Sebuah keluarga adalah seperti seorang manusia yang terdiri dari jasad (badan), jiwa (hati, perasaan dan pemikiran) dan roh (nyawa). Jasad terdiri dari anggota dan organ-organ yang membentuk badan manusia itu. Begitu juga sebuah keluarga terdiri dari ahli-ahli atau anggota keluarga tersebut. Apabila sakit salah satu anggota badan, akan terasa sakit seluruh badan. Begitu juga apabila sakit atau ditimpa kesusahan atau musibah pada salah seorang anggota keluarga, maka akan dirasai juga oleh seluruh anggota keluarga yang lain.
Ikatan kekeluargaan adalah nyawa (roh) kepada sesebuah kelaurga. Pada manusia, nyawa berada pada organ jantung yang berfungsi mengepam darah ke seluruh badan melalui saluran darah (ateri dan vena) dan yang menghidupkan manusia itu. Apabila badan manusia menjadi lusuh/tidak berdaya (disebabkan oleh sakit atau kemalangan) sehingga jantung berhenti berdenyut/mengepam darah, maka manusia itu menjadi kaku (mati) dan roh pun keluar dari jasad itu kembali kepada Allah yang menciptanya.
Kesihatan badan hendaklah dijaga supaya jantung berfungsi dengan baik dan dapat mempertahankan roh berada lebih lama didalam badan sehinggalah Allah menjemputnya kembali kepadaNya. Begitu juga sesebuah keluarga hendaklah menjaga roh atau ikatan kekeluargaannya supaya sentiasa sihat dan kekal berfungsi dengan baik.
Ikatan kekeluargaan juga akan runtuh apabila anggotanya bercerai berai, menjauhkan diri, tidak peduli antara satu sama lain, membuat hal masing-masing, tidak cakna (caring) dan nafsi nafsi. Rasulullah melarang umatnya memutuskan ikatan kekeluargaan sebagaimana dalam maksud sabdanya:
“Janganlah engkau saling benci membenci, saling dengki mendengki, saling belakang membelakangi dan sling putus memutuskan ikatan persahabatan atau kekeluargaan dan jadilah engkau semua hai hamba-hamba Allah sebagai saudara-saudara. Tidaklah halal bagi seorang Muslim kalau ia meninggalkan yakni tidak menyapa saudaranya lebih dari tiga hari.” (Mutatafaq’alaihi)
(Dipetik dari : Imam Nawawi; `Riyadhus Shalihin’, Jld.2, Pustaka Nasional Pte Ltd. Singapura, 2002, hlm.1437).Hal ini dipertanggungjawabkan kepada jiwa (hati, perasaan dan pemikiran). Jiwa yang sihat, mempunyai tolerensi yang tinggi, mengambil peduli akan anggota keluarga yang lain, cakna dan sensitif terhadap keperluan keluarga, hormat menghormati antara satu sama lain, tiada hasad dengki, bersedia berkongsi kegembiraan dan kedukaan, serta bijaksana (wisdom) dapat menentukan keutuhan ikatan kekeluargaan. Maka usaha-usaha hendaklah dilakukan bagi menjaga hati, perasaan dan fikiran supaya sentiasa positf dan melihat sesuatu sebagai peluang yang boleh dimanafaatkan ke arah kebaikan bersama bagi menjamin keakraban ikatan kekeluargaan. Makanan jiwa adalah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Maha Pencipta.
Oleh itu jadilah orang-orang yang mempunyai akal fikiran (ululalbab) sebagaimana yang disarankan dalam al Quran. Siapakah mereka?
`Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Ali Imran : 191)
Begitulah pentingnya Jantung Hatiku bagi setiap anggota keluarga dalam famili2748 ini. Semoga setiap anggota keluarga memahami pengertian tersurat dan tersirat dalam catitan ini dan merealisasikannya untuk kesejahteraan semua.
Salam. Good footage on love. Love begins with the self and within the family.It is love with respect and responsibility that holds the family together within the bounds of syarie norms.Will follow-you.
ReplyDeleteTerima kasih banyak atas komen. Sila beri tunjuk ajar mana yang tak betul. Saya orang pencen baru belajar blog.
ReplyDelete