Wednesday, July 6, 2011

Sambungan Kisah Inda & Indawan : Memupuk Cinta Selepas Berkahwin

Terpaksa Berkahwin

Inda terpaksa bersetuju untuk berkahwin dengan Indawan, walaupun belum ada rasa cinta terhadap  isterinya.  Kesabaran menjadi pengubat jiwa, dan secara beransur-ansur berusaha memupuk cinta dan kasih sayang terhadap isteri.  Dalam masa yang sama pasrah menerima hakikat bahawa jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah.  Tentu ada hikmahnya apa yang telah diatur oleh Allah ke atas hamba-hambanya.

Semasa berkahwin, Inda tidak mempunyai pekerjaan tetap.  Mengikut Indawan, untuk menyara keluarga, Inda berniaga dengan mengembara ke negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah Melayu seperti Kedah, Perlis dan Kedah, membawa barang-barang dagangan seperti batik dan barang tembaga.  Mungkin juga Inda membawa diri untuk belajar memupuk rasa cinta terhadap isteri dan merasai betapa rindunya ketika berjauhan dengan isteri.  Barangkali juga untuk menguji sejauhmana benarnya bidalan orang tua-tua, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.

Inda tidak begitu teruja menyambut kelahiran anak pertama, mungkin belum begitu bersedia untuk mempunyai anak, kerana belum mempunyai pekerjaan tetap, ekonomi belum begitu kukuh, dan kehidupan pada masa itu agak susah.  Atau mungkin juga belum begitu terbina kemesraan dan perasaan kasih sayang terhadap isteri.  Oleh kerana mereka tiada pengalaman percintaan sebelum berkahwin, maka proses penyesuaian untuk memupuk rasa cinta antara mereka mungkin mengambil sedikit masa.   


Memupuk cinta selepas berkahwin

Kebanyakan anak muda sekarang menganggap kolot bila ibu bapa mereka hendak mencari atau mencadangkan jodoh untuk mereka. Bagi mereka, kalau belum bercinta macam mana nak kahwin, tentulah tak bahagia. Mereka beranggapan bercinta dahulu, barulah berkahwin akan menjamin kebahagiaan hidup dalam alam berumah tangga. Anggapan ini tidak semestinya benar, kerana ramai pasangan yang bercinta bagaikan nak rak sebelum berkahwin, tetapi selepas beberapa bulan saja, rumah tangga bergelora dan akhirnya bercerai. 

Apa yang penting bagi satu-satu pasangan itu adalah menerima seadanya pasangannya, banyak bertolak ansur, memahami antara satu dengan lain, tidak mencari salah di antara mereka, sedia berkorban untuk pasangan dan banyak bersabar menghadapi kerenah pasangan.  Barangkali itulah yang dialami oleh Inda dan Indawan.  Mereka berusaha untuk memupuk kasih sayang dalam kehidupan rumah tangga mereka.

Semasa kelahiran anak kedua mereka, Inda masih tidak mempunyai pekerjaan.  Dalam daftar kelahiran anak pertama, pekerjaan Inda adalah berniaga, manakala dalam daftar kelahiran anak kedua, kerjaya Inda bertukar kepada bertukang kayu.  Ini menunjukkan betapa sukarnya kehidupan mereka pada ketika itu.  Semasa kelahiran anak ketiga, kerjaya Inda agak lebih stabil, bergaji tetap walaupun rendah tetapi boleh merancang perbelanjaan keluarga.

Inda diterima sebagai guru agama di sekolah agama kelolaan kerajaan negeri dan ditempatkan di sebuah kampung yang agak terpencil pada zaman itu.  Inda membawa keluarganya berpindah ke sana.  Sungguhpun bergaji tetap tetapi kehidupan di kampung terpencil itu agak sukar kerana kurang kemudahan asas.  Namun sebagai guru agama, Inda dihormati di kampung itu.  Jika musim buah-buahn seperti durian, buka saja pintu rumah dah berlonggok durian di beranda rumah.  Sayuran juga sentiasa ada dihadiahkan oleh orang kampung, termasuklah petai sedangkan Inda dan Indawan tidak makan petai.  Begitulah akhlak orang kampung, menghormati guru dan tidak loket memberi.   


