Thursday, March 31, 2011

Kehancuran Tamaddun

"Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)"      
                                             Surah Ali Imran (3) : 137


"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan Kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain."
                                                       Surah Al An`aam (6) : 6 

'Katakanlah (wahai Muhammad):  "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk ( yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul) itu."
                                                     Surah Yunus (10) : 101

"Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi.  Maka sekalipun demikian, Allah membinasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapa pun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.  (kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas dan nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah menyeksa mereka; sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha berat azab seksa-Nya."                             Surah Al-Mukmin (40) : 21-22


Ayat-ayat di atas merupakan seruan/perintah Allah supaya kita mengembara di muka bumi untuk memerhatikan kesan-kesan tinggalan tamaddun kaum-kaum dahulu yang mendustakan ayat-ayat Allah dan Rasu-rasul yang diutus untuk menyeru mereka mentauhidkan Allah serta  memberi peringatan tentang ancaman/balasan terhadap perbuatan-perbuatan dosa/keji mereka yang membawa kepada kerosakan dan kezaliman di muka bumi ini.  Sungguh pun kaum-kaum terdahulu mempunyai kekuatan tenaga, mempunyai  kemahiran dan pengetahuan teknologi yang tinggi sehingga dapat membina bangunan-bangunan dan meninggalkan kesan sejarah yang tidak dapat ditiru pada zaman ini dan anggap sebagai satu keajaiban dunia seperti Piramid di Mesir, Petra di Jordan dan seumpamanya, tetapi tamaddun mereka tidak dapat bertahan dan musnah melalui bencana alam yang Allah timpakan ke atas mereka sebagai balasan terhadap dosa-dosa mereka mendustakan Rasul-rasul yang diutus kepada mereka.

Terdapat beberapa ayat lain di dalam al Quran yang mempunyai maksud yang sama sebagaimana ayat di atas, iaitu:   Surah Yusuf (12) : 109; Surah An-Nahl (16) : 36; Surah Al-Hajj (22) : 46; Surah An-Naml (27) : 14, 69; Surah Al-Ankabut (29) : 20;  Surah Ar-Rum (30) : 9 dan 10, 42; Surah Al-Mukmin (40) : 82 dan 83.
Berikut adalah beberapa gambar kesan kehancuran dan kemusnahan tamaddun terdahulu yang dapat dilihat sebagai peninggalan sejarah untuk kita sama-sama berfikir dan mengambil pengajaran dari perbuatan manusia yang menzalimi diri sendiri dan mengingkari peringatan Allah yang disampaikan oleh Rasul-rasul kepada umat-umat terdahulu. 



BUSRA, SYRIA


Old City of Busra, Syria

Kesan Peninggalan Empire Roman di Busra - Roman Amphitheater
 
Tamaddun Yang Musnah

Sebahagian kota yang masih berbaki

Pintu gerbang masuk ke kota

PETRA, JORDAN
A UNESCO World Heritage
The New 7 Wonders of the World


Kesan hakisan angin dan ribut pasir pada batu-batu di laluan masuk ke kota Petra


Peninggalan kaum Nabatean - bangunan `Treasury' yang diukir pada gunung.
Tamaddun yang sezaman dengan kaum Thamud
  
Kesan hakisan memusnahkan binaan pada gunung

Mengikut fakta sejarah,  kemusnahan kota di atas adalah disebabkan oleh bencana alam (seperti gempa bumi, ribut pasir dan seumpamanya),  dan juga perbuatan manusia (peperangan). Apabila kota musnah, maka penduduk yang tinggal akan melarikan diri ke tampat lain untuk membina penghidupan baru.  Tamaddun yang ada juga turut musnah menjadi kesan sejarah.
Terdapat ayat-ayat lain yang menyuruh kita berfikir tentang kejadian-kejadian alam dan segala ciptaan Allah termasuk bencana alam yang merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah. Di antaranya ialah ayat-ayat berikut:
Surah Ali Imran (3) : 191; Surah Al-An`aam (6) : 11; Surah Yunus (10) : 24; Surah Ar Ra`ad (13) : 3; Surah An-Nahl (16) : 48;  Surah Al-Anbiyaa` (21) : 30-33; Surah Ar-Rum (30) : 8, 21; Surah As-Sajadah (32) : 27; dan Surah Az-Zumar (39) : 42.

Terbaru gempa bumi di Jepun dan tsunami yang besar telah meninggalkan kesan yang dahsyat terhadap kawasan berkenaan, mengorbankan lebih daripada  10,000 nyawa, memusnahkan harta benda yang bernilai berbilion dollar, serta memberi kesan psaikologi kepada jiwa-jiwa yang masih hidup.

Friday, February 4, 2011

Pengaruh Rakan Sebaya

Dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2010 yang diajurkan oleh Biro Muslimah Masjid kampung tempat tinggal saya sekarang,  satu acara pengkisahan pengalaman telah diadakan.  Ianya sebagai satu pengisian yang bermanfaat supaya muslimah yang menghadirkan diri tidaklah sekadar untuk makan-makan dan bersilaturrahim, tetapi dapat berkongsi pengalaman menarik personaliti tertentu yang boleh dijadikan teladan atau boleh dijadikan bahan cerita sebagai motivasi dan pengajaran.kepada anak cucu. 

Lima orang wanita telah dipilih, termasuklah saya.  Saya agak `reluctant` nak menyahut permintaan pihak penganjur sebab saya rasa tidak ada apa yang menarik nak diceritakan. Dengan kata lain, pengalaman saya tidaklah berwarna warni yang boleh diserlahkan untuk dijadikan panduan atau di `appreciate` oleh orang lain.  Walau bagaimana pun saya dengarlah dulu apa yang akan diceritakan oleh 4 wanita lain, kemudian baru timbul keberanian untuk saya mengkisahkan pengalaman saya pula.  Sebelum itu saya ada buat sedikit persediaan dengan mencatat perkara-perkara yang nak saya ceritakan jika pengkisahan dari saya diperlukan juga.


Pengaruh Rakan Sebaya

Pengkisahan dimulakan oleh seorang ustazah.  Kata beliau semasa zaman persekolahan, beliau tidak ada sebarang matlamat atau cita-cita nak jadi apa selepas tamat persekolahan menengah.  Pergi sekolah sekadar memenuhi kehendak orang tua supaya bersekolah.  Beliau juga tidak mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, malah katanya tidak ada langsung wawasan bagi dirinya. Ibu bapanya boleh dikatakan dari kalangan yang kuat berpegang kepada prinsip-prinsip agama Islam, jadi pergaulannya tidaklah bebas.

