Sunday, January 3, 2010

Kerisauan Seorang Ibu (ketika anak berada di asrama)

 
Menjadi harapan seorang ibu agar anaknya mencapai prestasi cemerlang dalam peperiksaan awam dan seterusnya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian yang lebih baik.  Saya menggalakkan anak-anak saya supaya berusaha sendiri untuk mencapai prestasi cemerlang, tanpa menghantar mereka ke pusat-pusat tuition   Saya yakin tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru di sekolah sudah mencukupi.  Anak-anak hanya perlu didisiplinkan untuk banyak mentelaah dan membuat latihan supaya dapat memahirkan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan. 

Selepas UPSR, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan saya berjaya memasuki Tingkatan 1 di Sekolah Berasrama Penuh.  Sebelum itu, abangnya berjaya masuk ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik selepas PMR.  Hati ibu tentulah gembira dan merasa bangga apabila anak dapat masuk ke sekolah berasrama penuh yang mana kemudahannya jauh lebih baik dari sekolah menengah biasa.

Itu adalah merupakan kejayaan awal anak dalam bidang akademik yang menjadi motivasi kepada dirinya dan seterusnya mungkin mempengaruhi pencapaian akan datang dalam pelajaran. Dalam pada itu, hati ibu juga risau kerana anak terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga dan terpaksa menguruskan sendiri kehidupannya di asrama mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.  Ibu juga risaukan anak sama ada pandai menyesuaikan diri dengan kehidupan asrama, dengan rakan-rakannya, dengan makanan asrama dan dengan jadual asrama yang ditetapkan.

Kena Buli

Tidak dapat dinafikan terdapat budaya membuli di asrama dari sejak dahulu lagi dan pihak sekolah tidak dapat membendung perkara ini. Yang berbeza mungkin tahap seriusnya membuli itu, sama ada lebih teruk dan ketara antara satu sekolah berbanding dengan sekolah lain. Untuk mengatasi budaya membuli, ada sekolah yang mengadakan sesi suai kenal antara senior dan junior dengan mengaturkan program-program tertentu. Ini hanyalah program orientasi yang terancang kepada pelajar-pelajar baru bagi membiasakan diri mereka dengan kehidupan di asrama.

Namun hakikat senior membuli junior tetap berlaku di asrama secara sembunyi-sembunyi di luar program yang diaturkan.  Perkara ini saya alami sendiri ketika pernah tinggal di asrama, dan begitu juga menurut cerita anak-anak saya. Alasan senior adalah supaya junior menghormati mereka, tidak berlagak sombong dan bersedia melakukan apa yang disuruh.

Kerisauan ibu bertambah apabila kerap terbaca dalam akhbar tentang kes-kes buli di asrama oleh pelajar senior terhadap pelajar baru sehingga ada yang cedera.  Setiap kali mendapat panggilan telifon daripada anak di asrama, ibu merasa gementar takut-takut sesuatu yang buruk terjadi kepada anak, atau anak merayu tidak mahu lagi tinggal di asrama kerana tidak tahan diejek, dibuli, dan didera secara emosi oleh rakan-rakannya.

Anak saya pernah menangis-nangis minta keluar dari asrama kerana tidak tahan rasa tertekan kerana diejek oleh kawan-kawan dengan kata-kata yang tidak disukainya.  Saya menasihatinya supaya bersabar, beruasaha berbuat baik denagn rakannya dan kalau perlu melaporkan kepada warden asrama, guru disiplin atau guru kaunseling di sekolah. 


Rasa Tertekan/Terdera Emosi
  
Anak-anak di asrama mungkin juga merasa terdera emosi mereka disebabkan jadual ketat, kena bangun awal pagi, berebut bilik air dan perlu mengutamakan senior, tempat tak selesa, makanan tak sesuai, kena basuh baju/stoking sendiri, stereka baju sendiri dan kadang kala diminta/dibuli oleh senior supaya menstereka baju mereka, pakaian selalu hilang/kena curi dan pelbagai sebab lagi.

Anak saudara saya pernah merayu kepada ibu bapanya hendak keluar dari asrama kerana tertekan, rasa tidak adil diperlakukan, walau pun dah berada di hadapan barisan ketika beratur untuk menggunakan bilik air tetapi keutamaan perlu diberi kepada senior yang tiba-tiba muncul.

Mereka mungkin juga rasa tertekan kerana tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan lain dalam pelajaran di sekolah.  Ada anak yang cepat dapat menyesuaikan diri dengan jadual asrama, cekap, cepat bertindak/bergerak, manakala ada yang lambat, lembap dan tidak dapat menguruskan diri dan pelajaran mereka dengan baik.  Bagi yang ketinggalan ini tentulah rasa tertekan, terutama apabila ia tidak dapat menyaingi rakan-rakan lain yang mendapat prestasi baik dalam ujian bulanan.  Anak ini memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan kehidupan di asrama. 

Minta Dilawati

Anak-anak minta dilawati setiap minggu kalau tidak dapat pulang ke rumah, barangkali rindukan ahli keluarga  Ada-ada saja barang atau keperluan yang diminta. Ibu akan datang ke asrama dengan membawa pelbagai pesanan/bekalan terutama makanan kegemaran anak dan berkelahlah sekeluarga di kawasan asrama. Saat-saat pertemuan itu digunakan untuk melepaskan rasa rindu pada anak, mengambil tahu tentang pembelajaran anak, serta mendengar keluhan dan pelbagai aduan mereka.

Kadang kala semasa pulang ke rumah pada hujung minggu, anak sengaja tidak membawa sebahagian  keperluannya supaya dapat dijadikan alasan tertinggal sesuatu dan meminta ibu menghantarnya pada hujung minggu berikutnya. Dengan itu dapatlah mereka berjumpa keluarga setiap minggu.

