Sunday, February 28, 2010

Keperluan dan Kehendak

Keperluan mengikut buku teks ekonomi, didefinasikan sebagai keinginan individu terhadap barang keperluan asas yang mesti dipenuhi bagi meneruskan kehidupan.  Keperluan manusia terhadap barang keperluan asas adalah terhad dan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu: makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Kehendak pula didefinasikan sebagai keinginan individu untuk menggunakan barang dan perkhidmatan bagi menikmati hidup yang lebih selesa.  Kehendak manusia tidak terhad, dan bersifat pelbagai dan bergantung kepada citarasa individu.

Setakat Mana Keperluan Asas?

Berasaskan definisi ekonomi di atas, keperluan asas tiap seorang kita tidaklah begitu banyak bagi orang yang berkemampuan atau berpendapatan.  Orang yang bertenaga, mempunyai tulang empat kerat, boleh bekerja, serta rajin berusaha, tentunya Allah memberikannya rezeki untuk menampung keperluan asas: tempat tinggal, makanan dan pakaian. Kecualilah orang yang malas bekerja, tidak mahu berusaha serta mengharapkan ihsan orang lain mungkin tidak dapat memenuhi ketiga-tiga keperluan asas itu dari usahanya sendiri, sebaliknya keperluan asasnya itu dipenuhi dengan bantuan orang lain.

Allah mencipta manusia dan Allah lah yang memberikan rezeki kepada mereka, sebagaimana Firman Nya:

`Bukankah Dia (Allah) yang menciptakan (makhluk) dari permulaannya, kemudian mengulanginya dan memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi?'
                                                   (Surah An Naml : 64)

`Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi sesiapa yang Dia kehendaki)'
                                                    (Surah Ar Ra`d : 26)

Keperluan asas adalah untuk kelangsungan hidup.  Dalam ketiga-tiga jenis keperluan asas itu mengandungi elemen penjagaan kesihatan, seperti tempat tinggal untuk tempat tidur dan istirehat setelah penat bekerja, tempat membina keluarga yang sihat, tempat beribadat, tempat melindungi diri dari hujan, panas dan cuaca buruk dan seumpamanya.  Manakala makanan pula untuk memastikan diri sentiasa sihat dan bertenaga bagi membolehkan seseorang bekerja dan beribadat.  Pakaian pula untuk melindungi tubuh badan dari kesan udara panas atau sejuk serta menutupi aurat seseorang.

Keperluan asas menjadi semakin bertambah dan pelbagai dengan perubahan kehidupan yang semakin rencam. Umpamanya keperluan tempat tinggal meliputi juga kemudahan-kemudahan asas penting bersamanya, seperti bekalan air bersih, letrik/bahan bakar dan lain-lain keperluan rumah seperti dapur dan perkakasan memasak, peralatan tempat tidur, perabut yang sederhana dan sebagainya.  Pada masa sekarang, mungkin memiliki kenderaan seperti kereta atau motosikal telah menjadi satu keperluan asas untuk membolehkan seseorang keluar rumah mencari rezeki atau pergi ke tempat kerja. 

Dengan meningkatnya skop keperluan asas, maka seseorang perlu bekerja lebih untuk mendapatkan pendapatan yang lebih bagi membiayai keperluan asas itu.  Insya Allah siapa yang berusaha, `Allah akan melapangkan rezekinya'.  

Alhamdulillah, Allah melimpahkan sumber rezeki yang banyak kepada bumi Malaysia sehinggakan rakyat asing turut sama berhijrah untuk mengutip rezeki di Malaysia.  Jika penduduk Malaysia sendiri tidak berupaya memenuhi keperluan asas mereka sehinggakan mengalami kebuluran, tiada tempat tinggal dan tidak berpakaian (untuk menutup aurat), maka bermakna sesuatu yang tak kena wujud pada rakyat Malaysia seperti tiada kemahiran, malas berusaha/bekerja.  Kemungkinan juga wujud sesuatu yang tidak kena pada cara pengurusan sumber kekayaan/rezeki di Malaysia yang tidak menyeluruh dan saksama kepada semua rakyatnya.  Kemungkinan lain adalah merupakan satu bentuk ujian atau kemurkaan Allah kepada hambanya kerana `Allah menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang dikekehndaki Nya'.

Kehendak (kemahuan ) Mengikut Citarasa

Setelah berupaya memenuhi keperluan asas tersebut, manusia biasanya berusaha pula untuk memenuhi kehendak (kemahuan) ke arah kehidupan yang lebih selesa, mewah dan memenuhi citarasa zaman kini.  Dengan meningkatnya status sosio-ekonomi di Malaysia, ternyata rakyat Malaysia berlumba-lumba berusaha untuk memenuhi kehendak mereka ke arah keselesaan dan kemewahan hidup.  Pendek kata dunia 5F yang penuh dengan kemewahan menjadi sebahagian kehendak atau matlamat hidup mereka, iaitu:
      
     Fesyen   - pakaian berjenama mengikut aliran/perubahan fesyen.
     Filem    -  hiburan baik yang berupa filem, TV, VCDs, gambar-gambar digital, internet dan sebagainya.
     Food - makanan mewah dan banyak di restoran-restoran, cafe,  supermarket dan sebagainya.
     Football - mewakili dunia sukan, meliputi sukan mewah seperti F1, golf, sukan berkuda seperti polo, sukan air dan sebagainya.
    Finance - untuk mendapatkan barangan mewah, orang sanggup berhutang  mengambil kredit daripada bank atau melalui kad kredit


Ada orang yang berusaha mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan tinggi supaya dapat/mampu memenuhi kehendak/cita-cita mewah seperti: memiliki kediaman selesa, melengkapkan rumah dengan perabut dan perhiasan mewah, memakai pakaian berjenama serta mengikut aliran perubahan fesyen, memiliki kereta berjenama/mewah, memenuhi masa lapang dengan dunia hiburan dan melancung ke luar negara.  Tidak cukup dengan pendapatan yang diperolehi, ditambah pula dengan mengambil kredit daripada bank-bank atau institusi kewangan dengan menggunakan kad kredit.