Beliau berkawan dengan seorang pelajar lain yang juga dari latar belakang beragama.  Sahabatnya ini banyak mempengaruhinya dalam tindakan dan mintanya.  Suatu hari sahabatnya ini mengajaknya menonton wayang, filem hindustan.  Beliau belum pernah dalam hidupnya menonton wayang di panggung, apatah lagi nak keluar dari rumah selain dari tujuan untuk ke sekolah, jadi bagaimana caranya nak melepaskan diri dari kongkongan keluarga.   Walau bagaimana pun diakalkan juga kedua ibu bapanya dan pergilah dia menonton filem hindustan.  Dah naik syok pula, sukakan lagu hindustan dan ceritanya sekali, maka selepas itu berkali-kalilah menonton filem hindustan.  Sehingga sekarang masih berminta menonton filem hindustan jika ada tayangan di TV.  Begtulah pengaruh rakan sebaya terhadap minta ustazah ni.

Selepas tamat persekolahan, beliau menerima saja apa yang diaturkan oleh keluarga. Beliau dikahwinkan dengan seorang ustaz, pensyarah institusi pengajian tinggi.  Sebaliknya rakan sebayanya itu melanjutkan pelajaran ke University Adzhar, Cairo, Mesir.  Selepas mengetahui yang rakan sebayanya melanjutkan pelajaran ke luar negeri, macam baru terkejut dari tidur, barulah timbul azamnya untuk turut melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Tambahan pula suaminya bertugas sebagai pensyarah universiti, maka semangatnya juga semakin berkobar-kobar untuk turut melanjutkan pelajaran ke universiti.

Di samping menjadi suri rumah, beliau belajar secara persendirian untuk mengambil peperiksaan STPM.  Akhirnya beliau berjaya masuk ke universiti mengambil jurusan pengajian Islam, dan kemudiannya menjadi ustazah mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.  Begitulah pengaruh rakan sebaya yang berjaya memotivasikan seseorang yang tidak mempunyai cita-cita menjadi seorang yang berkelulusan universiti dan mempunyai kerjaya. 

Secara berjenaka, kata ustazah ini, kalau tidak berkahwin dengan ustaz dan kalau tidak kerana ingin melanjutkan pelajaran ke universiti, mungkin beliau menceburi bidang nyanyian, kerana beliau minat menyanyi.  Kerana itu bila, ada acara perjumpaan jemaah wanita di Masjid kami, beliau mempelupori kumpulan nasyid wanita.

Akhirnya, beliau menasihati nenek-nenek dan ibu-ibu agar mengawasi dan mengenali rakan sebaya cucu-cucu atau anak-anak mereka, mengambil tahu siapakah rakan sebaya mereka dan memastikan cucu atau anak mereka tidak terpengaruh dengan aktiviti tidak bermoral/negatif rakan sebaya mereka.






Sunday, January 16, 2011

Nostalgia Saga

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Itulah pantun mengenai cantiknya budi dan indahnya bahasa bagi masayarakat Melayu dengan mengambil pembayangnya daripada elemen tumbuhan yang mempunyai simboliknya tersendiri dalam masyarakat Melayu.  Mengikut penjelasan DBP, kundi adalah sejenis saga yang digunakan untuk menimbang emas, iaitu sesuatu yang berharga bagi seseorang. Maka kecantikan budi seseorang juga berharga pada diri individu berkenaan.  Warna merah biji saga menjadikan sifatnya terang, jelas dan mudah dikenali, begitu juga keindahan bahasa Melayu menjadikan bangsa Melayu itu dikenali.


Pokok Saga Dan Bijinya

Pokok saga atau pokok tasbih (Abrus precatorius) mudah didapati di taman-taman rekreasi seperti di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, di Taman Aman, Petaling Jaya dan di kampung-kampung. 

 
 
Pokok Saga di Taman Aman, Petaling Jaya




 
Biji-biji saga bertaburan di bawah pokok








Biji saga sebagai hiasan


Vas dipenuhi biji saga
 




















Bagi masyarakat Melayu, biji saga dijadikan tasbih atau alat mengira ketika berzikir, dijadikan manik-manik kerana warnanya yang merah menyala dan menarik, menjadi salah satu bahan permainan traditional seperti jentik biji saga, atau diletakkan di dalam tin kecil untuk dijadikan sebagai alat muzik.  Semasa dalam zaman persekolahan rendah, saya menggunakan biji-biji saga sebagai alat menghitung ketika membuat kira-kira atau matematik.  Sekarang telah ada berbagai kaedah baru mengira seperti dengan menggunakan kalkulator, malah alat ini dibenarkan dibawa ke bilik darjah di peringkat sekolah menengah, maka biji-biji saga tidak diperlukan lagi sebagai alat menghitung.   Biji-biji saga boleh dijadilkan bahan hiasan rumah, seperti dimasukkan ke dalam vas kaca atau botol kaca.

Mengikut maklumat di Wikipedia, biji saga mempunyai bahan yang beracun iaitu abrin tetapi tidak terlalu merbahaya (ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_saga).  Biji saga juga mempunyai elemen perubatan   (http://www.botanical.com/botanical/mgmh/l/liqind33.html) dan menjadi lambang cinta bagi masayarakat Cina  (http://www.knowingfood.com/red/lovebean.html).   Maka suatu peringatan perlulah diambil perhatian, iaitu jika biji saga dijadikan bahan hiasan rumah atau bahan permainan, maka perlulah berhati-hati supaya tidak dikutip oleh anak-anak kecil sehingga tertelan.


SAGA Jenama kereta Malaysia

Selain terkenal dalam pantun Melayu di atas, serta di popularkan pula oleh Datuk Siti Norhaliza dalam lagunya, saga juga mempunyai nostalgia tersendiri apabila digunapakai bagi jenama kereta pertama buatan Malaysia. Proton SAGA telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Muhammad pada September 1985.  Nama SAGA dipilih melalui satu pertandingan yang dimenangi oleh En. Ismail Jaafar, seorang pesara tentera.  Keistimewaan Proton SAGA digambarkan sebagaimana berikut:

  The Proton SAGA 1.3 litre engine "is as strong as the saga seed". http://en.wikipedia.org/wiki/Proton_Saga



Proton SAGA generasi pertama yang dilancarkan pada September 1985















Atas dasar semangat kebangsaan dan menyokong industri automotif tempatan,  salah seorang ahli keluarga saya menjadi pembeli awal Proton SAGA dengan menggunakan nombor pendaftaran Proton 744. Nombor 744 itu mengambil sempena nombor rumah ibu bapa kami, tempat di mana kami dibesarkan.  Menjadi nostalgia bagi adik saya kerana Proton 744  adalah kereta sulung beliau yang baru beberapa bulan bekerja setelah tamat pengajian di Universiti. Sayangnya pemilikan kereta itu bertukar tangan apabila adik saya menukar kereta kepada yang lebih besar.  Kini salah seorang anak saya menggunakan Proton SAGA generasi kedua yang dilancarkan pada Januari 2008.  Proton SAGA ini mempunyai nostalgia tersendiri kerana pada mulanya dimiliki secara sewa beli melalui institusi kewangan di tempat anak saya bekerja, tetapi apabila ia bertukar tempat kerja, maka timbul pula masalah pembiayaan dan saya diminta menjadi penyelamat kepada sewabeli tersebut.

