Monday, June 13, 2011

Lagi Pesan Ayahanda (sambungan)

Belajar, Berkahwin dan Berkeluarga

Anna berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian dalam tempuh masa yang ditetapkan. Pelbagai cabaran dan momen suka duka yang dihadapi oleh Anna dalam tempuh tersebut. Ayahandanya sentiasa memberi pesan agar banyak-banyak bersabar dan kuat semangat untuk menghadapi segala masalah dan cabaran, terutama bertolerensi dengan pasangan hidupnya.

Anna dinikahkan dengan jejaka pilihan beberapa hari sebelum mendaftar masuk ke tahun pertama Universiti.  Tiada kenduri mengumumkan perkahwinan mereka, kerana ayah dan ibunya tidak sempat hendak membuat persiapan.  Anna dinikahkan kerana ayahnya hendak menghalalkan pergaulan Anna dengan buah hatinya, dibimbangkan Anna nanti sentiasa berkepit ke sana-sini di kampus.  Semasa cuti penggal pertama barulah ayahnya mengadakan majlis kenduri sempena perkahwinan mereka.

Ketika peperiksaan akhir tahun pertama itu, Anna dilanda `morning sickness' mengandungkan anak pertama. Alhamdulillah, Anna dapat menghadapi peperiksaan itu dengan jayanya dan dapat meneruskan pengajian di tahun kedua. Ketika di penggal pertama tahun kedua, Anna terpaksa meninggalkan kelas selama 2 minggu, pulang ke kampung kerana melahirkan anak sulungnya. Anak yang berumur dua minggu itu terpaksa ditinggalkan di bawah jagaan ibunya. Berjujuran air mata Anna ketika hendak berangkat balik ke ibu kota untuk meneruskan pengajian. Sedih dan pilu tidak terkira rasanya berjauhan dengan anak yang disayangi dan memerlukan belaan seorang ibu. Pasti bayi ini merindui susu ibunya dan belaian kasih sayang ibu yang mengandungkannya. Pesan ayahanda Anna menguatkan azam Anna agar banyak bersabar dan meyakinkan Anna yang anak itu akan lebih baik terbela oleh neneknya sendiri dari dijaga oleh pengasuh ketika Anna menghadiri kuliah dan sibuk dengan tugasan pengajian.

Anna kembali mengikuti kelas dalam tempuh berpantang. Alhamdulillah, kawan-kawan Anna membantu meminjamkan nota-nota kuliah yang ketinggalan. Setiap cuti penggal Universiti, Anna akan balik ke kampung menjenguk anaknya. Ketika cuti akhir penggal, Anna mengambil semula anaknya yang berumur 7 bulan ketika itu. Walau bagaimana pun, pada penggal pertama tahun ketiga, sekali lagi Anna terpaksa meninggalkan kuliah selama 2 minggu kerana melahirkan anak kedua. Masa tu masih jahil dalam bab perancangan keluarga. Anugerah Allah diterima dengan penuh rasa syukur. Sekali lagi, bayi kedua ini juga terpaksa ditinggalkan di bawah jagaan neneknya, manakala anak sulung dah diambil di bawah jagaannya sendiri. Ketika ini Anna memerlukan pembantu untuk menjaga anaknya ketika ke kampus menghadiri kuliah. Keprihatinan ibu mertua mencarikan pembantu rumah, membolehkan Anna mengikuti kuliah, sesi tutorial dan perbincangan kumpulan dengan rakan-rakan satu pengajian pada tahun ketiga itu. Tahun ketiga adalah tahun kritikal untuk menentukan tahap lulus dengan ijazah kepujiaan. Alhamdulillah, Anna berjaya mendapat ijazah dengan kepujian yang dicita-citakan.


Sambung Belajar Di Luar Negara

Selepas tamat pengajian, Anna kembali bertugas sebagai guru siswazah, ditempatkan di Sekolah Menengah di Kuala Lumpur. Hampir 2 tahun mengajar di sekolah tersebut, Anna bertukar ke kampung halaman kerana mengikut suami yang bertukar ke sana. Selama 4 tahun mengajar, Anna merasa terpanggil untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, lalu memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat M.A di Universiti di luar negara. Masa itu masih belum ramai guru-guru yang berminat untuk berbuat demikian, sebab tu agak mudah bagi Anna mendapat biasiswa berkenaan. Anna ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat M.A di salah sebuah Universiti di Amerika Syarikat. Rakan-rakan guru di sekolah Anna seolah-olah tidak percaya yang Anna hendak melanjutkan pelajaran ke USA, malah ada yang tertawa seolah-olah mengejek dan kehairanan. Begitu juga dengan adik beradik dan ipar Anna, mereka menganggap Anna berangan `mat jenin'. Mengikut Anna, ayahnya hanya merestui pemergiaannya ke USA jika sekiranya suami dan anak-anak turut serta. Dia tidak mahu Anna berpisah jauh dari keluarga, demi menjaga keharmonian rumah tangga.  Ayahnya sentiasa berpesan, tempat isteri adalah disisi suami, jadi jangan sekali-kali meninggalkan suami begitu lama kerana mengejar kerjaya.