Mengalami Musibah

Mengikut kata Indawan, walaupun dah ada 3 orang anak, Inda masih tidak begitu mesra melayani anak-anaknya. Tak tahulah, sama ada Inda tidak pandai melayani anak-anak kecil, atau rasa kasihkan anak-anak belum begitu mendalam. Tapi yang jelas kata Indawan, Inda tidak berani nak mengangkat atau mengendung bayi yang baru lahir dan anak-anak kecil yang berumur beberapa bulan.  Sikap Inda pada masa itu seolah-olah tidak sukakan kanak-kanak.

Dalam kehidupan berkeluarga sering berlaku peristiwa yang menguji keharmonian rumah tangga dan ikatan kasih sayang antara ahli keluarga.  Begitulah yang berlaku kepada Inda dan Indawan.  Kehidupan yang sukar dengan kekurangan kemudahan asas di perkampungan terpencil itu merupakan satu ujian bagi mereka.  Anak sulung mereka mengalami demam panas, tidak mendapat rawatan yang sempurna dan meninggal dunia ketika berumur 4 tahun.  Dua bulan kemudian anak ketiga pula meninggal dunia.  Kesedihan bertimpa-timpa dialami oleh Inda dan Indawan, dua orang anak berturut-turut meninggalkan mereka.  Begitu berat ujian Allah terhadap oleh mereka.  Dalam masa yang sama, anak kedua juga turut mengalami demam panas dan kemudiannya beberapa penyakit lain yang  dihidapinya satu persatu dalam tempuh membesarnya.  Namun umurnya masih panjang untuk menjadi penghibur dan pengikat kasih kepada keluarga ini. 


Merancang Untuk Kebahgiaan Keluarga

Selepas musibah yang menimpa itu, Inda seolah-olah tersedar dari mimpi yang panjang.  Mengikut kata Indawan, barangkali dia merasa selama ini dia tidak begitu menghargai kurniaan Allah atas nikmat kehidupan berkeluraga sehingga Allah menarik balik kurniaanNya daripada mereka.  Walaupun dia melaksanakan tugas dan tanggung jawab terhadap keluarganya, tetapi kemesraan dan cakna terhadap anak-anak mungkin tidak begitu bersungguh. Selepas `tersedar', Inda ingin memenuhi apa yang telah terlepas dari perhatian atau caknanya sebelum itu terhadap anak-anaknya. Inda sangat mengambil berat dan menyayangi anak kedua yang masih dipanjangkan umurnya oleh Allah.  Dalam tempuh anak kedua ini menjadi anak tunggal dalam keluarga, maka perhatian Inda sepenuhnya kepada anak ini, dimanja dan dilayani dengan sebaik-baiknya. Anak ini diajar mengenal huruf sehingga tahu membaca pada umur yang masih muda (4 tahunu).   Anak ini juga dimasukkan ke sekolah awal setahun daripada umur biasa kanak-kanak bersekolah.   Pada umur itu, anak ini dilatih menyampaikan pidato di hadapan khlayak ramai ketika hari terbuka/penyampaian hadiah.  Begitulah usaha seorang bapa mendidik, membentuk peribadi dan akhlak, mencungkil bakat, membina potensi, dan memotivasikan diri anaknya itu.   Usaha ini dilakukan oleh Inda untuk memastikan anak pertama dalam kelaurga itu di didik sebaiknya supaya berjaya dan menjadi contoh kepada adik-adik yang lain.

Alhamdulillah, Allah mengurniakan kehormonian ke atas keluarga ini.  Inda mula merancang membina rumah untuk menempatkan keluarga bahgianya.  Walau bagaimana pun perancangan ini tertunda sehinggalah Inda ditukarkan kembali berkhidmat tidak jauh dari kampung halamannya. Selama beberapa tahun Inda, terpaksa berulang alik ke sekolah dengan mengayuh basikal sejauh kira-kira 7km, kemudian menyeberangi sungai dengan feri dan mengayuh basikal sejauh kira-kira 5km lagi.  Berkat jimat cermat itu, akhirnya Inda berjaya membina rumah yang comel untuk keluarganya.  Pada ketika ini bilangan anak telah bertambah kepada 5 orang, maka berpindahlah kami kerumah baru setelah beberapa tahun menumpang dirumah ibu angkat Indawan.