Allah mengingatkan kita mengenai hakikat kehidupan yang bersifat mengejar kemewahan ini melalui Firman Nya yang bermaksud:

`Manusia itu diberi perasaan berhasrat (diingini nafsu)  kepada wanita, anak-anak, kekayaan yang melimpah-limpah, dari emas dan perak, kuda yang bagus-bagus, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia.' 
                                                                (Surah Ali Imran : 14)

`Ketahuilah olehmu, hanya sanya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan bermegah-megah antara sesama kamu, berlomba-lomba banyak kekayaan dan anak-anak.'
                                                                (Surah Al Hadid : 20)


Ada orang yang bersungguh-sungguh bekerja sehingga mengabaikan tanggung jawab kepada Allah dan Rasul Nya dan keluarganya, semata-mata kerana mencari kekayaan dunia, yang kononnya untuk kebahagiaan keluarga dengan menyediakan kediaman dengan pelbagai kemewahan tetapi melupakan pendidikan agama yang sewajarnya kepada anak-anak sehingga mereka melupakan agama mereka.  Inilah yang disebutkan di dalam al Quran sebagai mengejar kehidupan yang dekat (dunia) dengan melupakan kehidupan yang kekal (akhirat).  Allah melarang perbuatan ini sebagaimana dalam maksud Firman berikut:

`Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta bendamu, dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah.  Dan sesiapa yang berbuat demikian, merekalah orang-orang yang menderita kerugian.' 
                                                              (Surah Al Munafiqun  : 9 )


 Bersyukur Dengan Kurniaan Allah

Bagi sesetengah orang pula, kehidupan mewah hanyalah merupakan sebahagian angan-angan mereka, kerana `hajat hati ingin memeluk gunung, tetapi apakan daya tangan tak sampai.'  Ada kemahuan/cita-cita, tetapi tiada kemampuan untuk merealisasikannya, maka berpada dan bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.  Allah mengingatkan kita melalui Firman Nya yang bermaksud:

`Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah pedih.'
                                                              (Surah (Ibrahim  : 7 )

Jangan pula dek kerana cita-cita atau kemahuan yang bersangatan untuk memperolehi kekayaan dan kemewahan, seseorang berusaha mendapatkanya secara tidak halal, umpamanya melalui penipuan, rasuah dan riba.

Jelas di dalam al Quran, `Allah menghalalkan berjual beli, (berniaga) dan mengharamkan riba.' (maksud Surah Al Baqarah  :  275).    
 
Kekayaan yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah bermaksud untuk menguji kita, sama ada dengan kekayaan yang kita ada itu menjadikan kita lebih hampir kepada Nya, iaitu: dengan sentiasa beristghfar memohon keampunan daripada Nya,  melaksanakan perintah-perintah Nya dan menjauhi larangan Nya, membuat kebajikan dengan menginfakkan rezeki yang diperolehi,  serta sentiasa bertaqwa dan bertawakkal kepada Nya.  Allah bermaksud hendak menguji siapakah di antara kita yang paling baik amalannya, sebagaimana Firman Nya yang bermaksud:

`Sesungguhnya Kami jadikan apa yang dibumi sebagai perhiasan baginya supaya Kami menguji akan mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya.'

                                                           (Surah Al Kahfi  :  7 )

`Dan barang apa sahaja yang kamu nafkahkan (infakkan), maka Allah akan menggantikannya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.'
                                                            (Surah Saba'  : 39 )

Pengalaman saya melihat anak-anak dan menantu-menantu saya mengumpulkan barangan untuk `garage sale', SubhanAllah, banyaknya barang-barang yang melebihi keperluan asas untuk kelangsungan hidup.  Ternyata barang-barang itu diperolehi dari sebab mengikut kehendak/kemahuan yang berasaskan elemen 5F di atas. Saya ingin mengingatkan diri saya, keluarga saya, anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu saya, serta pembaca catatan ini agar mengurangkan kehendak kepada 5F itu, supaya apa yang kita ada/miliki tidak melebihi atau melampaui batas keperluan asas yang munasabah. 

Beberapa peringatan Allah supaya kita tidak keterlaluan dalam mengejar kekayaan dan kemewahan dunia sebagaimana dalam Firman Nya yang bermaksud:

`Maka janganlah kamu dapat ditipu oleh kehidupan dunia.'
                                                        (Surah Luqman  :  33 ) 

                                                                  
 `Kamu dilalaikan oleh perlombaan memperbanyakkan (kekayaan).'
                                                         (Surah At Takatsur  :  1 )


`Harta benda dan anak-anak kamu menjadi fitnah (ujian). Dan disisi Allah ada pahala yang besar.'
                                                         (Surah At Taghabun  :  15 )

Wednesday, February 24, 2010

Tidak Diperlukan Lagi .......

Lebih dua minggu penulisan ini tertangguh.  Banyak perkara yang ingin dicatitkan, tetapi banyak pula hal yang tidak membolehkan saya menghadap komputer dan memberi tumpuan kepada catatan ini.

Pada hujung minggu pertama bulan Febuari ini, anak-anak saya telah mengadakan `garage sale' di perkarangan rumah saya.  Idea mengadakan `garage sale' itu tiba-tiba saja muncul seminggu sebelumnya kerana ada di antara anak dan menantu saya yang ingin mengosongkan kabinet pakaian mereka yang telah berasak-asak dengan pakaian yang tidak diingini lagi.  Beberapa minggu sebelum itu anak perempuan saya dan rakannya membuka `boot' di Amcorp Mall pada hujung minggu untuk menjual `shawl/tudung dan `handbags' termasuk yang sudah terpakai.  Menantu saya ingin menumpang sekaki dengan menjual pakaian terpakai, tetapi malangnya mereka tidak dapat lagi menyewa tapak untuk `boot' mereka kerana telah habis di booking awal-awal lagi berikutan jualan untuk perayaan Tahun Baru Cina.  Jadi mereka berpakat merancang untuk mengadakan `garage sale'.

Merancang `Garage Sale'

Dalam tempoh seminggu membuat perancangan itu, anak-anak saya membahagi-bahagikan tugas di kalangan mereka untuk persediaan `garage sale' itu seperti:  merekabentuk dan menyediakan `flyers' serta menyebarkannya di kawasan perumahan kami, mewarwarkannya melalui `facebook', mengumpulkan barangan untuk jualan, menyediakan infarstruktur dan sebagainya.  

Sebagai tuan rumah, tentulah tugas saya paling banyak, iaitu untuk menyediakan infrastruktur, walaupun tempatnya dah ada seperti garage dihadapan rumah saya, tapi saya rasa tidak memadai.  Sebagai tambahan saya membeli sebuah canopy mudah alih dan sebuah penyidai pakaian.   Kemudiannya, dua orang anak perempuan saya membeli dua lagi penyidai pakaian, setiap seorang satu apabila didapati tidak memadai.   

Promosi/Iklan
Hati saya tertanya-tanya, banyak sangatkah benda atau pakaian yang nak dijual?  Siapa lah yang berminat nak beli pakaian atau benda-benda yang telah terpakai.  Saya tidak pasti sejauh mana promosi mengenai `garage sale' ini telah diadakan.  Dalam facebook adalah diwarwarkan oleh anak saya kepada rakan-rakannya.  Anak lelaki saya menyediakan `signage' yang diletakkan di beberapa tempat di simpang jalan masuk ke rumah kami. Anak perempuan saya mengedarkan flyers ke rumah-rumah jiran di beberapa jalan sekitar rumah kami. 

