Wednesday, November 24, 2010

Kasih Sayang dan Kepercayaan (Trust)

Assalamualaikum.

Beberapa ketika tergugat masa untuk mencatat dan mengirim ke blog ini. Pelbagai alasan boleh diberi, tak de masa free nak mengadap komputer, sibuk dengan kerja-kerja tak penting, melayani kerenah anak cucu, dan macam-macam lagi, tetapi yang sebenarnya adalah sikit rasa malas nak menaip catatan.  Bukannya tak ada idea, malah berlambak-lambak dalam ingatan untuk dikongsi bersama generasi muda agar dapat dijadikan panduan dan teladan.  Maka dikuatkan lah jugak semangat untuk melaksanakan sebahagian dari tugas yang diamanahkan kepada kita sebagai manusia terutama orang-orang Islam untuk ingat mengingatkan mengenai kebenaran dan nasihat menasihatkan supaya menetapi kesabaran, sepertimana yang difirmankan oleh Allah di dalam al Quran, Surah Al `Ashr (103) supaya kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.  Setakat ni dulu dapat dicatatkan, nampaknya terganggu lagi entri ini sehingga beberapa minggu dan mungkin beberapa bulan. Akan cuba disiapkan juga akhirnya.

`Give and take'  dan Tolerensi Suami Isteri

Dalam entri bertajuk Cinta Dan Cemburu, pernah saya ceritakan kisah pengorbanan seorang isteri yang terlalu mencintai suaminya, dan pengorbanan suami untuk memenangi semula kepercayaan isteri terhadapnya kerana ia  pernah menodai kasih sayang isterinya.  Begitulah `give and take'  dan tolerensi yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang dianugerahi dengan rahmat Allah atas kehendaknya untuk memanjangkan jodoh keduanya.  Ianya juga hasil usaha, kesabaran dan doa mereka serta keluarga keduanya yang inginkan keharmonian keluarga dan kasih sayang mereka terhadap anak-anak.  Sebaliknya jika salah seorang daripadanya, sama ada suami atau isteri berkeras dengan pendirian masing-masing, ingin menegakkan benang basah, tidak mahu mengaku salah atau mengaku kalah, enggan bertolerensi, maka padahnya membawa kepada ketegangan rumah tangga dan akhirnya memngambil jalan mudah untuk berpisah.  Perceraian membawa kepada perpecahan keluarga.  Syukurlah, keinginan untuk memelihara keharmonian keluarga adalah didorong oleh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataala.

Catitan tentang kasih sayang dan kepercayaan ini dibuat atas rasa terpanggil dek gelombang dalam rumah tangga dan hubungan kekeluargaan antara anak-anak dan menantu-menantu.  Sebagaimana kata-kata perbandingan, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora, maka begitulah juga dalam alam perkahwinan, rumah tangga mana yng tidak dilanda badai.   Oleh itu dalam setiap rumah tangga perlu ada kasih sayang yang mantap dan percaya mempercayai antara satu sama lain.  Tetapi kepercayaan yang diberikan kepada pasangan tidaklah sehingga 100 peratus sehingga menyebabkan pasangan kita yakin bahawa kita tidak akan mengesyaki sebarang tindakan atau perbuatannya yang menyalahi janjinya dengan kita.  Kepercayaan 100 peratus hanyalah layak diberikan kepada Allah dan RasulNya.  Sedikit ruang perlu ada dalam hati kita untuk kita `reserve' boleh menerima hakikat perbuatan pasangan yang bercanggah dengan piawaian yang kita tetapkan.  Maka perlulah kita membuat siasatan atas perbuatan pasangan kita yang tidak kita sukai/setujui itu. Adanya ruang `reserve' dalam hati kita itu membolehkan kita memaafkan pasangan kita, dan memperbaiki hubangan kasih sayang.

Jangan Abaikan Perintah Allah

Dalam entri ini, saya ingin mengingatkan  anak-anak dan menantu-menantu serta cucu-cucu saya mengenai pentingnya membina keharmonian keluarga berasaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Taala.   Diperingatkan sekali-kali tidak alpa melaksanakan perintah/suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.  Apabila kita tidak melaksanakan perintah Allah seperti dengan meninggalkan solat atau tidak melaksanakan suruhan-suruhan Allah yang lain,  bererti kita telah melaksnakan satu dosa dan kita telah menempatkan satu titik hitam yang menutupi hati kita daripada petunjuk Allah. Kita juga membenarkan syaitan menguasai hati dan menggerakkan anggota kita ke arah perbuatan maksiat dan kejahatan.  Seterusnya syaitan akan menggoda/merasuk kita agar menjauhkan diri kita daripada mengingati Allah, maka bertindan-tindanlah perbuatan dosa yang kita akan lakukan, dan semakin jauhlah kita daripada petunjuk dan rahmat Allah.  Bayangkanlah, bagaimanakah kita hendak menjaga keharmonian kehidupan berkeluarga dan rumah tangga kita jika syaitan mengausai diri kita?