Setelah berpindah ke rumah baru, beberapa tahun berikutnya, Inda menjadi `suami dan bapa pada hujung minggu'  kerana ditukarkan bertugas di daerah lain.  Keluarga tidak di bawa berpindah ke daerah berkenaan kerana anak-anak sedang bersekolah dan ada yang berada di sekolah menengah.  Indawan akan membekalkan Inda dengan lauk-lauk yang siap dimasak untuk tempuh 5 hari berada di daerah berkenaan, manakala Inda akan masak nasi sendiri.  Begitulah pengorbanan seorang bapa untuk kebahagiaan dan keharmonian keluarganya.

Setiap dua tahun, Inda dan Indawan dikurniakan cahaya mata sehingga ke anak kesepuluh.  Semasa kelahiran anak keenam, sekali lagi Inda dan Indawan diuji.  Anak itu diambil kembali oleh Allah sebelum dilahirkan.  Namun, Allah mengurniakan 2 lagi anak kepada keluarga ini menjadikan bilangan anak yang ada  kepada 7 orang.  Inda dan Indawan tetap bersyukur dengan 5 orang anak perempuan dan 2 orang anak lelaki  yang menjadi penghibur dan pengikat kasih sayang antara mereka berdua.


Memajukan Diri : Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Inda teguh dengan cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.  Dia tidak berpuas hati dengan sekadar menjadi guru agama di bawah tadbiran Kerajaan Kegeri.  Justru bila ada peluang untuk membuat pilihan (option) kepada guru di bawah tadbiran Kerajaan Persekutuan (Kementerian Pelajaran), Inda telah bersedia dengan Sijil Pelajaran Malaysia.  Inda mengambil peperiksaan Ujian Kelayakan iaitu untuk mata Pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik pada ketika anak pertamanya mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.   Selain dari belajar melalui buku, Inda mendapat tuition dari anaknya itu dalam mata pelajaran matematik.

Pada ketika anaknya itu mengambil Sijil Tinggi Persekolahan, Inda pula mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Alhamdulillah, Inda berjaya mendapat Pangkat 3 dengan kredit yang cukup bagi melayakkannya memilih option menjadi guru di bawah tadbiran Kementerian Pelajaran.  Semasa anaknya belajar di Universiti, Inda pula berulang alik ke Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, menghadiri kursus perguruan semasa cuti untuk membolehkannya mendapat Sijil perguruan dan layak menjadi guru terlatih keluaran Maktab Perguruan.  Namun cita-cita Inda untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tidak kesampaian kerana umur yang semakin meningkat dan tumpuan juga perlu diberikan kepada anak-anak yang sedang bersekolah menengah dan mereka juga sedang meniti laluan untuk ke peringkat universiti.  Begitulah pengorbanan seorang bapa untuk memastikan anak-anaknya mendapat peluang terbaik dalam pendidikan.


                                                                                      (Bersambung)                                  

Kisah Inda & Indawan : Bertunang Pilihan Keluarga

Dalam filem Bollywood banyak dipaparkan kisah gadis dikahwinkan dengan teruna pilihan keluarga yang telah ditunangkan dari sejak kecil lagi. Kemudian berlakulah berbagai episod drama, umpamanya penentangan daripada gadis, lalu mengambil tindakan melarikan diri dengan kekasih pada hari perkahwinan, atau menurut kehendak keluarga berkahwin juga tunang pilihan keluarga tetapi hidup tidak bahagia dan mengalami pelbagai tragedi yang menyayat hati dalam rumah tangga mereka.  Maka bergenanganlah air mata penonton menyaksikan tayangan yang dramatik itu.

Dalam masyarakat Melayu, perkara ini pun kerap berlaku dahulu, tetapi sekarang tidaklah diketahui budaya ditunangkan sejak kecil ini masih wujud atau telah pupus ditelan masa disebabkan meningkatnya tahap pelajaran remaja dan mereka ingin mencari pasangan hidup sendiri.  Mereka ingin berkenalan dulu dengan pasangan, mencari kesesuaian, bercinta dan kemudian barulah membuat keputusan untuk berkahwin.  Namun tidak semestinya mereka yang berkahwin dengan pasangan pilihan keluarga itu tidak bahagia rumah tangga mereka, manakala pasangan yang bercinta dahulu sebelum berkahwin itu bahagia dan kekal rumah tangga mereka hingga ke akhir hayat.  Realiti kehidupan masyarakat Melayu (Islam) tidak semestinya sama seperti yang digambarkan dalam filem-filem bollywood itu.  Didikan agama yang tegas dan berkesan menjadikan anak-anak taat dan patuh kepada kehendak orang tua mereka kerana tidak mahu mendurhaka kepada ibu bapa, kemudian bertawakkal kepada Allah atas takdir dan jodoh yang ditentukan untuk  mereka.