Pada hemat saya, promosi itu tidak memadai dan tidak begitu agresif. .Fikiran saya agak skeptikal, ada ke orang yang akan datang ke `garage sale' kami.   Sebaliknya anak-anak dan menantu saya semuanya sangat optimis.  Walau bagaimanapun saya agak teruja untuk melihat hasilnya.  Saya berjanji kepada mereka untuk menyediakan minuman dan makanan ringan percuma sebagai tarikan kepada pengunjung `garage sale' nanti.  Mereka memasukkan item ini dalam `flyers' yang diedarkan.
  
Mengumpul Barangan

Dua hari sebelum `garage sale', anak perempuan saya yang sedang sarat mengandung (hanya menunggu masa meletup) mengambil cuti untuk mengumpulkan barang-barang kepunyaannya yang hendak dijual.  Maasya Allah sudah separuh penyidai kain yang panjangnya 9 kaki telah digantungkan dengan pakaiannya, manakala sebahagian lagi pakaian/barangan diletakkan dalam kotak dan toyogo.  Baru seorang yang tidak memerlukan pakaian-pakaian itu, belum lagi ditambah dengan pakaian/barangan 5 anak dan menantu saya. Anak saya dari Kuantan tiba dengan membawa 3 beg besar pakaiannya dan anak-anaknya yang tidak dikehandaki lagi.

Malam sebelum hari `garage sale', ruang tamu rumah saya macam `tongkang pecah', penuh berselerak dengan barangan.  Selain dari pakaian, kasut dan handbags, turut sama item-item seperti CD, buku-buku, majalah, barangan letrik seperti kipas angin, pemproses juice buahan, pembakar roti, Hi-fi radio, peralatan komputer, peralatan dapur (cookware) dan macam-macam lagi.

Hari Jualan 

Sejak jam 7 pagi lagi suami dan anak-anak saya sibuk mengatur barang-barang jualan di halaman hadapan rumah kami, di bawah garage, di bawah canopy dan di bawah gazebo.  Rutin biasa setiap pagi Sabtu, saya akan ke Masjid berhampiran untuk mengikuti tai chi bersama rakan-rakan.  Selepas tai chi saya mewarwarkan `garage sale' yang akan berlangsung mulai jam 10.00 pagi hingga 5 petang pada hari itu dan esoknya Ahad, di rumah saya dan menjemput mereka untuk datang melihat barangan yang dijual.  

Saya balik ke rumah untuk menyediakan sarapan kepada seluruh ahli keluarga yang berkumpul di rumah kami pada hari itu.  Saya turut menyediakan minuman sejuk yang diletakkan dalam balang berpaip, serta biskut-biskut kering untuk tetamu.

Menjelang jam 10.00 pagi persiapan nampaknya hampir selesai,  `garage sale' akan bermula.  Cuma beberapa item yang baru dibawa oleh anak dan menantu saya yang lambat tiba (kerana kena bertugas di pejabat pada malamnya hingga awal pagi) sedang disusunaturkan untuk pameran. 

`Customer' Pertama

Ketika saya sedang bersarapan, malah anak-anak saya masih mengubah-ubah susunatur barangan, rakan-rakan tai chi saya merupakan customer pertama kami yang tiba untuk melihat barangan yang dipamerkan.  Ada yang begitu teruja melihat handbags yang masih baru, belum pernah dipakai yang hendak dijual, begitu juga baju-baju yang masih baru.  Tudung/shawl yang dijual sememangnya yang baru kerana itu adalah barangan jualan anak perempuan saya. 

Terima kasih kepada rakan-rakan tai chi saya yang menjadi pembuka/pelaris kedai pada hari itu.  Saya tidak tahu sejauh mana benarnya metos bahawa `customer' pertama adalah penting sebagai pelaris jualan, jika mereka membeli, Insya Allah jualan menjadi baik, sebaliknya jika mereka tidak membeli (cuma tengok-tengok saja), maka jualan tidak begitu menjadi.   Mungkin ada benarnya dari segi strategi jualan/berniaga iaitu: `first impression' tentang barangan yang dijual, harga yang berpatutan sesuai dengan barangan,  layanan baik dan mesra yang diberikan kepada customer, dan customer dari kalangan rakan-rakan yang dikenali.  Jadi pelaris jualan bukanlah metos yang berupa tahyul, tetapi strategi yang menepati cita rasa pelanggan.  

Saya tidak tahu sejauh mana ini benar kerana saya tidak ada ilmu dalam bidang perniagaan.  Tapi bagi saya amat penting adalah mengenali pelanggan, iaitu dari golongan manakah mereka, sama ada golongan muda yang mempunyai citarasa selaras dengan perubahan fesyen,  golongan pertengahan umur yang agak berjimat cermat dalam perbelanjaan, atau golongan warga emas/pencen yang suka membeli untuk cucu-cucu.  Ini merupakan sesuatu yang saya pelajari dari pemerhatian saya semasa `garage sale'.

Yang Tidak Kita Perlukan, Diperlukan oleh Orang Lain

Biasanya pakaian yang kita rasa dah tak nak pakai, sama ada kerana dah tak muat (sebab bentuk badan dah berubah saiznya) atau dah jemu pakai atau corak/fesyen dah ketinggalan zaman, kita dermakan atau sedekahkan kepada pihak-pihak yang memerlukan.  Ini  merupakan salah satu cara mengosongkan wadrobe kita.  Daripada pengalaman  `garage sale' nampaknya apa yang tidak kita perlukan menjadi keperluan  bagi orang lain.  Mereka bersedia membeli, walaupun barangan terpakai.  Walau pun tidak semua yang dipamerkan dapat dijual, malah kurang dari seperempat yang terjual, tapi ternyata ada peminat yang suka mengunjungi `garage sale'.  Ada yang berulang 2 kali datang memilih dan membeli barang-barang yang dipamerkan.

Anak-anak saya nampaknya berpuas hati dengan perolehan dari `garage sale' yang pertama kali diadakan ni.  Post mortem mendapati promosi `garage sale'  itu agak tidak mencukupi.. Mereka berhasrat mengadakannya lagi dengan perancangan yang lebih rapi dan koleksi pakaian/barang-barang baru yang akan dikeluarkan dari simpanan mereka yang tidak terpakai.  Mereka nampaknya mempunyai hasrat ingin berniaga,  menambah sumber pendapatan dan kewangan bagi menampung keperluan dan keinginan keluarga yang semakin bertambah, ada yang ingin menjadi businessman, ada yang bercita-cita ingin menjadi kaya raya/millionair, dan entahlah apa lagi yang mereka inginkan. `Garage sale' ni merupakan permulaan nak belajar berniaga barangan terpakai.

Melalui seorang rakan, sejumlah 4 beg pakaian terpakai dan  beberapa beg seminar dan handbags yang tidak terjual pada hari jualan itu, kami dermakan kepada sebuah institusi anak yatim yang mempunyai kedai jualan barangan terpakai.  Semoga institusi itu dapat menjualnya untuk menambahkan dana mereka, dan semoga Allah menerima sumbangan itu menjadi sebahagian daripada sedekah jariah kami.  

