Friday, February 4, 2011

Pengaruh Rakan Sebaya

Dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2010 yang diajurkan oleh Biro Muslimah Masjid kampung tempat tinggal saya sekarang,  satu acara pengkisahan pengalaman telah diadakan.  Ianya sebagai satu pengisian yang bermanfaat supaya muslimah yang menghadirkan diri tidaklah sekadar untuk makan-makan dan bersilaturrahim, tetapi dapat berkongsi pengalaman menarik personaliti tertentu yang boleh dijadikan teladan atau boleh dijadikan bahan cerita sebagai motivasi dan pengajaran.kepada anak cucu. 

Lima orang wanita telah dipilih, termasuklah saya.  Saya agak `reluctant` nak menyahut permintaan pihak penganjur sebab saya rasa tidak ada apa yang menarik nak diceritakan. Dengan kata lain, pengalaman saya tidaklah berwarna warni yang boleh diserlahkan untuk dijadikan panduan atau di `appreciate` oleh orang lain.  Walau bagaimana pun saya dengarlah dulu apa yang akan diceritakan oleh 4 wanita lain, kemudian baru timbul keberanian untuk saya mengkisahkan pengalaman saya pula.  Sebelum itu saya ada buat sedikit persediaan dengan mencatat perkara-perkara yang nak saya ceritakan jika pengkisahan dari saya diperlukan juga.


Pengaruh Rakan Sebaya

Pengkisahan dimulakan oleh seorang ustazah.  Kata beliau semasa zaman persekolahan, beliau tidak ada sebarang matlamat atau cita-cita nak jadi apa selepas tamat persekolahan menengah.  Pergi sekolah sekadar memenuhi kehendak orang tua supaya bersekolah.  Beliau juga tidak mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, malah katanya tidak ada langsung wawasan bagi dirinya. Ibu bapanya boleh dikatakan dari kalangan yang kuat berpegang kepada prinsip-prinsip agama Islam, jadi pergaulannya tidaklah bebas.

Beliau berkawan dengan seorang pelajar lain yang juga dari latar belakang beragama.  Sahabatnya ini banyak mempengaruhinya dalam tindakan dan mintanya.  Suatu hari sahabatnya ini mengajaknya menonton wayang, filem hindustan.  Beliau belum pernah dalam hidupnya menonton wayang di panggung, apatah lagi nak keluar dari rumah selain dari tujuan untuk ke sekolah, jadi bagaimana caranya nak melepaskan diri dari kongkongan keluarga.   Walau bagaimana pun diakalkan juga kedua ibu bapanya dan pergilah dia menonton filem hindustan.  Dah naik syok pula, sukakan lagu hindustan dan ceritanya sekali, maka selepas itu berkali-kalilah menonton filem hindustan.  Sehingga sekarang masih berminta menonton filem hindustan jika ada tayangan di TV.  Begtulah pengaruh rakan sebaya terhadap minta ustazah ni.

Selepas tamat persekolahan, beliau menerima saja apa yang diaturkan oleh keluarga. Beliau dikahwinkan dengan seorang ustaz, pensyarah institusi pengajian tinggi.  Sebaliknya rakan sebayanya itu melanjutkan pelajaran ke University Adzhar, Cairo, Mesir.  Selepas mengetahui yang rakan sebayanya melanjutkan pelajaran ke luar negeri, macam baru terkejut dari tidur, barulah timbul azamnya untuk turut melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Tambahan pula suaminya bertugas sebagai pensyarah universiti, maka semangatnya juga semakin berkobar-kobar untuk turut melanjutkan pelajaran ke universiti.

Di samping menjadi suri rumah, beliau belajar secara persendirian untuk mengambil peperiksaan STPM.  Akhirnya beliau berjaya masuk ke universiti mengambil jurusan pengajian Islam, dan kemudiannya menjadi ustazah mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.  Begitulah pengaruh rakan sebaya yang berjaya memotivasikan seseorang yang tidak mempunyai cita-cita menjadi seorang yang berkelulusan universiti dan mempunyai kerjaya. 

Secara berjenaka, kata ustazah ini, kalau tidak berkahwin dengan ustaz dan kalau tidak kerana ingin melanjutkan pelajaran ke universiti, mungkin beliau menceburi bidang nyanyian, kerana beliau minat menyanyi.  Kerana itu bila, ada acara perjumpaan jemaah wanita di Masjid kami, beliau mempelupori kumpulan nasyid wanita.

Akhirnya, beliau menasihati nenek-nenek dan ibu-ibu agar mengawasi dan mengenali rakan sebaya cucu-cucu atau anak-anak mereka, mengambil tahu siapakah rakan sebaya mereka dan memastikan cucu atau anak mereka tidak terpengaruh dengan aktiviti tidak bermoral/negatif rakan sebaya mereka.






No comments:

Post a Comment