Wednesday, December 8, 2010

Momen Duka Seorang Ibu


Dalam catatan terdahulu telah banyak saya ceritakan tentang momen-momen yang menimbulkan kerisauan seorang ibu, dan ada di antaranya mungkin boleh membawa kepada rasa duka, sedih dan kecewa tetapi tidaklah begitu serius.  Selain itu, terdapat momen-momen lain yang boleh menyentuh hati seorang ibu sehingga membawa kepada rasa duka, sedih dan kecewa.
1.    Momen paling mendukacitakan, terasa ngilu hati, sedih dan kecewa seorang ibu adalah ketika dimarahi oleh anak-anaknya. 

Semasa anak-anak kecil, si ibu selalu memarahi mereka dengan tujuan mendidik atau mengajar supaya: mereka berperangai baik,  mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya, mendengar kata dan akur arahan ibu bapa.  Mereka akan dimarah jika berkelakuan tidak senonoh, berperangai malas, leka dengan perkara-perkara lagha seperti menonton TV, bermain dan sebagainya. Ibu bapa biasanya menetapkan tugasan supaya anak-anak menyempurnakan kerja-kerja sekolah,  rajin belajar dan mentelaah pelajaran, membuat latihan dan membaca buku-buku teks.  Anak-anak juga dimarah jika malas membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah seperti membersih dan mengemaskan bilik tidur mereka sendiri, membersih bilik air, menyapu dan mengemob lantai, mencuci pinggan mangkuk, mencuci pakaian sendiri (sekurang-kurangnya pakaian dalam, kasut sekolah dan stokin), mensterika baju dan seumpamanya.  Walaupun ada pembantu rumah, mereka perlulah juga dilatih dari sejak kecil membuat kerja-kerja rumah itu dalam situasi jika tiada pembantu rumah. Semuanya itu adalah sebagai latihan persediaan kepada mereka hidup berdikari  apabila mereka meningkat dewasa nanti, supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada orang lain seperti pembantu rumah terutama jika ditakdirkan mereka berjauhan daripada ibu bapa.  

Apabila mereka dah dewasa, dah `berjaya', dah bekerja, dah mendirikan rumah tangga,  malah mungkin dah pun menjadi ibu/bapa,  adakah wajar mereka memarahi si ibu tua itu kerana menegur tingkah laku mereka yang tidak menyenangkan mata dan hati si ibu, seperti melalaikan solat, kurang mentaati suruhan Allah, malas membantu kerja-kerja rumah, boros kepada benda-benda yang tak perlu, lebih berminat kepada hiburan, lebih mengutamakan rakan-rakan, alpa menunaikan tanggung jawab pada pasangan dan seumpamanya.

Tentulah si ibu merasa sedih apabila dimarahi oleh anak, seolah-olah kewujudannya tidak diperlukan lagi, nasihat dan tunjuk ajarnya sudah tidak diberguna, lebih-lebih lagi jika ibu dituduh cuba mencampuri urusan dan kehidupan mereka. Tambah mengecewakan apabila anak-anak dah boleh berhujjah dan bertelingkah dengan suara tinggi cuba mempertahankan rasional tingkah laku atau perbuatan mereka. Walaupun ibu dah semakin berumur, tapi masih lagi sihat, belum nyanyuk, masih rasional, masih berupaya bergerak dan masih belum mengharap belas ihsan mereka. Malah ibu masih bertenaga melakukan kerja rumah, memasak dan menghidangkan makanan seenaknya, berupaya membantu menjaga cucu-cucu jika diperlukan, mampu membantu  dari segi kewangan sekadarnya.   

2.    Momen lain yang mendukacitakan ibu adalah ketika anak-anak tidak cakna, prihatin, `caring' terhadap ibu bapa mereka.  Semasa anak-anak kecil, si ibu amat `caring' terhadap mereka, nyamuk pun tidak dibiarkan hinggap, cepat-cepat dibawa ke doktor jika sakit,  disuap/beri cukup makan minum, dijaga dengan rapi dan teliti dan sebagainya.  Apabila ibu bapa dah meningkat tua, ditambah pula dengan pelbagai masalah kesihatan, tentulah mereka pula yang memerlukan perhatian dan cakna anak-anak.  Betapa sedih dan kecewanya  si ibu ketika uzurnya, anak-anak tidak pun nak bertanya khabar dan jauh sekali untuk membawa ke doktor.