 

SAGA generasi kedua yang dilancarkan pada Januari 2008
 



Nostalgia Jentik Biji Saga

Biji saga membawa nostalgia tersendiri kepada saya.  Semasa memikirkan jenis permainan yang saya nak adakan pada aktiviti `family day', saya teringatkan biji saga yang hampir-hampir menyebabkan saya `dropout' dari persekolahan rendah dan menengah arus perdana.  Semasa saya dalam darjah empat di sekolah rendah (Tahun 1958), permainan popular di belakang bilik darjah ketika guru tidak berada di kelas adalah `Jentik biji saga'.  Apa lagi, bila guru keluar kelas saja, murid-murid meluru ke belakang bilik darjah dan berselipuh dilantai berlawan jentik biji saga.   Pada tahun itu, kerajaan memperkenalkan Ujian Pemilihan Murid untuk masuk ke Sekolah Rendah Pusat yang baru dibina bagi menempatkan pelajar-pelajar yang `pandai'. 

Selepas ujian ini, guru-guru tidak lagi bersemangat nak mengajar kerana murid-murid yang pandai akan berpindah ke sekolah pusat.  Guru `ponteng' kelas, maka murid-murid pun seronoklah bermain jentik saga. Ada juga yang bermain tiup gelang getah, batu serembat, laga pecahkan biji getah dan macam-macam lagi permainan zaman kanak-kanak dahulu.  Kelekaan terhadap sesuatu permainan menyebabkan murid malas belajar atau menjadi tidak minat nak belajar. Mengingatkan peristiwa dulu, saya kira sama saja keadaannya sekarang ini, apabila selesai peperiksaan, guru tidak masuk kelas, murid-murid pun `enjoy' dengan aktiviti masing-masing, cuma yang berbeza mungkin dari segi jenis aktiviti/permainan mereka.  Isu ini berpanjangan dari sejak dulu dan sehingga sekarang masih belum ada penyelesaian yang berkesan.  Di antara pelajar  sekarang, ada pula yang leka dengan `computer game' , poteng kelas/sekolah, tidak minat belajar dan akhirnya gagal peperiksaan dan `dropout' dari sekolah.

Alhamdulillah, saya berjaya masuk ke Darjah Lima di Sekolah Rendah Pusat, maka pengajian saya berterusan ke sekolah menengah.  Kawan-kawan yang tidak dapat ke Sekolah Pusat, kebanyakannya gagal dalam Ujian Kemasukan Ke Sekolah Menengah yang diadakan ketika Darjah Enam.  Mereka sama ada `dropout' dari alam pesekolahan atau masuk ke Sekolah Arab atau Sekolah Grammer (Persendirian).  Mungkin juga jika saya gagal ke Sekolah Pusat, saya akan terus leka dengan jentik saga, dan turut menjadi `dropout'.

Saya kira anak-anak saya tidak tahu mengenai nostalgia jentik saga ini kepada diri saya.   Mereka pun tidak tahu dan tidak pandai bermain `jentik biji saga' ini.  Oleh itu saya ingin memperkenalkan permainan tradisonal itu dalam aktiviti `family day' dan menguji kecekapan jari-jari mereka membuat perhitungan dengan biji-biji saga.

Cara Bermain Jentik Biji Saga

Apabila saya perkenlkan kepada anak-anak dan menantu-menantu saya cara bermain jentik saga, mereka merasakan enteng/mudah saja.  Sememangnya ianya  nampaknya mudah, tetapi memerlukan kecekapan gerakan jari dan tumpuan mata, maka ianya menjadi susah untuk mendapatkan kutipan biji saga dan menyebabkan terbatalnya giliran seseorang.  Sebelum pertandingan, saya memberi peluang kepada mereka mencubanya dahulu beberapa kali,  ada peserta yang kata mudah dan ada yang kata susah. 

Saya menjelaskan kepada mereka cara-cara dan peraturan bermain. Mudah saja, menaburkan biji-biji saga di lantai, kemudian mengenalpasti dua biji yang hendak dijentik dan dijadikan sasaran, menjentik salah satu daripadanya supaya mengenai sasaran yang telah dikenalpasti. Jika terkena sasran berkenaan, bolehlah mengutip salah satu daripadanya.  Begitulah seterusnya sehingga terbatal giliran, iaitu apabila tidak mengenai sasaran yang dikenalpasti, atau mengenai biji saga lain, atau jentikan tidak menjadi, atau jari-jari menyentuh biji saga lain yang tak berkaitan.

Memeranjatkan saya, apabila pertandingan dijalankan mereka (peserta) gagal mendapat kutipan yang lumayan, dua peserta tidak mendapat sebarang kutipan kerana biji saga yang dijentik tidak mengenai sasaran.  Masing-masing mengatakan permainan ini susah, walaupun nampak mudah kerana adanya peraturan yang membatalkan permainan.   Seperti mana-mana permainan yang memerlukan kecekapan jari dan konsentrasi minda, umpamanya, `Computer game', PS3, nintendo dan lain-lain, ianya menjadi mudah apabila telah terbiasa..  Pemain menjadi ketagih, seronok dan asyik terhadap permainan itu.  Itulah yang berlaku kepada saya pada zaman persekolahan rendah dulu ketika guru tiada di bilik darjah, buku entah ke mana, kerja sekolah lansung tidak ada, pergi sekolah berbekalkan biji-biji saga yang diletakkan dalam tin susu.  Biji-biji saga mudah dikutip di persekitaran kawasan sekolah, tetapi sering bersaing dengan murid-murid lain.

 

 Peserta menjentik biji saga
 




Memilih mana satu nak dijadikan target 

Peserta cilik turut serta mengutip biji saga ke dalam botol

Begitulah salah satu nostalgia zaman persekolahan rendah saya yang belum pernah saya ceritakan kepada anak-anak saya.  Entri ini adalah untuk makluman mereka, agar dapat mendidik  anak-anak mereka supaya tidak leka dengan `computer game' atau menonton TV (program kartun), sebaliknya memberi tumpuan kepada pelajaran, pandai membahagi masa untuk kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran.












Tuesday, January 4, 2011

Menghayati Keajaiban Ciptaan : Kelip-kelip

Menjelang akhir tahun, ahli keluarga saya tertanya-tanya bilakah akan diadakan `Family Day' dan ke manakah destinasi kali ini.  Dua tahun lepas kami ke Summerset, Rompin, menikmatai keindahan pantai dan merasai gelora pukulan ombak laut Cina Selatan, manakala pada tahun lepas kami menikmati suasana nyaman alam semula jadi dan merasai sejuknya air sungai  di Janda Baik.  Saya teringat beberapa tahun dahulu saya pernah membawa anak-anak bercuti ke De Palma Inn, Kuala Selangor dan pada malamnya mengikuti pakej yang diatur oleh pihak hotel berkenaan melihat kelip-kelip di Kg. Kuatan .  Ketika itu mereka masih bersekolah.  Kini mereka dah dewasa dan dah ada anak-anak yang patut dididik supaya pandai menghayati ciptaan Allah.  