Ini adalah kisah Inda (panggilan cucu-cucunya kepada arwah ayah saya) dan Indawan (panggilan cucu-cucunya kepada arwah ibu saya).  Saya kisahkan disini untuk menjadi tatapan anak-anak saya serta cucu-cucu Inda dan Indawan yang lain (berjumlah 35 orang) serta cicit-cicit yang semakin membesar dan bertambah bilangannya. Tentunya mereka tidak begitu tahu kisah nenek dan atuk mereka kalau tidak diceritakan oleh ibu bapa mereka. Malah ada di antara ibu atau bapa mereka sendiri pun tidak begitu tahu kisah ayah dan emak mereka kerana tidak pernah mendengar atau tidak pernah diceritakan kepada mereka. Maka sebagai anak pertama dalam keluarga, saya rasa ingin berkongsi cerita dengan mereka apa yang saya dapat tahu daripada cerita ayah dan emak saya.  Mungkin ada fakta yang tidak begitu tepat, sebab dah lama diceritakan oleh emak saya.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya, saya tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa atau mana-mana pihak tetapi sekadar memberi panduan hidup kepada anak cucu dari kisah-kisah silam ahli keluaga mereka, serta mengingatkan mereka agar menerima ketentuan Allah yang telah ditetapkan dari sejak azali.  Semoga Allah meredhai hasrat saya ini.


Kematian Ibu

Mengikut cerita Indawan, ibunya meninggal semasa dia masih kecil, lalu ia diserahkan di bawah belaan ibu angkat yang merupakan saudara dekat kepada ibu kandungnya.  Pasangan ibu angkat dan bapa angkat itu tidak mempunyai anak, maka mereka memewahkan kehidupan Indawan dengan pelbagai pakaian dan mainan yang dibawa balik belayar dari Siam kerana bapa angkat Indawan bekerja sebagai peniaga yang berulang alik ke Siam dan Singapura.  

Kebahagian Indawan dengan ibu bapa angkat tidak bertahan lama.  Bapa angkatnya agak joli, maklumlah bekerja sebagai peniaga, banyak duit, suka berkunjung ke restoran/kedai kopi yang ada pelayan-pelayan jelita sehingga menimbulkan rasa cemburu dan kemarahan ibu angkatnya, akhirnya membawa kepada perceraian mereka.  Tinggallah Indawan dengan ibu angkatnya.  Kehidupan Indawan menjadi terkongkong dan tidak dibenarkan keluar rumah.  Kemarahan ibunya terpalit kepadanya, sehingga menurut kata Indawan, dia pernah dipukul oleh ibu angkatnya kerana keluar rumah pergi menemui bapa angkatnya.  Indawan juga tidak dimasukkan ke sekolah, hanya diajar mengaji dirumah.  Ibu angkatnya garang dan tegas mendidik Indawan, terutama dalam menjalankan tugas-tugas rumah tangga.

Inda pula kematian ibu ketika dia sudah agak besar.  Bapa Inda bekerja sebagai pelayar, bertugas sebagai captain boat besar/kapal yang membawa penumpang berulang alik ke Siam, pantai timur Semenanjung dan Singapura.  Suatu ketika dulu pengangkutan melalui laut adalah yang paling utama untuk ke bandar-bandar utama di sebelah pantai timur.  Inda juag hidup agak mewah semasa zaman kanak-kanaknya. Namun selepas perang dunia kedua, bapa Inda tidak lagi menjadi captain kapal, maka kehidupan Inda tidak lagi sesenang zaman sebelumnya.  Inda berhenti dari sekolah Arab setakat 4 senawi kerana tidak mampu lagi hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, walaupun mempunyai cita-cita besar hendak ke Universiti Al Azhar.  Beberapa rakannya yang berkemampuan berjaya meneruskan pengajian mereka ke universiti berkenaan dan kemudiannya  berjaya menjadi pemimpin masyarakat.  Inda pula terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupannya dan bapanya yang tidak lagi belayar kapal.


