sayuran, buah-buahan dan juadah-juadah masih fresh.  Selepas kuliah, para peniaga dah mula berkemas barangan mereka untuk kerja-kerja pembersihan kawasan dan persediaan untuk solat Jumaat. 

Pada sebelah petang hari raya kelapan ni, kami sekeluarga menghadiri majlis pernikahan `ibu' kepada anak-anak kami.  Syukur, Alhamdulillah, akhirnya 'ibu' anak-anak kami bertemu jodoh pada usia 45 tahun.  Saya turut risau kerana sebelum ini ketika tinggal bersama kami, hatinya tidak terbuka untuk berkahwin.  Dua peminangan yang ditujukan kepada beliau ditolaknya dan dijodohkan kepada adik-adik di bawahnya.  Kini, barangkali tanggung jawab menjaga ibunya dan adik-adiknya telah selesai digalas, burulah terbuka hatinya untuk berkahwin dan mempunyai teman pada kehidupan menganjak ke usia tua.  Didoakan semoga pengantin baru ini menjalani kehidupan rumahtangga yang bahagia dan berkekalan jodoh sehingga ke akhir hayat.

Setelah hampir seminggu saya dan suami berkampung di Rusila,  terus berangkat balik ke KL selepas majlis walimah tersebut bersama anakanda kelima dan keluarganya..  Sebenarnya mereka baru saja tiba pada malamnya dengan menaiki Firefly semata-mata kerana hendak menghadiri majlis pernikahan `ibu' nya yang membelanya dari sejak lahir.  Sebuah lagi kereta yang dipandu oleh anakanda kedua saya turut serta berangkat balik ke KL pada petang itu, bersama isterinya dan dua lagi anakanda kami yang tiba pada pagi itu.  Anakanda keenam dan ketujuh kami itu turut balik ke kampung semata-mata untuk meraikan perkahwinan 'ibu' mereka.  Oleh kerana perjalanan ke KL masih jauh. kami singgah bermalam di Rumbia Resort, Paka.  Pagi-pagi keesokan harinya kami meneruskan perjalanan, target masuk ke KL sebelum berlaku kesesakan di tol Gombak kerana ramai orangpantai timur yang mula kembali ke KL selepas berhari raya di kampung mereka.       

Sunday, August 18, 2013

Menyusuli kenangan Hari Raya

Asalamualaikum,
Alhamdulillah, setelah hampir dua tahun berdiam diri dari menulis di blog ni, terlintas dihati ingin semula menulis untuk tatapan anak-anak cucu.  Cubaan kali ni menulis di atas iPad mini yang dihadiahkan oleh anakanda ketiga sebagai hadiah hari raya. Alhamdulillah, inspirasi berkembang mekar dari iPad mini.  Kata anakanda, seperti yang tertulis di belakang iPad ni  'to my inspiration MAMA, with LOVE from ADZFAR' masing-masing cuba memberi inspirasi antara satu dengan lain.  Mereka tertunggu-tunggu bila lagi MAMA nak poskan cerita atau penulisannya.

Sambutan hari raya pada tahun ni agak meriah kerana pada tahun ni giliran semua anak menantu berhari raya di rumah kami di PJ. Tetapi walau pun persediaan dibuat secara sederhana sahaja, berkumpulnya ahli keluarga yang seramai 2+7+6+10 = 25 orang pada hari raya pertama tahun ni memberi kesan yang bermakna dalam suasana kekeluargaan kami.  Ni ditambah lagi dengan 3 orang bibik warga Indonesia yang menjadi pengasuh cucu-cucu kami.

Keluarga anakanda sulung bermastautin di Kuantan, pulang ke Kg. Tunku empat hari sebelum hari raya, sempatlah mereka berpuasa dan berbuka puasa bersama keluarga di sini.  Pada malam hari raya, cucu-cucu dapat mengikuti rombongan takbir raya dari rumah ke rumah pada jalan rumah kami dan dapatlah mereka mengutip duit raya. Satu keseronokan bagi kanak-kanak yang mengikuti rombongan bertakbir raya.

Bila semua nak beraya di rumah kami tentulah rumah kekurangan bilik tidur. Pilihan perlu dibuat oleh anak-anak yang tinggal di sini supaya mereka balik tidur di rumah masing-masing dan memberi ruang kepada keluarga Kak Long mereka dari Kuantan.  Tapi tau lah, anak-anak mereka seronok nak berkumpul dan beramai dalam satu rumah, yang tinggal tak jauh pun sama-sama nak tidur di rumah kami jugalah.  Berkongsi bilik, bersempit-sempit pun tak apa.