Saya melayari internet mencari resort/hotel lain yang ada di Kuala Selangor yang bersesuaian bagi famili2748 kami bermalam dan mengadakan aktiviti famili pada siangnya.  Saya menemui laman web Firefly Park Resort, yang terletak di Bukit Belimbing, Kuala Selangor, yang nampaknya impresif dan mempunyai kemudahan jeti dan boat serta pakej melihat kelip-kelip.  Maka itu menjadi pilihan saya dan suami, tetapi belum tentu dipersetujui oleh semua ahli famili kami.  Strategi saya, mengumpan cucu (Aimar) dengan bercerita mengenai program yang akan saya aturkan, iaitu bercuti di Kuala Selangor, naik boat dan melihat kelip-kelip pada waktu malam.  Dia pun masih belum tahu dan faham apa itu kelip-kelip, tapi sangatlah teruja nak naik boat dan melihatnya.  Aimar mewarwarkan program ini kepada sepupu-sepupunya yang lain, dan setiap hari dia membuat `countdown' bilangan hari berapa lama lagi nak pergi lihat kelip-kelip.  Apabila sepupu-sepupunya datang ke rumah kami, terutama yang bercuti dari Kuantan tiba, mereka semua saling bercerita dan teruja untuk ke sana.  Saya membuat tempahan 2 chalet yang mempunyai 2 bilik setiap satu pada 26 dan 27 Disember yang lepas.  Saya dan suami sediakan aturcara family day itu dan diwarwarkan oleh salah seorang anak saya melaui email kepada ahli yang lain.  Alhamdulillah, semuanya bersetuju dan bersedia dengan aktiviti/game masing-masing.
  

Bukit Melawati  Dan Muzium Sejarah Kuala Selangor
Kami berangkat kira-kira jam 10.00 pagi pada Ahad 26 Disember, dari Petaling Jaya selepas bersarapan di Kayu Nasi Kandar dan tiba di Kuala Selangor kira-kira jam 11.30 pagi.  Destinasi pertama kami adalah Bukit Melawati untuk mejejaki kesan-kesan sejarah Kuala Selangor.  Pada hari cuti hujung minggu dan kelepasan am, kereta awam tidak dibenarkan mendaki Bukit Melawati ini, sebaliknya disediakan kemudahan tram dengan bayaran RM3.00 seorang untuk dewasa, meliputi perjalanan naik dan turun serta masuk ke Taman Ikan Air Tawar.

Di puncak bukit, terdapat Rumah Api dan Muzium Sejarah Kuala Selangor.  Selain itu, kesan-kesan sejarah lain yang terdapat di sini adalah Makam Di raja, Kota Melawati, Meriam, Batu Hampar, Perigi Beracun, Busut Melawati, serta kediaman resmi Pegawai Daerah Kuala Selangor.

Untuk maklumat lebih terperinci mengenai apa yang ada di Bukit Melawati, bolehlah melayari laman web berkaitan.



Menunggu tram di kaki Bukit Melawati

                                       


Di Atas Tram
 
Di puncak Bukit Melawati berlatarbelakangkan Taman Alam



Rasa gayat  -  saujana mata memandang
 
Kenangan dalam Muzium - sebahagian ahli keluarga 



Pelawat cilik di hadapan Muzium 
 
Di hadapan Muzium



Meriam dan Rumah Api

Berkenalan dengan `Silver Leaf Monkey' (Lotong)

Lotong - mesra dengan pengunjung
















Taman Ikan Air Tawar


Terletak dikaki Bukit Melawati bersebelahan pintu pagar masuk ke Taman Alam.  Malah kawasan persekitaran Taman Ikan Air Tawar ini terletak dalam kawasan rezeb Taman Alam dan sedang dimajukan untuk dijadikan zoo mini.  Terdapat aquarium beberapa jenis ikan air tawar serta beberapa jenis haiwan kecil dipamerkan seperti burung kuang, landak, arnab dan lain-lain.

Maklumat lanjut mengenai taman ini boleh dilihat dalam laman web berikut:
http://www.selangorshines.com.my/


Landak

Burung Kuang

Burung Hantu

Bye! Bye! Taman Ikan Air Tawar


Taman Alam (Nature Park) Kuala Selangor

Program ini tidak kesampaian kerana kebanyakan ahli telah keletihan selepas Melawat Bukit Melawati dan Aquarium Ikan Air Tawar.  Lagi pun dari puncak Bukit Melawati dapat dilihat sebahagian dari Taman Alam, cuma tidak dapat melihat species burung-burung yang migrasi ke sini dari Kutub Utara.

Maklumat lanjut mengenai Taman Alam boleh diperolehi dengan melayari laman web berikut:



Firefly Park Resort.

Selepas melawat Taman Ikan Air Tawar, kami menjamu selera di Restoran Ani Sup Utara yang terletak tidak jauh dari stesen tram Bukit Melawati.  Seterusnya destinasi kami adalah Firefly Park Resort yang terletak di Bukit Belimbing, kira-kira 7 km dari pekan Kuala Selangor.  Melihat keadaan chalet tidaklah seindah yang tergambar dalam brosur dan dalam laman web mereka.  Chalet kayu dibina di atas air tasik/paya bersebelahan sungai Kuala Selangor.  Mungkin juga gambar diambil semasa chalet itu masih baru dan kini telah beberapa tahun beroperasi, maka warnanya sudah agak pudar.  

Resort mengandungi 12 chalet yang tiap satunya mempunyai 2 bilik tidur, ruang rehat dan satu bilik air.  Kemudahan lain meliputi penghawa dingin bagi setiap bilik, TV pada ruang rehat dan cerek letrik.

Resort ini juga mempunyai kemudahan jeti dan boat untuk trip melihat kelip-kelip.  Setiap pelawat akan dibekalkan dengan jeket keselamatan ketika menaikki boat.  Setiap boat boleh memuatkan kira-kira 15 orang pelawat bagi setiap perjalanan. Jualan tiket untuk lawatan melihat kelip-kelip bermula pada jam 7.30 malam, dan trip bermula jam 7.45 malam.

Untuk maklumat lanjut mengenai resort ini, sila lawati laman web berikut:

http://www.fireflypark.com/firefly.htm




Gambaran kelip-kelip oleh pihak Resort


Keajaiban Kelip-Kelip

Salah satu keajaiban ciptaan Allah, kelip-kelip dinamkan demikian kerana ia mengeluarkan cahaya daripada abdomennya pada waktu malam.  Di malam bulan sabit, suasana gelap, cahaya kelip-kelip lebih menyerlah dan terang bertaburan pada dahan pokok beremban di sepanjang 28 km Sungai Selangor.  Dalam suasana sunyi dan nyaman malam, kita dapat menghayati betapa keagongan ciptaan Allah, sehingga manusia mendapat idea untuk merekacipta keunikan tersebut dalam bentuk lampu kelip-kelip untuk hiasan pada pokok krismas atau pokok-pokok lain semasa hari-hari perayaan.