Bertunang sejak kecil  

Bapa Inda adalah abang kepada ibu Indawan.  Apabila ibu Indawan meninggal dunia dan dia masih kecil, maka abangnya merasa bertanggung jawab ke atas anak saudaranya itu.  Walaupun Indawan diserahkan di bawah jagaan ibu angkatnya, bapa saudaranya itu masih ingin mengambil berat terhadap Indawan.  Maka dengan sebab itulah agaknya Indawan ditunangkan dengan Inda dari sejak kecil lagi.

Apabila Indawan sudah cukup usia remajanya sebagai gadis sunti, maka ibu angkatnya risaukannya dan ingin segera dikahwinkan dengan tunanganya sejak kecil itu.  Inda pula baru lepas 4 senawi, masih bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tentunya belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.  Walau bagaimana pun tiada pilihan bagi Inda, tunangan telah dipilih sejak kecil lagi, saudara sepupu pula, tidak mahu memporak perandakan ikatan kekeluargaan, maka Inda terpaksa ikut kemahuan orang tuanya.  Inda pasrah kepada ketentuan Allah dengan memohon Allah melimpahkan rahmatNya dan kurniaan terbaik kepadanya dan keluarganya.


                                                                            (Bersambung)

Wednesday, June 22, 2011

Sebahagian Kurniaan Allah Kepada Manusia

Sebahagian kurniaan Allah dari sifat Ar RahmanNya kepada manusia tidak kira sama ada Islam atau bukan Islam adalah akal yang dapat berfikir dan merekacipta sesuatu dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan teknologi ciptaan Allah.  Apabila kita mengembara ke sesuatu tempat kita dapat melihat rekacipta manusia yang hebat, tapi ada kalanya tidak kekal, atau ada rekacipta baru yang lebih advance mengatasi rekacipta awal.  Kemudiannya rekacipta itu musnah di telan zaman.

Sesuatu rekacipta yang melibtkan beberapa cabang ilmu seperti kejuruteraan, mekanikal, elektrikal/elektronik, robotik, senireka (design), arkitek, ukur bahan, dan sebagainya, tentunya dihasilkan melalui beberapa kajian/penyelidikan, percubaan (tryout), ujian/ujikaji,  praktikal/latihan dan seumpamanya sehingga produk rekacipta itu memenuhi kriteria kesempurnaan yang diinginkan oleh penciptanya.  Namun, walau bagaimana pun sempurna dan canggihnya ciptaan manusia itu tentunya ada kekurangan atau kelemahan yang akan ditemui atau dikenalpasti oleh manusia lain.  Begitulah lemahnya manusia, sekali-kali tidak akan dapat menandingi ciptaan Allah Yang Maha Agung.  Manusia tidak akan dapat menemui sebarang kecacatan, ketidaksempuraan atau ketidakseimbangan dalam ciptaan Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran melalui maksud ayat berikut:


ٱلَّذِى خَلَقَ سَبۡعَ سَمَـٰوَٲتٍ۬ طِبَاقً۬ا‌ۖ مَّا تَرَىٰ فِى خَلۡقِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ مِن تَفَـٰوُتٍ۬‌ۖ  فَٱرۡجِعِ ٱلۡبَصَرَ      هَلۡ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ۬ (٣   

         ثُمَّ ٱرۡجِعِ ٱلۡبَصَرَ كَرَّتَيۡنِ يَنقَلِبۡ إِلَيۡكَ ٱلۡبَصَرُ خَاسِئً۬ا وَهُوَ حَسِيرٌ۬ (٤  


`Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?  Kemudian ulangilah pandanganmu berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang dia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).'
                                        Surah Al Mulk (67)  :  3 - 4


Hasil ciptaan manusia akan cepat obsolete, ketinggalan masa bila wujud ciptaan baru yang lebih maju.  Umpamanya, telefon mudah alih telah berubah baik dari segi bentuk dan designnya maupun dari segi fungsinya yang berbagai-bagai. Daripada bentuk besar dan berat, yang hanya digunakan untuk membuat dan menerima panggilan sahaja, telah berubah kepada bentuk yang lebih kecil, nipis dan ringan, serta dilengkapi dengan skrin digital, kamera, serta pelbagai kemudahan internet yang memudahkan komunikasi antara manusia.  Pendek kata akan sentiasa ada perubahan/kemajuan kepada ciptaan oleh manusia sejajar dengan berkembang majunya akal fikiran dan pengetahuan manusia dalam bidang teknologi dan pelbagai bidang lain.  Ini semua adalah kurniaan Allah sebagaimana yang ditegaskan dalam Al Quran dari maksud ayat berikut:


