Saturday, January 16, 2010

Biarkan Semua Kerisauan Itu Berlalu......


Dari catatan yang lepas, pembaca mungkin berkata, banyak sangatlah kerisauan blogger ni, apakah dia ni tak waras ke?  Oh! jangan salah sangka, saya masih siuman, waras dan rasional.  Kerisauan saya tidaklah bersangatan hingga membawa kepada penyakit seperti: kerunsingan yang mengganggu fikiran, tidak dapat berfikir rasional, tidak siuman, kemurungan sehingga melupakan diri sendiri atau tidak dapat menjalani kehidupan harian secara normal.

Harapan Seorang Ibu

Catatan saya mengenai kerisauan seorang ibu adalah merupakan pengalaman saya dalam kehidupan berkeluarga, menghadapi pelbagai kerenah semasa membesarkan anak-anak dari bayi sehingga dewasa dan keinginan (expectatioan) seorang ibu terhadap anak-anaknya.  Kerisauan timbul dari kerana keprihatinan, cakna (caring) dan rasa kasih sayang ibu terhadap anak-anaknya, sehingga si ibu meletakkan suatu tahap piawaian (standard) yang diharapkan dapat dicapai/diperolehi oleh anaknya.

Tujuan semua catatan yang telah diketengahkan adalah supaya anak-anak membacanya dan memahami hasrat yang tersirat dalam catatan tersebut.  Ibu akan sentiasa memikirkan hal anak-anaknya dan ada kalanya membawa kepada rasa risau jika keadaan anak-anak tidak sama dengan apa yang diharapkan (expectation). Seboleh-bolehnya si ibu tidak mahu anak-anaknya mengalami keadaan atau kerisauan yang sama sepertinya sewaktu anak-anaknya menghadapi kehidupan berkeluarga nanti.


Tips Ringkas Menyelesaikan Masalah

Apa yang penting adalah bagaimana kita mengatasi masalah yang membawa kepada kerisauan kita.  Dalam ilmu pengurusan, banyak kaedah-kaedah penyelesaian masalah yang boleh diaplikasikan dalam menyelesaikan masalah kehidupan kita.  Tapi ada pula yang kata, semasa kita menghadapi masalah, tak sempat pun nak merujuk kepada kaedah-kaedah tu.  Biasanya kita mengambil tindakan secara instant untuk menyelesaikan masalah, dengan kata lain pakai hentam saja atau cuba-cuba.  Sudahnya kita yang menanggung akibat sama ada masalah tak selesai, atau masalah lain yang timbul, atau penyelesaian tidak memuaskan.

Secara umumnya, tips ringkas untuk menyelesaikan masalah:

i.                     Kenalpasti apa masalah sebenar;
ii.                   Kenalpasti apa punca masalah;
iii.                 Kenalpasti alternative tindakan untuk menyelesaikan masalah dan kesan-kesannya;
iv.               Mengambil tindakan mana-mana alternatif yang paling efektif untuk menyelesaikan masalah, tetapi paling minima dari segi kos dan kesan sampingannya (kesan negatif).

Kita tidak boleh melarikan diri dari masalah tanpa menyelesaikannya. Ada orang yang melarikan diri dari masalah dengan pergi mengembara ke mana-mana, selama beberapa hari, kononnya untuk mencari ketenangan dan `mencari diri’, kemudian kembali dengan cuba melupakan masalah tanpa menyelesaikannya.  Perkara yang menjadi masalah tidak selesai dan akan datang kembali menghantui fikiran orang itu.  Dia akan pergi lagi mencari diri dan cuba lagi lari dari masalah.  Begitulah keadaannya, masalah tak juga diselesaikan.

Biarkan Berlalu

Jika kita gagal menyelesaikan masalah mengikut kaedah-kaedah di atas, maka biarkanlah berlalu untuk sementara waktu masalah itu dari pemikiran kita dengan cara menyibukkan diri kita dengan perkara-perkara lain, umpamanya: memberi tumpuan kepada tugasan di pejabat, melakukan sesuatu yang menjadi hobi (misalnya mengait crochet, menghias rumah, berkebun dan lain-lain), membaca buku/novel/majalah, beriadah dan seumpamanya.   Insya Allah dengan usaha dan doa, masalah akan dapat diselesaikan.

Selain daripada itu, boleh juga berbincang dengan kawan-kawan yang pernah menghadapi mengenai masalah yang sama dan mendapatkan nasihat atau cadangan mereka mengenai cara menyelesaikannya.  Walau pun masalah sama, tetapi cara penyelesaiannya mungkin berbeza mengikut keadaan dan situasi.

Mengubati Diri

Bagi orang yang menghadapi masalah, hanya dia saja yang mengetahui betapa berat atau rumitnya masalah itu bagi dirinya. Orang lain mungkin juga boleh merasainya, tetapi tentunya berbeza dari segi degree perspektifnya.  Orang lain tidak mungkin akan dapat menyelesaikan masalah untuk kita, dan tidak mungkin juga dapat mengatasi kerisauan kita. Oleh itu kitalah yang perlu menghadapi masalah itu dan berusaha mengatasi kerisauan kita.

Cara-cara efektif untuk mengatasi kerisauan adalah dengan mengamalkan kaedah-kaedah yang disarankan dalam agama kita, iaitu dengan merujuk kepada al Quran dan al Sunnah.  Di antaranya ialah :

i.                     Beristghfar – memperbanyakkan istighfar, memohon ampun kepada Allah atas kesalahan-kesalahan kita.
ii.                   Qiamullail dan Solat hajat – minta Allah melapangkan dada dan menunjukkan jalan ke arah penyelesaian masalah yang dihadapi. Solat Istikharah juga boleh dilakukan untuk memilih penyelesaian terbaik kepada masalah.
iii.                  Berzikir  -  memperbanyakkan berzikir mengingati Allah seperti dengan bertasbih, bertahmid, bertakbir, dan lain-lain zikir yang disunnahkan dari Rasulullah.
iv.                 Berdoa – memperbanyakkan membaca doa-doa yang ma`athurat, iaitu daripada hadith Nabi dan daripada al Quran.
v.                   Membaca al Quran – memperbanyakkan membaca al Quran.  Al Quran adalah penawar dan rahmat bagi orang-orang  beriman dengannya dan mengamalkan isi kandungannya.  (Maksud Surah Al Isra’  : 82)
vi.                 Sabar dan bertawakkal kepada Allah.

Allah menyuruh kita memohon pertolongannya dengan sabar seperti dalam firman Nya yang bermaksud:

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk
                                                                  (Surah Al Baqarah : 45)

Allah juga berjanji akan memperkenankan permohonan orang-orang yang berdoa kepadanya sebagaimana dalam firman Nya yang bermaksud:

Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beri tahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada Ku.  Maka hendaklah ia menyahut seruan Ku (dengan mematuhi perintah Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
                                                               (Surah Al Baqarah : 186)

Terdapat banyak ayat-ayat atau surah-surah tertentu yang boleh diamalkan sebagai doa untuk melapangkan hati dan fikiran, meringankan rasa terbeban dari masalah yang dihadapi serta memohon Allah memudahkan urusan kita.  Di antaranya:

i.                       Surah Al Insyiraah : 1-8
ii.                     Surah Al Baqarah : 285-286
iii.                    Surah Taaha :    25-28  

Salah satu doa yang ma`athurat (daripada Rasulullah) yang patut diamalkan pagi dan petang atau setiap lepas solat, fadhilatnya untuk menghilangkan rasa gundah, risau, rungsing serta memohon terlepas daripada bebanan hutang adalah seperti berikut:

“Ya Allah, aku berlindung dengan Mu daripada kegelisahan dan kesedihan, dan aku berlindung dengan Mu daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung dengan Mu daripada sifat penakut dan bakhil dan gagal, dan aku berlindung dengan Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”    (HR: Abu Daud daripada Sai`id Al Khudriy; Menurut Imam Al Nawawi: Hadith Hasan)

Sila rujuk kepada buku-buku doa berikut untuk doa ini dan doa-doa lain dalam versi bahasa Arab:

  1. Dr. Abdullah Yasin.  `Koleksi Doa dan Zikir.’ Al-Furqan Enterprise, 2005 
  2. Dr. Abdullah Yasin. `Wirid Rasulullah S.A.W. Pagi dan Petang.’ Al-Furqan Enterprise, 2003 


Monday, January 11, 2010

Aduhai Anak Teruna Ku .....


Saya tidak tau di mana silap saya ketika memberi pesanan dan nasihat kepada anak lelaki ini ketika dia meningkat dewasa.  Seingat saya, nasihat pada anak lelaki lain juga sama saya berikan seperti yang telah saya nyatakan dalam catatan yang lepas iaitu jangan memberi komitmen kepada si gadis jika belum betul-betul bersedia nak berkahwin, baik dari segi kemampuan kewangan, persediaan mental, emosi dan diri sendiri (kerana rasa masih muda).

