Family2748 terdiri dari 2 iaitu saya dan suami, 7 anak-anak (3 lelaki dan 4 perempuan) anak, 4 menantu (2 lelaki dan 2 perempuan) setakat ini dan cucu-cucu yang berjumlah 7 + 1 (masih dalam kandungan yang akan lahir tak lama lagi InsyaAllah) setakat ini. Kami sentiasa berdoa agar family ini sentiasa bersatu dalam suasana harmoni, hormat menghormati antara satu sama lain, sentiasa diberkati dan dirahmati Allah, serta mendapat kejayaan di dunia dan akhirat, Amin.
Menjaga dan mengekalkan ikatan kekeluargaan memerlukan usaha dan tolerensi setiap ahli. Salah satu cara yang kami usahakan adalah dengan mengadakan perjumpaan keluarga dan tadabbur al Quran. Setiap minggu, pada hari sabtu malam, family2748 ini akan berkumpul di rumah kami untuk solat berjemaah dan diikuti dengan tadabbur al Quran. Kehadiran adalah kemestian jika tiada alasan yang munasabah. Setiap ahli akan membaca satu halaman al Quran dan ahli yang berikutnya akan membaca terjemahan maknanya. Dengan cara itu dapatlah kami saling memperbetulkan bacaan di antara kami dan dalam masa yang sama cuba memahami makna al Quran.
Generasi muda secara umum agak liat nak membaca al Quran, apatah lagi usaha untuk memahaminya, kecualilah mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang agama Islam seperti kelas tahfidz, tafsir al Quran atau bidang-bidang yang berkaitan dengannya. Selepas mengikuti kelas-kelas KAFA di peringkat sekolah rendah atau kelas-kelas pengajian al Quran semasa peringkat kanak-kanak, kebanyakan pelajar seolah-olah berhenti atau meninggalkan pengajian al Quran apabila telah memasukki peringkat sekolah menengah, seterusnya apabila mengikuti pengajian dalam bidang-bidang lain di peringkat pengajian tinggi.
Itulah yang terjadi kepada saya dan anak-anak saya. Malu rasanya nak mengaku tidak lancar membaca al Quran. Tapi jika diikutkan rasa malu, semakin jahillah kita. Kita jadi semakin jauh dari al Quran dan semakin tidak takut kita kepada Allah, semakin beranilah kita melanggar perintah-perintah Allah dan semakin galaklah kita melakukan larangan-larangan Allah. Mereka hanya sekali sekala sahaja membaca al Quran, seperti hanya pada malam Jumaat, atau pada majlis-majlis tahlil atau baca Yasin. Itu pun tanpa memahami makna al Quran, bacaan sekadar mengambil berkat atau untuk tujuan mememohon hajat, seperti apabila hendak menghadapi peperiksaan atau untuk menyelesaikan sebarang masalah atau kekusutan. Tiada sebarang inisiatif sendiri untuk memperbaikki bacaan dan memahami kandungan al Quran, sehinggalah saya dan suami meminta mereka berkumpul di rumah kami dan memulakan sesi tadabbur al Quran ini. Alhamdulillah, usaha ini dapat meningkatkan mutu bacaan mereka dan dalam masa yang sama cuba memahami kandunga al Quran. Semoga Allah memberkati usaha kami ini, Amin.