Monday, February 8, 2010

Cinta dan Cemburu

Apabila kita cintakan seseorang ditambah dengan rasa kasih dan sayang, tentunya kita rasa amat cemburu apabila kita mengetahui bahawa dia ada seseorang  lain yang dia mengambil berat atau memberi perhatian.  Selanjutnya orang berkenaan juga mungkin menunjukkan respons yang positif, ada menaruh perasaan suka atau cinta kepada orang yang sama yang kita cintai.  Itulah hakikat cinta sesama manusia, sentiasa diselaputi oleh rasa cemburu antara satu sama lain.  Sebaliknya, jika kita cinta kepada Allah tiada siapa yang cemburukan kita, kerana setiap makhluk ciptaan Allah berhak cinta kepada Nya.  Tambahan pula kasih sayang Allah kepada kita tidak meluakkan atau mengurangkan kasih sayang Allah kepada makhluk lain, kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Cemburu Buta?

Rasa cemburu ada kalanya tidak berasas, kita katakan cemburu buta.  Mungkin ada sebab tertentu dipihak yang rasa cemburu, tetapi sebaliknya dipihak yang dicemburui pula, perkra yang menjadi sebab itu mungkin berasaskan tanggapan, prasangka, atau tuduhan, bukan berasaskan sebab/perkara sebenar, maka padanya cemburu itu dianggap cemburu buta.  Ada isu atau perkara pokok yang menimbulkan rasa cemburu kepada seseorang, tetapi dipihak yang dicemburui isu itu tidak releven baginya, atau tiada sebab perkara itu menimbulkan rasa cemburu pada pasangannya.  Ini adalah kerana persepsi berbeza antara keduanya terhadap isu yang berkaitan, mungkin disebabkan berlakunya `misscomunication', silap faham, salah persepsi, ada ketidakjujuran, ada kerahsiaan, atau tidak berterus terang antara satu dengan lain.

Pada kebiasaannya mesti ada sebab munasabah yang menimbulkan rasa cemburu yang meluap-luap sehingga membawa kepada huru hara dalam rumah tangga, ikatan kekeluargaan, hubungan persaudaraan, persahabatan atau percintaan.   Saya teringat kisah seorang kawan yang mengatakan dia sangat cemburukan suaminya, kearana terlalu sayangkan suaminya, tetapi dia tak pasti sama ada perasaan cemburunya itu dikatakan cemburu buta atau berasaskan sebab munasabah.

Saya namakan kawan saya itu Aida. Mereka berkahwin semasa mereka masih menuntut di Universiti.  Pada awal perkahwinan kata Aida, dia tak rasa cemburukan suaminya kerana mereka sentiasa bersama di kampus, macam belangkas, berpisah hanya ketika masing-masing masuk ke kuliah berlainan.  Lepas kuliah, bertemu untuk makan bersama dan belajar bersama di perpustakaan.  Aida mula rasa cemburukan suaminya apabila suaminya mula bekerja, sedangkan dia masih belajar lagi, dan mereka tidak dapat bersama seperti sebelumnya.  Ini lebih-lebih lagi apabila suaminya bertugas di luar kawasan, dia merasakan suaminya dah semakin luas `social circle'nya, ramai kawan-kawan dan tentulah panjang lankahnya, terutama dengan rakan-rakan perempuan setempat kerja.  Aida selalu memikirkan perkara yang bukan-bukan akan dilakukan oleh suaminya bila berjauhan.  Kadang kala kerisauan itu terbawa-bawa ke dalam tidur sehingga bermimpi yang suaminya berdating dengan orang lain ke pusat-pusat hiburan. Adakah ini cemburu buta?

Sebab Munasabah?

Pernah suaminya dihantar berkursus ke luar negara selama beberapa bulan.  Rasa tidak senang hati Aida tidak terkira, tapi apakan daya tidak dapat ikut bersama kerana tidak dapat mengambil cuti dari tempat kerjanya.  Zaman tu pulak perhubungan agak susah, hanya dengan surat yang mengambil masa  2 minggu untuk sampai, dan telefon pula mahal.  Belum ada kemudahan handphone atau komputer dan email/chatting.  Sepeninggalan suaminya, Aida mengalami sakit keguguran, dimasukkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan, mungkin kerana kesan tekanan perasaan.  Begitulah mendalamnya perasaan cinta Aida terhadap suaminya.

Setelah suaminya balik dari luar negara, Aida terjumpa beberapa keping gambar suaminya yang dirakamkan bersama wanita asing ketika berdansa dan berposing di tempat-tempat tarikan pelancong.  Huh! bagaikan berderai gugur hatinya, Aida merasa sangat kecewa kerana kepercayaan yang diberi kepada suaminya di cemari, cinta suci dinodai.  Aida meragui kasih sayang suaminya terhadap dirinya sehingga sanggup `mendua'kannya apabila berjauhan daripadanya. 

Berhari-hari Aida menangis kerana cemburukan perlakuan suaminya dan memepersoalkan kesetiaan suaminya.  Tapi bagi suaminya, seolah-olah macam tak ada apa-apa yang patut dicemburukan, kerana katanya ia hanya berkawan untuk menemaninya ketika majlis `dinner' dan keluar berjalan-jalan ke tempat-tempat menarik di negara tersebut.  Gambar-gambar tu hanya untuk kenangan saja, jadi tidak disembunyikan dari pengetahuan Aida.  Kata Aida, suaminya menyangka Aida seorang yang `understanding' dan tidak menghalang dirinya berkawan begitu.  Jika Aida juga dalam situasi sedemikian, suaminya tidak akan mempersoalkannya.  Oleh kerana Aida tidak suka, dan supaya tidak menimbulkan lagi perselisihan antara mereka berdua, gambar-gambar itu kemudiannya dibakar oleh suaminya.  Walau pun gambar di kertas telah tiada, namun imejnya masih jelas tergambar di minda Aida dan luka di hati terasa ngilunya.

Mengubat Hati

Dalam diam-diam Aida menyimpan cita-cita untuk turut ke luar negara sama ada bertugas atau pergi melanjutkan pelajaran.  Tetapi pekerjaannya pada masa itu tidak menyediakan peluang untuknya bertugas ke luar kawasan, jadi Aida memohon untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bertukar kerjaya kepada jawatan yang ada tugas-tugas di luar kawasan.  Aida ingin memahami situasi berjauhan dari keluarga kerana tugas, dan sekaligus meningkatkan `understanding' dan sikap tolerensi dalam hubungan rumah tangga, serta melembutkan rasa cemburu terhadap suaminya.  Aida ingin membawa diri dan mengubat hatinya yang luka.