Malas Cuci Pakaian

Anak-anak di asrama kadang kala minta si ibu mengambil pakaian kotor mereka dan membawanya semula pakaian bersih pada minggu berikutnya. Alasannya kerana tidak sempat atau tiada masa nak mencuci pakaian.  Begitulah anak-anak sekarang, telah terbiasa dengan kesenangan di rumah. Kebiasannya tugas ini dilakukan sama ada oleh ibu atau pembantu rumah, jadi ada rasa malas atau tidak dapat menghadapi kesusahan menguruskan sendiri pakaian mereka ketika di asrama.

Makanan Asrama Tidak Sesuai

Satu perkara lagi yang menjadi kerisauan ibu adalah makanan asrama tidak dapat memenuhi selera dan cita rasa anak.  Kerenah anak yang memilih makanan terbawa-bawa ke asrama.  Sama ada menu yang disediakan di asrama sememangnya tidak disukai (di rumah juga tidak makan makanan itu) atau tidak puas makan kerana makanan yang disediakan tidak sedap atau portionnya tidak mencukupi. Anak-anak remaja masih di peringkat pembesaran sememangnya makan banyak dan berulang-ulang.  Kebebasan ini tiada di asrama, tidak sebagaimana di rumah boleh mengulang-ulang makan ap saja yang diinginkan.

Salah seorang anak saya tidak makan makanan pedas, asal masakan itu berwarna merah walaupun kerana banyak tomato, ia tidak akan memakannya. Makanan biasa baginya adalah ayam goreng dan sup. Hal ini merisaukan saya kerana tentunya agak susah  baginya menyesuaikan diri dengan makanan di asrama yang kerap menghidangkan masakan bercili dan asam pedas.

Manakala seorang lagi anak saya tidak suka makan ikan, apatah lagi bila ikan cencaru (ikan jeket, istilah anak saya) atau ikan kembung (ikan termenung) yang tidak segar dan berbau hanyir kerap dihidangkan di asrama sekolah.  Fobea kepada kedua-dua jenis ikan ini menyebabkan anak saya merungut-rungut jika turut sama dihidangkan di rumah.

Ada kalanya mereka tertunggu-tunggu hari menu istimewa yang menjadi kegemaran dihidangkan, umpamanya menu nasi minyak dan kurma ayam. Biasanya, pihak pengurusan asrama menetapkan sekali seminggu menu istimewa ini dihidangkan. 

Manakala pada hari-hari lain, jika menu tidak sesuai dengan selera, mereka akan memilih alternatif makan di kantin sekolah. Si ibu terpaksalah menyediakan wang saku tambahan kepada anak setiap minggu untuk tujuan ini. Cuba bayangkan jika bukan anak saya seorang yang berbuat demikian, betapa banyak pembaziran berlaku disebabkan oleh makanan yang tidak berkualiti di asrama.

Ibu bapa dikehendaki membayar sejumlah yuran untuk makanan di asrama, manakala kerajaan juga mengeluarkan perbelanjaan untuk subsidi makanan tersebut, sedangkan tidak semua pelajar memakannya.  Saya tidak pasti, kalau ramai pelajar yang tidak makan, maka pada hari-hari tertentu pasti banyak berlebihan makanan, adakah makanan itu dibakul sampahkan?  Alangkah baiknya jika pihak pengurusan asrama memastikan makanan yang berkualiti disediakan dan menunya pula bersesuaian dengan selera pelajar supaya tiada berlaku pembaziran makanan.

Kehilangan Pakaian

Setiap kali cuti penggal, ibu bapa terpaksa membeli pakaian baru untuk anak yang tinggal di asrama, terutama pakaian dalam dan pakaian sekolah, sama ada kemeja, t-shirt sukan, seluar, atau tudung putih untuk anak perempuan.   Kadang kala tak sempat cuti penggal pun, dua minggu selepas persekolahan dibuka, anak mengadu dah kehilangan pakaian atau alat tulis.

Saya tak tahu dan tak faham, adakah ini fenomena biasa di asrama sekolah, yakni berlaku kecurian, dan kalau memang berlaku, kenapa pihak sekolah tidak membendungnya.  Atau mungkin juga kecuaian anak-anak yang tidak tahu menjaga harta benda sendiri, sebab mudah diganti oleh ibu bapa.  Menurut kata anak saya, ada jenis pelajar yang meminjam terus pakaian rakan lain dan tidak memulangkanya, terutama t-shirt berjenama dan seluar sukan kerana sukakan pakaian itu dan menganggap tidak mengapa berkongsi pakaian dengan rakannya.

Menurut kata guru penyelia asrama yang saya kenali, kadang kala pakaian anak-anak di asrama itu tidak hilang atau dicuri, tetapi jatuh ke tanah ketika dijemuran, pasti mereka tidak akan mengambilnya kerana perlu dibasuh semula, dan ada yang merasa terhina mengambilnya semula (ego anak-anak). Pihak pengurusan asrama pernah mengumpulnya dan menghantar kepada dobi untuk membersihkannya, tetapi tiada siapa yang datang menuntutnya semula. Mungkin ada benarnya, kerana setiap kali saya ke asrama menemui anak saya, memang saya lihat berlonggok-longgok pakaian yang jatuh ketanah dari jemuran tidak diambil oleh pelajar asrama. 

Itulah yang merisaukan saya, adakah anak saya membohongi saya kerana hendak menyelamatkan diri, takut dimarahi kerana membiarkan berlaku pembaziran {pakaiannya yang jatuh tidak diambil dari jemuran) tetapi dikatakan hilang diambil oleh rakannya. Saya katakan tidak larat mengeluarkan belanja berulang-ulang membeli pakaian dan alat tulis ganti dalam tempoh masa yang singkat.  Namun, kalau betul pakaian/alat tulisnya benar-benar diambil oleh rakan.yang memerlukannya, maka berniat sedekah sajalah, semoga Allah menggantikan dengan rezeki yang lebih baik. 