Banyakkan Beristighfar

Bayangkanlah juga jika banyak perbuatan dosa yang telah kita lakukan dalam sehari, sudah tentu syaitan akan mengausai kita dan menjadikan kita lagha dengan aktiviti yang melekakan kita seperti menonton TV, hiburan, filem, chatting di internet dan sebagainya.  Kelekaan kita terhadap aktiviti tersebut mempengaruhi kita untuk menunda-nunda dari mengerjakan solat, membaca al Quran, mengerjakan amal kebajikan dan ibadah-badah lain, dan menjauhkan kita dari mengingati Allah.  Syaitan/iblis berjanji kepada Allah untuk menyesatkan manusia dengan menjadikan perbuatan dosa sebagai baik atau terasa indah pada pandangan manusia seperti mana yang ditegaskan dalam al Quran, Surah Al-Hijr (15) : 39-40 yang maksudnya seperti berikut:

       `Ia (iblis) brekata, "Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku akan jadikan  (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Mu yang terpilih di antara mereka."

Bersyukurlah jika kita cepat sedar dari kelekaan itu dan perbanyakkan beristighfar memohon keampunan Allah atas kealpaan dan perbuatan dosa kita.


Menjauhi perkara lagha

Generasi muda sekarang suka melayari internet terutama merayau-rayau di laman web seksual, bercatting dengan entah sesiapa yang baru dikenali, menonton filem/video clip, menonton perlawanan bola sepak, menghadiri pusat-pusat hiburan, atau lepak-lepak di cafe dan seumpamanya dengan bertongkat mata sehingga ke dinihari, tidakkah itu membuang masa dan lagha?  Barangkali seronoknya mengalahkan rasa mengantuk sehingga bersedia melawan sunnatullah yang telah ditetapkan dalam al Quran, waktu malam untuk kita berehat dan tidur, manakala waktu siang terang benderang untuk kita bekerja mencari rezeki daripada kurniaan Allah (Surah Yunus, 10 : 67; Surah Al-Furqan, 25 : 47).  Sebaik-baiknya sebahagian malam digunakan untuk tahajjud, mengingati Allah dan mendekatkan diri kepada Allah.   Pada tanggapan kebanyakan orang muda, ibadah-ibadah sunat itu adalah khusus untuk orang-orang tua atau orang pencen yang menyiapkan diri untuk menemui Allah.  Jadi, kalau diri masih belum bersedia untuk melakukan ibadah-ibadah sunat itu kerana merasa diri masih muda, sekurang-kurangnya ikutilah sunnatullah, dengan mengamalkan tidur yang cukup bagi menjaga kesihatan supaya lebih cergas di siang hari dan dapat meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti.

Contoh mudah kesan lagha dari berchatting oleh seseorang, dah berchatting dengan orang yang tidak dikenali selama beberapa lama sehingga ke waktu dinihari, timbul pula rasa seronok dan melekakan, tambah-tambah pula dengan perkataan jiwang-jiwang.  Keinginan nak berchatting lagi bergelora, kemudian diikuti dengan ingin bertemu muka, berikutnya ingin meneruskan persahabatan, seterusnya terjadilah fitnah, alpa tanggung jawab pada keluarga, diri pun dah macam orang mengelamun, maka timbullah syak wasangka dari pasangan yang menggugat kerukunan rumah tangga, terjadilah perbalahan/perang mulut, rasa cemburu, rasa tidak disayangi dan macam-macam lagi berjangkit kepada ungkitan perkara-perkara kecil yang menjejaskan  hubungan kekeluargaan.  Tidakkah perkara lagha itu membawa ancaman dan mudharat kepada ikata kasih sayang dan kepercayaan yang selama ini dipupuk?  Oleh itu jauhilah perkara-perkara lagha sedemikian.

Semoga anak-anak dan menentu-menantu, serta cucu-cucu saya memahami apa yang catatkan ini.  Didoakan semoga mereka sentiasa dipelihara oleh Allah dan dijauhkan dari melakukan perkara-perkara lagha itu.


Catitan:

Entri ini tertangguh beberapa kali, tidak diposkan, sehinggalah rakan-rakan blogger memberi motivasi untuk saya terus mencatat di blog ini. Orang yang dah berumur juga memerlukan motivasi, maka atas motivasi itulah, maka entri ini disiapkan dan dipostkan.

Terima kasih kepada Kerabu Jantung dan  Inspirasi Mawwadah.

2 comments:

  1. Congratulations and welcome back to cyber world!

    ReplyDelete
  2. Salam. Am glad to see you back again. I am learning from your concept of 100% trust.May Allah grant me the wisdom to forgive and forget as we go through life. Am looking forward to read more.......

    ReplyDelete