Kata Aida, Alhamdulillah, doa dan cita-citanya dimakbulkan.  Dia berjaya mendapat tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara selama 2 tahun.  Ini mungkin juga satu ujian untuk menduga betapa kukuh ikatan kasih sayang mereka suami isteri.  Suaminya membuat pengorbanan mengambil cuti tanpa gaji selama 2 tahun untuk ikut serta ke luar negara bersama 2 orang anak mereka.  Bagi Aida, dengan pengorbanan suaminya itu, maka tertebuslah kesilapan `menduakannya' yang dilakukan oleh suaminya itu, terbukti bahawa suaminya masih sayangkan dirinya dan rumah tangga mereka.  Setahu Aida, ada kawan-kawannya yang mengambil cuti tanpa gaji kerana mengikut suami mereka ke luar negara, tetapi keadaan sebaliknya pula berlaku pada dirinya.  Aida bersyukur kerana susah senang yang dihadapi di luar negara mengajar mereka untuk memperkukuhkan kesefahaman, kasih sayang dan ikatan perkahwinan mereka.

Selepas balik dari luar negara, Aida bertukar kerjaya dan melibatkan tugas-tugas di luar kawasan.  Kini Aida pula yang sering bertugas di luar kawasan, begitu juga suaminya.  Mereka berdua terpaksa mengatur jadual bergilir supaya dapat salah seorang mereka berada di rumah bersama anak-anak yang semakin membesar dan bertambah bilangannya.  Kata Aida, rasa cemburunya terhadap suami dah berkurangan bila umur dah semakin meningkat.  Tumpuan lebih kepada untuk membesar dan mendidik anak-anak.  Baginya tiada ruang untuk memikirkan hal-hal remeh mengenai aktiviti suami di luar rumah kerana banyak perkara lain yang harus difikirkan, terutama hal pelajaran anak-anak dan hal-hal kerjanya di pejabat.   Mungkin juga kerana telah meningkat umur, meningkat juga tahap kepercayaan terhadap kasih sayang suaminya, dan tahap tolerensi juga meningkat.  

Prinsip Aida, hidup hanya sementara, kenapa disusahkan fikiran dengan hubungan/ikatan yang sementara.  Diri kita perlu bersedia untuk perpisahan bila tiba waktunya, tidak kiralah apa pun bentuk perpisahan itu, sama ada yang berbentuk sementara (berubah kasih) atau perpisahan kekal (kematian).  Jadi, sediakan sedikit ruang di hati kita untuk kemungkinan perpisahan supaya kita dapat menghadapinya dan tidak mengalami kekecewaan dan kedukacitaan yang amat sangat.     

Perintah Allah kepada kita supaya mencintai Nya dan Rasul Nya melebihi dari segala-segalanya, seperti dalam Firman Nya yang bermaksud:

`Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (pasangan) kamu,  keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khawatir akan rugi, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul Nya, serta berjihad di jalan Nya, maka tunggulah sehingga Allah memberikan keputusan Nya."  Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.'
                                                                       (Surah At Taubah : 24)

Wednesday, January 27, 2010

Mimpi dan Kematian

Apabila kita nak tidur, kita disunatkan membaca doa ini :

`Dengan nama Mu ya Allah, aku mati dan aku hidup.'      (HR:  Bukhari & Muslim)

Manakala apabila kita bangun dari tidur, kita disunatkan pula membaca doa berikut:

`Segala puji milik Allah, yang telah menghidupkan kami kembali setelah mematikan kami (dalam tidur) dan hanya kepada Nya kita akan dikembalikan (sesudah mati).'  (HR:  Bukhari & Muslim)

Daripada maksud doa di atas, bererti kita mati untuk sementara waktu semasa kita tidur.  Sungguhpun nadi kita masih bergerak, yang bermakna kita masih bernafas, roh kita masih ada pada jasad/badan kita, tetapi jiwa atau nafsun kita keluar dari badan kita mengembara ke mana-mana, mengalami pelbagai peristiwa seperti yang digambarkan di dalam mimpi kita.  Jika sebelum tidur atau pada siang hari, kita mengalami tekanan perasaan, teringat-ingat atau sedang memikirkan sesuatu peristiwa, kadang kala ia terbawa-bawa ke dalam tidur sehingga termimpi-mimpikan perkara itu.

Mengikut Ustaz Dr. Abdullah Yasin, terdapat tiga jenis mimpi:

1.   Mimpi daripada Allah, yang mana merupakan ilham atau petunjuk daripada Allah kepada orang-orang    alim atau mukmin tertentu.  Mimpi kepada Nabi merupakan wahyu daripada Allah.
2.    Mimpi daripada gangguan syaitan/iblis yang meracau semasa kita tidur.
3.    Mimpi yang merupakan permainan tidur, iaitu yang disebabkan ingatan kita terhadap sesuatu perkara.

Jadi, kalau kita bermimpi, yang mana satukah antara tiga jenis mimpi itu berlaku pada kita? Mengikut keadaan, pada kebiasaannya mimpi pada kita adalah permainan tidur dan ada masanya gangguan syaitan.  Kita akan bermimpi tentang sesuatu yang ada kaitan dengan perkara yang sedang kita fikirkan atau yang menjadi punca stress kepada kita.

Baru-baru ni anak saya bermimpi yang saya meninggal dunia, sesuatu yang dia tidak mau hadapi.  Mungkin mimpi itu berlaku disebabkan oleh timbulnya rasa stress memikirkan sesuatu peristiwa yang membawa kerisauan kepada anak saya sebagai respon kepada blog saya yang bertajuk `Kerisauan seorang anak terhadap ibunya.'  Kerisauan yang dihadapinya adalah belum bersedia menghadapi kehilangan saya, ibunya, sedangkan dia masih memerlukan kehadiran saya untuk menjalani kehidupan ini.  Mimpi itu adalah merupakan permainan tidur, timbul dari pemikiran liar yang bermain dimindanya.

Pada realiti, apa yang hendak dirisaukan tentang kematian, kerana ianya adalah fitrah.  Setiap yang hidup pasti akan mati.  Cuma kita tidak tahu bilakah ajal kita, tetapi kita mesti menerima hakikat bahawa ajal kita akan sampai bila tiba waktunya, sesaat pun tidak akan diawalkan dan sesaat pun tidak akan dilambatkan.  Kita perlu menerima hakikat bahawa bila tiba masanya kita akan mati.  Al Quran banyak mengingatkan kita mengenai kematian, di antaranya:

`Dan setiap yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.  Barang siapa yang menghendaki ganjaran dunia, nescaya Kami berikan kepadanya ganjaran (dunia) itu, dan barang siapa menghendaki ganjaran akhirat, Kami berikan pula kepadanya ganjaran akhirat itu, dan Kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur.'
                                                                                                    (Surah Ali `Imran : 145)

`Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.'
                                                                                                    (Surah An Nisa' : 78)

`Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan.  Dan hanya kepada Kami lah kamu akan dikembalikan.'
                                                                                                    (Surah Al Anbiyaa' : 35)
                                                                                                   
`Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya.  Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu kerjakan.'
                                                                                                     (Surah Al Munafiquun :  11)

Justeru itu, kita perlu bersedia untuk menghadapi kematian.  Orang yang mati telah pun sampai ajalnya untuk berpindah ke alam barzakh iaitu alam penantian sehingga ke suatu  hari apabial manusia dibangkitkan semula untuk dihisab segala amalan mereka. Manakala orang yang hidup perlu melaksanakan tanggung jawabnya menguruskan jenazah orang yang mati dengan:  dimandikan, dikapankan, disolatkan dan didoakan, kemudian seterusnya disemadikan ditanah perkuburan.