Walau bagaimana pun, perkara ini telah pun berlalu, saya berdoa agar anak saya tidak membohongi saya dan sentiasa bercakap benar walaupun mengenai perkara/perbuatannya yang salah.  Itu adalah kesalahan yang biasa dilakukan semasa hidup.  Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya, ibu bapa saya dan anak-anak saya serta semua umat Islam lain.


Saturday, January 2, 2010

Kerisauan Seorang Ibu (ketika anak sedang membesar dan meningkat remaja)

Membesarkan anak-anak tidaklah mudah, kita memerlukan bantuan orang tua (ibu bapa jika masih ada), pembantu rumah, dan institusi penjagaan bayi dan kanak-kanak. seperti TASKA dan lain-lain. Pelbagai cabaran dan kerisauan dialami dalam tempoh membesarkan anak sehingga menjadi seorang remaja matang dan boleh menjalani kehidupan tanpa bergantung kepada kedua ibu bapa.

Aspek kewangan juga menjadi punca kerisauan ibu bapa kerana kos yang semakin meningkat untuk menanggung dan membesarkan anak, meluputi bayaran kepada TASKA/TADIKA atau baby sitter/pembantu rumah, keperluan menabung untuk pendidikan anak, kos rawatanapabila ke klinik dan insurans kesihatan anak serta lain-lain keperluan.

Beberapa pengalaman kerisauan seorang ibu ingin saya catatkan untuk dikongsi bersama, terutama oleh anak berkenaan jika ia membaca catatan ini pada suatu ketika nanti dan ia tahu bahawa kisah ini adalah mengenai dirinya.

Anak Sakit:

Membela dan membesarkan anak pertama adalah secara try and error sebab belum ada pengalaman. Walaupun beberapa kaedah mungkin dipelajari melalui pembacaan atau pernah membantu ibu kita membela adik-adik dahulu, tetapi tidak sama dengan apa yang dialami sendiri.

Umpamanya, mengalami anak yang demam panas dan tiba-tiba sawan amat menakutkan. Beberapa hari sebelum itu anak itu sihat dan ceria, lalu dibawa berjumpa doktor untuk mendapatkan suntukan triple-antigen yang perlu dilengkapkan kepada bayi. Walaupun telah diberi ubat demam, suhu badan tinggi juga. Saya tidak pernah melihat kanak-kanak sawan sebelum ini, maka tidak tahu anak itu sawan.

Naluri seorang ibu yang menyedarkan saya bahawa anak itu sawan apabila melihat mata anak terbeliak ke atas dan kaki serta tanganya kejang. Kami segera membawa anak ke hospital, apabila tiba di hospital, cepat-cepat doktor dan jururawat bertugas membawa anak saya ke bilik rawatan dan memandikanya dengan ice, apa lagi menjerit melolonglah anak saya sehingga kebiru-biruan.

Saya juga turut sedih melihat keadaannya, kemudian saya tidak dibenarkan berada sama semasa mereka membuat rawatan kepada anak saya kerana tangisan saya mengganggu tugas mereka. Pada masa itu saya merasa mereka sungguh kejam terhadap saya dan anak saya. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan anak saya dan ia membesar dengan baik selepas itu.

Saya pernah ceritakan dalam catatan yang lepas tentang kerisauan ibu terhadap anak yang dilahirkan tidak cukup bulan (premature) dan secara menyongsang. Anak yang premature ni rupanya tidak kuat antibody (mungkin kerana tidak mendapat susu badan secukupnya) dan mudah dijangkiti kuman. Dia membesar dalam keadaan kerap mengidap selsema, melilih air hidung/hingus, mudah mendapat alergik, kepala dan kaki juga dijangkiti kudis.

Pernah satu ketika anak ini alergik kepada telur sehingga kedua kakinya dipenuhi kudis kecil yang berair dan tidak dapat berjalan apabila kulitnya pecah dan menggelupas. Tentulah si ibu risau melihat keadaan anak yang berupa comot dan sentiasa menangis kesedihan kerana tidak selesa dengan keadaan dirinya. Berulang-ulanglah dibawa anak ke doktor untuk mendapatkan rawatan dan turut juga dibawa kepada bomoh kampung untuk rawatan secara tradisional.

Emosi anak turut menggannggu emosi ibu, sehingga timbul rasa tidak mau lagi mempunayi anak kerana susah membelanya. Bila berumur antara 4-5 tahun mudah pula mendapat demam tonsil dan beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit tersebut.

Pengalaman mungkin belum cukup mengajar saya mengawasi kesihatan anak, atau saya mengambil mudah terhadap aspek-aspek kebersihan dan pemakanan anak. Hampir 20 tahun kemudian, seorang lagi anak saya juga dimasukkan ke hospital kerana demam tonsil yang serius sehingga badannya mengalami dehydration, dan beberapa botol air di `drip’kan ke badannya.. Saya sedih melihat anak saya terjerit terlolong apabila doktor mencucuk tangannya untuk dimasukkan jarum bagi tujuan `drip’.

Saya merasakan anak saya seolah-olah `berdendam’ dengan saya yang menjadikannya bertambah sakit ketika berada di hospital itu. Selepas keluar dari hospital, anak saya menjadi seorang yang pendiam dan tidak seceria seperti sebelumnya. Mungkin perasaan ini timbul disebabkan oleh kerisauan saya pada masa itu. Alhamdulillah dengan pelbagai usaha, anak-anak itu membesar juga menjadi anak yang sihat dan ceria.

Anak Bersekolah dan Menduduki Peperiksaan:

Kerisauan seorang ibu berterusan sehingga anak memasuki alam persekolahan. Lain pula bentuk kerisauan yang akan ibu-ibu alami, di antaranya: bolehkah anak menyesuaikan diri di sekolah, bolehkah anak-anak mengusai kemahiran-kemahiran yang diajar kepada mereka, bagaimana pergaulan anak dengan rakan-rakan lain, cukupkah persediaan buku-buku dan peralatan persekolahan serta tution anak-anak, bolehkah anak-anak melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sekolah dan sebagainya.