Seorang kawan menceritakan kepada saya bahawa ada seorang bapa meluahkan kesedihannya kerana anaknya lebih mengutamakan hal-hal lain atau pentingkan diri sendiri daripada membantu ibu bapanya yang sedang sakit.  Pasangan warga emas ini tinggal berduaan di rumah mereka manakala anak-anak pula tinggal berasingan, tidaklah begitu jauh dari rumah mereka.  Si ibu mengidap kanser, manakala si bapa pula masih boleh bergerak ke sana sini.  Pada suatu hari ketika si bapa uzur, dia meminta anaknya membelikan makanan malam untuknya dan si ibu, tetapi jawapan anak amat mengecewakannya kerana katanya nak ke majlis `dinner' dan tak dapat hantar makanan kepada ibu bapanya.   Di manakah letaknya rasa tanggung jawab anak terhadap ibu bapanya? Walhal tidaklah memberatkan sangat si anak itu jika ia melaksanakan tanggung jawabnya terhadap ibu bapanya dan kemudian menghadiri majlis berkenaan.  Tidakkah mereka mengenang jasa ibu bapanya, ketika tiada pembantu rumah yang nak menjaga anak-anak mereka, maka ke rumah ibu bapa lah mereka `campakkan' anak mereka untuk dijaga jika hendak menghadiri apa-apa majlis/aktiviti pada waktu malam.  Begitulah agaknya nasib warga emas yang uzur zaman kini, jika tidak dibantu oleh pembantu rumah Indon, mungkin tempatnya di mana-mana rumah warga tua (nursing home).

3.     Momen duka, sedih dan kecewa si ibu meliputi juga situasi dipinggirkan dari sesuatu keputusan yang mungkin secara tidak langsung melibatkan keluarga, seolah-olah kehadiran dan pandangan si ibu tidak diperlukan.  Umpamanya, ibu bapa tidak diberi tahu mengenai program percutian anak-anak dan keluarga mereka, ke mana destinasi, di mana tempat menginap, bila masa/tempuhnya, dengan siapa bercuti (terutama bagi anak bujang), apa kenderaannya dan sebagainya, alih-alih tahu dah pun berangkat.  Bagi anak bujang pula, keizinan ibu bapa sepatutnya diperolehi dahulu sebelum berpergian.  Dalam tempuh pemergian si anak itu, si ibu sentiasa dalam kerisauan sehinggalah anak itu selamat balik ke rumah.

Seorang kawan menceritakan betapa sedih dan kecewanya dia apabila anak dan menantunya seolah-olah membelakangkannya dalam urusan penjagaan anak-anak mereka sepeninggalan mereka berangkat menunaikan fardhu haji.  Anaknya ini bekerja di luar negara, dan balik ke rumahnya sehari sebelum berangkat ke Mekah.   Si ibu mengharapkan si anak datang menemuinya dan memberi tahu  mengenai hal-hal di rumah mereka terutama urusan anak-anak sepeninggalan ketiadaan mereka. Sebaliknya si anak dan menantunya pula yang meminta ibunya datang ke rumah mereka dengan alasan sibuk mengemas barang/pakaian yang nak di bawa ke Mekah.   Begitulah sensitifnya perasaan seorang ibu, merasa kecewa jika tidak di `partner' kan dalam keputusan yang melibatkan keluarga.


Penawar Duka
Mungkin juga faktor usia yang mendorong ibu menjadi lebih sensitif terhadap perlakuan anak-anaknya kerana tidak dapat nak marah macam masa muda-muda dulu, banyak kena mendiamkan diri dan mengawal perasaan daripada banyak berkata-kata. Maka `kesabaran yang cantik/baik' adalah penawar bagi mengawal kemarahan atau rasa tidak senag hati ibu.  Begitulah pendekatan Nabi Yaakub yang mengawal kemarahn terhadap anak-anaknya yang menganianya salah seorang anaknya iaitu Nabi Yusuf.