Alhamdulillah, dua anak lelaki itu telah pun mendirikan rumah tangga dan mereka talah mempunyai seorang anak tiap seorang.  Mereka bahgia dengan keluarga masing-masing.  Tapi anak yang seorang ini, entahlah, bila lagi agaknya dia nak menyatakan kepada saya dah bersedia nak mendirikan rumah tangga.

Belum bersedia?

Pada firasat saya, dari segi kemampuan kewangan mungkin tidak ada masalah, dia sudah mampu berumah tangga. Rumah pun dah ada lengkap dengan perabut dan peralatan dapur, tinggal mengisi teman hidup saja ke dalam rumah itu.  Mungkin persediaan dari segi mental dan emosi agaknya  masih belum betul-betul bersedia, ada rasa tidak yakin atau tidak sanggup nak menghadapi kerenah pasangan.  Adakah sifat ini menunjukkan tiada self-confident? atau mungkin juga kerana sikap selfish, iaitu mementingkan diri sendiri dan tidak bersedia berkongsi hidup dengan orang lain.

Belum ada calon yang sesuai?

Dia mungkin juga belum berjumpa calon pasangan yang sesuai atau serasi.  Orang yang macam mana yang nak dipilihnya pun saya tak pasti.  Adalah dia bawa `girl-friend’ ke rumah kami berjumpa saya dan pada majlis-majlis tertentu berjumpa dengan ahli keluarga lain seperti majlis kenduri perkahwinan sepupunya dan `birthday party’ anak-anak saudaranya. 

Saudara mara dah heboh bertanya itu ini seperti itukah bakal menantu saya, bila lagi nak kenduri kawinkan mereka dan macam-macam lagi.  Bila di tanya begini, saya jadi semakin risau sebab tak tau apa nak jawab.  Sedangkan yang ampunya diri pulak tidak memberi jawapan yang pasti.

Hairan juga saya, dah beberapa bulan baik dengan gadis tersebut dan saya pun menaruh harapan pasti kali ini menjadi sebab nampaknya agak sesuailah pasangan ini, tapi tiba-tiba saja dengan khabar dari adik-adiknya bahawa mereka dah `kelai’ atau berpisah.  Tak taulah apa puncanya, tentulah agaknya tidak serasi.

Mengecewakan atau di kecewakan?

Sejauh mana kebenarannya tidaklah pasti akan kata-kata bahawa jika kita pernah mengecewakan orang lain pada suatu ketika, maka pada ketika lain orang akan mengecewakan kita.

Seingat saya, pada suatu ketika dulu semasa anak saya balik dari UK selepas mengikuti kursus profesional, dia mengurungkan diri dan ada kalanya lari tidur di rumah kawan-kawannya.   Dalam masa yang sama bertalu-talu datangnya gangguan telipon di rumah kami tak kira waktu, siang, malam, malah tengah malam hingga ke waktu dinihari.  Yang dicarinya adalah anak saya, nak bercakap dengan dia, bertanya ke manakah perginya.  Tentu sekali bila saya kata tak tau di mana anak saya, pemanggil itu tak percaya, tak kan si ibu tak tau ke mana anaknya pergi. 

Bila saya tanya anak saya, katanya ia sengaja hendak melarikan diri dari kawannya itu kerana tak tahan di pressure selalu, inginkan kepastian dan komitmen anak saya terhadapnya.  Anak saya pula masih belum teratur hidupnya, belum lagi mendapat pekerjaan kerana keadaan ekonomi gawat pada ketika itu, jadi dia belum ada sebarang perancangan untuk komited dengan mana-mana gadis.  Jadi ini kes salah sangka/salah anggap di pihak gadis itu, berkawan baik disangkakan sudah jatuh cinta.  Soalnya: adakah anak saya telah mengecewakan gadis itu? Dengan sebab itu, anak saya pula dikecewakan oleh orang lain selepas itu sehingga sukar baginya mendapatkan si dia idaman hati.

Tak Serasi?

Ada beberapa kali ketika saya balik dari kerja, saya lihat ada seorang gadis menunggu di dalam kereta di hadapan rumah saya. Oleh kerana, saya tidak kenal, tidaklah saya bertanya menunggu siapa, saya fikir mungkin dia tu  rakan anak-anak jiran saya.  Kalau dia tu rakan anak saya, kenapa dia tak keluar dari keretanya menegur atau bersalam dengan saya, serta memperkenalkan dirinya.

Bila masuk ke rumah saya bertanya anak saya tentang gadis yang menunggu di dalam kereta.  Anak saya kata itu kawannya.  Subhanallah, kenapa tidak diajak masuk ke rumah. Anak saya kata dia malu.  Itulah silapnya, bukankah baik kalau dah berkawan dengan anak kenalah berkenalan dengan ibunya pula. Mungkin dia tidak menyangka yang saya ni ibu kepada orang yang ditunggunya.  Kalau pun saya ni bukan ibu, tentulah saya ni saudara maranya.  Tidakkah wajar orang muda menegur orang tua, apatah lagi sudah berada di hadapan rumahnya, apa yang nak dimalukan.

Sikap malu tak bertempat ni lah yang tidak saya gemari.  Pergi dating sana sini tak rasa malu, tapi nak bertemu dan berkenalan dengan orang tua malu pulak.  Isu ini menjadi poin yang membawa kepada perpisahan mereka.  Barangkali pada kali ini anak saya pula telah dikecewakan.

Mungkin disebabkan keceluparan mulut saya memberi komen atau menegur sikap kawannya itu, maka anak saya merasa bersalah.  Dia pula barangkali menyampaikan mesej teguran itu kepada kawannya sehingga menimbulkan rasa tidak senang hatinya.  Biarlah ketidaksefahaman itu diselesaikan pada peringkat awal perkenalan, jangan dipendamkan dan dibiarkan berlarutan sehingga dah nak berkahwin atau telah berkahwin  baru nak dirungkaikan.

Cita-cita One Malaysia?

Pernah anak saya bercita-cita hendak mengeratkan hubungan 1Malaysia, antara Semenanjung dengan Sabah, antara Melayu dengan Cina-Kadazan, antara Islam dan Kristian.  Beberapa tahun anak saya berkawan dengan gadis berkenaan sehingga memupuk minatnya untuk meneroka Sabah, mengenali orang-orangnya, budayanya dan menikmati keindahan alamnya.  Gunung Kinabalu telah ditawannya, dan hutan Sipilok juga telah dijelajahinya.  Dengan orang utan pun dia dah berkenalan.

Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Dia menyayangi anak saya, maka cita-citanya itu digagalkan. Dakwahnya tidak berkesan untuk menarik seorang hamba kepada Islam.  Ini mungkin kerana masih belum cukup persediaan dan ilmu pengetahuan dan memerlukanya lebih banyak belajar dan memahami tentang agama Islam.

Kemudian cita-citanya untuk  1Malysia itu beralih arah pula ke Sarawak, sehingga dia menjelajah pula ke Kuching dan Gua Mulu.  Tetapi nampaknya cita-cita itu hanya tinggal cita-cita disebabkan oleh cinta yang belum kesampaian.

Persediaan Mental?

Kadang kala perkara-perkara kecil yang terpendam dalam hati dan tidak diluahkan supaya dapat dirungkaikan akan menjadi kanser yang merosakkan hubungan cinta seseorang.  Semasa dilamun cinta, pasangan rasa macam dah bersedia nak berkahwin.  Apabila dah dibuat persiapan unutk majlis perkahwinan, tiba-tiba pada tempoh kritikal menunggu masa yang ditetapkan, fikiran salah seorang dari pasangan itu berubah, rasa macam belum bersedia nak berkahwin.  Aduh! bagai nak pengsan si ibu mendengar keputusan anaknya itu. 

Peristiwa itu telah terjadi kepada kawan saya.  Menurut katanya, anaknya telah berkawan lama dengan si gadis, lalu mereka ditunangkan dengan persetujuan kedua-dua pasangan.  Persiapan pun dibuat untuk majlis perkahwinan.  Beberapa minggu lagi sebelum majlis diadakan, si teruna (anak kawan saya itu) menghilangkan diri, tidak tahu entah ke mana.

Kawan saya menghubungi tempat kerja anaknya, didapati anaknya telah meletakkan jawatan.  Kawan saya mengambil keputusan berjumpa dengan keluarga pihak perempuan, memohon berbanyak maaf dan memutuskan pertunangan.  Tanggungan  malu pihak keluarga perempuan tidaklah dapat dibayar ganti rugi, tetapi oleh kerana dah mungkir janji, maka kawan saya merasa wajar menghadiahkan sebahagian belanja untuk persiapan perkahwinan.  Kata kawan saya, malunya tak terkira dek kerenah anak, tapi nak buat macam mana si anak masih belum bersedia nak berkahwin,  tak tau apa sebabnya.  

Kisah ini jadi iktibar kepada saya, tak perlulah saya mengambil inisiatif nak mencarikan calon pasangan bagi anak saya.  Saya tidak mahu risau memikirkan soal jodohnya, tunggu sajalah sehingga dia memaklumkan kepada saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan meminta saya menghantar rombongan peminangan.  Walau bagaimana pun, doa seorang ibu sentiasa dipanjatkan kepada Allah Subhanahuwata`ala agar anaknya segera mendapat jodoh yang sesuai, Amin. 

Fikir-fikirkanlah

Sebagai hamba Allah kita dilarang berputus asa dari rahmatNya sebagaimana dalam FirmanNya yang bermaksud:

`Katakanlah: “Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.  Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.  Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”                           (Surah Az Zumar : 53)

Kita tidak mengetahui akan hikmah sesuatu kejadian atau sesuatu peristiwa itu, melainkan orang-orang yang mempunyai akal fikiran (ululalbab) yang sentiasa menyebut dan mengingati Allah dan berdoa: 

`Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’   (Surah Ali `Imran : 191)

Sesuatu kegagalan mungkin membawa kebaikan, sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:

`Kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, pada hal Allah menjadikannya kebaikan yang banyak.’            (Surah An Nisa : 19)

Allah berjanji akan memberikan kepada seseorang yang berkahwin jalan kecukupan seperti dalam FirmanNya yang bermaksud:

`Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.  Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.’      
                                      (Surah An Nur: 32)

Sunday, January 10, 2010

Kerisauan Seorang Anak Terhadap Ibu?

Sebagaimana biasa, malam tadi, malam minggu kami mengadakan tadabbur al Quran, kali ini di rumah salah seorang anak kami di D`Rimba.  Ini merupakan format baru bagi tahun 2010, iaitu bergilir rumah supaya setiap rumah dan keluarga mereka mendapat keberkatan dari majlis ilmu dan bacaan al Quran itu.

Ketika bercerita, saya memberi tahu anak bungsu saya bahawa baru-baru ini saya ada menemui kawan saya yang merupakan nenek kepada salah seorang rakannya. Saya bertanya khabar tentang rakan anak saya itu dan dia memaklumkan yang cucunya itu sedang belajar di sebuah universiti di Cyberjaya, tidak  pun pergi ke luar negara. 

Rupa-rupanya anak saya dah tahu perkara ini.  Katanya ia pernah beberapa kali dah beri tahu saya, tapi malangnya saya tidak ingat pun.  Jadi anak-anak saya kata, `Apalah mama ni, dah jadi pelupa ke?'  Ya! mungkin ingatan dah makin merosot kot, terutama tentang perkara, peristiwa/ atau pelajaran baru.  Umur dah meningkat, barangkali ingatan pun makin merosot.  Mereka gelakkan saya.  Anak bongsu saya itu menyuruh kakaknya menulis di blognya, mengenai : `Kerisauan seorang anak terhadap ibunya', iaitu tentang ibunya yang dah mula jadi pelupa barang kali. 

Alhamdulillah, nampaknya mereka prihatin terhadap saya, ibu mereka.  Mereka sedar akan kemampuan ibu mereka yang semakin berkuranga dan semakin berusia, dengan itu tidaklah boleh terlalu sangat bergantung kepada ibu, mengharapkan ibu dapat memberi khidmat kepada mereka secekap dahulu.  Sebaliknya mereka lah pulak yang sepatutnya mesti memberi khidmat dan menjaga kebajikan ibu mereka.

Baru saya sedar, agaknya itulah sebabnya susah sangat nak ingat kaedah-kaedah tata Bahasa Arab al Quran yang dipelajari di kelas harfiah.  Dah lah susah nak faham, susah juga nak ingat term-term dalam Bahasa Arab yang dipelajari. Hati kadang-kadang tak nak mengaku dah jadi pelupa (sebab nanti dikatakan nyanyuk).  Jadi bila kena soal di kelas, sedangkan jawapan sebenar saya tak tahu, saya kata sajalah sebabnya tak faham sangat, bukan sebab tak ingat.  Tak faham tu sebab susah nak faham, manakala tak ingat tu sebab dah jadi pelupa.  Masa diterangkan memang dah faham, siap dengan nota diberikan.  Tapi bila disoal, tak faham pulak.  Sebenarnya, dah lupa.

Mungkin jugak sebab kurang mengulang kaji dan kurang cuba mengasah otak untuk mengingatkan pelajaran itu maka jadilah mudah lupa.  Belajar dewasa tidaklah seperti zaman belajar untuk exam pada waktu muda dulu (di sekolah atau di universiti), bersungguh menghafal dan mentelaah supaya lulus exam.

Barang kali dah tiba masanya saya perlu kurangkan aktiviti otak memikirkan hal anak-anak dan risaukan mereka, sebab ini banyak mengambil tenaga saya dari mengingati ilmu memahami al Quran.  Tiba masanya anak-anak pula  perlu menyenangkan hati ibu dan mengurangkan isu-isu yang menimbulkan kerisauan ibu. 

Walau macam mana sekalipun ibu cuba tidak mahu memikirkan hal anak-anak, tetapi kerana fitrah dan kasih sayang seorang ibu, ia akan sentiasa mengambil tahu keadaan anak-anaknya dan sedikit sebanyak akan memikirkannya.  Saya tunggu apa anak saya nak tulis pasal kerisauan seorang anak pada ibunya.

Thursday, January 7, 2010

Kerisauan Seorang Ibu (pada anak yang telah berkahwin)




Setelah anak berkahwin dan mereka bahgia bersama pasangan masing-masing, ada lagi perkara yang merisaukan si ibu.  Apakah sememangnya begitu menjadi seorang ibu yang sentiasa risaukan anak-anaknya? atau disebabkan kasih sayang ibu kepada anak-anak,  maka si ibu tidak sanggup melihat anak mengamalkan sesuatu atau bersikap berbeza daripada standard atau norma yang diingini oleh si ibu?

Barang kali keinginan ibu adalah seperti kata pepatah `bagaimana acuan begitulah keknya’.  Modelnya adalah ibu dan bapa, walaupun mungkin pada pandangan anak berbeza, citarasanya tidak sama, ibu dan bapa tidak sentiasa betul  dan mereka mempunyai pemikiran dan cara tersendiri.

Komitmen Berkeluarga
                         
Semasa anak-anak saya di peringkat akhir remaja, saya selalu berpesan kepada mereka terutama anak lelaki supaya jangan memberi komitmen kepada wanita jika masih belum mampu membina dan menanggung keluarga.  Ini kerana saya tidak mahu anak-anak saya mengalami sebagaimana yang pernah saya alami, bukanlah menyesal tetapi sebagai peringatan kepada mereka supaya bersedia menghadapi dunia yang berbeza dalam alam rumah tangga berbanding dengan semasa bersendirian.

Saya dan suami berkahwin ketika kami sama-sama masih belajar di universiti, belum ada pendapatan untuk kehidupan sebuah keluarga. Masing-masing bergantung kepada biasiswa tajaan kerajaan untuk sara hidup.  Alhamdulillah, kami dapat menghadapinya dengan baik kerana keperluan kami terhad, hanya untuk membiayai sewa bilik, makan dan keperluan pengajian.

Pada tahun kedua perkahwinan, suami saya dah mula bekerja, dan saya pula mengandungkan anak pertama, maka dengan pendapatan tetap itu kami mula merancang membeli rumah sebab kami tidak mahu lagi mengalami peristiwa dihalau dari bilik sewaan.  Itulah nasib orang menumpang, walaupun membayar sewa, boleh dihalau sesuka hati pada bila-bila masa oleh keluarga tuan rumah.

Dengan bantuan ibu bapa saya, kami membayar deposit rumah dan berpindah memasuki rumah baru dengan perabot yang ala kadar, dua bulan sebelum kelahiran anak pertama saya.  Kami diami rumah itu hingga sekarang.

Namun kehidupan sekarang berbeza, keperluan anak-anak muda sekarang semakin rencam dan pelbagai, tentulah agak sukar membina rumah tangga dan mempunyai kediaman sendiri jika tiada pendapatan tetap.  Mengenangkan peristiwa itu saya seboleh-boleh mahukan anak-anak saya mempunyai kediaman sendiri dahulu sebelum berkahwin.

Anak-anak saya mengikut nasihat saya dan mereka berkahwin setelah mereka mempunyai pekerjaan dan bersedia membina keluarga.

Keselesaan Pasangan

Pada peringkat awal perkahwinan anak-anak masih belum memiliki rumah kediaman sendiri tetapi telah merancang dan membuat booking.  Ini adalah merupakan perkara yang merisaukan saya, berapa lamakah mereka hendak menumpang sama ada di rumah saya atau di rumah ibu mertua mereka.  Bagi saya, tiada masalah jika mereka nak tinggal di rumah saya selamanya kerana sebagai ibu tentulah tidak mahu berjauhan dari anak, kalau boleh saya mahu anak-anak sentiasa berada bersama saya.  Tetapi adakah pasangan mereka merasa selesa hendak bergeark bebas dan bersenda gurau dalam rumah saya.

Biasanya anak perempuan akan memilih tinggal bersama keluarganya.  Begitulah pilihan yang dibuat oleh anak-anak perempuan saya dan menantu-menantu perempuan saya, maka saya menerima menantu-menantu lelaki tinggal bersama kami, dan melepaskan anak-anak lelaki tinggal bersama mertua mereka. Pandai-pandailah mereka menyesuaikan diri dengan keluarga mertua mereka.

Kerisauan seorang ibu pasti ada dari segi penyesuaian diri anak lelakinya di rumah keluarga mertua., sama ada anak lelakinya berkelakuan sopan di hadapan mertua, adakah ia pandai membawa diri dalam rumah tersebut atau berlagak jadi tuan dan perintah itu ini kepada isteri, adakah ia membantu isteri menguruskan pakaiannya, adakah ia membantu untuk keperluan makan minum dan utiliti di rumah itu atau menambahkan beban perbelanjaan kepada keluarga mertua dan pelbagai lagi.

Kerisauan ibu pada anak perempuan pula adalah berkenaan layanannya sebagai seorang isteri terhadap suaminya.  Bilakah anak itu nak belajar menguruskan rumah tangga, melayan makan minum suami, memasak untuk suami, menyediakan pakaian suami dan seumpamanya kerana di rumah ibu semua keperluan tersedia, malah ada pembantu yang membuat kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas, membersih, menstereka pakaian dan lain-lain.

Kediaman sendiri/ Rumah Baru

Tidak mudah bagi anak-anak saya hendak memiliki rumah yang sesuai dari segi: lokasi iaitu tidak jauh dari kediaman kami di persekitaran Petaling Jaya dan tempat kerja mereka, serta dalam batas kemampuan kewangan mereka. Rumah berkembar di atas tanah yang mampu dibeli terletak jauh di kawasan baru seperti di daerah Klang dan Semenyih. Oleh itu alternatif yang mampu dipilih dalam kawasan berhampiran adalah kediaman berbentuk apartmen.

Alhamdulillah, kerisauan saya pada anak-anak yang hidup menumpang ini bersifat sementara, ianya luput apabila anak-anak telah memiliki kediaman sendiri. Mereka berpindah ke rumah baru untuk menjalani episod baru kehidupan berkeluarga,  merancang dan mengurus sendiri kediaman dan keperluan mereka sekeluarga.

 Komitmen Kewangan

Setelah mereka berpindah ke ruamh baru, ada perkara lain pula yang merisaukan saya tentang ana-anak saya yang dah berkeluarga ini.  Sepatutnya saya tidak perlu lagi risaukan mereka kerana boleh dikatakan kehidupan mereka dah settle dan stabil.  Tapi hati si ibu tetap risau terhadap anak-anak ini kerana cita rasa dan gaya hidup generasi sekarang berbeza dengan zaman saya dahulu.  Banyak benda-benda yang dianggap luxory pada zaman saya, mungkin tidak lagi luxory pada mereka.  Maka itu, keperluan kewangan melebihi pendapatan.  Jika tidak bijak menguruskan kewangan, tidak pandai   berjimat cermat, tidak tahu menentukan keutamaan, mereka akan terjebak dengan beban hutang.

Oleh itu, mereka perlu menguruskan dengan sebaik-baiknya kewangan keluarga supaya tidak terperangkap dengan terlalu banyak komitmen hutang, terutama untuk membayar pinjaman bank bagi rumah dan kereta,  penggunaan kad kredit untuk membeli perabut dan ubah suai rumah, komitmen insuran kesihatan dan pendidikan anak-anak, serta lain-lain keperluan harian.   Semoga, pelajaran dan pengalaman yang mereka miliki selama ini membantu mereka merancang perbelanjaan dengan baik.






Kerisauan Seorang Ibu (ketika anak berada jauh di perantauan/luar negara)

Alhamdulillah, anak pertama (perempuan) dan tiga adik lelakinya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di UK selepas SPM dengan tajaan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Manakala seorang lagi anak perempuan saya mengikuti program twinning dengan Universiti di Australia di bawah tajaan kami sendiri. Itulah pengorbanan kami untuk membolehkan anak ini turut melanjutkan pelajaran ke luar negara, walau pun cuma setahun di Australia.

Perasaan saya sebagai ibu ketika anak nak berangkat keluar negara bercampur-campur, gembira dan cemas. Gembira kerana anak berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara atas berkat usahanya dan dengan bimbingan kita. Cemas kerana hendak melepaskan anak yang masih muda berada jauh dari mata dan pengawasan kita.

Pelbagai perkara yang merisaukan saya, terutama dari segi: makan minum mereka, sama ada makanan yang dimakan halal, bolehkah mereka menguruskan/memasak sendiri makanan mereka; bagaimana pergaulan mereka yang bebas tanpa pengawasan kita; bagaimana pula mereka nak menyesuaikan diri dengan kehidupan yang berbeza dari di Malaysia dari segi budaya, agama, dan sosial. Macam-macam lagilah yang merisaukan saya.

Pengalaman Pertama (Anak Perempuan)

Anak perempuan saya berjaya mendapat prestasi cemerlang dalam SPM terutama dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Ia terpilih untuk program penghantaran terus pelajar ke UK oleh Kementerian Pelajaran bagi mengikuti kursus pengajian TESL selama 6 tahun, iaitu 2 tahun di peringkat pra universiti dan 4 tahun di peringkat ijazah sarjana muda TESL.

Amat merisaukan saya ketika melepaskan anak perempuan saya yang masih muda bersendirian hidup di perantauan. Pada tahun pertama berada di UK, pihak penaja membuat urusan menempatkan peserta kursus ini dengan keluarga angkat dari kalangan warga British bagi membolehkan mereka berinterksi dan meningkatkan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris.

Menyesuaikan Diri

Tentu sekali sukar bagi anak saya nak menyesuaikan diri dengan keluarga angkatnya yang berbeza agama, budaya dan pemakanan. Anak saya pernah menceritakan yang dia menangis bersendirian, sedih dan rasa tertekan kerana menghadapi pelbagai masalah nak menyesuaikan diri dengan keluarga angkatnya dan dengan rakan sebiliknya. Manakala wakil dari pihak penaja atau pegawai MSD pula tidak ada yang menjenguk mereka untuk mendengar rintihan mereka.

Saya bersimpati dan risau akan keadaannya, tetapi apakan daya ia jauh dari saya dan menuntutnya supaya bersabar dan belajar bertolerensi dengan keadaan itu. Saya sentiasa berpesan kepada anak saya supaya jangan meninggalkan solat, sentiasa berdoa dan baca Yasin untuk menenangkan jiwa. Aduan pelajar-pelajar ini akhirnya diterima oleh pihak penaja dan kemudian mereka ditempatkan dirumah sewaan bersama rakan-rakan sesama kursus, maka mudahlah bagi mereka menyediakan makanan yang sesuai dengan selera mereka.

Kejutan Budaya

Perkara yang paling merisaukan saya adalah takut kalau-kalau anak saya mengalami kejutan budaya, berkawan bebas dengan mat saleh, kemudian ikut ke pub dan minum minuman yang terlarang. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan anak saya dan memeliharanya dari pengaruh budaya biru itu. Barang kali pengalaman semasa kami tinggal di Chicago, USA, selama hampir 2 tahun membantu anak saya menapis dan menolak budaya yang tidak sesuai dengan kita sebagai umat Islam.

Menurut cerita anak saya, ada pelajar lelaki yang sama kursus dengannya telah terjebak dengan maksiat ini, selalu mabuk-mabuk, ponteng kelas dan akhirnya `dropout’ dari kursus yang diikutinya serta dihantar pulang ke Malaysia. Betapa ruginya kerajaan Malaysia menaja pelajar yang tidak kuat iman dan lemah jiwanya itu.

Memilih Kawan dan Bercinta

Saya juga risau takut anak saya menyalahgunakan kebebasan yang dihadapinya untuk berkawan bebas dengan pelajar-pelajar lelaki dari lain-lain kursus/universiti, keluar berdating dan terjebak dengan perkara-perkara maksiat. Terasa ngeri memikirkan perkara-perkara buruk yang akan berlaku.

Alhamdulillah, anak saya ingat akan pesanan saya dan memilih kawan yang boleh dipercayai. Mereka berkenalan dan bercinta (barang kali), kemudian ketika cuti panjang di tahun 3, anak saya balik ke Malaysia dan mereka bertunang. Mereka berjauhan buat sementara waktu kerana tunangnya mula mejalankan tugas sebagai pegawai perubatan pelatih (housemanship) di Malaysia. Tahun berikutnya setelah tamat pengajian, anak saya pulang ke Malaysia, dan mereka mendirikan rumah tangga.

Anak Kedua (Lelaki)

Anak kedua saya berangkat ke UK selepas 3 tahun kakaknya berada di sana. Walaupun mereka belajar di universiti berlainan, kakak di timur (Canterbury) dan adiknya di Wales, mereka saling berhubung dan bertemu antara satu sama lain terutama semasa cuti pertengahan semester.

Pemergian anak lelaki saya ini tidaklah merisaukan sangat kerana ketika berangkat ke UK, umurnya dua tahun lebih tua dari ketika kakaknya berangkat dulu. Dia telah mengikuti A-level di Malaysia, jadi. lebih matang dan lebih bersedia mengikuti pelajaran di UK. Oleh kerana kakaknya telab berada di sana, maka saya tidak rasa bimbang sangat mereka merindui keluarga kerana mereka boleh sering bertemu.

Apa yang merisaukan saya tentang anak lelaki ini adalah dari segi makan minumnya, adakah ia tahu memasak, tak kan setiap hari nak makan mee maggi atau nasi berlauk instant Brahim yang dibawa dari Malaysia. atau fish and chips UK. Adalah beberapa kali sebelum berangkat dia belajar memasak masakan yang mudah-mudah. Tapi kalau dah nak survive kena lah memandaikan diri memasak makanan sendiri.

Kerja Sementara

Kerisauan saya pada anak ini memuncak sewaktu cuti panjang kerana ia tidak mahu balik ke Malaysia, sedangkan kakaknya balik. Katanya hendak bekerja mengumpul wang untuk mengembara di UK atau Eropah. Saya risaukan tentang keselamatannya, adakah dia bersendirian atau bersama kawan-kawan ketika pergi mengembara, pelajar yang macam mana menjadi teman-temannya, apa pula jenis kerja yang dibuatnya, adakah halal dan pendapatannya berbaloi dan macam-macam lagi persoalan yang timbul diminda saya.

Saya pernah tanya di mana dia bekerja, jawabnya di farm ayam turkey, dan kerjanya mencabut bulu ayam turkey. Tergelak pulak saya, entah betul entahkan tidak, barang kali cuma sekadar menjawab soalan saya apabila ditanya. Saya hanya mampu mendoakan atas keselamatannya dan pandai-panadailah dia menjaga diri.

Anak Ketiga (Lelaki)

Anak ketiga ini berjaya mengikuti program penghantaran terus ke UK untuk peringkat A level dan memasuki sekolah berasrama. Jadi ia juga berangkat ke UK pada umur muda sebagaimana kakanya, maka dia menghadapi banyak masalah menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama, bergaul dengan anak-anak mat salih, dan masalah makanan halal yang sesuai dengan seleranya Anak saya merasa tertekan apabila diejek oleh anak-anak mat salih kerana mandi pagi setiap hari, yang mana itu bukan amalan/budaya mereka.

Apabila anak ini berjaya masuk ke universiti, lain pula masalah yang dihadapinya. Saya pula yang dipersalahkannya kerana `memaksanya’ mengambil bidang kejuruteraan elektrik/elektronik, sedangkan bidang yang diminatinya undang-undang. Walau pun dia akur mengikut nasihat saya sebab ada rasionalnya, tetapi dia tetap tidak gembira dan tidak serasi dengan kursus yang diikutinya.

Kursus Tak Sesuai

Saya sungguh risau apabila mendapati anak saya menghadapi masalah tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik dan prestasinya juga merosot. Saya menyuruhnya berjumpa dengan kaunselor di universiti unutk mendapatkan nasihat. Tetapi ia gagal juga untuk meneruskan pengajian ke tahun tiga. Maka saya perlu menanggung bebanan susulan atas nasihat yang tidak tepat kepada anak saya.

Anak saya mengambil keputusan menukar kursus kepada `Business and Technology ‘ di universiti berlainan dan mengulangi tahun kedua bagi kursus ini. Satu tahun telah membazir begitu saja dari segi kewangan, tapi mungkin dari segi pengalaman, ia menambahkan kematangannya dalam menghadapi cabaran hidup di luar negara serta membuat keputusan untuk diri sendiri.

Mimpi Yang Indah

Saya selalu mengingatkan anak saya supaya tidak mimpikan perkara yang indah-indah, kerana apa yang kita inginkan atau mimpikan biasanya tidak berlaku demikian. Walau pun kita bersikap optimistik dan berusaha supaya mimpi kita itu menjadi realiti, tetapi pengaruh persekitaran dan keadaan semasa akan mempengaruhi apa yang akan terjadi.

Sikap positif anak saya meyebabkan ia selalu `excited’ (teruja) terhadap sesuatu yang diperolehi/didapatinya, tetapi apabila telah mengikuti atau menghadapinya tidak sebagaimana yang dijangkakan/diinginkan, maka ia akan merasa kecewa dengan keadaan itu dan ingin melarikan diri dariapda menghadapinya. Perkara ini juga menjadi sebab kenapa anak saya bertukar kepada kursus dan universiti lain.

Barang kali anak saya yang ini lupa akan pesanan saya yang pernah saya pesan juga kepada abangnya, iaitu mengenai komitmen diri jika masih belum mampu berbuat demikian. Ringkasnya, jangan bercinta dan merancang untuk berkahwin jika masih belum mampu menanggung makan anak orang.

Masa bercinta, macam-macam mimpi indah digambarkan, tetapi realitinya berbeza. Hanya kerana tidak tahan menghadapi kerenah pasangan, barulah sedar bahawa diri belum mampu menghadapi realiti alam percintaan. Maka kekecewaan yang dirasai dan dialami adalah menyakitkan.

Alhamdulillah, dengan menyedari matlamat ke luar negara adalah untuk mengejar impian mendapatkan segulung ijazah, anak saya bangkit semula dari kekecewaannya. Dengan kekuatan semangat dan cita-cita untuk berjaya, dia meneruskan pengajian dalam bidang baru yang diminatinya.

Membiayai Sendiri Pengajian 

Pihak penaja tidak mahu lagi menaja pengulangan di tahun kedua, maka Pa dan Ma pulalah yang bertanggung jawab membiayai pengajiannya itu. Hal ini merisaukan saya kerana dalam masa yang sama saya perlu menanggung pembiayaan pelajaran adiknya yang mengikuti program twinning dengan universiti di Australia. Pembiayaan meliputi yuran universiti, sewa rumah/bilik asrama, keperluan buku dan perbelanjaan sara hidup. Hasrat saya untuk bersara pilihan lebih awal, saya tangguhkan dahulu sehinggalah mereka berdua tamat belajar.

Sebelum mengikuti program twinning, saya telah masukkan anak saya ke kolej swasta di Pulau Lagenda, Langkawi. Luar negeri lah jugak tu, kerana keinginannya nak belajar di luar negara sedangkan pencapaiannya dalam SPM tidak cemerlang, maka kami cubalah jugak memenuhi cita-citanya.

Walau bagaimana pun, pelaburan kami tidak menjadi kerana pelbagai masalah terutama kolej itu sendiri masih baru dan mengalami kekurangan tenaga pengajar yang berkebolehan. Anak saya tidak dapat mengikuti pengajian dengan baik, di samping mungkin juga kursus yang dipilihnya tidak sesuai dengan minat dan kelebihan yang ada padanya.

Tidak cemerlang dalam akademik tidak bermakna seseorang itu lemah atau bodoh. Ia mungkin kerana tidak cukup usaha atau tidak bersungguh-sungguh mentelaah pelajaran, atau tidak fokus kerana ada kelebihan dan minat lain. Begitulah keadaannya dengan anak saya ini, ia memilih bidang komunikasi, iaitu bidang yang sesuai dengan kebolehan bersosial yang ada padanya. Nampaknya pelaburan kali ini menjadi dan anak saya berjaya dalam pengajiannya.

Graduation

Alhamdulillah, anak saya yang pertama (perempuan) dan yang kedua (lelaki) tamat pengajian pada masa yang sama. Sebagai ibu bapa, tentulah gembira dengan kejayaan anak-anak. Kami menghadiri majlis graduation mereka yang diadakan kebetulannya berselang minggu antara kakak dan adiknya. Jadi tidak perlulah kami mengeluarkan dua kali perbelanjaan untuk ke UK.

Lapan tahun kemudian, anak ketiga (lelaki) dan anak keempat (perempuan) juga tamat pengajian dalam tahun yang sama. Alhamdulillah, Allah memberi rezeki yang mencukupi kepada kami untuk membolehkan kami menghadiri kedua-dua majlis graduation di UK dan di Australia.

Sekali lagi pada tahun berikutnya, kami berangkat ke UK untuk menghadiri majlis graduation anak kami yang kelima (lelaki). Kami amat teruja berada di Royal Albert Hall menyaksikan anak kami menerima ijazahnya, iaitu dalam dewan di mana Dato’ Siti Norhaliza pernah mengadakan persembahan solonya. Begitulah kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak, sanggup bersusah payah untuk menggembirakan hati anak-anak.

Mengikut Kumpulan Tabligh

Satu perkara yang merisaukan kami tentang anak kelima ini adalah penglibatannya dengan kumpulan tabligh sehingga membawanya ke Pakistan dan India untuk berdakwah. Saya menyatakan kerisauan saya apabila dia meminta izin untuk mengikuti kumpulan tabligh itu ke Pakistan sewaktu cuti panjang akhir semester sementara menunggu keputusan peperiksaan dan tarikh graduation

Apa yang merisaukan saya adalah ditakuti dia taksub kepada kumpulan sehingga melupakan tanggung jawabnya kepada dirinya dan keluarganya. Tidak pasti sama ada benar atau tidak, ada di antara jemaah yang taksub kepada kumpulan sehingga mengubah gaya hidup dan pendapatannya dihabiskan untuk kumpulan. Saya tidak mahu anak saya menjadi extreme sedemikian.

Mengikut kata anak saya, dia hendak belajar mengenal dirinya melalui penglibatannya dalam kerja-kerja dakwah dan mencari pengalaman melalui pengembaraan di negara yang kemudahannya jauh berkurangan dari Malaysia. Saya mengiringi pengembaraan dakwahnya dengan doa semoga dia mendapat apa yang dihajatinya.

Berkhidmat Kepada Kedua Ibu Bapa

Tidak semua ibu bapa mampu, baik dari segi kewangan maupun dari segi tenaga dan masa dapat menghadiri majlis graduation anak. Pastinya pengorbanan dalam bentuk lain pula dilakukan oleh ibu bapa demi kasih sayang mereka kepada anak-anak. Oleh itu wajar pulalah anak-anak membalas jasa ibu bapa mereka dengan membuat kebajikan kepada mereka sebagaimana yang diperintahkan dalam al Quran.

`Dan Kami (Allah) wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepda Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).’
                                                                                                       (Surah Luqman : 14)

Sunday, January 3, 2010

Kerisauan Seorang Ibu (ketika anak berada di asrama)

 
Menjadi harapan seorang ibu agar anaknya mencapai prestasi cemerlang dalam peperiksaan awam dan seterusnya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian yang lebih baik.  Saya menggalakkan anak-anak saya supaya berusaha sendiri untuk mencapai prestasi cemerlang, tanpa menghantar mereka ke pusat-pusat tuition   Saya yakin tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru di sekolah sudah mencukupi.  Anak-anak hanya perlu didisiplinkan untuk banyak mentelaah dan membuat latihan supaya dapat memahirkan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan. 

Selepas UPSR, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan saya berjaya memasuki Tingkatan 1 di Sekolah Berasrama Penuh.  Sebelum itu, abangnya berjaya masuk ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik selepas PMR.  Hati ibu tentulah gembira dan merasa bangga apabila anak dapat masuk ke sekolah berasrama penuh yang mana kemudahannya jauh lebih baik dari sekolah menengah biasa.

Itu adalah merupakan kejayaan awal anak dalam bidang akademik yang menjadi motivasi kepada dirinya dan seterusnya mungkin mempengaruhi pencapaian akan datang dalam pelajaran. Dalam pada itu, hati ibu juga risau kerana anak terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga dan terpaksa menguruskan sendiri kehidupannya di asrama mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.  Ibu juga risaukan anak sama ada pandai menyesuaikan diri dengan kehidupan asrama, dengan rakan-rakannya, dengan makanan asrama dan dengan jadual asrama yang ditetapkan.

Kena Buli

Tidak dapat dinafikan terdapat budaya membuli di asrama dari sejak dahulu lagi dan pihak sekolah tidak dapat membendung perkara ini. Yang berbeza mungkin tahap seriusnya membuli itu, sama ada lebih teruk dan ketara antara satu sekolah berbanding dengan sekolah lain. Untuk mengatasi budaya membuli, ada sekolah yang mengadakan sesi suai kenal antara senior dan junior dengan mengaturkan program-program tertentu. Ini hanyalah program orientasi yang terancang kepada pelajar-pelajar baru bagi membiasakan diri mereka dengan kehidupan di asrama.

Namun hakikat senior membuli junior tetap berlaku di asrama secara sembunyi-sembunyi di luar program yang diaturkan.  Perkara ini saya alami sendiri ketika pernah tinggal di asrama, dan begitu juga menurut cerita anak-anak saya. Alasan senior adalah supaya junior menghormati mereka, tidak berlagak sombong dan bersedia melakukan apa yang disuruh.

Kerisauan ibu bertambah apabila kerap terbaca dalam akhbar tentang kes-kes buli di asrama oleh pelajar senior terhadap pelajar baru sehingga ada yang cedera.  Setiap kali mendapat panggilan telifon daripada anak di asrama, ibu merasa gementar takut-takut sesuatu yang buruk terjadi kepada anak, atau anak merayu tidak mahu lagi tinggal di asrama kerana tidak tahan diejek, dibuli, dan didera secara emosi oleh rakan-rakannya.

Anak saya pernah menangis-nangis minta keluar dari asrama kerana tidak tahan rasa tertekan kerana diejek oleh kawan-kawan dengan kata-kata yang tidak disukainya.  Saya menasihatinya supaya bersabar, beruasaha berbuat baik denagn rakannya dan kalau perlu melaporkan kepada warden asrama, guru disiplin atau guru kaunseling di sekolah. 


Rasa Tertekan/Terdera Emosi
  
Anak-anak di asrama mungkin juga merasa terdera emosi mereka disebabkan jadual ketat, kena bangun awal pagi, berebut bilik air dan perlu mengutamakan senior, tempat tak selesa, makanan tak sesuai, kena basuh baju/stoking sendiri, stereka baju sendiri dan kadang kala diminta/dibuli oleh senior supaya menstereka baju mereka, pakaian selalu hilang/kena curi dan pelbagai sebab lagi.

Anak saudara saya pernah merayu kepada ibu bapanya hendak keluar dari asrama kerana tertekan, rasa tidak adil diperlakukan, walau pun dah berada di hadapan barisan ketika beratur untuk menggunakan bilik air tetapi keutamaan perlu diberi kepada senior yang tiba-tiba muncul.

Mereka mungkin juga rasa tertekan kerana tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan lain dalam pelajaran di sekolah.  Ada anak yang cepat dapat menyesuaikan diri dengan jadual asrama, cekap, cepat bertindak/bergerak, manakala ada yang lambat, lembap dan tidak dapat menguruskan diri dan pelajaran mereka dengan baik.  Bagi yang ketinggalan ini tentulah rasa tertekan, terutama apabila ia tidak dapat menyaingi rakan-rakan lain yang mendapat prestasi baik dalam ujian bulanan.  Anak ini memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan kehidupan di asrama. 

Minta Dilawati

Anak-anak minta dilawati setiap minggu kalau tidak dapat pulang ke rumah, barangkali rindukan ahli keluarga  Ada-ada saja barang atau keperluan yang diminta. Ibu akan datang ke asrama dengan membawa pelbagai pesanan/bekalan terutama makanan kegemaran anak dan berkelahlah sekeluarga di kawasan asrama. Saat-saat pertemuan itu digunakan untuk melepaskan rasa rindu pada anak, mengambil tahu tentang pembelajaran anak, serta mendengar keluhan dan pelbagai aduan mereka.

Kadang kala semasa pulang ke rumah pada hujung minggu, anak sengaja tidak membawa sebahagian  keperluannya supaya dapat dijadikan alasan tertinggal sesuatu dan meminta ibu menghantarnya pada hujung minggu berikutnya. Dengan itu dapatlah mereka berjumpa keluarga setiap minggu.

Malas Cuci Pakaian

Anak-anak di asrama kadang kala minta si ibu mengambil pakaian kotor mereka dan membawanya semula pakaian bersih pada minggu berikutnya. Alasannya kerana tidak sempat atau tiada masa nak mencuci pakaian.  Begitulah anak-anak sekarang, telah terbiasa dengan kesenangan di rumah. Kebiasannya tugas ini dilakukan sama ada oleh ibu atau pembantu rumah, jadi ada rasa malas atau tidak dapat menghadapi kesusahan menguruskan sendiri pakaian mereka ketika di asrama.

Makanan Asrama Tidak Sesuai

Satu perkara lagi yang menjadi kerisauan ibu adalah makanan asrama tidak dapat memenuhi selera dan cita rasa anak.  Kerenah anak yang memilih makanan terbawa-bawa ke asrama.  Sama ada menu yang disediakan di asrama sememangnya tidak disukai (di rumah juga tidak makan makanan itu) atau tidak puas makan kerana makanan yang disediakan tidak sedap atau portionnya tidak mencukupi. Anak-anak remaja masih di peringkat pembesaran sememangnya makan banyak dan berulang-ulang.  Kebebasan ini tiada di asrama, tidak sebagaimana di rumah boleh mengulang-ulang makan ap saja yang diinginkan.

Salah seorang anak saya tidak makan makanan pedas, asal masakan itu berwarna merah walaupun kerana banyak tomato, ia tidak akan memakannya. Makanan biasa baginya adalah ayam goreng dan sup. Hal ini merisaukan saya kerana tentunya agak susah  baginya menyesuaikan diri dengan makanan di asrama yang kerap menghidangkan masakan bercili dan asam pedas.

Manakala seorang lagi anak saya tidak suka makan ikan, apatah lagi bila ikan cencaru (ikan jeket, istilah anak saya) atau ikan kembung (ikan termenung) yang tidak segar dan berbau hanyir kerap dihidangkan di asrama sekolah.  Fobea kepada kedua-dua jenis ikan ini menyebabkan anak saya merungut-rungut jika turut sama dihidangkan di rumah.

Ada kalanya mereka tertunggu-tunggu hari menu istimewa yang menjadi kegemaran dihidangkan, umpamanya menu nasi minyak dan kurma ayam. Biasanya, pihak pengurusan asrama menetapkan sekali seminggu menu istimewa ini dihidangkan. 

Manakala pada hari-hari lain, jika menu tidak sesuai dengan selera, mereka akan memilih alternatif makan di kantin sekolah. Si ibu terpaksalah menyediakan wang saku tambahan kepada anak setiap minggu untuk tujuan ini. Cuba bayangkan jika bukan anak saya seorang yang berbuat demikian, betapa banyak pembaziran berlaku disebabkan oleh makanan yang tidak berkualiti di asrama.

Ibu bapa dikehendaki membayar sejumlah yuran untuk makanan di asrama, manakala kerajaan juga mengeluarkan perbelanjaan untuk subsidi makanan tersebut, sedangkan tidak semua pelajar memakannya.  Saya tidak pasti, kalau ramai pelajar yang tidak makan, maka pada hari-hari tertentu pasti banyak berlebihan makanan, adakah makanan itu dibakul sampahkan?  Alangkah baiknya jika pihak pengurusan asrama memastikan makanan yang berkualiti disediakan dan menunya pula bersesuaian dengan selera pelajar supaya tiada berlaku pembaziran makanan.

Kehilangan Pakaian

Setiap kali cuti penggal, ibu bapa terpaksa membeli pakaian baru untuk anak yang tinggal di asrama, terutama pakaian dalam dan pakaian sekolah, sama ada kemeja, t-shirt sukan, seluar, atau tudung putih untuk anak perempuan.   Kadang kala tak sempat cuti penggal pun, dua minggu selepas persekolahan dibuka, anak mengadu dah kehilangan pakaian atau alat tulis.

Saya tak tahu dan tak faham, adakah ini fenomena biasa di asrama sekolah, yakni berlaku kecurian, dan kalau memang berlaku, kenapa pihak sekolah tidak membendungnya.  Atau mungkin juga kecuaian anak-anak yang tidak tahu menjaga harta benda sendiri, sebab mudah diganti oleh ibu bapa.  Menurut kata anak saya, ada jenis pelajar yang meminjam terus pakaian rakan lain dan tidak memulangkanya, terutama t-shirt berjenama dan seluar sukan kerana sukakan pakaian itu dan menganggap tidak mengapa berkongsi pakaian dengan rakannya.

Menurut kata guru penyelia asrama yang saya kenali, kadang kala pakaian anak-anak di asrama itu tidak hilang atau dicuri, tetapi jatuh ke tanah ketika dijemuran, pasti mereka tidak akan mengambilnya kerana perlu dibasuh semula, dan ada yang merasa terhina mengambilnya semula (ego anak-anak). Pihak pengurusan asrama pernah mengumpulnya dan menghantar kepada dobi untuk membersihkannya, tetapi tiada siapa yang datang menuntutnya semula. Mungkin ada benarnya, kerana setiap kali saya ke asrama menemui anak saya, memang saya lihat berlonggok-longgok pakaian yang jatuh ketanah dari jemuran tidak diambil oleh pelajar asrama. 

Itulah yang merisaukan saya, adakah anak saya membohongi saya kerana hendak menyelamatkan diri, takut dimarahi kerana membiarkan berlaku pembaziran {pakaiannya yang jatuh tidak diambil dari jemuran) tetapi dikatakan hilang diambil oleh rakannya. Saya katakan tidak larat mengeluarkan belanja berulang-ulang membeli pakaian dan alat tulis ganti dalam tempoh masa yang singkat.  Namun, kalau betul pakaian/alat tulisnya benar-benar diambil oleh rakan.yang memerlukannya, maka berniat sedekah sajalah, semoga Allah menggantikan dengan rezeki yang lebih baik. 

Walau bagaimana pun, perkara ini telah pun berlalu, saya berdoa agar anak saya tidak membohongi saya dan sentiasa bercakap benar walaupun mengenai perkara/perbuatannya yang salah.  Itu adalah kesalahan yang biasa dilakukan semasa hidup.  Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya, ibu bapa saya dan anak-anak saya serta semua umat Islam lain.


Saturday, January 2, 2010

Kerisauan Seorang Ibu (ketika anak sedang membesar dan meningkat remaja)

Membesarkan anak-anak tidaklah mudah, kita memerlukan bantuan orang tua (ibu bapa jika masih ada), pembantu rumah, dan institusi penjagaan bayi dan kanak-kanak. seperti TASKA dan lain-lain. Pelbagai cabaran dan kerisauan dialami dalam tempoh membesarkan anak sehingga menjadi seorang remaja matang dan boleh menjalani kehidupan tanpa bergantung kepada kedua ibu bapa.

Aspek kewangan juga menjadi punca kerisauan ibu bapa kerana kos yang semakin meningkat untuk menanggung dan membesarkan anak, meluputi bayaran kepada TASKA/TADIKA atau baby sitter/pembantu rumah, keperluan menabung untuk pendidikan anak, kos rawatanapabila ke klinik dan insurans kesihatan anak serta lain-lain keperluan.

Beberapa pengalaman kerisauan seorang ibu ingin saya catatkan untuk dikongsi bersama, terutama oleh anak berkenaan jika ia membaca catatan ini pada suatu ketika nanti dan ia tahu bahawa kisah ini adalah mengenai dirinya.

Anak Sakit:

Membela dan membesarkan anak pertama adalah secara try and error sebab belum ada pengalaman. Walaupun beberapa kaedah mungkin dipelajari melalui pembacaan atau pernah membantu ibu kita membela adik-adik dahulu, tetapi tidak sama dengan apa yang dialami sendiri.

Umpamanya, mengalami anak yang demam panas dan tiba-tiba sawan amat menakutkan. Beberapa hari sebelum itu anak itu sihat dan ceria, lalu dibawa berjumpa doktor untuk mendapatkan suntukan triple-antigen yang perlu dilengkapkan kepada bayi. Walaupun telah diberi ubat demam, suhu badan tinggi juga. Saya tidak pernah melihat kanak-kanak sawan sebelum ini, maka tidak tahu anak itu sawan.

Naluri seorang ibu yang menyedarkan saya bahawa anak itu sawan apabila melihat mata anak terbeliak ke atas dan kaki serta tanganya kejang. Kami segera membawa anak ke hospital, apabila tiba di hospital, cepat-cepat doktor dan jururawat bertugas membawa anak saya ke bilik rawatan dan memandikanya dengan ice, apa lagi menjerit melolonglah anak saya sehingga kebiru-biruan.

Saya juga turut sedih melihat keadaannya, kemudian saya tidak dibenarkan berada sama semasa mereka membuat rawatan kepada anak saya kerana tangisan saya mengganggu tugas mereka. Pada masa itu saya merasa mereka sungguh kejam terhadap saya dan anak saya. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan anak saya dan ia membesar dengan baik selepas itu.

Saya pernah ceritakan dalam catatan yang lepas tentang kerisauan ibu terhadap anak yang dilahirkan tidak cukup bulan (premature) dan secara menyongsang. Anak yang premature ni rupanya tidak kuat antibody (mungkin kerana tidak mendapat susu badan secukupnya) dan mudah dijangkiti kuman. Dia membesar dalam keadaan kerap mengidap selsema, melilih air hidung/hingus, mudah mendapat alergik, kepala dan kaki juga dijangkiti kudis.

Pernah satu ketika anak ini alergik kepada telur sehingga kedua kakinya dipenuhi kudis kecil yang berair dan tidak dapat berjalan apabila kulitnya pecah dan menggelupas. Tentulah si ibu risau melihat keadaan anak yang berupa comot dan sentiasa menangis kesedihan kerana tidak selesa dengan keadaan dirinya. Berulang-ulanglah dibawa anak ke doktor untuk mendapatkan rawatan dan turut juga dibawa kepada bomoh kampung untuk rawatan secara tradisional.

Emosi anak turut menggannggu emosi ibu, sehingga timbul rasa tidak mau lagi mempunayi anak kerana susah membelanya. Bila berumur antara 4-5 tahun mudah pula mendapat demam tonsil dan beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit tersebut.

Pengalaman mungkin belum cukup mengajar saya mengawasi kesihatan anak, atau saya mengambil mudah terhadap aspek-aspek kebersihan dan pemakanan anak. Hampir 20 tahun kemudian, seorang lagi anak saya juga dimasukkan ke hospital kerana demam tonsil yang serius sehingga badannya mengalami dehydration, dan beberapa botol air di `drip’kan ke badannya.. Saya sedih melihat anak saya terjerit terlolong apabila doktor mencucuk tangannya untuk dimasukkan jarum bagi tujuan `drip’.

Saya merasakan anak saya seolah-olah `berdendam’ dengan saya yang menjadikannya bertambah sakit ketika berada di hospital itu. Selepas keluar dari hospital, anak saya menjadi seorang yang pendiam dan tidak seceria seperti sebelumnya. Mungkin perasaan ini timbul disebabkan oleh kerisauan saya pada masa itu. Alhamdulillah dengan pelbagai usaha, anak-anak itu membesar juga menjadi anak yang sihat dan ceria.

Anak Bersekolah dan Menduduki Peperiksaan:

Kerisauan seorang ibu berterusan sehingga anak memasuki alam persekolahan. Lain pula bentuk kerisauan yang akan ibu-ibu alami, di antaranya: bolehkah anak menyesuaikan diri di sekolah, bolehkah anak-anak mengusai kemahiran-kemahiran yang diajar kepada mereka, bagaimana pergaulan anak dengan rakan-rakan lain, cukupkah persediaan buku-buku dan peralatan persekolahan serta tution anak-anak, bolehkah anak-anak melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sekolah dan sebagainya.

Aspek paling penting yang merisaukan adalah mengenai prestasi pencapaian akademik anak-anak di sekolah, bagaimana pencapaiannya berbanding pelajar lain, bagaimana mengatasi kelemahannya dalam subjek-subjek tertentu, memastikan anak menyiapkan kerja rumah, membuat latihan dan mentelaah buku-buku pelajaran dan seumpamanya.

Apabila anak-anak hendak menduduki peperiksaan awam yang utama, si ibu akan lebih risau berbanding dengan anak sendiri, mereka relaks je, ibu-ibu pula yang menggelabah takut anak tidak dapat menjawab dengan baik, tidak mendapat pangakt A dalam mata pelajaran.

Ibu-ibu mendambakan kecermerlangan dengan sejumlah A tertentu dapat dicapai oleh anak-anak seperti 5A dalam UPSR, 8A dalam PMR dan 10A dalam SPM. Si ibu merasa sedikit kecewa apabila apa yang diimpikan tidak tercapai walaupun pelbagai usaha telah dilakukan seperti menghantar anak ke tution, memberi minum air bacaan Yasin, solat hajat dan sebagainya.

Kekecewaan wujud kerana si ibu membandingkan anaknya dengan anak orang lain yang mendapat prestasi cemerlang, tetapi gagal melihat kelebihan dan keistimewaan kurniaan Allah yang ada pada anaknya itu. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia, dan setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya.

Anak Baligh/Remaja:

Apabila anak meningkat remaja, banyak pula kerenah anak remaja yang perlu dihadapi oleh ibu-ibu, terutamanya ketika anak mencapai baligh dan mengalami perubahan fizikal dan emosi.

Anak-anak merasa diri semakin meningkat dewasa, inginkan kebebasan dan tidak mahu dikongkong pergaulan mereka dengan rakan-rakan sebaya, mempunyai citarasa sendiri serta ingin membuat pilihan dan keputusan sendiri. Si ibu akan merasa risau kerana anak tidak lagi mendengar kata dan selalu bersikap menentang kehendak ibu bapa.

Anak-anak merasakan apa yang mereka kehendaki atau apa yang mereka buat itu betul. Apabila diberi nasihat atau ditegur, anak remaja menganggap si ibu berleter, mereka memekakkan telinga dan kadang kala bersikap tidak sopan seperti melawan cakap atau menghempas pintu bilik tanda protes.

Saya pernah mengalami kerisauan terhadap anak remaja yang ingin keluar bebas bersama kawan-kawan seperti menghadiri party di rumah kawan, menonton wayang dan window shopping di pusat-pusat membeli belah, serta ingin mempunyai teman bercinta (boy-friend). Bagi anak-anak, perkara ini tak salah kerana telah menjadi trend atau budaya di kalangan remaja masa kini. Tapi bagi kita yang menjadi ibu, sentiasa risau akan keselamatan anak, takut mereka tersilap langkah dan terjebak dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

Mungkin pemikiran saya agak kolot dalam hal ini, saya sangat mengongkong pergaulan anak, maka banyak soalan diajukan kalau anak minta kebenaran keluar. Model saya dalam mengawal pergaulan anak adalah ibu bapa saya sendiri.

Zaman saya remaja, tidak berani bersuara, ikut saja cakap ibu bapa, sehingga tak dapat pergi ke mana-mana. Umpamanya, saya tidak dibenarkan melibatkan diri dalam aktiviti sekolah yang diadakan di luar sekolah seperti perkelahan dan perkhemahan di pulau atau di kawasan air terjun. Lagi pun ibu bapa menanggung dosa membiarkan anak bergaul bebas.

Bagi anak pula, ibu perlu memberi kepercayaan kepada anak-anak supaya mereka tahu bergaul dan pandai menjaga diri dan batas-batas pergaulan. Subhanallah, anak-anak sekarang sudah pandai berhujjah.

Saya pernah didatangi oleh seorang ibu yang mencari anaknya di rumah saya kerana katanya anaknya berkawan dengan anak saya. Pada ketika itu anak saya berada di rumah dan tiada pun kawannya itu. Saya meneyelidik daripada anak saya dan mengetahui remaja itu sebenarnya ke disko bersama kawan-kawannya. Selepas itu saya tidak benarkan anak saya berkawan dengan remaja itu.

Maka adalah penting kita membimbing dan menunjuk ajar anak kita supaya memilih rakan yang betul dan baik, iaitu yang dapat membantu dalam dalam pelajaran umpamanya, bukan memilih rakan yang mengajak ke arah maksiat. Alhamdulillah, anak saya mengikut nasihat saya dan dia memilih rakan-rakan yang akhirnya berjaya dalam pelajaran.

Kadang kala saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam didikan kita kepada anak-anak dalam tempoh perkembangan mereka daripada kanak-kanak kepada remaja, umpamanya mungkin terlalu memanjakan mereka dengan menurut segala kehendak mereka semasa mereka kanak-kanak, kurang mantap didikan agama dan bimbingan akhlak yang diberikan.

Dalam kerisauan, ibu perlu banyak berdoa dan bertawakkal agar Allah memelihara keselamatan anak dan meyakini bahawa didikan agama yang telah diberikan selama ini menjadi benteng pertahanan mereka. Maka adalah penting bagi ibu bapa mengingatkan anak-anak dan memastikan mereka melaksanakan perintah-perintah Allah seperti solat 5 waktu, puasa dan lain-lain, serta menjauhi larangan-laranganNya.

Anak-anak hendaklah dididik menghormati ibu bapa dan orang tua lain. Malah dalam al Quran terdapat banyak ayat-ayat yang berupa perintah Allah supaya anak-anak menghormati dan berkhidamat kepada kedua ibu bapa, serta melarang dari bersikap kasar dengan berkata `hah’ kepada ibu bapa. (Surah Al Israa’ : 23 dan 24)

Zaman saya mengalami kerisauan tentang kanak-kanak dan remaja telah berlalu dan kini giliran anak-anak perempuan dan menantu perempuan saya pula yang akan mengalami kerenah anak-anak masing-masing yang semakin membesar.

Walau bagaimana pun, kerisauan dalam bentuk lain pula saya alami, iaitu sama ada ibu-ibu muda ini bersedia serta mempunyai ilmu yang cukup untuk menghadapi dan mengatasi kerisauan, cabaran dan dugaan yang timbul daripada kerenah anak-anak remaja mereka beberapa tahun lagi? Malah anak sulung saya dah pun ada anak lelaki yang meningkat remaja. Semoga catitan ini menjadi panduan kepada mereka.

Kita hendaklah sentiasa memanjatkan doa kepada Allah sebagaimana doa hamba-hamba (Allah) Ar Rahman (yang diredhaiNya), iaitu:

`Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami daripada pasangan-pasangan kami dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.’ (Surah Al Furqan : 73)