Orang yang masih tinggal hidup perlu meneruskan kehidupan dan dalam masa yang sama beramal untuk persediaan menghadapi saat yang sama apabila tiba masanya nanti.   Bagi orang yang hidup, kematian ahli keluarga atau seseorang yang disayangi adalah merupakan suatu ujian Allah untuk menguji sejauh mana ia sabar dan redha menerima ketentuan Allah.  Oleh itu, kita hendaklah sentiasa redha terhadap apa jua ketentuan Allah terhadap kita. Di samping hendaklah sentiasa berdoa memohon keampunan di atas segala dosa-dosa kita, dan memohon limpah rahmatnya kepada kita, kedua ibu bapa kita, muslimin dan muslimat baik yang hidup mau pun yang mati,  Amin.

Monday, January 25, 2010

Adab Pada Diri Sendiri

Hari seperti biasa saya menghadiri kelas dewasa di KGPA, yang diadakan setiap hari Isnin dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.  Kelas yang telah hampir 20 tahun berjalan ini dihadiri oleh kira-kira 400 jemaah yang terdiri daripada hampir 80 peratus pesara kerajaan, dan selebihnya suri-suri rumah serta pelajar institusi pengajian tinggi yang dapat meluangkan masa mengikutinya.  Ada juga pekerja-pekerja swasta yang sengaja mengambil cuti atau `time-off' untuk hadir ke kelas ini.  Alhamdulillah, di KGPA ini kelas berterusan, tidak ada pihak-pihak berkuasa tertentu yang `mengacau', mungkin sebab dalam Wilayah Persekutuan.  Di tempat-tempat lain di Selangor, kelas yang dikendalikan oleh Yg. Bhg. Ustaz Dr. Abdullah Yasin tidak bertahan lama, kerap diserbu atau diberi amaran oleh pihak JAIS.

Ketika menjelaskan tentang konsep `Allah Bersama Makhluk', Ustaz mengingatkan jemaah mengeani Adab sesorang pada dirinya, iaitu tanggung jawab kita kepada diri kita sendiri yang sentiasa perlu diamalkan. 

Terdapat lima (5) Adab pada diri sendiri, iaitu:

     1.     Bertaubat 
             Seseorang hendaklah sentiasa bertaubat, memohon keampunan daripada Allah atas kesalahan yang dilakukan, menyesali diri atas kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut
     2.      Muhasabbah diri
              Seseorang hendaklah membuat penilaian atau reevaluation ke atas diri mengenai setakat masa telah melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-larangannya. apakah amal-amal kebajikan yang telah dilakukan, dan setakat manakah diri bersikap ihsan.
     3.      Al mujahadah
              Seseorang hendaklah bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ibadah dan kebajikan, seperti dalam usaha mencari ilmu untuk peningkatan diri.
     4.      Al muraqabah
              Seseorang hendaklah merasa diri sentiasa diawasi oleh Allah.  Oleh itu, jika dia melakukan ibadah, maka dia akan melakukan dengan khusyuk.  Dia tidak akan sanggup melakukan kesalahan/kejahatan kerana dia merasa sentiasa diawasi oleh Allah dan dia akan mendapat perlindungan Allah.
     5.     Al muakabah 
              Seseorang hendaklah sentiasa menegur diri sendiri, seperti apabila melakukan sesuatu kesalahan, bertanya pada diri sendiri kenapa melakukan kesalahan itu, atau menegur diri kenapa malas hendak melakukan amal ibadah/perintah Allah dan seumpamanya.

Selama ini mungkin kita tidak pernah melaksanakan ke lima-lima adab itu pada diri kita secara sedar.  Kalau ada pun yang kita lakukan, mungkin hanya satu atau dua adab dan secara tidak sedar.  Oleh itu untuk menjadikan diri kita mukmin yang lebih baik maka hendaklah kita sentiasa mengamalkan adab pada diri kita itu.

Friday, January 22, 2010

Murah Hati atau Boros?

Kepakaran Tok Aki

Dalam catatan ini kita sambung cerita tentang keluarga Siti. Semasa kecil Siti pernah mendengar cerita Tok Aki yang ketika mudanya bekerja sebagai `Captain’ kapal (boat besar) yang belayar berulang alik dari Kuala Terengganu ke Pattani dan ke Mersing, Johor. Zaman itu pengangkutan darat tidak begitu popular kerana jalan darat belum begitu baik. Jadi pengangkutan laut banyak digunakan untuk membawa barang-barang dagangan dan juga penumpang ke utara hingga ke Siam dan ke selatan hingga ke Johor dan Singapura.

Tok Aki memang bangga dengan tugasnya sebagai captain kapal. Dia pernah menunjukkan kepada Siti buku panduan/catatan ilmu pelayaran yang digunakannya semasa mudanya. Siti juga pernah lihat gambar Tok Aki semasa mudanya yang segak memakai pakaian seragam captain kapal. Gambar itu diambil barangkali ketika ayah Siti (Pak Mat) berumur 7 tahun, masih budak kecil dan memakai seluar pendek. Kata Pak Mat, dia biasa hidup mewah semasa kecil, selalu memakai pakaian import dan barang-barang permainannya (toys) pun yang diimport, maklum sajalah yang dibawa balik oleh Tok Aki dari Siam.

Mengikut Tok Aki, semasa perang Jepun, ia hilang pekerjaan kerana kapal penumpang yang berulang alik ke Siam dan Ke Johor itu tidak lagi beroperasi. Malah Tok Aki pernah ditangkap oleh tentera Jepun dan hampir-hampir nak kena pancung leher kerana dituduh berkerjasama dengan British. Nyawa Tok Aki masih panjang sehingga dapat melihat dan menimang beberapa orang cucunya termasuklah Siti.

Semasa masih sihat Tok Aki bekerja mengambil upah melarik barang-barang tembaga, iaitu kerja-kerja `finishing’ yang memerlukan kepakaran dan ketelitian untuk membersih, mengukir, melicinkan dan mengilatkannya. Tok Aki juga pakar membuat sarung keris dan ulunya (pemegang) yang berbentuk kepala burung. Kepakaran ini diwariskan kepada anaknya Pak Mat, manakala kepakaran melarik barang-barang tembaga diwariskan pula kepada Pak Cik.

Kesempitan Hidup

Pada hemat Siti, oleh kerana Tok Aki ni seorang yang banyak kebolehan dan kepakaran, tentulah Tok Aki banyak duit dan berharta. Seingat Siti, masa dia masih kecil, adalah Tok Aki beri dia duit sebagai upah pergi ke rumah atau tidur di rumah Tok Aki. Siti masa tu tinggal di rumah nenek sebelah emaknya, jadi jarang-jarang pergi ke rumah Tok Aki kerana takut kena cerlung bila buat salah. Bila dipujuk oleh ibu atau ayahnya barulah Siti pergi sekali sekala. Masa tidur di rumah Tok Aki itulah Siti mendengar cerita-cerita zaman muda Tok Aki.