Anna berangkat ke USA semasa cuti persekolahan akhir tahun.  Jadi kebanyakan rakan guru tidak tahu yang Anna dah melanjutkan pelajaran. Sebagaimana yang dikehendaki oleh ayah Anna, maka Anna ke USA bersama keluarga. Suaminya yang setia ikut serta, berkorban untuk keluarga dengan mengambil cuti tanpa gaji selama 2 tahun. Banyak cabaran yang dihadapi, termasuk peristiwa suka duka yang dialaminya ketika di USA. Semasa tiba di USA, musim sejuk yang amat mencengkam, suhu di bawah paras beku, salji memutih menutupi bumi, Anna, suaminya dan anak-anak terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan perubahan cuaca mendadak dari panas di Malaysia kepada sejuk menyengat tulang di kawasan tengah USA itu. Anna sekeluarga keletihan dek perjalanan lama dan kelaparan kerana tidak cukup makan ketika dalam pesawat dan semasa transit kerana dibimbangi termakan makanan yang tidak halal. Dengan susah payah meredah salji di waktu dinihari, Anna sekeluarga tiba juga di rumah satu keluarga Malaysia yang dah dua tahun menuntut di Universiti berkenaan. Anna sekeluarga menumpang sementara selama beberapa hari di rumah mereka sebelum mendapat rumah sewa di kawasan kampus Universiti.

Pada saat kritikal penyesuaian diri dengan persekitaran, komuniti, suasana baru dan iklim yang berbeza dari di Malaysia, suami Anna merasa amat tertekan dengan situasi yang dialami sehingga meluahkan rasa menyesalnya bersusah payah mengikut Anna ke USA, sedangkan dia sendiri tiada matlamat apa yang hendak dibuat dan dicapai. Tetapi disebabkan rasa kasih dan sayangnya terhadap keluarga, maka dia sedia menghadapi kesukaran dan cabaran dengan penuh sabar dan berdoa yang terbaik untuk keluarga. Anna pula merasa satu kejayaan telah dicapai, dapat membawa keluarga ke USA dan dapat diterima sebagai pelajar peringkat M.A di salah sebuah Universiti terkemuka di USA, sungguhpun belum lagi menghadapi kuliah dan kerja kursus yang perlu diikuti dan disempurnakan. 

Semasa berangkat ke USA, Anna mengandungkan anak ketiga yang berusia 3 bulan, dan dilahirkan pada musim panas di salah sebuah hospital di USA. Sama keadaanya seperti sebelumnya, Anna terpaksa ponteng kelas selama dua minggu untuk memulihkan diri selepas bersalin. Pada kali ini, Anna dan suami membela sendiri bayi mereka, di samping abang (berumur 6 tahun) dan kakaknya (berumur 7 tahun). Alhamdulillah, Anna dapat menamatkan pengajian dalam tempuh 2 tahun yang diperuntukkan. Kembali dari USA, Anna ditempatkan bertugas sebagai pegawai di Kementerian Pelajaran, tidak lagi sebagai seorang pendidik di sekolah.


Melanjutkan Pelajaran ke Peringkat Ph.D.

Setelah 6 tahun bertugas di Kementerian, sekali lagi Anna ditawarkan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu Ph D. Oleh kerana pada tahun itu Anna dan suami telah mendaftar untuk mengerjakan ibadah haji, maka cita-cita mengerjakan ibadah haji itu diteruskan, manakala tawaran melanjutkan pelajaran ditangguhkan ke tahun berikutnya.