Ke manakah kelip-kelip pada waktu siang?  Mengikut pemandu boat, pada waktu siang kelip-kelip bersembunyi/hidup dicelah-celah batang kayu untuk menjalani pusingan hayatnya sebagaimana serangga lain, iaitu bertelur, menetas (ulat), kepompong, dan  dewasa sebagai kelip-kelip.   Pada waktu malam, kelip-kelip akan keluar dari tempat persembunyian waktu siang, hinggap pada pokok beremban untuk makan daun beremban, mengeluarkan cahaya untuk menarik minat pasangannya dan seterusnya `mating'.  Tertcatit dalam laman web berkenaan:  

`Its flickering isn’t just a wonder of the night, it’s also a language of love.'


Asyik maksyuk - Kelip-kelip yang sedang `mating' jatuh ke tapak tangan

Selepas membuat rodaan selama kira-kira 30 minit di Sungai Selangor, menikmati keindahan malam dengan kelipan cahaya `bioluminescence'  dari abdomen keli-kelip di atas pokok beremban, Pakcik Pemandu boat memberikan satu pantun kelip-kelip kepada kami:


"Kelip-kelip ku sangkakan api
Kalau api mana puntungnya
Hilang ghaib ku sangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya."

Saya kira pantun ini disyairkan oleh seseorang yang merindukan kekasihnya yang ditunggu-tunggu setiap malam, tetapi tidak kunjung tiba, malah yang dilihat adalah kelip-kelip yang sedang memadu kasih bertaburan di atas dahan pokok  beremban.







Monday, December 13, 2010

Ceria-ceria Di Pagi Minggu

Kebelakangan ni saya cuba menghidupkan semula rutin di pagi hari minggu yang dah agak lama tertangguh, iaitu beriadah di taman-taman rekreasi sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.  Pada kebanyakan hari ahad, suami bermain golf, jadi tiadalah teman nak diajak menjelajahi taman-taman tersebut, hanya sekali sekala saja dapat berbuat demikian jika dia mengubah jadual main golfnya.  Kalau pada hari-hari biasa, saya ke Taman Aman, Petaling Jaya yang tidak jauh dari rumah untuk turut serta dengan nyonya-nyonya Cina melakukan senaman tai chi, manakala pada hari minggu pula saya jelajah taman-taman rekreasi lain untuk mengubah selera menikmati suasana persekitaran alam semula jadi, pemandangan dan landskap yang berbeza di taman-taman rekreasi tersebut. 

Kebanyakan taman rekreasi mempunyai kemudahan untuk beriadah seperti ruang/padang untuk aktiviti seperti tai chi dan seumpamanya, tempat permainan kanak-kanak, trek jogging / berjalan kaki, bangku-bangku tempat duduk untuk istirahat, gelanggang bola keranjang, sepak takraw dan sebagainya.  Ada di antara taman rekreasi direkabentuk supaya mengandungi elemen-elemen yang boleh melahirkan suasana therapeutic di mana persekitaran dan landskapnya memenuhi keperluan fizikal, psaikologi, sosial dan spiritual para pengunjungnya.  Taman-taman tersebut mempunyai tasik, aliran sungai buatan dengan susunan batu-batu yang membentuk air terjun kecil di mana bunyi aliran air itu sungguh menenangkan dan suasananya menyamankan, disertai dengan tanaman pokok-pokok bunga dan pokok-pokok renek yang disusun sebegitu rupa mengikut konsep tertentu arkitek lanskaps taman berkenaan.

Meluangkan masa di luar rumah di taman-taman rekreasi dalam persekitaran alam semula jadi, boleh memberi kesan positif kepada emosi pengunjungnya, memberi ketenangan, mengurangkan stress, menurunkan tekanan darah, serta meningkatkan tahap kesihatan seseorang.  Mengikut kajian yang dijalankan oleh pakar (sebagaimana tercatit dalam Wkipedia), 

`Access to nature balances circadian rhythms, lowers blood pressure, reduces stress and increases absorption of Vitamin D. Nature has been shown to be beneficial for our overall health and well-being. We are all connected to nature and it is important to maintain this vital connection for our health and well-being, which is described in the work ‘The Biophilia Hypothesis’ by Edward O. Wilson[2].' 

Jadi, untuk meningkatkan tahap kesihatan, adalah baik kita beriadah di luar rumah, di taman-taman rekreasi terutama yang mengandungi elemen dan suasana therapeutik.  Pihak kerajaan membelanjakan berjuta ringgit untuk mengadakan taman-taman tersebut supaya kita memanfaatkannya, tambahan pula kita adalah pembayar cukai yang mana sebahagian hasil kutipannya adalah digunakan untuk tujuan penyediaan kemudahan-kemudahan tersebut.   Dengan itu, kita dapat memperbaiki tahap kesihatan serta mengurangkan kos perubatan yang disebabkan oleh penyakit-penyakit seperti stress, darah tinggi, lemah jantung, dan seumpamanya.

Rata-rata pada taman-taman yang saya kunjungi, kebanyakan pengunjung adalah bukan dari kalangan orang Melayu (Islam).  Kaum-kaum lain nampaknya lebih mengambil manfaat daripada kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan, juga mereka lebih mengambil berat menjaga tahap kesihatan mereka.  Agaknya pada hujung minggu apa yang dilakukan oleh warga Islam kita selepas subuh? Alhamdulillah, jika turut mengikuti kuliah subuh, dapat menambahkan ilmu. 


Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur





Bersantai di batuan sungai menikmati nyanyian aliran air terjun buatan.

                                                      .

 Sejuk dan menyamankan

                

`Oasis Garden' -  di Taman Botani  Perdana









Istirehat di pondok panjat pokok






                               









`Castle' untuk kanak-kanak panjat & lunsur

Cu Na menemani Nadhrah mengayun buaian pusing

Merah menwan si balung ayam
                 
Taman KLCC


`Mengangkat' KLCC dari padang pada Taman KLCC

Berhenti menghilangkan dahaga di gazebo air `tonggeng'






`Subhanallah`  -  Suasana dan pemandangan yang menyamankan

Trek pejalan kaki yang luas



 Senaman pagi oleh `One Malaysia`




Taman permainan kanak-kanak


Kolam dan pancuran air untuk mandi-mandi





Suatu sudut di Taman KLCC


`Cool`   -  Gazebo di naungi pokok-pokok menjalar 


 Untuk renungan:

`Siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langituntuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu kebun-kebun yang inbdah pemandangannya, yang kamu tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya.  Adakah sebarang tuhan yang lain bersama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang mushrik itu) adalah kaum yang menyeleweng daripada kebenaran (tauhid)

                      (Surah Al-Naml, 27  :  60)

Wednesday, December 8, 2010

Momen Duka Seorang Ibu


Dalam catatan terdahulu telah banyak saya ceritakan tentang momen-momen yang menimbulkan kerisauan seorang ibu, dan ada di antaranya mungkin boleh membawa kepada rasa duka, sedih dan kecewa tetapi tidaklah begitu serius.  Selain itu, terdapat momen-momen lain yang boleh menyentuh hati seorang ibu sehingga membawa kepada rasa duka, sedih dan kecewa.
1.    Momen paling mendukacitakan, terasa ngilu hati, sedih dan kecewa seorang ibu adalah ketika dimarahi oleh anak-anaknya. 