Pada hari raya pertama juga, rumah kami menjadi tempat berkumpul adik beradik saya yang berhari raya di KL.  Sejak kedua ibu bapa kami kembali ke rahmatullah, adik-adik saya yang bermastautin di   KL tidak lagi bilik ke kampung kami di Kuala Terengganu.  Jadi rumah kami lah menjadi tempat berkumpul kami adik beradik.  Juadah hari raya apa lagi, tentunya nasi dagang, makanan tradisi orang Terengganu.  Adik beradik dan anak-anak mengharapkan saya untuk menyediakan nasi dagang tu.  Jadi seawal jam 4 pagi saya dengan dibantu oleh bibik-bibik bangun memasak nasi dagang.  Lain-lain juadah ditempah dari beberapa tempat, termasuklah sate dan kuah kacang, ketupat pulut dan lemang, rendang daging dan serunding daging. Peneman sate tentunya nasi impit, direbus sendiri dari ketupat segera Adabi.

Petang hari raya, anak-anak mula bergerak ke kampung mertua masing-masing. Anakanda keenam dan suaminya baik ke Nilai, manakala anakanda keempat dan keluarganya ke Sungai Buluh.  Pada hari raya kedua anakanda kedua dan isterinya berangkat ke Kuala Terengganu, anakanda ketiga dan keluarganya berangkat ke Rembau, Negeri Sembilan, anakanda kelima dan keluarganya pula ke Setiawan, Perak. Anakanda pertama dan keluarganya masih berhari raya di PJ.

Pada hari raya ketiga, saya dan suami berangkat ke Terengganu bersama berkonvoi kereta dengan anakanda sulung dan keluarganya untuk berhari raya di rumah mertuanya di Dungun.  Walau pun banyak kenderaan di jalan raya, tetapi perjalanan lancar.  Tidak ada kemalangan jalan raya yang serius berlaku, barangkali pengguna jalan raya lebih berhati-hati di lebuh raya.  Kenderaan berat juga tidak mengganggu perjalanan.  Selepas berhari raya di rumah besar kami, perjalanan diteruskan ke Kuala Terengganu untuk berhari raya dengan sanak saudara di sana. Kami tiba di Kg Rusila, Marang Terengganu pada waktu maghrib. Tempat persinggahan kami adalah rumah arwah mertua saya.  Rumah ini katanya diserahkan kepada suami saya, tetapi oleh kerana kami tidak tinggal di situ, maka pada satu ketika disewakan, dan pada ketika lain dijadikan 'homestay'.  Alhamdulillah pada raya tahun ini kami dapat kembali tinggal di sini untuk beberapa malam.  Pada raya tahun lepas ketika kami balik kampung untuk meraikan majlis walimah anak saudara suami saya, kami terpaksa menyewa 'homestay' lain kerana rumah pusaka ini disewakan.

Hari raya keempat, diadakan majlis walimah anak saudara suami di Kg. Rusila ni. Seekor kerbau ditumbangkan untuk gulai kawah. Chef utama adalah bapa saudara suami saya sendiri bersama isterinya. Kami bilik kampung pada kali ni pun adalah untuk turut memeriahkan majlis tersebut serta untuk menghadiri majlis nikah bekas pembantu kami yang tinggal bersama kami selama lebih 20 tahun, membantu saya menguruskan anak-anak dari sejuk mereka lahir.  Beliau berhenti bekerja dengan kami atas alasan hendak menjaga ibunya yang mula uzur dan sakit-sakit.  Ketika itu anakanda ketujuh kami dah berada di sekolah menengah dan saya pun dah mula bersara secara pilihan.  Baginya khidmatnya dah tak diperlukan lagi.

Alhamdulillah majlis nikah berjalan lancar.  Anak-anak saya sangat gembira kerana 'IBU' mereka mendapat teman hidup yang boleh menjaganya dihari muka.  Beliau tinggal dengan kami dari sejak berumur 13 tahun, dan kini ketika berusia 45 tahun bertemu jodoh dengan seorang duda berusia 54 tahun dan beranak 3 yang telah pun dewasa semuanya.  Kami mendoakan kebahagiaan kedua-dua pasangan pengantin baru yang mendirikan rumah tangga pada hari raya tahun ini.