Alhamdulillah, nampaknya ada cahaya bersinar di hujung usia tiga puluhan. Agak jenuh juga ahli keluarga menunggu, bagaikan menunggu buah yang tidak akan gugur untuk mendengar berita gembira dari terunaku, bilakah agaknya tiba masanya untuk dia menamatkan zaman bujangnya.
Salam Perkenalan
Allah menunjukkan jalanNya pada penghujung Ramadhan yang lalu, membuka hati terunaku untuk meluahkan keinginan menamatkan zaman bujangnya. Selanjutnya, sempena menyambut kemenangan melawan nafsu, umat Islam merayakan Aidilfitri, terunaku menjemput calon teman hidupnya ke majlis makan-makan di rumah kami dan seterusnya memeperkenalkannya kepada seluruh ahli keluarga kami, walaupun sebelum ini telah dipertemukan secara tidak lansung. Alhamdulillah, semua anak-anak dan menantu-menantu kami menerima bakal kakak/adik iparnya dengan hati terbuka. Cucu-cucu kami juga amat teruja menerima untie baru mereka.
Pertemuan Ibu Bapa Kedua-dua Belah Pihak
Seterusnya terunaku dengan calon menantu ku membuat perancangan mereka sendiri untuk menamatkan zaman bujang mereka melalui penyatuan yang dinamakan perkahwinan. Mereka meneliti tarikh-tarikh yang sesuai untuk diadakan majlis pertunangan, majlis pernikahan dan majlis resepsi. Walau bagaimanapun, saya dan suami sebagai ibu bapa kepada terunaku merasakan adalah lebih baik keluarga kami menemui keluarga bakal calon menantu kami atau bakal besan kami itu untuk memutuskan perancangan yang telah diatur oleh kedua bakal pengantin itu.
Anak terunaku mengaturlah pertemuan kami dengan kedua bakal besan kami itu, walaupun sebenarnya secara kebetulan kami telah mengenali mereka melalui pertalian ahli keluarga sebelah pihak suami saya. Mereka tidak lah asing bagi kami, cumanya menunggu terunaku membuka mulut untuk menamatkan zaman bujangnya dengan Intan pilihannya itu adalah satu penantian yang agak memenatkan kami. Begitu juga agaknya di pihak bakal besan kami itu, mereka agaknya tertanya-tanya bilakah bunga sekuntum dan `hanya sekuntum' dalam keluarganya itu akan disunting oleh terunaku ini. Tentunya mereka risau akan keselamatan dan maruah anaknya yang ke hulu ke hilir dibawa berdating oleh terunaku. Sebagai seorang ibu saya amat memahami kerisauan mereka itu.
Saya bersedia dengan buah tangan untuk ke rumah bakal besan kami. Sesuatu yang memeranjatkan apabila terunaku dan bakal menantu ku mengatur pertemuan kami di sebuah restoran di Solaris Dutamas, untuk menikmati makan malam dalam keadaan releks dan santai. Secara diam-diam, saya menegur terunaku kenapa tidak membawa kami ke rumah bakal besan kami itu. Terunaku memaklumkan yang keadaan di rumah mereka agak tidak kodusif kerana sedang di `upgrade'. Rupa-rupanya mereka telah mula membuat persediaan untuk mengadakan majlis bersejarah bagi anak mereka yang bakal diputuskan pada malam pertemuan kami ini.
Malam pertemuan kedua-dua kelaurga ini seolah-olahnya majlis merisik khabar bakal pengantin perempuan.
Sambil menjamu selera, kedua-dua belah pihak memutuskan beberapa perkara, iaitu: tarikh pertunangan dan hantaran pertunangan, tarikh pernikahan serta hantaran pernikahan, dan tarikh-tarikh majlis resepsi dan sebagainya yang berkaitan dengan keperluan merealisasikan perkahwinan anak-anak kami itu. Alhamdulillah, dengan rahmatNya, semuanya berjalan lancar dan wujudnya kesepakatan di antara kedua belah pihak. Jika ada sebarang perubahan, kedua-dua belah pihak bersetuju menanganinya dengan hati terbuka.
Majlis Pertunangan.
Selepas pertemuan kedua belah pihak, maka keluarga kami pun mulalah membuat perancanngan dan persediaan untuk Majlis Pertunangan, Majlis Pernikahan dan Majlis Resepsi. Oleh kerana ada jarak masa kira-kira sebulan di antara satu majlis dengan majlis berikutnya, maka adalah sedikit masa untuk membuat persediaan satu persatu.