                 يَزِيدُ فِى ٱلۡخَلۡقِ مَا يَشَآءُۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬

`Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.'
                                        Surah Fatir (35)  : 1


Wonders Of the World

Beberapa ciptaan manusia dahulu kala menjadi rahsia Allah kerana teknologinya tidak dapat diwarisi dan ditiru oleh generasi sekarang.  Dunia menerimanya sebagai warisan dalam kategori wonders of the world.  Ada di antaranya masih wujud hingga sekarang seperti Pyramid di Mesir, Tembok Besar Negeri China, dan Taj Mahal di India.  Manakala yang lain sebahagiannya musnah ditelan zaman, sama ada disebabkan oleh bencana alam maupun oleh perbuatan manusia sendiri.




Pyramid di Mesir







          





Tembok Besar di China
    










Taj Mahal, India 


Di antara saki baki ciptaan manusia yang telah musnah sebahgiannya ditelan zaman bersama kehancuran tamaddun kaum yang merekaciptanya terdapat di Petra, Jordan; Coloseeum di Rome dan beberapa negara lain yang pernah dijajah oleh kerajaan Romen seperti di Syria dan Jordan;  Borubudur di Jogjakarta, Indonesia; Anchor Wat di Kambodia; Machu Picchu, di Peru; Chichén Itzá, di Mexico;  Taman Tergantung Babylon, di Iraq dan lain-lain boleh dilihat di sini  http://en.wikipedia.org/wiki/Wonders_of_the_World.  Kesan-kesan tamddun tersebut berterusan menjadi bahan kajian generasi sekarang dalam pelbagai aspek dan bidang keilmuaan termasuk sejarah, antropologi, arkitek, kesenian dan sebagainya.  Tempat-tempat tersebut dipelihara sebagai warisan negara dan dijadikan objek tarikan pelancung serta menjana pelbagai aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan industri pelancungan negara.




Coloseeum di Old City of Amman, Jorden



Petra, Jordan


Pembinaan Mega Structure

Kemajuan teknologi membolehkan manusia membina `mega structure' yang juga dianggap sebagai sebahagian keajaiban ciptaan manusia di masa kini.  Di antara contoh-contohnya adalah berikut ini:



Golden Bridge, San Francisco


Eiffel Tower, Paris


Empire State Building, New York


CN Tower, Toronto


Petronas Twin Towers, Kuala Lumpur

Dunia Fantasi

Dalam dunia hiburan dan rekreasi, pelbagai rekacipta telah dihasilkan untuk melekakan manusia, mengalih mereka dari alam realiti kepada alam imaginasi dan khayalan.  Manusia merasa berada di alam fantasi, magic kingdom, serta dihiburkan oleh bidadari, anak-anak muda dan karekter-karekter khayalan ciptaan manusia.  Itulah yang dihidangkan di Taman-taman Tema (Theme Parks) yang popular di serata dunia, seperti di Disneyland, yang terdapat di Hong Kong, Tokyo, California, Paris dan Disney World di Orlando, Florida;   serta Universal Studio dan lain-lain Theme Parks.  Di tempat-tempat tersebut, selain dari dibina istana khayalan seperti Cinderella Castle,  terdapat juga audotarium/panggung/studio untuk permainan (game), pengemabaraan (menaikki kenderaan atau kapsul) dan tayangan/persembahan karekter-kerekter ciptaan manusia.   Perarakan kereta berhias dan perbarisan dengan pelbagai karekter diadakan sebagai tarikan kepada pengunjung taman tema berkenaan.  Pengunjung akan leka berada di alam fantasi ciptaan manusia.  Contoh-contoh tarikan tersebut seperti digambarkan berikut. 


Fantasy Parade Disneyland, Hong Kong.

