Semasa anak-anak kecil, si ibu selalu memarahi mereka dengan tujuan mendidik atau mengajar supaya: mereka berperangai baik,  mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya, mendengar kata dan akur arahan ibu bapa.  Mereka akan dimarah jika berkelakuan tidak senonoh, berperangai malas, leka dengan perkara-perkara lagha seperti menonton TV, bermain dan sebagainya. Ibu bapa biasanya menetapkan tugasan supaya anak-anak menyempurnakan kerja-kerja sekolah,  rajin belajar dan mentelaah pelajaran, membuat latihan dan membaca buku-buku teks.  Anak-anak juga dimarah jika malas membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah seperti membersih dan mengemaskan bilik tidur mereka sendiri, membersih bilik air, menyapu dan mengemob lantai, mencuci pinggan mangkuk, mencuci pakaian sendiri (sekurang-kurangnya pakaian dalam, kasut sekolah dan stokin), mensterika baju dan seumpamanya.  Walaupun ada pembantu rumah, mereka perlulah juga dilatih dari sejak kecil membuat kerja-kerja rumah itu dalam situasi jika tiada pembantu rumah. Semuanya itu adalah sebagai latihan persediaan kepada mereka hidup berdikari  apabila mereka meningkat dewasa nanti, supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada orang lain seperti pembantu rumah terutama jika ditakdirkan mereka berjauhan daripada ibu bapa.  

Apabila mereka dah dewasa, dah `berjaya', dah bekerja, dah mendirikan rumah tangga,  malah mungkin dah pun menjadi ibu/bapa,  adakah wajar mereka memarahi si ibu tua itu kerana menegur tingkah laku mereka yang tidak menyenangkan mata dan hati si ibu, seperti melalaikan solat, kurang mentaati suruhan Allah, malas membantu kerja-kerja rumah, boros kepada benda-benda yang tak perlu, lebih berminat kepada hiburan, lebih mengutamakan rakan-rakan, alpa menunaikan tanggung jawab pada pasangan dan seumpamanya.

Tentulah si ibu merasa sedih apabila dimarahi oleh anak, seolah-olah kewujudannya tidak diperlukan lagi, nasihat dan tunjuk ajarnya sudah tidak diberguna, lebih-lebih lagi jika ibu dituduh cuba mencampuri urusan dan kehidupan mereka. Tambah mengecewakan apabila anak-anak dah boleh berhujjah dan bertelingkah dengan suara tinggi cuba mempertahankan rasional tingkah laku atau perbuatan mereka. Walaupun ibu dah semakin berumur, tapi masih lagi sihat, belum nyanyuk, masih rasional, masih berupaya bergerak dan masih belum mengharap belas ihsan mereka. Malah ibu masih bertenaga melakukan kerja rumah, memasak dan menghidangkan makanan seenaknya, berupaya membantu menjaga cucu-cucu jika diperlukan, mampu membantu  dari segi kewangan sekadarnya.   

2.    Momen lain yang mendukacitakan ibu adalah ketika anak-anak tidak cakna, prihatin, `caring' terhadap ibu bapa mereka.  Semasa anak-anak kecil, si ibu amat `caring' terhadap mereka, nyamuk pun tidak dibiarkan hinggap, cepat-cepat dibawa ke doktor jika sakit,  disuap/beri cukup makan minum, dijaga dengan rapi dan teliti dan sebagainya.  Apabila ibu bapa dah meningkat tua, ditambah pula dengan pelbagai masalah kesihatan, tentulah mereka pula yang memerlukan perhatian dan cakna anak-anak.  Betapa sedih dan kecewanya  si ibu ketika uzurnya, anak-anak tidak pun nak bertanya khabar dan jauh sekali untuk membawa ke doktor.

Seorang kawan menceritakan kepada saya bahawa ada seorang bapa meluahkan kesedihannya kerana anaknya lebih mengutamakan hal-hal lain atau pentingkan diri sendiri daripada membantu ibu bapanya yang sedang sakit.  Pasangan warga emas ini tinggal berduaan di rumah mereka manakala anak-anak pula tinggal berasingan, tidaklah begitu jauh dari rumah mereka.  Si ibu mengidap kanser, manakala si bapa pula masih boleh bergerak ke sana sini.  Pada suatu hari ketika si bapa uzur, dia meminta anaknya membelikan makanan malam untuknya dan si ibu, tetapi jawapan anak amat mengecewakannya kerana katanya nak ke majlis `dinner' dan tak dapat hantar makanan kepada ibu bapanya.   Di manakah letaknya rasa tanggung jawab anak terhadap ibu bapanya? Walhal tidaklah memberatkan sangat si anak itu jika ia melaksanakan tanggung jawabnya terhadap ibu bapanya dan kemudian menghadiri majlis berkenaan.  Tidakkah mereka mengenang jasa ibu bapanya, ketika tiada pembantu rumah yang nak menjaga anak-anak mereka, maka ke rumah ibu bapa lah mereka `campakkan' anak mereka untuk dijaga jika hendak menghadiri apa-apa majlis/aktiviti pada waktu malam.  Begitulah agaknya nasib warga emas yang uzur zaman kini, jika tidak dibantu oleh pembantu rumah Indon, mungkin tempatnya di mana-mana rumah warga tua (nursing home).

3.     Momen duka, sedih dan kecewa si ibu meliputi juga situasi dipinggirkan dari sesuatu keputusan yang mungkin secara tidak langsung melibatkan keluarga, seolah-olah kehadiran dan pandangan si ibu tidak diperlukan.  Umpamanya, ibu bapa tidak diberi tahu mengenai program percutian anak-anak dan keluarga mereka, ke mana destinasi, di mana tempat menginap, bila masa/tempuhnya, dengan siapa bercuti (terutama bagi anak bujang), apa kenderaannya dan sebagainya, alih-alih tahu dah pun berangkat.  Bagi anak bujang pula, keizinan ibu bapa sepatutnya diperolehi dahulu sebelum berpergian.  Dalam tempuh pemergian si anak itu, si ibu sentiasa dalam kerisauan sehinggalah anak itu selamat balik ke rumah.

