Keperluan mengikut buku teks ekonomi, didefinasikan sebagai keinginan individu terhadap barang keperluan asas yang mesti dipenuhi bagi meneruskan kehidupan. Keperluan manusia terhadap barang keperluan asas adalah terhad dan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu: makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Kehendak pula didefinasikan sebagai keinginan individu untuk menggunakan barang dan perkhidmatan bagi menikmati hidup yang lebih selesa. Kehendak manusia tidak terhad, dan bersifat pelbagai dan bergantung kepada citarasa individu.
Setakat Mana Keperluan Asas?
Berasaskan definisi ekonomi di atas, keperluan asas tiap seorang kita tidaklah begitu banyak bagi orang yang berkemampuan atau berpendapatan. Orang yang bertenaga, mempunyai tulang empat kerat, boleh bekerja, serta rajin berusaha, tentunya Allah memberikannya rezeki untuk menampung keperluan asas: tempat tinggal, makanan dan pakaian. Kecualilah orang yang malas bekerja, tidak mahu berusaha serta mengharapkan ihsan orang lain mungkin tidak dapat memenuhi ketiga-tiga keperluan asas itu dari usahanya sendiri, sebaliknya keperluan asasnya itu dipenuhi dengan bantuan orang lain.
Allah mencipta manusia dan Allah lah yang memberikan rezeki kepada mereka, sebagaimana Firman Nya:
`Bukankah Dia (Allah) yang menciptakan (makhluk) dari permulaannya, kemudian mengulanginya dan memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi?'
(Surah An Naml : 64)`Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi sesiapa yang Dia kehendaki)'
(Surah Ar Ra`d : 26)Keperluan asas adalah untuk kelangsungan hidup. Dalam ketiga-tiga jenis keperluan asas itu mengandungi elemen penjagaan kesihatan, seperti tempat tinggal untuk tempat tidur dan istirehat setelah penat bekerja, tempat membina keluarga yang sihat, tempat beribadat, tempat melindungi diri dari hujan, panas dan cuaca buruk dan seumpamanya. Manakala makanan pula untuk memastikan diri sentiasa sihat dan bertenaga bagi membolehkan seseorang bekerja dan beribadat. Pakaian pula untuk melindungi tubuh badan dari kesan udara panas atau sejuk serta menutupi aurat seseorang.
Keperluan asas menjadi semakin bertambah dan pelbagai dengan perubahan kehidupan yang semakin rencam. Umpamanya keperluan tempat tinggal meliputi juga kemudahan-kemudahan asas penting bersamanya, seperti bekalan air bersih, letrik/bahan bakar dan lain-lain keperluan rumah seperti dapur dan perkakasan memasak, peralatan tempat tidur, perabut yang sederhana dan sebagainya. Pada masa sekarang, mungkin memiliki kenderaan seperti kereta atau motosikal telah menjadi satu keperluan asas untuk membolehkan seseorang keluar rumah mencari rezeki atau pergi ke tempat kerja.
Dengan meningkatnya skop keperluan asas, maka seseorang perlu bekerja lebih untuk mendapatkan pendapatan yang lebih bagi membiayai keperluan asas itu. Insya Allah siapa yang berusaha, `Allah akan melapangkan rezekinya'.
Alhamdulillah, Allah melimpahkan sumber rezeki yang banyak kepada bumi Malaysia sehinggakan rakyat asing turut sama berhijrah untuk mengutip rezeki di Malaysia. Jika penduduk Malaysia sendiri tidak berupaya memenuhi keperluan asas mereka sehinggakan mengalami kebuluran, tiada tempat tinggal dan tidak berpakaian (untuk menutup aurat), maka bermakna sesuatu yang tak kena wujud pada rakyat Malaysia seperti tiada kemahiran, malas berusaha/bekerja. Kemungkinan juga wujud sesuatu yang tidak kena pada cara pengurusan sumber kekayaan/rezeki di Malaysia yang tidak menyeluruh dan saksama kepada semua rakyatnya. Kemungkinan lain adalah merupakan satu bentuk ujian atau kemurkaan Allah kepada hambanya kerana `Allah menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang dikekehndaki Nya'.
Kehendak (kemahuan ) Mengikut Citarasa
Setelah berupaya memenuhi keperluan asas tersebut, manusia biasanya berusaha pula untuk memenuhi kehendak (kemahuan) ke arah kehidupan yang lebih selesa, mewah dan memenuhi citarasa zaman kini. Dengan meningkatnya status sosio-ekonomi di Malaysia, ternyata rakyat Malaysia berlumba-lumba berusaha untuk memenuhi kehendak mereka ke arah keselesaan dan kemewahan hidup. Pendek kata dunia 5F yang penuh dengan kemewahan menjadi sebahagian kehendak atau matlamat hidup mereka, iaitu:
Fesyen - pakaian berjenama mengikut aliran/perubahan fesyen.
Filem - hiburan baik yang berupa filem, TV, VCDs, gambar-gambar digital, internet dan sebagainya.
Food - makanan mewah dan banyak di restoran-restoran, cafe, supermarket dan sebagainya.
Football - mewakili dunia sukan, meliputi sukan mewah seperti F1, golf, sukan berkuda seperti polo, sukan air dan sebagainya.