Aspek paling penting yang merisaukan adalah mengenai prestasi pencapaian akademik anak-anak di sekolah, bagaimana pencapaiannya berbanding pelajar lain, bagaimana mengatasi kelemahannya dalam subjek-subjek tertentu, memastikan anak menyiapkan kerja rumah, membuat latihan dan mentelaah buku-buku pelajaran dan seumpamanya.

Apabila anak-anak hendak menduduki peperiksaan awam yang utama, si ibu akan lebih risau berbanding dengan anak sendiri, mereka relaks je, ibu-ibu pula yang menggelabah takut anak tidak dapat menjawab dengan baik, tidak mendapat pangakt A dalam mata pelajaran.

Ibu-ibu mendambakan kecermerlangan dengan sejumlah A tertentu dapat dicapai oleh anak-anak seperti 5A dalam UPSR, 8A dalam PMR dan 10A dalam SPM. Si ibu merasa sedikit kecewa apabila apa yang diimpikan tidak tercapai walaupun pelbagai usaha telah dilakukan seperti menghantar anak ke tution, memberi minum air bacaan Yasin, solat hajat dan sebagainya.

Kekecewaan wujud kerana si ibu membandingkan anaknya dengan anak orang lain yang mendapat prestasi cemerlang, tetapi gagal melihat kelebihan dan keistimewaan kurniaan Allah yang ada pada anaknya itu. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia, dan setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya.

Anak Baligh/Remaja:

Apabila anak meningkat remaja, banyak pula kerenah anak remaja yang perlu dihadapi oleh ibu-ibu, terutamanya ketika anak mencapai baligh dan mengalami perubahan fizikal dan emosi.

Anak-anak merasa diri semakin meningkat dewasa, inginkan kebebasan dan tidak mahu dikongkong pergaulan mereka dengan rakan-rakan sebaya, mempunyai citarasa sendiri serta ingin membuat pilihan dan keputusan sendiri. Si ibu akan merasa risau kerana anak tidak lagi mendengar kata dan selalu bersikap menentang kehendak ibu bapa.

Anak-anak merasakan apa yang mereka kehendaki atau apa yang mereka buat itu betul. Apabila diberi nasihat atau ditegur, anak remaja menganggap si ibu berleter, mereka memekakkan telinga dan kadang kala bersikap tidak sopan seperti melawan cakap atau menghempas pintu bilik tanda protes.

Saya pernah mengalami kerisauan terhadap anak remaja yang ingin keluar bebas bersama kawan-kawan seperti menghadiri party di rumah kawan, menonton wayang dan window shopping di pusat-pusat membeli belah, serta ingin mempunyai teman bercinta (boy-friend). Bagi anak-anak, perkara ini tak salah kerana telah menjadi trend atau budaya di kalangan remaja masa kini. Tapi bagi kita yang menjadi ibu, sentiasa risau akan keselamatan anak, takut mereka tersilap langkah dan terjebak dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

Mungkin pemikiran saya agak kolot dalam hal ini, saya sangat mengongkong pergaulan anak, maka banyak soalan diajukan kalau anak minta kebenaran keluar. Model saya dalam mengawal pergaulan anak adalah ibu bapa saya sendiri.

Zaman saya remaja, tidak berani bersuara, ikut saja cakap ibu bapa, sehingga tak dapat pergi ke mana-mana. Umpamanya, saya tidak dibenarkan melibatkan diri dalam aktiviti sekolah yang diadakan di luar sekolah seperti perkelahan dan perkhemahan di pulau atau di kawasan air terjun. Lagi pun ibu bapa menanggung dosa membiarkan anak bergaul bebas.

Bagi anak pula, ibu perlu memberi kepercayaan kepada anak-anak supaya mereka tahu bergaul dan pandai menjaga diri dan batas-batas pergaulan. Subhanallah, anak-anak sekarang sudah pandai berhujjah.

Saya pernah didatangi oleh seorang ibu yang mencari anaknya di rumah saya kerana katanya anaknya berkawan dengan anak saya. Pada ketika itu anak saya berada di rumah dan tiada pun kawannya itu. Saya meneyelidik daripada anak saya dan mengetahui remaja itu sebenarnya ke disko bersama kawan-kawannya. Selepas itu saya tidak benarkan anak saya berkawan dengan remaja itu.

Maka adalah penting kita membimbing dan menunjuk ajar anak kita supaya memilih rakan yang betul dan baik, iaitu yang dapat membantu dalam dalam pelajaran umpamanya, bukan memilih rakan yang mengajak ke arah maksiat. Alhamdulillah, anak saya mengikut nasihat saya dan dia memilih rakan-rakan yang akhirnya berjaya dalam pelajaran.

Kadang kala saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam didikan kita kepada anak-anak dalam tempoh perkembangan mereka daripada kanak-kanak kepada remaja, umpamanya mungkin terlalu memanjakan mereka dengan menurut segala kehendak mereka semasa mereka kanak-kanak, kurang mantap didikan agama dan bimbingan akhlak yang diberikan.

Dalam kerisauan, ibu perlu banyak berdoa dan bertawakkal agar Allah memelihara keselamatan anak dan meyakini bahawa didikan agama yang telah diberikan selama ini menjadi benteng pertahanan mereka. Maka adalah penting bagi ibu bapa mengingatkan anak-anak dan memastikan mereka melaksanakan perintah-perintah Allah seperti solat 5 waktu, puasa dan lain-lain, serta menjauhi larangan-laranganNya.

