Thursday, June 16, 2011

Aduhai Anak Teruna Ku - Pesan Ibu Untuk Mu

`Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.’          (Surah An Nur, 24  :  32)

Tanggung jawab ibu bapa

Ayat di atas merupakan satu perintah Allah kepada kedua ibu bapa untuk mengkahwinkan anak-anak mereka yang sudah layak untuk berumahtangga.  Allah menjanjikan rezeki dari rahmat dan limpah kurniaNya kepada mereka yang mendirikan rumahtangga.

Tapi apakan daya ibu dan bapa ini masih tidak dapat melaksanakan tanggng jawabnya terhadap anak teruna yang seorang ini.  Ya Allah, ampunilah dosa ku, suami ku dan anak-anak ku atas pengabaian melaksanakan tanggung jawab dan amanah Mu.  Tentu ada hikmahnya dari sesuatu yang Allah kehendaki.  Kita sebagai hambaNya hendaklah berusaha dan berdoa memohon agar dianugerahakan dengan sesuatu yang terbaik dari kurniaanNya.

Ibu dan bapa tidaklah begitu kemarut hendak bermenantu atau bercucu, tetapi telah diperintahkan Allah dan menjadi kewajipan kepada ibu bapa untuk mengahwinkan anak-anaknya, sama ada lelaki atau perempuan. Selagi belum selesai tanggung jawab mengkahwinkan anak-anaknya dilakukan, maka selagi itulah ibu bapa merasa masih belum menyempurnakan perintah Allah serta tanggung jawabnya ke atas anak-anaknya. Ibu bapa sentiasa bimbangkan anaknya yang bujang, tiada pasangan di samping yang boleh berkongsi kebahgiaan, dapat menenang dan mententeramkan hati/jiwanya, pasangan untuk berkasih sayang, bermesra dan menikmati kurniaan Allah. Ini adalah kerana Allah telah meyakinkan kita di dalam Al Quran bahawa hakikat penciptaan pasangan kita itu adalah sebagaimana maksud ayat berikut:


`Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang-senang (bertenang tenteram) satu diri kepada yang lain.'
                                           Surah Al `Araf (7) : 189


Apa lagi yang ditunggu?

 Rasulullah s a.w. menyuruh umatnya berkahwin demi untuk menjaga kehormatan diri dan kelangsungan umatnya sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

`Wahai golongan pemuda! Barangsiapa yang mampu di antara kamu untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin! sebab yang demikian itu akan menjaga pemandangan dan memelihara kemaluan.'       (Riwayat Jamaah Perawi)

`Barangsiapa yang mampu bernikah, kemudian dia tiada bernikah, maka dia bukan dari golongan ku.'      (Riwayat Ath Thabrani Dan Al Baihaqi)

 (Kedua-dua hadith di atas dinukilkan dari: Abdullah Nasih Ulwan. "Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, Jilid 2." Pustaka Nasional, Singapura, hlm. 79 dan 87)


Jadi apa lagi lah yang ditunggu oleh jejaka anak teruna ku?  masihkah belum bersedia? belumkah ada calon yang bersesuaian? atau adakah poket belum cukup tebal atau ekonomi belum cukup mantap untuk memenuhi permintaan si dia (hantaran dan majlis resepsi perkahwinan)? adakah kekhuatiran tidak dapat melaksanakan tanggung jawab mengetuai keluarga? atau adakah merasa takut untuk menempuh alam rumah tangga? atau adakah merasa lebih selesa hidup bersendirian, tiada diganggu sesiapa pun (dengan kerenah isteri dan anak-anak)? atau masih belum ada rasa/aura/chemistry cinta kepada seseorang? dan pelbagai macam persoalan yang timbul yang menyebabkan tertundanya keputusan untuk berumah tangga?  Mana satukah faktor atau sebab yang lebih dominan? Cukuplah Allah sebagai penolong mu. Bertawakkallah kepada Allah wahai anak teruna ku!


   حَسۡبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ عَلَيۡهِ تَوَڪَّلۡتُ‌ۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡعَظِيمِ 
                (Surah At Taubah, 9 : 129) 
    
Sudah menghampir setahun setengah yang lalu entri `Aduhai Anak Teruna Ku' dipaparkan di blog ni.   Diibaratkan, kalau bayi yang dilahirkan pada ketika itu, kini dah pun pandai berjalan, berlari dan memanjat tangga, ada tumbesaran, ada kemajuan, ada perkembangan dan ada perubahan.  Malah anak saudaranya yang dilahirkan pada awal Februari dah pun pandai berlari dan mula belajar bercakap. Begitu juga saudara sepupu yang berkahwin pada bulan Jun tahun lepas dah pun menimang cahaya mata beberapa bulan lepas. Tapi entahlah, aduhai anak teruna ku, belum nampak jelas kemajuan pencarian dan persediaan untuk berumah tangga.

Mungkin ada yang akan kata, sabarlah, kemajuan sedang `on the way' ni.  Status masih di peringkat berkenalan, mencari keserasian, memahami hati budi, mendapatkan `chemistry'.  Jangan nanti semakin lama dicari, semakin jauh larinya keserasian itu, walhal kalau bunga-bunga keserasian itu telah berputik, maka sebaiknya dipupuk dan dibajai selepas berkahwin dan hidup bersama.  Manusia tidak terlepas dari melihat kekurangan dan kelemahan orang lain sedangkan diri kita juga dinilai oleh orang lain.  Maka kerana itu perlu ada banyak tolah ansurm bertlerensi dalam kehidupan bersama pasangan dalam berumah tangga.  Jangan ada banyak kekhuatiran (syak wasangka, waswas dan seumpamanya) terhadap alam perkahwinan,  kerana semakin banyak dikhuatiri atau ditakuti, maka semakin seronok syaitan melayani perasaan itu.   
 
Pasangan Mawaddah Warahmah 
 
Pada hakikatnya, Allah menciptakan pasangan suani isteri adalah untuk berkasih sayang dan belas kasihan.  Keyakinan terhadap kebenaran hakikat ini wujud pada orang-orang yang menggunakan akal fikiran (berfikir) sebagaimana ditegaskan dalam maksud ayat berikut:

 وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٲجً۬ا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا 
 وَجَعَلَ بَيۡنَڪُم مَّوَدَّةً۬ وَرَحۡمَةً‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَفَكَّرُونَ

`Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.'
                Surah Ar Rum (30)  : 21

Justru itu, aduhai anak teruna ku, jadilah orang-orang benar-benar berfikir tentang rahsia kurniaan Allah ini.  Janganlah lagi dipersia-siakan kenikmatan yang Allah telah ciptakan untuk kita. 

Apa lagi yang dipilih,  intan atau kaca

Ada desas desus bahawa teruna ku ini telah menemui sebutir intan.  Kata pujangga, hanya jauhari yang mengenal manikum.  Bermakna orang yang bijak, berilmu, berfikiran, dan berpengalaman sahaja yang mengetahui sesuatu yang baik dan bermanfaat bagi dirinya.  Belumkah teruna ku ini menjadi jauhari? Atau adakah intan yang ditemui itu berupa kaca yang jernih tidak bersinar dan berkilau pada penglihatan mu?

Sayangnya, apabila ditanya, teruna ku cuba mengelak diri dari memberi jawapan yang jitu, malah sentiasa memberi jawapan yang samar-samar.  Adakah teruna ku masih menunggu intan digilap sehingga menjadi berlian?  Kalau itulah yang ditunggu, tentunya proses ini mengambil masa, silap-silapnya berputih mata, jauhari lain yang akan mencekup intan itu.  Sebaiknya, aduhai teruna ku, langkah pertama yang perlu diambil adalah ke arah menguasai dan miliki intan itu.  Jangan sekadar melihat, boleh disentuh tak boleh dipegang.  Setelah dimilki, peganglah kuat-kuat, gilaplah sebaik-baiknya dengan penuh rasa sayang supaya menjadi permata hati.      

1 comment:

  1. Salam. Bagus analisa seorang ibu dan saranan yang baik bagi seorang anak. Tetapi almaklumlah, anak muda zaman ini punya cita rasanya sendiri dan tidak mudah dipengaruhi. Kita doakan sahaja semoga Allah kurnia yang terbaik baginya.

    ReplyDelete