Mengikut Tok Aki, masa hilang pekerjaan sebagai captain kapal, dia menjual tanahnya untuk dapatkan duit bagi keperluan hidup. Dia dapat banyak duit Jepun, berguni, tetapi tak lama lepas tu Jepun menyerah kalah dan duit pun tak laku. Siti masih ingatlah, masa kecil dulu dia bermain rumah-rumah dan berjual beli menggunakan duit Jepun yang nampak masih baru kerana tersimpan elok dalam peti kayu di bawah rumah Tok Aki.

Sewaktu masih sihat, kehidupan Tok Aki taklah susah sangat sebab dia masih boleh bekerja untuk menyara kehidupannya. Tapi bila Tok Aki dah mula uzur, kemudian diikuti dengan penyakit nyanyuk, maka kehidupan Tok Aki menjadi semakin susah dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga Siti. Ayah Siti, iaitu Pak Mat lah yang menyara Tok Aki dan isterinya. Adalah juga isterinya membantu dengan bekerja memasak di rumah jiran, dan membuat jualan kuih muih, tetapi apabila Tok Aki semakin uzur, maka perhatiannya adalah untuk menjaga Tok Aki.

Masa keluarga Siti menghadapi kesempitan ini, Siti dah berada di sekolah menengah dan semakin faham akan kesusahan keluarganya. Siti hairan juga, tak adakah simpanan Tok Aki yang boleh digunakan semasa usia tua. Barang kali budaya menyimpan pada zaman Tok Aki muda masih belum ada atau belum dibudayakan dan institusi bank masih belum berkembang. Mungkin juga ada sedikit simpanan, tetapi telah habis digunakan, Wallahu`alam. Itu merupakan ujian untuk keluarga Siti, terutama kepada ibu dan ayahnya, supaya bersabar menjaga bapanya yang uzur dan dalam masa yang sama membesarkan anak-anaknya.

Tok Aki Pemurah?

Mengikut ayah Siti, Tok Aki seorang yang pemurah, bila dia mengambil upah membuat sarung keris, dia tidak menetapkan harga upahnya, jadi orang akan memberinya sekadar sagu hati, bukan upah yang setimpal dengan kerjanya. Malah Tok Aki tak kisah pun sama ada orang membayar upahnya atau tidak kerana itu merupakan hobi yang diminatinya dan merasa puas dengan kreativitinya. Semoga Allah merahmati Tok Aki dan menjadikan usaha, kreativiti dan kepakarannya sebagai amal jariahnya, Amin.

Warisan Kepakaran

Semasa Tok Aki bekerja melarik barang-barang tembaga, anaknya Pak Cik yang masih remaja pada masa itu juga melakukan pekerjaan yang sama. Sebenarnya, Pak Cik pernah ditawarkan menjadi guru pelatih selepas tamat darjah 5 sekolah rendah, tapi mati-matian dia tidak mahu. Menurut kata ayah Siti, Pak Cik pernah dipukul dan diikat pada tiang oleh Tok Aki kerana kedegilannya tidak mahu menerima tawaran menjadi guru pelatih.

Itulah yang dikatakan `bukan rezeki’ dia nak menjadi seorang guru, rezeki datang bergolek pun ditolaknya. Pak Cik memilih kerja melarik barangan tembaga kerana upahnya lebih lumayan dan kalau banyak yang dapat disiapkan, maka banyak pulalah pendapatan yang diperolehi. Sedangkan kerja sebagai guru pelatih, walau pun gaji tetap tapi rendah saja pada masa itu.

Warisan Sikap

Selepas berkahwin dan mempunyai anak, Pak Cik bertukar kerjaya kepada mengusahakan kantin sekolah dan menyediakan makanan di asrama. Keluarga Pak Cik tinggal di bahagian dapur asrama sekolah, jaraknya kira-kira 2 km dari rumah Siti. Bila sekali sekala Siti menziarahi Pak Cik di kantin sekolah, dia akan dijamu dengan pelbagai makanan yang dijual di kantin serta air batu campur. Masa itulah Siti diejek oleh anak-anak Pak Cik dengan istilah yang tidak difahami oleh Siti, iaitu `sekut 4 segi’. Keluarga Pak Cik pula jarang menziarahi Tok Aki, mungkin kerana prasangka terhadap Pak Mat yang telah diceritakan dulu.

Sesuatu yang baik ada pada Pak Cik, yakni turut mewarisi sikap Tok Aki yang pemurah itu. Siti pernah mendengar rungutan dari anak-anak dan isteri Pak Cik yang mengatakan Pak Cik berniaga selalu rugi kerana terlalu murah hati, selalu memberi lebih makanan kepada pelajar. Dah tu, kalau ada kawan-kawan Pak Cik yang datang ke kantinnya, pasti dijamunya mereka dengan percuma. Sebab itu Pak Cik tidak dapat membesarkan perniagaannya.

Selepas berpindah ke rumah pusaka Tok Aki, Pak Cik tidak lagi mengusahakan kantin sekolah, sebaliknya melakukan kerja warisan membersih dan mengilatkan barangan tembaga. Itu pun secara sambilan sahaja kerana Pak Cik mengalami masalah kesihatan.

Sikap murah hati Pak Cik ada hikmahnya. Dia ramai kenalan yang terdiri dari orang-orang berpangkat dan berada. Semasa usia tuanya, rezeki Pak Cik jadi murah, ada saja orang yang bersedekah kepadanya. Walau pun dia tidak lagi bekerja, tetapi dia berjaya mengumpul duit untuk menunaikan fardhu haji ke Mekah. Alhamdulillah. Semoga amal jariahnya diterima oleh Allah dan mendapat rahmat daripada Nya. Amin.

Wednesday, January 20, 2010

Jimat atau Kedekut?

Ada orang yang menyalahertikan dua perkataan ini mempunyai maksud yang sama. Umpamanya jika kita tidak mahu membelanjakan wang kita sesuka hati, kita lebih selektif bila berbelanja dan kita berjimat untuk tujuan menyimpan untuk keperluan yang lebih besar, maka kita dikatakan kedekut. Adakah wajar bila kita berjimat cermat, kita dikatakan kedekut (bakhil atau kikir)?

Saya selalu mengingatkan anak-anak supaya berjimat cermat menggunakan kewangan mereka dan beringat untuk masa depan keluarga dengan menyimpan untuk keperluan pendidikan anak-anak, kesihatan, keperluan kecemasan, untuk bercuti dan sebagainya.

Catitan saya kali ini semoga menjadi iktibar kepada anak-anak supaya beringat untuk berjimat cermat, tetapi tidaklah kedekut/bakhil untuk membuat kebajikan, bersedekah, menginfak ke jalan Allah.