Anak-anak hendaklah dididik menghormati ibu bapa dan orang tua lain. Malah dalam al Quran terdapat banyak ayat-ayat yang berupa perintah Allah supaya anak-anak menghormati dan berkhidamat kepada kedua ibu bapa, serta melarang dari bersikap kasar dengan berkata `hah’ kepada ibu bapa. (Surah Al Israa’ : 23 dan 24)

Zaman saya mengalami kerisauan tentang kanak-kanak dan remaja telah berlalu dan kini giliran anak-anak perempuan dan menantu perempuan saya pula yang akan mengalami kerenah anak-anak masing-masing yang semakin membesar.

Walau bagaimana pun, kerisauan dalam bentuk lain pula saya alami, iaitu sama ada ibu-ibu muda ini bersedia serta mempunyai ilmu yang cukup untuk menghadapi dan mengatasi kerisauan, cabaran dan dugaan yang timbul daripada kerenah anak-anak remaja mereka beberapa tahun lagi? Malah anak sulung saya dah pun ada anak lelaki yang meningkat remaja. Semoga catitan ini menjadi panduan kepada mereka.

Kita hendaklah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah sebagaimana doa hamba-hamba (Allah) Ar Rahman (yang diredhaiNya), iaitu:

`Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami daripada pasangan-pasangan kami dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.’ (Surah Al Furqan : 73)

Tuesday, December 29, 2009

Kerisauan Seorang Ibu (ketika anak masih kecil)

 
Sepanjang hidup berkeluarga,  sering kali ibu dan bapa mengalami kerisauan tentang anak-anaknya.  Biasanya ibulah yang lebih risau berbanding bapa. Kadang kala kerisuan itu ada asasnya dan kadang kala tidak berasas sama sekali, hanya kerana terlalu mengikut perasaan dan hasutan syaitan.

Oleh kerana saya seorang ibu, maka saya akan menceritakan pengalaman kerisauan seorang ibu.  Kita boleh nampak adanya kerisauan di kalangan bapa, tetapi. tidak dapat disamakan perasaannya dengan ibu. Hanya kaum bapa yang dapat menceritakannya dengan lebih baik perasaan mereka.  Seseorang tidak mengetahui betapa kerisauan ibu bapa kita terhadap kita dahulu, melainkan setelah kita sendiri menjadi ibu dan bapa.  Itulah pengalaman berharga yang tidak dapat dilakonkan melainkan mengalaminya sendiri.

Semoga dengan catitan ini anak-anak saya (terutama yang telah berumah tangga dan mempunyai anak sendiri) menegerti kerisauan saya terhadap mereka semasa mereka kecil dahulu sepertimana mereka mengalaminya sekarang,  risaukan anak-anak mereka..

Semasa mula mendirikan rumah tangga, pasangan menghadapi masa kritikal untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain dalam kehidupan berumahtangga dan dengan keluarga kedua-dua belah pihak, belajar bertolak ansur dan bertolerensi, hormat menghormati di samping memadu cinta asmara memenuhi naluri kemanusiaan serta berkasih sayang demi memantapkan ikatan perkahwinan.

Masa Mengandung

Perkahwinan adalah fitrah kemanusiaan. Kemudian pasangan akan merancang untuk melahirkan zuriat demi kelangsungan keluarga dan keturunan.  Kadang kala tak sempat merancang pun, ada yang terus terperangkap dengan apa yang dinamakan bunting pelamin.  Bermula saja si ibu mengandungkan anak sulung, maka bermula pulalah kerisaun ibu terhadap anaknya yang bakal lahir.

Begitulah seterusnya setiap kali mengandungkan anak,  walaupun gembira dan bersyukur dengan kurniaan Allah,  ibu pasti  risaukan tentang dirinya yang mengalami `morning sickness’, tiada selera makan, mabuk-mabuk, mengidam/inginkan itu/ini, dan kadang kala `allergic’ pula terhadap suami.

Dalam keterujaan inginkan cahayamata, si ibu pasti risaukan tentang pelbagai perkara seperti:  bagaimanakah keadaan janin/anak yang di kandungan sama ada sempurna, sihat, comel, ikut wajah siapa, lelaki atau perempuan, susah ke nak bersalin, mampukah mendapat rawatan terbaik ketika bersalin dan pelbagai lagi punca kerisauan.

Si ibu juga risau akan perubahan bentuk badan yang dulunya lansing menjadi pjk (perut jalan kedepan), adakah masih menawan pada pandangan suami dan pelbagai lagi. Pemeriksaan kesihatan perlu sentiasa diadakan, dan persediaan untuk proses kelahiran perlu dilakukan, baik dari segi fizikal, mental maupun emosi.  Semua ini memerlukan kesabaran, banyak berdoa untuk mendapatkan kurniaan terbaik daripada Allah dan bertawakkal kepada ketentuan Allah.

Kelahiran Anak



Apabila tiba masanya, tentu sekali ibu bapa amat gembira  menyambut kelahiran anaknya ke dunia.  Persiapan tentunya telah dibuat dengan rapi dengan keperluan bayi lengkap disediakan, bahan-bahan untuk perawatan dan penjagaan ibu juga tersedia.  Bayi disambut dengan azan dan iqamah, kemudian ditahnikkan (belah mulut), diberi nama, ditahliqkan (cukur rambut), dan diaqiqahkan.  Ini adalah di antara sunnah Rasulullah ketika menyambut bayi.


Dalam keterujaan dan kegembiraan menimang cahayamata itu, kerisaun ibu berterusan wujud.  Tiada siapa yang dapat menafikan ini.  Di antaranya risau akan kesihatan bayi terutama apabila bayi diserang kekuningan, nappy rash, bayi menangis kerana kolik dan sebagainya, manakala ibu pula tidak dapat tidur dan rehat secukupnya.  

Saya sendiri mengalami trauma bayi kolik, menangis pada waktu malam selama 3 bulan pertama dan memaksa saya tidak dapat tidur pada waktu malam sedangkan dalam tempuh itu kita memerlukan rehat yang cukup.  Pelbagai usaha dilakukan seperti meletakkan minyak telon, menukar susu (dengan anggapan susu badan tidak sesuai), mengelap badan bayu, dan lain-lain.  Sehingga pada suatu ketika, perkara kurafat juga dilakukan oleh ibu saya kononnya untuk menghalau iblis yang merasuk bayi itu.  Semoga Allah telah mengampuni dosa beliau.  