Finance - untuk mendapatkan barangan mewah, orang sanggup berhutang mengambil kredit daripada bank atau melalui kad kredit
Ada orang yang berusaha mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan tinggi supaya dapat/mampu memenuhi kehendak/cita-cita mewah seperti: memiliki kediaman selesa, melengkapkan rumah dengan perabut dan perhiasan mewah, memakai pakaian berjenama serta mengikut aliran perubahan fesyen, memiliki kereta berjenama/mewah, memenuhi masa lapang dengan dunia hiburan dan melancung ke luar negara. Tidak cukup dengan pendapatan yang diperolehi, ditambah pula dengan mengambil kredit daripada bank-bank atau institusi kewangan dengan menggunakan kad kredit.
Allah mengingatkan kita mengenai hakikat kehidupan yang bersifat mengejar kemewahan ini melalui Firman Nya yang bermaksud:
`Manusia itu diberi perasaan berhasrat (diingini nafsu) kepada wanita, anak-anak, kekayaan yang melimpah-limpah, dari emas dan perak, kuda yang bagus-bagus, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia.'
(Surah Ali Imran : 14)`Ketahuilah olehmu, hanya sanya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan bermegah-megah antara sesama kamu, berlomba-lomba banyak kekayaan dan anak-anak.'
(Surah Al Hadid : 20)Ada orang yang bersungguh-sungguh bekerja sehingga mengabaikan tanggung jawab kepada Allah dan Rasul Nya dan keluarganya, semata-mata kerana mencari kekayaan dunia, yang kononnya untuk kebahagiaan keluarga dengan menyediakan kediaman dengan pelbagai kemewahan tetapi melupakan pendidikan agama yang sewajarnya kepada anak-anak sehingga mereka melupakan agama mereka. Inilah yang disebutkan di dalam al Quran sebagai mengejar kehidupan yang dekat (dunia) dengan melupakan kehidupan yang kekal (akhirat). Allah melarang perbuatan ini sebagaimana dalam maksud Firman berikut:
`Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta bendamu, dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Dan sesiapa yang berbuat demikian, merekalah orang-orang yang menderita kerugian.'
(Surah Al Munafiqun : 9 )Bersyukur Dengan Kurniaan Allah
Bagi sesetengah orang pula, kehidupan mewah hanyalah merupakan sebahagian angan-angan mereka, kerana `hajat hati ingin memeluk gunung, tetapi apakan daya tangan tak sampai.' Ada kemahuan/cita-cita, tetapi tiada kemampuan untuk merealisasikannya, maka berpada dan bersyukur dengan rezeki yang diperolehi. Allah mengingatkan kita melalui Firman Nya yang bermaksud:
`Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah pedih.'
(Surah (Ibrahim : 7 ) Jangan pula dek kerana cita-cita atau kemahuan yang bersangatan untuk memperolehi kekayaan dan kemewahan, seseorang berusaha mendapatkanya secara tidak halal, umpamanya melalui penipuan, rasuah dan riba.
Jelas di dalam al Quran, `Allah menghalalkan berjual beli, (berniaga) dan mengharamkan riba.' (maksud Surah Al Baqarah : 275).
Kekayaan yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah bermaksud untuk menguji kita, sama ada dengan kekayaan yang kita ada itu menjadikan kita lebih hampir kepada Nya, iaitu: dengan sentiasa beristghfar memohon keampunan daripada Nya, melaksanakan perintah-perintah Nya dan menjauhi larangan Nya, membuat kebajikan dengan menginfakkan rezeki yang diperolehi, serta sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Nya. Allah bermaksud hendak menguji siapakah di antara kita yang paling baik amalannya, sebagaimana Firman Nya yang bermaksud:
`Sesungguhnya Kami jadikan apa yang dibumi sebagai perhiasan baginya supaya Kami menguji akan mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya.'
(Surah Al Kahfi : 7 )
`Dan barang apa sahaja yang kamu nafkahkan (infakkan), maka Allah akan menggantikannya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.'
Pengalaman saya melihat anak-anak dan menantu-menantu saya mengumpulkan barangan untuk `garage sale', SubhanAllah, banyaknya barang-barang yang melebihi keperluan asas untuk kelangsungan hidup. Ternyata barang-barang itu diperolehi dari sebab mengikut kehendak/kemahuan yang berasaskan elemen 5F di atas. Saya ingin mengingatkan diri saya, keluarga saya, anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu saya, serta pembaca catatan ini agar mengurangkan kehendak kepada 5F itu, supaya apa yang kita ada/miliki tidak melebihi atau melampaui batas keperluan asas yang munasabah.
Beberapa peringatan Allah supaya kita tidak keterlaluan dalam mengejar kekayaan dan kemewahan dunia sebagaimana dalam Firman Nya yang bermaksud:
`Maka janganlah kamu dapat ditipu oleh kehidupan dunia.'
(Surah Luqman : 33 )
`Kamu dilalaikan oleh perlombaan memperbanyakkan (kekayaan).'
(Surah At Takatsur : 1 )
`Harta benda dan anak-anak kamu menjadi fitnah (ujian). Dan disisi Allah ada pahala yang besar.'
(Surah At Taghabun : 15 )
Kehendak keduniaan yang melampaui batas itu akan berkurangan apabila kita mula insaf akan kelalaian kita.
ReplyDeleteAda orang bila meningkat tua , mula timbul keinsafan, tapi ada juga walau pun tua ingat belum nak mati lagi.
Yang paling beruntung ialah walaupun masih muda tapi sudah boleh membezakan buruk baik sesuatu ( hasil didikan ibubapa mungkin? ).