Seorang kawan menceritakan betapa sedih dan kecewanya dia apabila anak dan menantunya seolah-olah membelakangkannya dalam urusan penjagaan anak-anak mereka sepeninggalan mereka berangkat menunaikan fardhu haji.  Anaknya ini bekerja di luar negara, dan balik ke rumahnya sehari sebelum berangkat ke Mekah.   Si ibu mengharapkan si anak datang menemuinya dan memberi tahu  mengenai hal-hal di rumah mereka terutama urusan anak-anak sepeninggalan ketiadaan mereka. Sebaliknya si anak dan menantunya pula yang meminta ibunya datang ke rumah mereka dengan alasan sibuk mengemas barang/pakaian yang nak di bawa ke Mekah.   Begitulah sensitifnya perasaan seorang ibu, merasa kecewa jika tidak di `partner' kan dalam keputusan yang melibatkan keluarga.


Penawar Duka
Mungkin juga faktor usia yang mendorong ibu menjadi lebih sensitif terhadap perlakuan anak-anaknya kerana tidak dapat nak marah macam masa muda-muda dulu, banyak kena mendiamkan diri dan mengawal perasaan daripada banyak berkata-kata. Maka `kesabaran yang cantik/baik' adalah penawar bagi mengawal kemarahan atau rasa tidak senag hati ibu.  Begitulah pendekatan Nabi Yaakub yang mengawal kemarahn terhadap anak-anaknya yang menganianya salah seorang anaknya iaitu Nabi Yusuf.

Seboleh-bolehnya si ibu menegur jugalah dengan cara baik dan berhikmah akan kesilapan anak-anak, terutama ketika sesi-sesi perjumpaan keluarga.  Tetapi jika pendekatan ini tidak difahami oleh anak, maka kadang kala sengaja dilepaskan juga kata-kata melalui pihak ketiga supaya akhirnya sampai ke pengetahuan yang ampunya diri, maka ketika itulah meletup kemarahannya terhadap ibu. Situasi sebeginilah yang mendukacita dan mengecewakan si ibu, terasa seolah-olah anak tidak menghargai jasa dan pengorbanan ibu.  Barangkali itulah yang dimaksudkan dengan ayat bahawa anak itu sebagai ujian kepada kedua ibu bapa mereka, ujian kepada kesabaran mereka.  Mungkin ada yang tidak kena pada didikan yang diberikan oleh si ibu selama ini, seperti terlalu memanjakan mereka, banyak mengikut kehendak mereka, tidak begitu tegas dan dibiarkan mengikut arus semasa.    Walau bagaimanapun, si ibu sentiasa memaafkan kesilapan anak-anaknya dan berterusan mendoakan untuk kesejahteraan dan keselamatan anak-anak, semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan memberi petunjuk kepada mereka ke arah kebaikan.  Di samping itu, juga mendoakan untuk diri sendiri agar Allah memudahkan segala urusan baik ketika sehat maupun ketika uzur dan tidak menyusahkan orang lain, hanya kepada Allah kita bertawakkal. 

Peringatan Kepada Anak-Anak

Catatan ini untuk memperingatkan anak-anak supaya tidak mendurhakai ibu bapa dan  tidak mengeclkan hati mereka, sebaliknya berkhidmatlah dengan membuat ihsan dan kebajikan kepada mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam al Quran.  Ayat-ayat berikut menjelas perintah Allah mengenai kewajipan anak berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka:

1.     Surah An-Nisa (4)  : 36   `.. .. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua (ibu bapa), kerabat terdekat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga dekat dan jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki.'

2.     Surah Al-Isra' (17)  :  23  `Dan Tuhan mu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorangnya di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali jangan lah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.'

3.      Surah Al-Ankabut (29)  :  8    `Dan Kami wajibkan kepada manusia agar berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya. ....'

4.       Surah Luqman (31)  :  14    `Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun.  Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapamu.  Hanya kepada Aku kembali mu.'

5.       Surah Al-Ahqaf (46)  :  15  `Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah.  Masa mengandung sampai menyusukannya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa, "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau limpahkan kepada ku dan kepada kedua ibu bapa ku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu ku.  Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya, aku termasuk orang muslim."           

(Sila rujuk surah berkenaan untuk bacaan doa dalam bahasa al Quran.  Amalkanlah doa ini untuk memperolehi kebaikan, kesejahteran dan limpah kurnia Allah kepada diri sendiri, kedua ibu bapa dan zuriat kita)

Amatlah rugi dan menjadi kehinaan kepada orang yang tidak berbakti kepada kedua ibu bapa mereka ketika masih ada kesempatan.  Ini dijelaskan dalam maksud hadith Rasulullah berikut:

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi bersabda yang maksudnya: `Melekat pada tanahlah hidungnya, melekat pada tanahlah hidungnya, sekali lagi melekat pada tanahlah hidungnya - maksudnya memperolehi kehinaan besarlah - orang yang sempat menemui kedua orang tuanya di kala usia tua, baik salah satu atau keduanya, tetapi orang itu tidak dapat masuk syurga sebab tidak berbakti kepada orang tuanya.'         (HR :  Muslim)

Dalam hadith lain yang bersumber dari Abu Hurairah, katanya "Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. siapakah orang yang paling berhak untuk saya persahabati dengan sebaik-baiknya - yakni siapakah yang lebih utama untuk dihubungi secara sebaik-baiknya/".  Nabi menjawab:  "Ibumu." Ia bertanya lagi:  "Lalu siapakah?" Nabi menjawab: "Ibumu". Orang itu sekali lagi bertanya : "Kemudian siapakah?" Nabi menjawab: "Ibumu." Orang itu bertanya pula: "Kemudian siapa lagi?"  Nabi menjawab : "Ayahmu".   (Muttafaq 'alaih)

Thursday, December 2, 2010

Menjadi Ibu : Momen Suka VS Duka

Amatlah benar perkataan Allah Yang Maha `Azim di dalam al Quran:

`Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anak mu itu hanyalah sebagai cubaan......'
                                                                 (Surah Al-Anfal, 8: 28)

`Sesungguhnya hartamu dan anak-anak mu hanyalah cubaan (bagi mu)........'
                                                                (Surah At-Taghabun, 64 : 15)

Anak-anak adalah amanah Allah kepada pasangan suami isteri yang meningkat status menjadi ibu dan bapa.  Apabila anak-anak meningkat dewasa dan seterusnya mendirikan rumah tangga, maka status ibu dan bapa meningkat lagi dengan mendapat pangkat ibu mertua dan bapa mertua.  Kemudian ibu dan bapa naik pangkat lagi menjadi atuk dan nenek apabila anak-anak yang telah berkahwin itu mendapat pangkat ibu dan bapa setelah kelahiran anak mereka.  Begitulah perubahan status kita yang diikuti pula oleh pelbagai dugaan, ujian, dan cabaran ketika kita melaksanakan amanah Allah untuk kelangsungan keturunan kita. Amanah Allah itu juga untuk menguji sejauh mana kita dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu,  kesabaran kita menghadapi cabaran dengan berbagai kerenah anak-anak, dan yang utama adalah tahap keimanan kita terhadap Allah, redha dengan ujianNya dan bersyukur dengan kurniaanNya.