Kami juga membawa bayi berjumpa doktor, tapi kata doktor tak ada apa-apa, bayi akan menangis selama tempoh pantang atau mungkin selama 3 bulan.  Memang betul pun bayi itu menangis selama 3 bulan.  Bayi hanya ingin diriba bila tidur malam, seolah-olah tidak mahu ditinggalkan dan kalau boleh barangkali ingin kembali berada di dalam perut ibu. 

Apabila masalah ini berlaku, kerisauan bertokok tambah dengan menganggap orang lain terutama si bapa tidak membantu dan mementingkan diri sendiri kerana mereka sedap-sedap tidur, sedangkan kita terhingguk-hingguk meriba bayi yang akan menangis sekeras-kerasnya apabila diletakkan ke tempat tidur. Hanya kesabaran  yang menjadi pengubat jiwa pada masa itu.  

Saya juga pernah mengalami situasi bayi ditinggalkan dihospital di bawah jagaan doktor pakar kanak-kanak dan stafnya kerana bayi mengalami masaalah lemah sebelah lengan, kerana tersekat ketika dilahirkan secara meyongsang dan juga tidak cukup bulan.  Bayi diletakkan dalam inkubator selama beberapa hari. Selain dari anak saya tidak dapat menyusu badan, saya juga risaukan keadaan lengan/tangannya sama ada akan pulih normal seperti bayi lain atau akan mengalami kecacatan.  Apa yang mampu dibuat hanya berdoa agar bayi pulih dan sihat, serta bertawakkal kepada Allah akan kehendaknya.


Si ibu juga akan risaukan perkara-perkara lain yang akan dihadapi selepas selesai tempoh berpantang umpamanya, siapa yang akan menjaganya nanti apabila balik bekerja semula, mampukah nak menyusukan anak dengan susu badan selama 2 tahun seperti yang disarankan dalam al Quran, bersediakah nak tinggalkan anak kepada orang lain untuk menjaganya (kerana rasa tak sampai hati sebab terlalu sayangkan anak),  bagaimana nak mengembalikan bentuk badan kepada figura sebelum mengandung dan sebagainya.  Itulah cabaran yang dihadapi oleh ibu-ibu muda di awal perkahwinan mereka. 

Pelbagai usaha dilakukan, mereka yang sabar dapat meneruskan kehidupan yang harmoni dan mengatasi segala kerisauan secara berhikmah bagi memastikan kebahgiaan dan kesejahteraan keluarga.  Ini adalah proses semula jadi atau sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai ujian kepada ibu-ibu.  Kita perlu banyak bertawakkal kepada Allah, tiada daya dan kekuatan, melainkan dengan (izin) Allah.  Kesabaran adalah kunci kebahgiaan. 

Monday, December 28, 2009

Percutian Keluarga 2008 dan 2009

Mengadakan perjumpaan/percutian/hari keluaraga merupakan salah satu usaha untuk mengeratkan silaturahim di kalangan ahli keluarga. Pada Disember 2008, famili2748 telah mengadakan percutian keluarga di Summerset Resort Hotels & Villas, di Rompin, Pahang, selama 3 hari 2 malam. Lapan buah bilik ditempah untuk menempatkan ahli-ahli keluarga 2748.

Pelbagai aktiviti diadakan untuk memenuhi masa selama percutian tersebut, meliputi: sesi bergambar keluarga pada petang hari pertama, tazkirah dan bacaan Yasin pada malamnya, pertandingan sukan rakyat/permainan pada hari kedua, BBQ dinner dan quiz (menggantikan kaoroke) pada malamnya, serta penyampaian cenderamata kepada pemenang-pemenang. Semua ahli mendapat hadiah masing-masing sebagai menghargai penyertaan setiap ahli. Pada hari ketiga, masing-msing berpeluang berendam dalam kolam renang di Resort tersebut. Hasrat untuk berendam air laut terpaksa dibatalkan kerana ombak kuat, musim tengkujuh telah bermula.

Walau pun penat dek jauhnya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Rompin, tetapi masing-masing berpuas hati dan enjoy dengan aktiviti-aktiviti percutian kelaurga ini. Banyak perkara yang dipelajari oleh setiap ahli keluarga, di antaranya ialah: tidak mudah hendak mengaturkan (organise) percutian keluarga seperti juga mengatur `outing’ atau `retreat’ sesebuah organisasi, perlu ada perancangan yang rapi baik dari segi logistik maupun dari segi pengisian program.

Pengisian program pula  tidaklah semata-mata untuk bersuka ria, tetapi hendaklah ada elemen-elemen memperkayakan pengetahuan, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, memantapkan keyakinan diri, kerjasama dan tolerensi.   Alhamdulillah ada salah seorang ahli keluarga yang cekap merancang, mengurus dari aspek logistik dan menyusun aturcara/iternari program.



  Dah sampai di Resort






Bermain pasir membina logo resort mengikut imaginasi














Pertandingan bola cadar













Bersorak tanda kemenangan


















Album Famili


Percutian Keluarga 2009 pula diadakan pada Ahad 13 Disember. Destinasi pada kali ini adalah GT Villa, Janda Baik, Pahang. Kalau pada tahun lepas kami menikmati keindahan pantai, laut dan ombak, maka pada tahun ini, kami menikmati keindahan hutan, sungai dan alirannya.

