Sunday, August 18, 2013

Menyusuli kenangan Hari Raya

Asalamualaikum,
Alhamdulillah, setelah hampir dua tahun berdiam diri dari menulis di blog ni, terlintas dihati ingin semula menulis untuk tatapan anak-anak cucu.  Cubaan kali ni menulis di atas iPad mini yang dihadiahkan oleh anakanda ketiga sebagai hadiah hari raya. Alhamdulillah, inspirasi berkembang mekar dari iPad mini.  Kata anakanda, seperti yang tertulis di belakang iPad ni  'to my inspiration MAMA, with LOVE from ADZFAR' masing-masing cuba memberi inspirasi antara satu dengan lain.  Mereka tertunggu-tunggu bila lagi MAMA nak poskan cerita atau penulisannya.

Sambutan hari raya pada tahun ni agak meriah kerana pada tahun ni giliran semua anak menantu berhari raya di rumah kami di PJ. Tetapi walau pun persediaan dibuat secara sederhana sahaja, berkumpulnya ahli keluarga yang seramai 2+7+6+10 = 25 orang pada hari raya pertama tahun ni memberi kesan yang bermakna dalam suasana kekeluargaan kami.  Ni ditambah lagi dengan 3 orang bibik warga Indonesia yang menjadi pengasuh cucu-cucu kami.

Keluarga anakanda sulung bermastautin di Kuantan, pulang ke Kg. Tunku empat hari sebelum hari raya, sempatlah mereka berpuasa dan berbuka puasa bersama keluarga di sini.  Pada malam hari raya, cucu-cucu dapat mengikuti rombongan takbir raya dari rumah ke rumah pada jalan rumah kami dan dapatlah mereka mengutip duit raya. Satu keseronokan bagi kanak-kanak yang mengikuti rombongan bertakbir raya.

Bila semua nak beraya di rumah kami tentulah rumah kekurangan bilik tidur. Pilihan perlu dibuat oleh anak-anak yang tinggal di sini supaya mereka balik tidur di rumah masing-masing dan memberi ruang kepada keluarga Kak Long mereka dari Kuantan.  Tapi tau lah, anak-anak mereka seronok nak berkumpul dan beramai dalam satu rumah, yang tinggal tak jauh pun sama-sama nak tidur di rumah kami jugalah.  Berkongsi bilik, bersempit-sempit pun tak apa.

Pada hari raya pertama juga, rumah kami menjadi tempat berkumpul adik beradik saya yang berhari raya di KL.  Sejak kedua ibu bapa kami kembali ke rahmatullah, adik-adik saya yang bermastautin di   KL tidak lagi bilik ke kampung kami di Kuala Terengganu.  Jadi rumah kami lah menjadi tempat berkumpul kami adik beradik.  Juadah hari raya apa lagi, tentunya nasi dagang, makanan tradisi orang Terengganu.  Adik beradik dan anak-anak mengharapkan saya untuk menyediakan nasi dagang tu.  Jadi seawal jam 4 pagi saya dengan dibantu oleh bibik-bibik bangun memasak nasi dagang.  Lain-lain juadah ditempah dari beberapa tempat, termasuklah sate dan kuah kacang, ketupat pulut dan lemang, rendang daging dan serunding daging. Peneman sate tentunya nasi impit, direbus sendiri dari ketupat segera Adabi.

Petang hari raya, anak-anak mula bergerak ke kampung mertua masing-masing. Anakanda keenam dan suaminya baik ke Nilai, manakala anakanda keempat dan keluarganya ke Sungai Buluh.  Pada hari raya kedua anakanda kedua dan isterinya berangkat ke Kuala Terengganu, anakanda ketiga dan keluarganya berangkat ke Rembau, Negeri Sembilan, anakanda kelima dan keluarganya pula ke Setiawan, Perak. Anakanda pertama dan keluarganya masih berhari raya di PJ.

Pada hari raya ketiga, saya dan suami berangkat ke Terengganu bersama berkonvoi kereta dengan anakanda sulung dan keluarganya untuk berhari raya di rumah mertuanya di Dungun.  Walau pun banyak kenderaan di jalan raya, tetapi perjalanan lancar.  Tidak ada kemalangan jalan raya yang serius berlaku, barangkali pengguna jalan raya lebih berhati-hati di lebuh raya.  Kenderaan berat juga tidak mengganggu perjalanan.  Selepas berhari raya di rumah besar kami, perjalanan diteruskan ke Kuala Terengganu untuk berhari raya dengan sanak saudara di sana. Kami tiba di Kg Rusila, Marang Terengganu pada waktu maghrib. Tempat persinggahan kami adalah rumah arwah mertua saya.  Rumah ini katanya diserahkan kepada suami saya, tetapi oleh kerana kami tidak tinggal di situ, maka pada satu ketika disewakan, dan pada ketika lain dijadikan 'homestay'.  Alhamdulillah pada raya tahun ini kami dapat kembali tinggal di sini untuk beberapa malam.  Pada raya tahun lepas ketika kami balik kampung untuk meraikan majlis walimah anak saudara suami saya, kami terpaksa menyewa 'homestay' lain kerana rumah pusaka ini disewakan.

Hari raya keempat, diadakan majlis walimah anak saudara suami di Kg. Rusila ni. Seekor kerbau ditumbangkan untuk gulai kawah. Chef utama adalah bapa saudara suami saya sendiri bersama isterinya. Kami bilik kampung pada kali ni pun adalah untuk turut memeriahkan majlis tersebut serta untuk menghadiri majlis nikah bekas pembantu kami yang tinggal bersama kami selama lebih 20 tahun, membantu saya menguruskan anak-anak dari sejuk mereka lahir.  Beliau berhenti bekerja dengan kami atas alasan hendak menjaga ibunya yang mula uzur dan sakit-sakit.  Ketika itu anakanda ketujuh kami dah berada di sekolah menengah dan saya pun dah mula bersara secara pilihan.  Baginya khidmatnya dah tak diperlukan lagi.

Alhamdulillah majlis nikah berjalan lancar.  Anak-anak saya sangat gembira kerana 'IBU' mereka mendapat teman hidup yang boleh menjaganya dihari muka.  Beliau tinggal dengan kami dari sejak berumur 13 tahun, dan kini ketika berusia 45 tahun bertemu jodoh dengan seorang duda berusia 54 tahun dan beranak 3 yang telah pun dewasa semuanya.  Kami mendoakan kebahagiaan kedua-dua pasangan pengantin baru yang mendirikan rumah tangga pada hari raya tahun ini.

1 comment: