Monday, August 19, 2013

Nostalgia Kenangan Berhari Raya di Kampung

Lama tidak berhari raya di kampung, balik selepas hari raya masih terasa suasana meriah berhari raya di kampung.  Tambahan pula saudara sebelah suami mengadakan majlis walimah sempena perkahwinan anaknya pada hari raya keempat di sebelah pihaknya.  Pada hari raya ketiga majlis nikah dan respsi di sebelah pihak perempuan di Setiu, Terengganu, tapi kami masih dalam perjalanan dan singgah berhari raya dirumah besan kami di Dungun.  Pada majlis walimah itu sempatlah kami bertemu saudara mara, rakan sekampung yang lama tidak bertemu.  Itulah bagusnya mengadakan majlis walimah pada musim hari raya, merupakan 3 dalam satu, iaitu kenduri walimah, open house raya dan berhari raya dengan sanak saudara.

Ketika berada di kampung, terimbau kembali kenangan nostalgia beraya bersama ibu bapa kami ketika mereka masih ada.  Saya dan famili biasa balik ke rumah ibu bapa saya di Kuala Terengganu.  Di situlah tempat kami berkumpul 7 beradik dengan keluarga masing-masing.  Suasana riuh rendah dengan suara anak-anak bercerita, menangis, ketawa, bergurau senda, bermain, bertengkar, berebut mainan dan macam-macam lagi gelagat mereka.  Waktu awal  malam, ditengah-tengah rumah agam tu terdampar berbaris anak-anak mengambil ruang untuk tidur. Menjelang dinihari, mereka bergelimpangan, kaki panggung memanggung antara satu dengan lain.  Waktu berbuka puasa riuh pula memilih juadah, ada yang suka itu tak suka ini, nak itu nak ini, apa tah lagi jika banyak juadah yang dibeli oleh masing-masing keluarga.  Biasanya bila berkumpul anak cucu, emak saya pasti menyediakan masakan tradisi Terengganu, bubur lambuk lada hitam berserta pucuk midin, pucuk ubi kayu, pucuk minja dan lain-lain daun kayu. Bubur lambuk ni berbeza dari bubur lambuk yang biasa disediakan di masjid-masjid di Kuala Lumpur. Anak-anak saya merindui suasana berhari raya bersama sepupu-sepupu mereka di rumah ibu saya, dan sesama mereka kerap bercerita tentang nostalgia berhari raya di kampung.  Selepas berbuka, anak-anak perempuan remaja ditugaskan membasuh dan mengelap pinggan mangkuk.  Tau-tau sajalah ada di antara mereka yang mencuri tulang, itulah isu yang mereka selalu bualkan bila berjumpa mengimbau kenangan lama ketika beraya di kampung.  Sebelah pagi pula, berebut mesin basuh, siapa cepat dapat basuh pakaian, diikuti dengan kerahan tenaga untuk menjemur pakaian,  sebelah petang pula kerahan tenaga untuk mengangkat pakaian dari jemuran dan melipatnya. 

Pada hari raya kedua, ketika anak-anak saya dan famili mereka nak balik ke kampung mertua masing-masing, salah seorang cucu kami merungut kepada ibunya yang ia tak pernah balik kampung untuk berhari raya.

Aimar:        `Mummy, kita tak pernah balik kampung, raya kat kampung.  Kawan Aimar ramai balik                                 kampung raya,' 
Mummy:     'Kampung Aimar kan kat sini, Kg. Tunku, sebab Aimar lahir kat hospital di sini, dan tinggal kat                      sini.'
Aimar:         'Orang lain pun macam tu jugak, tapi ada kampung.'
Mummy:      'Kita kan selalu balik kampung, rumah Tok Abah dan Tok Mama kat Sungai Buluh tu.'
Aimar:          'Tu bukan kampung.'

Begitulah persepsi anak-anak sekarang yang dibesarkan di bandar metropolitan, tak kenal kampung halaman mereka. Barang kali konsep kampung bagi mereka adalah seperti dalam cerita Upin dan Ipin, rumah papan bertangga dengan persekitaran yang banyak pokok-pokok (buah-buahan atau hutan), ada ayam/itik atau haiwan ternakan lain yang berkeliaran.  Walau pun rumah besan saya di Sungai Buluh terletak dalam kawasan persekitaran kampung, ada kebun buah-buahan di belakang rumah mereka, tetapi rumah batu dengan di kelilingi pagar setinggi 5 kaki dan bergate otomatik, bagi kanak-kanak bukanlah merupakan rumah kampung.   

Pada kesempatan raya tahun ini, semua anak-anak saya membuat keputusan untuk berkunjung ke kampung di Kuala Terengganu, terutama untuk menghadiri majlis perkahwinan `ibu' yang membela mereka dari sejak lahir.  Tempat berkumpul kami adalah di rumah arwah ibu mertua saya di Kampung Rusila, Marang Terengganu.  Aimar begitu teruja nak balik ke kampung Tok Papa nya.  Tok papa juga teruja nak menyambut anak cucu yang nak balik ke kampungnya. Perancangan dibuat agar anak cucunya dapat tiba sebelah petang, untuk dibawa turun ke pantai dan mandi laut. Tok papa sibuk berkemas rumah dan tertunggu-tunggu ketibaan anak cucunya. Saya melihat suami saya seolah-olah memang benar-benar menyambut hari raya di kampung, menunggu-nunggu kepulangan anak-anak cucu, sebagaimana dalam drama di TV.  Alhamdulillah, perancangan berjalan lancar.  Sempatlah pada petang hari raya ketujuh, sebahagian anak cucu kami mandi laut di Pantai Rusila, Marang.  Bagi mereka, balik kampung pada kali ni merupakan satu trip yang menyeronokkan.  Cucu-cucu kami teruja berada di rumah kampung melihat ayam itik berkeliaran di halaman rumah. 

Tiga famili yang tiba pada hari ini tidak bermalam di rumah kampung ni kerana tidak cukup bilik.  Mereka menyewa sebuah apartmen 3 bilik berhampiran Hotel Primula di Kuala Terengganu.  Mereka memerlukan rehat yang cukup dan selesa setelah perjalanan yang jauh dari awal pagi.  Tambahan pula, famili dari Kuantan ada baby yang baru berusia 2 bulan memerlukan bilik yang lebih selesa berbanding di rumah kampung.   

Pada pagi hari raya kelapan, suami saya menempah nasi dagang untuk menjamu anak-anak cucu, berserta keluarga saudara-saudaranya.  Tambahan pula pada hari Jumaat itu, seperti biasa di Masjid Rusila ada kuliah pagi oleh YB Datuk Hj. Abdul Hadi Awang, maka pasar pagi diadakan di kawasan persekitaran masjid dengan pelbagai barangan dan juadah ada dijual.  Di samping nasi dagang yang ditempah khas, suami saya turut membeli pelbagai juadah lain untuk dihidangkan kepada anak-anak cucunya, termasuklah pulut lepa, kayu keramat, mini apam balik (apam Jepun kata orang Rusila), ketupat ubi kayu dan buah-buahan.  Pasar pagi terhenti dari aktiviti jual beli selama 2 jam ketika kuliah sedang berjalan.  Selepas selesai kuliah aktiviti jual beli bejalan semula di pasar pagi itu.  Anak-anak dan menantu saya turut serta meneroka pasar pagi itu untuk mencari sesuatu idaman, malangnya sudah kehabisan.  Biasanya, pasar pagi ni rancak sebelum kuliah bermula kerana barang-barang dagangan seperti ikan, ayam, sayuran, buah-buahan dan juadah-juadah masih fresh.  Selepas kuliah, para peniaga dah mula berkemas barangan mereka untuk kerja-kerja pembersihan kawasan dan persediaan untuk solat Jumaat. 

Pada sebelah petang hari raya kelapan ni, kami sekeluarga menghadiri majlis pernikahan `ibu' kepada anak-anak kami.  Syukur, Alhamdulillah, akhirnya 'ibu' anak-anak kami bertemu jodoh pada usia 45 tahun.  Saya turut risau kerana sebelum ini ketika tinggal bersama kami, hatinya tidak terbuka untuk berkahwin.  Dua peminangan yang ditujukan kepada beliau ditolaknya dan dijodohkan kepada adik-adik di bawahnya.  Kini, barangkali tanggung jawab menjaga ibunya dan adik-adiknya telah selesai digalas, burulah terbuka hatinya untuk berkahwin dan mempunyai teman pada kehidupan menganjak ke usia tua.  Didoakan semoga pengantin baru ini menjalani kehidupan rumahtangga yang bahagia dan berkekalan jodoh sehingga ke akhir hayat.

Setelah hampir seminggu saya dan suami berkampung di Rusila,  terus berangkat balik ke KL selepas majlis walimah tersebut bersama anakanda kelima dan keluarganya..  Sebenarnya mereka baru saja tiba pada malamnya dengan menaiki Firefly semata-mata kerana hendak menghadiri majlis pernikahan `ibu' nya yang membelanya dari sejak lahir.  Sebuah lagi kereta yang dipandu oleh anakanda kedua saya turut serta berangkat balik ke KL pada petang itu, bersama isterinya dan dua lagi anakanda kami yang tiba pada pagi itu.  Anakanda keenam dan ketujuh kami itu turut balik ke kampung semata-mata untuk meraikan perkahwinan 'ibu' mereka.  Oleh kerana perjalanan ke KL masih jauh. kami singgah bermalam di Rumbia Resort, Paka.  Pagi-pagi keesokan harinya kami meneruskan perjalanan, target masuk ke KL sebelum berlaku kesesakan di tol Gombak kerana ramai orangpantai timur yang mula kembali ke KL selepas berhari raya di kampung mereka.       

No comments:

Post a Comment