Seboleh-bolehnya si ibu menegur jugalah dengan cara baik dan berhikmah akan kesilapan anak-anak, terutama ketika sesi-sesi perjumpaan keluarga.  Tetapi jika pendekatan ini tidak difahami oleh anak, maka kadang kala sengaja dilepaskan juga kata-kata melalui pihak ketiga supaya akhirnya sampai ke pengetahuan yang ampunya diri, maka ketika itulah meletup kemarahannya terhadap ibu. Situasi sebeginilah yang mendukacita dan mengecewakan si ibu, terasa seolah-olah anak tidak menghargai jasa dan pengorbanan ibu.  Barangkali itulah yang dimaksudkan dengan ayat bahawa anak itu sebagai ujian kepada kedua ibu bapa mereka, ujian kepada kesabaran mereka.  Mungkin ada yang tidak kena pada didikan yang diberikan oleh si ibu selama ini, seperti terlalu memanjakan mereka, banyak mengikut kehendak mereka, tidak begitu tegas dan dibiarkan mengikut arus semasa.    Walau bagaimanapun, si ibu sentiasa memaafkan kesilapan anak-anaknya dan berterusan mendoakan untuk kesejahteraan dan keselamatan anak-anak, semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan memberi petunjuk kepada mereka ke arah kebaikan.  Di samping itu, juga mendoakan untuk diri sendiri agar Allah memudahkan segala urusan baik ketika sehat maupun ketika uzur dan tidak menyusahkan orang lain, hanya kepada Allah kita bertawakkal. 

Peringatan Kepada Anak-Anak

Catatan ini untuk memperingatkan anak-anak supaya tidak mendurhakai ibu bapa dan  tidak mengeclkan hati mereka, sebaliknya berkhidmatlah dengan membuat ihsan dan kebajikan kepada mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam al Quran.  Ayat-ayat berikut menjelas perintah Allah mengenai kewajipan anak berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka:

1.     Surah An-Nisa (4)  : 36   `.. .. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua (ibu bapa), kerabat terdekat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga dekat dan jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki.'

2.     Surah Al-Isra' (17)  :  23  `Dan Tuhan mu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorangnya di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali jangan lah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.'

3.      Surah Al-Ankabut (29)  :  8    `Dan Kami wajibkan kepada manusia agar berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya. ....'

4.       Surah Luqman (31)  :  14    `Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun.  Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapamu.  Hanya kepada Aku kembali mu.'

5.       Surah Al-Ahqaf (46)  :  15  `Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.  Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah.  Masa mengandung sampai menyusukannya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa, "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau limpahkan kepada ku dan kepada kedua ibu bapa ku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucu ku.  Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya, aku termasuk orang muslim."           

(Sila rujuk surah berkenaan untuk bacaan doa dalam bahasa al Quran.  Amalkanlah doa ini untuk memperolehi kebaikan, kesejahteran dan limpah kurnia Allah kepada diri sendiri, kedua ibu bapa dan zuriat kita)

Amatlah rugi dan menjadi kehinaan kepada orang yang tidak berbakti kepada kedua ibu bapa mereka ketika masih ada kesempatan.  Ini dijelaskan dalam maksud hadith Rasulullah berikut:

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi bersabda yang maksudnya: `Melekat pada tanahlah hidungnya, melekat pada tanahlah hidungnya, sekali lagi melekat pada tanahlah hidungnya - maksudnya memperolehi kehinaan besarlah - orang yang sempat menemui kedua orang tuanya di kala usia tua, baik salah satu atau keduanya, tetapi orang itu tidak dapat masuk syurga sebab tidak berbakti kepada orang tuanya.'         (HR :  Muslim)

Dalam hadith lain yang bersumber dari Abu Hurairah, katanya "Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. siapakah orang yang paling berhak untuk saya persahabati dengan sebaik-baiknya - yakni siapakah yang lebih utama untuk dihubungi secara sebaik-baiknya/".  Nabi menjawab:  "Ibumu." Ia bertanya lagi:  "Lalu siapakah?" Nabi menjawab: "Ibumu". Orang itu sekali lagi bertanya : "Kemudian siapakah?" Nabi menjawab: "Ibumu." Orang itu bertanya pula: "Kemudian siapa lagi?"  Nabi menjawab : "Ayahmu".   (Muttafaq 'alaih)

1 comment:

  1. best blog puan..penuh pengajaran..sila follow blog saya juga..tq..

    ReplyDelete