Everland Theme Park, Seoul, Korea










Begitulah usaha manusia mencari hiburan dan kegembiraan sementara dalam kehidupan di dunia.  Imaginasi manusia dijelmakan melalui rekaan dan cipataan yang menarik penuh warna warni, menggunakan teknologi robotik, elektrik/elektornik yang digabungkan dengan senireka (design), artistik dan muzikal.  Kebijaksanaan manusia ini adalah pinjaman daripada Allah. Kegembiraan yang sementara ini juga adalah sebahagian kurniaan Allah kepada manusia yang patut disyukuri, sebaliknya kebanyakan manusia mengingkarinya.  Pada akhirnya kepada Allah semuanya akan dikembalikan.


`Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar.'
                                         Surah An Nahl (16) : 83                               

`Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Dia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.  Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.'
                                Surah Al Hajj ((21)  :  65 - 66                    

Friday, June 17, 2011

Mara Ke Muara


 Sekali sekala `outing' bersama keluarga tentunya seronok dan menambah erat ikatan kekeluargaan, terutama apabila ada sesuatu `occasion' yang hendak diraikan seperti ulang tahun kelahiran atau ulang tahun perkahwinan ahli keluarga dan sebagainya. Pada bulan April, 3 orang ahli keluarga kami menyambut ulang tahun kelahiran, manakala awal Mei seorang lagi diiringi dengan ulang tahun perkahwinan. Fikir punya fikir ke manakah hendak dibawa mereka makan-makan bersama keluarga, saya teringatkan suatu tempat makan yang pernah dibawa oleh seorang sahabat yang tinggal di Klang. Pengalaman betapa enaknya makan nasi lemak bersama dengan ikan bakar, udang, ketam dan sotong goreng tepung, ikan siakap 3 rasa dan air kelapa muda masih terasa tergiur dilidah.  Jadi pada kali ini untuk meraikan ahli keluarga itu, kami sekeluarga mara ke Muara, Pelabuhan Utara, Klang.  



Yam! yam! sedap sehingga menjilat jari
  
    
Yang tinggal hanya tulang

 
Restoran Muara yang sebahagiannya dibina di atas pelantar kayu menganjur ke laut. Suasana nyaman dengan riak-riak kocakan air di bawah pelantar disertai dengan tiupan angin barat laut dari Selat Melaka, mencipta aura romantik bagi pasangan yang bercinta. Ketika air pasang dan laut pula berombak, maka akan terasa percikan air laut ke pelantar, suatu pengalaman baru bagi cucu-cucu kami yang masih belajar meneroka alam ini. Pada waktu menjelang senja dapat dilihat perubahan fenomena alam, langit menjadi kemerah-merahan, matahari mulai menurun ke kaki langit dihujung lautan sejauh mata memandang. Apabila suasana sudah semakin gelap, matahari masuk ke tempat pembaringannya, azan pun berkumandang menandakan waktu maghrib, siang berganti malam. Itulah tanda kebesaran ciptaan Allah yang perlu kita hayati dan pada masa ynag sama mendidik kanak-kanak untuk memahaminya.



Menikmati keindahan suasana senja di Muara

Pada ketika tertentu kita dapat melihat kapal-kapal yang sedang belayar masuk atau keluar dari Pelabuhan Utara. Kanak-kanak begitu teruja melihat kapal-kapal itu, sambil memanggil-manggil dan melambai-lambaikan. Tersimpan dihati satu hasrat pada suatu ketika nanti akan menaikki kapal pelancungan tersebut(Star Cruises) meredah lautan, mengmbara mencari pengalaman baru.



Star Cruises sedang belayar menuju destinasi



Teruja
Kemuncak acara makan-makan adalah meraikan ahli keluarga yang menyambut ulang tahun kelahiran.  Seorang dilahirkan pada bulan Mac, 4 orang pada bulan April dan seorang lagi pada awal Mei.



Yang diraikan

Anak-anak dan menantu semuanya bersepakat menghadiahkan netbook untuk mama.  Kata mereka supaya senang mengemaskinikan blog dan berinteraksi dengan mereka melalui facebook.  Alhamdulillah, terima kasih kepada mereka semua, termasuk suami yang berbelanja besar untuk acara makan-makan ni.  Semoga Allah memberkati kehidupan kami sekeluarga.


Hi! Hi! Birthday present untuk Mama yang dilahirkan pada 4 April  

Gambar-gambar kenangan keluarga



Mama with all the girls

Mama with all the boys