GT Villa dipunyai oleh sahabat karib kami, merupakan sebuah rumah bunglo yang terletak dalam sebuah kebun buah-buahan seluas tiga ekar yang bersempdankan sungai di bahagian hadapan bunglo tersebut. Suasana nyaman dengan tumbuhan menghijau di sekelilingnya, disertai irama merdu unggas dan air sungai yang mengalir. Sebuah gazebo dibina khas oleh tuan punya GT Villa di tepi sungai sebagai tempat berkumpul, makan-makan dan lepak-lepak. Di situ disediakan kerusi, meja hidangan, dapur untuk memasak dan tempat membakar BBQ. Tempat ini biasa juga digunakan oleh beberapa organisasi seperti Petronas, MAS dan lain-lain mengadakan Hari Keluarga dan sebagainya.

Pengisian program hari keluarga kami pada kali ini meliputi: sarapan pagi, aktiviti pertandingan/permainan rakyat, BBQ lunch, dan mandi-manda di sungai, di samping beramah mesra dengan keluarga tuan punya GT Villa. Tuan punya GT Villa juga mempunyai sepasang kuda peliharaan yang jinak. Kanak-kanak amat teruja hendak memberi makan kuda serta melihat `show’ yang dikendalikan oleh tuan punya kuda itu.








Beri makan kuda dengan karot













 Bersorak melihat kehadiran kuda













 Game `Tangkap belon'













Game anak-anak, daddy & mummy yang jadi penyebok





Ni lah main `stik mata'

   Sejuk dan nyaman berendam di sungai


Buai laju-laju

                  Seronoknya mandi manda                                                     




















Hadiah kepada pemenang





Famili 2748 dengan pemilik GT VIlla
Terima kasih daun keladi, lain kali kami datang lagi!









 Keindahan flora


Kami meninggalkan GT Villa setelah solat asar pada kira-kira jam 5.30 petang dengan rasa penuh kesyukuran dan kepuasan, serta kenangan manis berinteraksi dengan alam semualajadi, hutan, flora dan fauna, sungai dan aliran airnya.

Insya Allah kami akan berkunjung semula menikmati keindahan alam semula jadi dipersekitaran GT Villa dan Janda Baik yang masih terpelihara keasliannya.


Sunday, December 27, 2009

Memelihara Jantung Hatiku

Sebuah keluarga adalah seperti seorang manusia yang terdiri dari jasad (badan), jiwa (hati, perasaan dan pemikiran) dan roh (nyawa). Jasad terdiri dari anggota dan organ-organ yang membentuk badan manusia itu. Begitu juga sebuah keluarga terdiri dari ahli-ahli atau anggota keluarga tersebut. Apabila sakit salah satu anggota badan, akan terasa sakit seluruh badan. Begitu juga apabila sakit atau ditimpa kesusahan atau musibah pada salah seorang anggota keluarga, maka akan dirasai juga oleh seluruh anggota keluarga yang lain.

Ikatan kekeluargaan adalah nyawa (roh) kepada sesebuah kelaurga. Pada manusia, nyawa berada pada organ jantung yang berfungsi mengepam darah ke seluruh badan melalui saluran darah (ateri dan vena) dan yang menghidupkan manusia itu. Apabila badan manusia menjadi lusuh/tidak berdaya (disebabkan oleh sakit atau kemalangan) sehingga jantung berhenti berdenyut/mengepam darah, maka manusia itu menjadi kaku (mati) dan roh pun keluar dari jasad itu kembali kepada Allah yang menciptanya.

Kesihatan badan hendaklah dijaga supaya jantung berfungsi dengan baik dan dapat mempertahankan roh berada lebih lama didalam badan sehinggalah Allah menjemputnya kembali kepadaNya. Begitu juga sesebuah keluarga hendaklah menjaga roh atau ikatan kekeluargaannya supaya sentiasa sihat dan kekal berfungsi dengan baik.

Ikatan kekeluargaan juga akan runtuh apabila anggotanya bercerai berai, menjauhkan diri, tidak peduli antara satu sama lain, membuat hal masing-masing, tidak cakna (caring) dan nafsi nafsi. Rasulullah melarang umatnya memutuskan ikatan kekeluargaan sebagaimana dalam maksud sabdanya:

Janganlah engkau saling benci membenci, saling dengki mendengki, saling belakang membelakangi dan sling putus memutuskan ikatan persahabatan atau kekeluargaan dan jadilah engkau semua hai hamba-hamba Allah sebagai saudara-saudara. Tidaklah halal bagi seorang Muslim kalau ia meninggalkan yakni tidak menyapa saudaranya lebih dari tiga hari.” (Mutatafaq’alaihi)
(Dipetik dari : Imam Nawawi; `Riyadhus Shalihin’, Jld.2, Pustaka Nasional Pte Ltd. Singapura, 2002, hlm.1437).

Hal ini dipertanggungjawabkan kepada jiwa (hati, perasaan dan pemikiran). Jiwa yang sihat, mempunyai tolerensi yang tinggi, mengambil peduli akan anggota keluarga yang lain, cakna dan sensitif terhadap keperluan keluarga, hormat menghormati antara satu sama lain, tiada hasad dengki, bersedia berkongsi kegembiraan dan kedukaan, serta bijaksana (wisdom) dapat menentukan keutuhan ikatan kekeluargaan. Maka usaha-usaha hendaklah dilakukan bagi menjaga hati, perasaan dan fikiran supaya sentiasa positf dan melihat sesuatu sebagai peluang yang boleh dimanafaatkan ke arah kebaikan bersama bagi menjamin keakraban ikatan kekeluargaan. Makanan jiwa adalah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Maha Pencipta.

Oleh itu jadilah orang-orang yang mempunyai akal fikiran (ululalbab) sebagaimana yang disarankan dalam al Quran. Siapakah mereka?

`Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Ali Imran : 191)


Begitulah pentingnya Jantung Hatiku bagi setiap anggota keluarga dalam famili2748 ini. Semoga setiap anggota keluarga memahami pengertian tersurat dan tersirat dalam catitan ini dan merealisasikannya untuk kesejahteraan semua.