Pada kali ini Anna mendapat tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di salah sebuah Universiti di Canada. Anna merasa bersalah hendak ke luar negara selama sekurang-kurangnya 3 tahun dengan meninggalkan suami serta 5 orang anak kerana semata-mata hendak mengejar impian diri sendiri. Anna mendapat nasihat daripada pegawai seniornya supaya mengutamakan keluarga, terutama anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian dalam pelajaran. Pesan ayahanda Anna juga supaya dia jangan mengabaikan pendidikan terhadap anak-anak dan tanggung jawab terhadap keluarga. Anna menunda pemergian ke Canada, sambil itu mencari alasan sesuai untuk menukar tawaran biasiswa ke luar negara kepada dalam negara. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan urusan itu bagi Anna, maka mendaftarlah Anna di Universiti tempatan untuk program Ph.D.

Pada tahun pertama Anna mengikuti program ijazah lanjutan itu, sekali lagi terpaksa ponteng kelas selama dua minggu untuk berpantang dan memulihkan badan selepas bersalin anak keenam. Kawan-kawan Anna mengusik Anna, betapa aktif dan produktifnya dia. Setiap kali masuk ke Universiti untuk melanjutkan pelajaran, Anna akan membawa perut dan melahirkan anak. Anna dan suami banyak-banyak bersyukur atas kurniaan Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Keluarga membesar, tanggung jawab pun semakin berat dan mencabar. Anak pertama dan kedua akan menduduki peperiksaan penting iaitu, PMR dan SPM dalam tempuh Anna melanjutkan pelajaran itu. Mereka juga sedang meningkat remaja dan perlu diberi perhatian dalam pelajaran mereka dan kawalan pergaulan dengan rakan-rakan sebaya. Jika tidak diberi perhatian, mereka akan membawa haluan masing-masing dan mencari rakan sebaya untuk mendapatkan bimbingan. Jika tersilap didikan dan kurang pengawasan, mereka akan hanyut mengikut arus dan pengaruh kawan-kawan.

Itulah cabaran yang dihadapi oleh seorang isteri, ibu dan wanita yang berkerjaya, perlu menyeimbangkan tugas dan merancang masa supaya tidak mengabaikan mana-mana tanggungjawab yang diamanahkan. Anna bekerja keras siang dan malam, bercengkam mata selama 8 bulan terakhir, tidak tidur dengan sempurna untuk menyiapkan tesis Ph.D. Berkat kesabaran dan kerja keras itu, Allah permudahkan Anna menghadapi pembentangan dan ujian lisan dalam sesi viva mempertahankan hasil penyelidikan dan tesisnya. Alhamdulillah, dengan berkat sokongan, kefahaman dan doa semua ahli keluarga, termasuk ayah dan emak, suami dan anak-anak, adik beradik, rakan-rakan sepengajian dan setugas, Anna dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Analisis Ekonomi. Anna banyak berterima kasih kepada 3 orang Penasihat tesisnya yang bersedia memberi bimbingan dan ilmu pengetahuan sehingga berjaya diterima oleh para penilai dan pemeriksa. Tanpa bimbingan dan nasihat mereka yang konsisten, tidak mungkin Anna akan mendapat gelaran Dr. dalam tempuh pengajian yang ditetapkan. Sampai juga cita-cita Anna untuk bergelar Dr, walaupun tidak dalam bidang perubatan.
 
(Anna memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar roh Allahyarham kedua-dua Pensihat yang telah mendahului kita menemui Yang Maha Asa, agar dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan para salihin.  Kedua-duanya banyak berjasa kepada negara, dan merupakan konsultan kepada kerajaan (EPU, MPEN) dalam merangka Rancangan Pembangunan Malaysia serta program-program ke arah agihan pendapatan yang lebih saksama di Malaysia)

Selepas tamat pengajian, Anna ditempatkan bertugas semula di Kementerian Pelajaran kerana terikat dengan kontrak biasiswa.  Ada cita-cita untuk berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti kerana pada masa itu tidak ramai pensyarah dalam bidang pengajian khusus yang diceburi oleh Anna.  Walau bagaimana pun cita-cita itu terpendam sahaja kerana Anna dimestikan membayar balik kepada Kementerian jumlah biasiswa yang telah digunakan.  Itulah yang berlaku kepada rakan setugas yang berbuat demikian, pada hal Universiti masih berada di bawah Kementerian Pelajaran.  Setelah berakhir kontarak biasiswa, Anna tidak lagi berminat hendak menjadi pensyarah kerana pengetahuan akademik yang dipelajari semasa kursus dahulu telah mula luntur dari ingatan dan memerlukannya membuat ulangkaji semula untuk tujuan pengajaran.  Anna tekad meneruskan tugas di Kementerian sehingga ke umur persaraan.