Sekut 4 Segi

Semasa saya kecil, dah tak berapa ingat berapa umur saya ketika itu, mungkin dalam lingkungan umur sekolah rendah, saya sering mendengar ejekan oleh satu keluarga terhadap seorang kanak-kanak dengan mengatakan yang bapa kanak-kanak itu `sekut 4 segi’. Kita namakan keluarga itu `Pak Cik’, kanak-kanak itu `Siti’ dan bapa kanak-kanak itu `Pak Mat’. Siti tak faham apa-apa tentang ejekan anak-anak Pak Cik itu. Mereka sebenarnya saudara sepeupu. Bila balik kerumah Siti pun mengadulah kepada bapanya Pak Mat. Pak Mat hanya senyum, dan tak terasa hati pun. Siti tak puas hati, lalu mengadu pula kepada ibunya. Ibunya memujuk Siti agar jangan mempedulikan ejekan itu kerena memang di rumah mereka sentiasa ada sekut 4 segi, sedangkan keluarga Pak Cik tak de apa-apa.

Dipendekkan cerita membesarlah Siti seribu pertanyaan dalam kepala apakah maksud ejekan `sekut 4 segi’ itu. Suatu ketika setelah beberapa bulan ayah Pak Mat iaitu Tok Aki meninggal, maka Pak Mat dan abangnya Pak Cik berundinglah untuk proses pembahagian harta arwah Tok Aki itu. Hartanya tak banyak, cuma sebuah rumah yang telah tua di atas tanah yang tidak begitu luas, hanya dapat menempatkan 2 buah rumah, iaitu rumah Tok Aki dan rumah Pak Mat. Barulah Siti faham tentang maksud ejekan `sekut 4 segi’ yang pernah didengarnya semasa kecil dahulu.

Syak Wasangka

Rupanya selama ini keluarga Pak Cik menyiimpan syak wasangka bahawa Tok Aki telah memberikan tapak rumah kepada Pak Mat untuk mendirikan rumahnya. Ejekan `sekut 4 segi’ bermaksud menyindir keluarga Pak Mat yang tidak mewah berbelanja (atau bermakna kedekut). Kerana itu mereka boleh menyimpan wang dan dapat pula mendirikan rumah di atas tanah Tok Aki.

Apabila pembahagian harta pusaka dibuat barulah keluarga Pak Cik tahu bahawa, tanah itu masih lagi milik Tok Aki dan Pak Mat hanya menumpang mendirikan rumah sndiri. Ini untuk mengelakkan dari menyewa, tambahan pula telah lama menumpang di rumah mertua. Maklum sajalah, anak-anak dah semakin bertambah dan mereka semakin membesar, maka sebaiknyalah ada rumah sendiri, walaupun tapaknya menumpang ditanah bapanya. Lagi pun Tok Mat perlu tinggal berhampiran untuk menjaga Tok Aki yang semakin uzur dan mengalami penyakit alzaimer (nyanyuk).

Keluarga Pak Cik jadi baik tiba-tiba apabila mereka mendapat bahagian mereka iaitu rumah pusaka dan tapak rumahnya sekali. Dah hilang istilah `sekut 4 segi’ yang selalu disebut-sebutkan dulu, malah bila bertandang ke rumah Pak Mat, itulah yang mereka turut sama makan.

Snak Harian

Memang ibu Siti setiap bulan apabila ke kedai runcit membeli barang-barang dapur untuk keperluan keluarga, ia tidak lupa turut membeli 2-3 kati biskut tawar (4 persegi atau dipanggil juga sebagai biskut mayat) sebagai snak keluarga. Keluarga Siti pada masa itu semakin membesar, adik-adik bertambah dan mereka cepat membesar. Mulut sentiasa mahu mengunyah, maka biskut tawar itulah yang mewah bagi mereka. Masa dulu tidak banyak pilihan makanan ringan, selain daripada keropok ikan, kerepek ubi kayu, dan kerepek malinja.

Satu lagi snak yang biasa disediakan oleh ibu Siti kepada keluarganya ialah kacang putih. Biasanya selepas makan malam dan solat Isyak, Pak Mat akan menggunakan masa kualitinya bersama Siti dan adik-adiknya, sama ada dengan bercerita kisah-kisah Nabi atau bertanya hal-hal pelajaran, memberi nasihat atau mendengar dan memperbetulkan bacaan al Quran mereka. Sesi ini diakhiri dengan menjamu snak biskut tawar dan kacang putih berserta air kopi hitam panas. Kadang kala ibu Siti menggoreng biskut tawar itu dengan majrin bagi menambah sedap rasanya.

Bagi Siti, keluarganya cukup mewah pada masa itu. Tidak pernah mereka tidak cukup makan. Ada-ada saja juadah kuih-kuih tradisonal Melayu yang disediakan oleh ibu mereka untuk hidangan petang, seperti kuih lompat tikam, bingka ubi dan lain-lain. Kini Siti sekali sekala merasa `missed’ saat-saat berkumpul seperti itu. Lagi pun sekarang ni dah susah nak cari biskut tawar tu, kerana banyak snak-snak lain dalam pasaran. Citarasa anak-anak Siti seperti citarasa anak-anak zaman sekarang, berbeza dari dahulu. Mereka lebih suka burger, piza, KFC, dan pelbagai lagi makanan segera lain sebagai snak harian. Kadang-kadang adalah juga Siti beli `Cream Crakers’ dari pelbagai jenama seperti Jacobs untuk hidangan snak malam keluarganya.

Berjimat Cermat Tetapi Jangan Kedekut

Dalam Islam kita dituntut supaya berjimat cermat dan bersederhana dalam membelanjakan rezeki yang kita terima, dan kita diperintahkan pula supaya tidak kedekut (bakhil atau kikir). Itulah yang diamalkan oleh ibu bapa Siti. Mereka berjaya memberi pendidikan kepada ana-anak mereka hingga ke universiti. Dalam pada itu, mereka tidak mengabaikan rukun Islam keempat dan kelima. Melalui simpanan, mereka dapat mengeluarkan zakat simpanan setiap tahun serta mengerjakan haji ke Mekah. Apabila mereka meninggal dunia, ada jugalah harta warisan yang ditinggalkan kepada anak-anak mereka berkat dari jimat cermat yang mereka amalkan.

Semoga anak-anak Pak Mat dan generasi seterusnya mengambil peringatan dari perintah Allah dalam firman Nya yang bermaksud:

Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu; dan dengarlah serta taatlah; dan infakkanlah nafkah yang baik untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka merekalah orang-orang yang beruntung.
                                                                                                                     (Surah At-Taghabun : 16)


“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap kesejahteraan mereka. Oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kerpada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”
                                                                                                                         (Surah An-Nisa : 19)

Berjimat cermat pada masa sekarang untuk kesejahteraan generasi kita masa hadapan.