Monday, December 14, 2009

Ikatan kekeluargaan Family2748

Family2748 terdiri dari 2 iaitu saya dan suami, 7 anak-anak (3 lelaki dan 4 perempuan) anak, 4 menantu (2 lelaki dan 2 perempuan) setakat ini dan cucu-cucu yang berjumlah 7 + 1 (masih dalam kandungan yang akan lahir tak lama lagi InsyaAllah) setakat ini. Kami sentiasa berdoa agar family ini sentiasa bersatu dalam suasana harmoni, hormat menghormati antara satu sama lain, sentiasa diberkati dan dirahmati Allah, serta mendapat kejayaan di dunia dan akhirat, Amin.

Menjaga dan mengekalkan ikatan kekeluargaan memerlukan usaha dan tolerensi setiap ahli. Salah satu cara yang kami usahakan adalah dengan mengadakan perjumpaan keluarga dan tadabbur al Quran. Setiap minggu, pada hari sabtu malam, family2748 ini akan berkumpul di rumah kami untuk solat berjemaah dan diikuti dengan tadabbur al Quran. Kehadiran adalah kemestian jika tiada alasan yang munasabah. Setiap ahli akan membaca satu halaman al Quran dan ahli yang berikutnya akan membaca terjemahan maknanya. Dengan cara itu dapatlah kami saling memperbetulkan bacaan di antara kami dan dalam masa yang sama cuba memahami makna al Quran.

Generasi muda secara umum agak liat nak membaca al Quran, apatah lagi usaha untuk memahaminya, kecualilah mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang agama Islam seperti kelas tahfidz, tafsir al Quran atau bidang-bidang yang berkaitan dengannya. Selepas mengikuti kelas-kelas KAFA di peringkat sekolah rendah atau kelas-kelas pengajian al Quran semasa peringkat kanak-kanak, kebanyakan pelajar seolah-olah berhenti atau meninggalkan pengajian al Quran apabila telah memasukki peringkat sekolah menengah, seterusnya apabila mengikuti pengajian dalam bidang-bidang lain di peringkat pengajian tinggi.

Itulah yang terjadi kepada saya dan anak-anak saya. Malu rasanya nak mengaku tidak lancar membaca al Quran. Tapi jika diikutkan rasa malu, semakin jahillah kita. Kita jadi semakin jauh dari al Quran dan semakin tidak takut kita kepada Allah, semakin beranilah kita melanggar perintah-perintah Allah dan semakin galaklah kita melakukan larangan-larangan Allah. Mereka hanya sekali sekala sahaja membaca al Quran, seperti hanya pada malam Jumaat, atau pada majlis-majlis tahlil atau baca Yasin. Itu pun tanpa memahami makna al Quran, bacaan sekadar mengambil berkat atau untuk tujuan mememohon hajat, seperti apabila hendak menghadapi peperiksaan atau untuk menyelesaikan sebarang masalah atau kekusutan. Tiada sebarang inisiatif sendiri untuk memperbaikki bacaan dan memahami kandungan al Quran, sehinggalah saya dan suami meminta mereka berkumpul di rumah kami dan memulakan sesi tadabbur al Quran ini. Alhamdulillah, usaha ini dapat meningkatkan mutu bacaan mereka dan dalam masa yang sama cuba memahami kandunga al Quran. Semoga Allah memberkati usaha kami ini, Amin.

Friday, December 11, 2009

Masih Belum Terlambat

Bismillahi Al Rahmani Al Rahimi.

Assalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Masih belum terlambat untuk memulakan sesuatu, umpamanya laman blog ini, walaupun agak ketinggalan dibandingkan dengan mereka yang terdahulu memulakan blog masing-masing tetapi masih terkehadapan dari mereka yang belum memulakannya. Adalah penting bersikap positif terhadap usaha untuk memulakan sesuatu yang baik, terutama usaha yang dapat mengalirkan pahala jariah yang berpanjangan.

Inisiatif untuk memulakan blog ini adalah datangnya dari beberapa sahabat yang telah memulakannya lebih dahulu dan telah beberapa bulan terpapar di dunia maya ini. Begitu juga wujudnya gesaan daripada ahli-ahli keluarga sendiri, terutama anak-anak, menantu-menantu, malah cucu-cucu yang baru berumur satu setengah tahun dan dua setengah tahun telah mempunyai blog masingg-masing. Walaupun blog-blog itu sebahagian besar kandungannya memuatkan cerita-cerita kronologi diri, peristiwa-peristiwa yang dialami, gambar-gambar perkembangan semasa dan tempat dilawati, namun dicelah-celah coretan cerita tersebut mungkin ada ilmu pengetahuan, pengajaran atau contoh tauladan daripada pengalaman yang boleh diambil manfaat daripadanya.

Segala yang baik hendaklah dijadikan tauladan, manakala yang tidak baik hendaklah dijadikan sempadan dan dielakkan. Hayatilah maksud firman Allah berikut:

"Dan apa saja - perbuatan baik - yang engkau sekalian berikan untuk dirimu sendiri, nanti pasti akan engkau sekalian dapati di sisi Allah, keadaanny adalah lebih baik dan lebih besar pahalanya dan mohonlah pengampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Muzzammil : 20)


Dan lagi Allah berfirman yang maksudnya:

"Dan apa saja kebaikan yang engkau sekalian kerjakan, maka sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui." (al-Baqarah : 215)

Semoga Allah meredhai usaha ke arah kebaikan ini, Amin. Seterusnya Allah merahmati semua mereka yang telah mengajak ke arah kebaikan ini, sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w berikut:

"Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperolehi pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dan dari pahala-pahala mereka yang mencotohinya itu, sedangkan barangsiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa mereka yang mencontohinya itu." (Riwayat Muslim)
(Dipetik daripada: Imam Nawawi; `Riyadhus Shalihin, Jld.1' Pustaka Nasionak Pte Ltd, Singapura, 2002, hlm. 290)