Dalam tempuh perkhidmatannya, Anna merasa dia telah melakukan yang terbaik setakat yang termampu oleh dirinya, sehingga dua kali dia berjaya mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.  Walau bagaimanapun, Anna merasa sedikit kecewa kerana dikebelakangkan dalam peluang kenaikan pangkat, sesuatu yang Anna tidak faham dalam urusan perkhidmatan di organisasi itu.  Anna pasrah dengan rezeki yang telah Allah tentukan, mungkin ada hikmat di sebalik ketentuan itu.  Oleh itu Anna tidak memilih untuk melanjutkan tempuh perkhidmatan apabila kerajaan meluluskan umur persaraan kepada 56 tahun.

Selepas bersara dari tugas di Kementerian, Anna tidak begitu selesa bila orang memanggilnya dengan gelaran Dr., tetapi kawan-kawan yang mengenalinya masih memanggil dengan gelaran itu. Alasannya kerana rasa susah bila ada salah tafsiran dan orang bertanya tentang penyakit dan ubat untuk merawatnya.  Tapi katanya, kadang-kadang ada juga kelakarnya, dia perlu menjelaskan pula perkara sebenar.


Pesan Ayahanda

Proses pendidikan dan menuntut ilmu berlaku sepanjang hayat. Setelah bersara, di samping menjadi surirumah sepenuh masa, melayani kerenah anak-anak dan cucu-cucu, Anna memberi tumpuan kepada mencari, menambah dan memahami ilmu agama dengan menghadiri kelas-kelas pengajian tafsir Al Quran, kelas Aqidah dan seumpamanya.  Anna merasa dirinya begitu jahil sekali dalam pengetahuan Islam, terutama dalam memahami isi kandungan Al Quran.  Setelah menghadiri kelas-kelas berkenaan, Anna menyedari betapa terlambatnya dia memahami Al Qurab.  Beberapa pesan ayahnya itu terkandung dalam Al Quran, yang merupakan peringtan dan janji Allah kepada hambaNya yang banyak bersyukur dengan kurniaan Allah, sabar, bertawakkal dan beriman kepada Allah.  Di antaranya :

1.   Mensyukuri nikmat dan redha dengan kurniaan Allah

     `Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan (nikmat) kepada mu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat Ku), maka pasti azab Ku sangat berat."                        
                   Surah Ibrahim (14) :  7

     `Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur).'
                  Surah Ad Duha (93)  :  11

    `Wahai manusia!  Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu.  Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepadamu dari langit dab bumi?  Tidak ada tuhan selain Dia; maka mengapa kamu berpaling (dari ketauhidan)?'
                 Surah Fatir (35)  :  3
                                           
2.  Boleh jadi sesuatu yang kita suka itu, tidak baik bagi kita.
    
     `.....boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal sesuatu itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.  Dan ingatlah, Allah jualah yang mengetahui semuanya itu, sedangkan kamu tidak mengetahuinya.'
               Surah Al Baqarah (2) :  216

3.  Mohonlah pertolongan Allah dengan sabar dan solat (berdoa).

    `Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.  Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.'
              Surah Al Baqarah (2)  :  45

4.   Jangan putus asa dengan rahmat Allah.

    `Katakanlah (wahai Muhammad), "Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnyaAllah mengampun segala dosa; sesungguhnya Dialah juga Maha Pengampun lagi Maha mengasihani."
            Surah Az Zumar (39) : 53

5.    Perbanyakkan bertaubat dan bertawakkal kepada Allah.

      `Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulst-bulst kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberi pertolongan.'
             Surah Az zumar (39)  :  54

      `Cukuplah Allah bagiku: tidak ada tuhan selain Dia.  Hanya kepadaNya aku bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki `Arasy yang agung.'
             Surah At Taubah (9)  :  129

6.    Berusaha memperbaiki diri, bertaqwa klepada Allah dan bertawakkal.  

      `Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.  Dan barang siapa yang bertwakkkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya).  Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya).  Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.'
            Surah At Talaq (65)  : 2 - 3
                                         

Itulah di antara beberapa maksud ayat-ayat Al Quran yang Anna dapati selari dengan pesanan ayahandanya.  Banyak lagi ayat-ayat lain yang mempunyai maksud yang sama.  Anna sentiasa berdoa agar diberi hidayah untuk memahami maksud ayat-ayat Al Quran, mengamalkannya dan menyampaikannya setakat yang termampu kepada anak-anaknya.  


2 comments:

  1. Ma, this entry is so inspiring! Thank you for the wonderful story. We more or less can tell who this Anna is. Anna is indeed 1 strong lady : )

    ReplyDelete