Oleh kerana kami di pihak lelaki, maka persediaan kami tertumpu kepada menyediakan barang-barang hadiah/hantaran kepada pihak pengantin perempuan dan mengumpulkan ahli keluarga untuk mengiringi rombongan peminangan dan pertunangan itu. Teknologi terkini melalui facebook dan sistem pesanan ringkas (sms) memudahkan urusan kami menjemput ahli keluarga terdekat untuk menyertai rombongan ke Majlis pertunangan tersebut.
Alhamdulillah, Majlis Pertunangan berjalan lancar pada 29 Oktober 2011 yang lalu. Termetrai sudah ikatan pertunangan antara dua sejoli ini. Kedua belah pihak bersetuju untuk memeprkukuhkan ikatan hubungan antara dua sejoli ini melalui akad yang akan diadakan pada 27 November 2011 bersamaan 1 Muharram 1433H.
Tepak Sirih - lambang hajat untuk meminang sekuntum bunga di taman larangan, Taman Seri Gombak |
Upacara menyarung cincin pertunangan |
Cincin Pertunangan tanda ikatan perjanjian |
Kesepakatan Dua Keluarga |
Dua Sejoli - gembira di hari pertunangan |
Majlis Pernikahan
Dalam tempuh sebulan antara Majlis Pertunangan dan Majlis Pernikahan, bakal pengantin sibuk membuat persediaan diri yang disyaratkan oleh pihak berkuasa, meliputi menghadiri kursus perkahwinan, menjalani ujian HIV, dan berurusan dengan Imam/Juru Nikah kawasan untuk proses pernikahan dan sebagainya. Bagi pihak lelaki perlu memohon pengesahan Imam kawasan tempat tinggal bahawa ianya masih bujang dan boleh berkahwin . Pengakuan bujang memerlukan persaksiaan dua orang saksi.
Dalam masa yang sama kedua bakal mempelai juga sibuk menyediakan barang-barang hantaran bagi mengiringi mas kahwin untuk melengkapkan Majlis Pernikahan tersebut.
Alhamdulillah, seperti yang dirancangkan Majlis Pernikahan berjalan lancar pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Dengan sekali lafaz, terunaku bertukar status menjadi suami kepada Intan pilihannya. Didoakan semoga terunaku melayari bahtera perkahwinan dan kehidupan berkeluarga dengan penuh kebahgiaan, ketenangan dan kasih sayang, serta mendapat rahmat daripada Allah Subhanu Wata`ala.
Pengantin lelaki bersama hantaran |
Rombongan Pengantin lelaki tiba di rumah Pengantin Perempuan |
Mas Kahwin Dinar Emas dan Cek Hantaran |
Bersedia di akad |
Alhamdulillah selamat menerima Akad |
Acara Penyerahan Mas Kahwin dan Cek Hantaran |
Salam mesra suami isteri |
Acara menyarung cincin perkahwinan |
Memakaikan hadiah rantai tangan buat isteri |
Memotong Kek Perkahwinan |
Mengupdate status di dalam facebook - went from being "engaged" to "married." |
Doa dan restu daripada ayahnda dan bonda |
Bergambar bersama keluarga untuk kenangan |
Terpancara cahaya kebahagian pasangan suami isteri |
Allah menjanjikan ketenangan dan kasih sayang melalui penciptaanNya terhadap pasangan suami isteri sebagaimana maksud firmanNya berikut:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Surah Ar Rum (30) : 21
Persediaan untuk Majlis Resepsi (Walimah)
Persediaan untuk majlis resepsi nampaknya terserah kepada ahli keluarga. Selepas bergelar suami isteri, majlis resepsi mungkin jadi tidak penting lagi bagi pasangan pengantin ini. Berada di alam percintaan dan `honeymoon mode' menjadikan pasangan ini alpa untuk memonitor checklist perkara-perkara yang perlu disediakan untuk majlis resepsi, terutamanya menempah kad jemputan.
Aduhai suami Intan, cuma tinggal kurang dari 3 minggu majlis tersebut nak diadakan, kad jemputan belum dicetak, apatah lagi nak diedarkan kepada sanak saudara dan rakan taulan. Memanglah telah ditugaskan/delegate kepada seseorang untuk mengendalikannya, tetapi yang empunya diri perlu memonitor progres pelaksanaannya. Sibuk dengan tugas-tugas kerjaya tidak boleh dijadikan alasan menyerahkan bulat-bulat aktiviti penyediaan majlis tersebut kepada orang lain.