Saya terpanggil untuk membuat catatan ini setelah membaca blog salah seorang rakan mengenai penglibatan ibu bapa dalam urusan keluarga anak-anak dan famili mereka.  Saya ingin berkongsi pengalaman saat-saat kita merasa suka (gembira, seronok, bangga) dan ada ketikanya kita merasa duka (sedih, pilu, kecewa) menjadi seorang ibu, ibu mertua dan nenek di dalam famili2748 kami.  Saya yakin pengalaman itu agak `common', dialami juga oleh famili lain, mungkin ada yang lebih serius, atau mungkin tidak begitu serius, atau mungkin juga tidak disedari kerana kita menganggap itu sudah pertkara biasa.  Hasrat catatan ini adalah untuk peringatan kepada ahli-ahli keluarga saya supaya menjadi panduan dalam menjalani kehidupan berkeluarga mereka di masa hadapan.

Momen Suka (Gembira, Seronok, Bangga) Seorang Ibu

Di antara momen suka, gembira dan seronok seorang ibu adalah ketika-ketika berikut:

1.   Mengetahui diri telah mengandung, yang bererti tidak lama lagi kita akan menjadi seorang ibu, dan seterusnya begitu teruja untuk mengetahui dan mengalami perkembangan bayi dalam kandungan.  `Mum to be' tentulah seronok `shopping' keperluan bayi seperti pakaian bayi, tempat tidur bayi dan lain-lain persiapan untuk menyambut kelahiran bayi.

2.   Ketika bayi lahir tidak terkira rasa syukur dan gembiranya melihat bayi yang comel dan mongel, hilang rasa sakit yang dialami beberapa jam sebelumnya ketika bertarung nyawa dalam proses labor.  Begitulah rahmat Allah kepada hambanya yang sabar menghadapi kesakitan semasa proses mengandung dan bersalin.  Seterusnya ibu merasa seronok mengikuti perkembangan bayi dari satu peringkat ke satu peringkat, dari pada hanya tahu menangis ketika lapar atau sakit sehinggalah menjadi kana-kanak yang dapat menguasai kemahiran-kemahiran tertentu mengikut sunnatullah, seperti meniarap, merangkak, duduk sendiri, pandai berjalan, memanjat, berlari, bercakap dan seterusnya bersedia untuk memulakan alam persekolahan.

2.   Momen di alam persekolahan anak-anak, ibu-ibu gembira, seronok, bangga dengan pencapaian dan kejayaan mereka  di sekolah baik dalam bidang akademik maupun dalam bidang ko-kurikulum seperti sukan, permainan dan persatuan. Terdapat ibu-ibu yang begitu teruja sekali agar anak-anak mendapat pencapaian cemerlang, dihantar anak-anak ke kelas tution, ditambah lagi dengan latih tubi dari pelbagai buku latihan sehingga anak-anak tidak berkesempatan menikmati keriangan zaman kanak-kanak.  Ibu-ibu seronok menceritakan hal kejayaan anak-anak kepada rakan-rakan, walau pun mereka mungkin tidak berminat nak tahu kerana ada ramai lagi anak-anak orang lain yang lebih berjaya.  Momen-momen kegembiraan ibu atas kejayaan anak berlaku pada beberapa, iaitu:  berjaya dalam UPSR, dapat masuk ke sekolah berasrama penuh, berjaya cemerlang dalam PMR dan SPM, berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, lebih-lebih lagi di luar negara. Namun, momen yang paling menggembirakan dalam sejarah persekolahan anak adalah pada hari graduation apabila anak diistiharkan sebagai graduan dalam bidang tertentu dan berjaya mendapat segulung ijazah sarjana muda dengan kepujian.

3.    Setelah tamat dari alam persekolahan, anak bersedia untuk menempuh alam pekerjaan.  Ibu merasa sungguh gembira apabila diberi tahu oleh anaknya yang ia telah berjaya melepasi temuduga untuk jawatan tertentu di organisasi tertentu.  Pada momen ini ibu terasa seolah-olah ringan tanggungan  dan terlepas satu bebanan kerana anak sudah boleh menyara diri sendiri.  Kalau selama ini ibu yang mengawal kehendak anak-anak, tidak bebas berbelanja dan perlu meminta-minta daripada ibu, kini dengan pendapatan sendiri dari hasil titik peluhnya sendiri, dia bebas memilih dan berbelanja untuk keperluan dirinya.  

4.     Berikutnya, momen gembira seorang ibu adalah ketika diberitahu oleh anak yang dia telah ada pilihan pasangan dan bersedia untuk mendirikan rumah tangga.  Kemuncak kegembiraan ibu adalah pada hari perkahwinan anaknya.  Sebelum itu tentunya ibu merasa seronok menyediakan segala persiapan bermula dari majlis pertunangan, diikuti dengan majlis pernikahan dan seterusnya majlis walimah sebagai peristiharan perkahwinan anaknya kepada saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan-rakan sekerja dan rakan-rakan yang dikenali.   Ibu bapa tidak loket mengeluarkan belanja untuk tujuan tersebut, tetapi tidaklah berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran.  Yang pasti, majlis mestilah bersesuaian dengan kemampuan dan diadakan semeriah mungkin supaya anak tidak merasa diabaikan disaat mereka ingin menikmati kebahagiaan alam berumah tangga.

5.      Setelah anak-anak berumah tangga, apa lagilah momen yang menggembirakan hati ibu kalau tidak dengan kelahiran cucu-cucunya. Alhamdulillah, ibu masih diberi kesempatan dan kekuatan oleh Allah merasai kebahgiaan dengan turut sama menjaga, mengawasi, dan mengikut perkembangan cucu-cucunya.


Perbanyakkan Bersyukur

Begitulah di antara momen-momen suka, gembira dan bangga seorang ibu terhadap anak-anaknya di sepanjang kehidupannya.  Setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah yang melimpahkan rahmatNya ke atas hambanya yang kerdil ini.  Momen-momen  tersebut menimbulkan rasa bahgia pada hati ibu, tidaklah membawa kepada rasa riya yang boleh menyebabkan seseorang ingkar (kufur) kepada rahmat Allah.  Allah melarang kita dari kufur akan nikmatNya, sebaliknya menyuruh kita sentiasa bersyukur atas segala nikamt yang dikurniakan kepada kita.

Bersyukurlah dengan berdoa:  "Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayah untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, pada hal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufikNya)."   (Surah Al-Araf, 7 : 43)

Allah berfirman yang maksudnya:  `Oleh itu, ingatlah kamu kepada Ku (dengan mematuhi syariaat Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada Ku dan jangan kamu kufur (akan nikmat Ku).'      (Surah Al- Baqarah, 2 :  152 )  
    
Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menyuruh kita bersyukur atas nikmat kurniaanNya yang tidak terhingga itu.




                                                                                   Bersambung:   Momen Duka Seorang Ibu