Monday, June 13, 2011

Pesan Ayahanda


Sambungan kepada pengkisahan pengalaman pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2010 yang lepas, saya ingin menceritakan pula penaglaman seeorang yang saya panggil Anna supaya dapat dikongsikan bersama rakan-rakan lain. Anna memilih untuk menceritakan kisah dirinya, tak kiralah sama ada orang berminat nak dengar atau tidak, tapi Anna rasa ada perkara yang boleh dimanfaatkan atau boleh diambil iktibar oleh rakan-rakan yang bergelar nenek-nenek atau ibu-ibu untuk memotivasikan cucu-cucu atau anak-anak mereka. Kata Anna, dia tidak bermaksud hendak membanggakan diri, jauh sekali rasa riak dan ujub kerana dirinya hanya seorang hamba kerdil ciptaan Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.


Anak Degil (Determined)

Anna memulakan cerita dengan mengkisahkan hal perangainya mengikut persepsinya sendiri. Anna menganggap dirinya sebagai seorang anak yang degil, keras hati dan tidak mudah mengalah. Apa yang dia hendak, mesti dapat, tapi tidaklah bermakna dia hendakkan benda-benda yang tidak mampu disediakan oleh ibu bapanya atau di luar kemampuan dirinya sendiri. Degil Anna pula tidak bermakna selalu ingkar perintah/suruhan ayah emak atau melawan cakap mereka, tetapi selalu beralasan dan berhujah kerana ingin mendapatkan rasional atas sesuatu perkara. Dia suka mempertahankan pendapatnya yang dirasainya betul.  Anna sentiasa ingin membuktikan yang dia dapat melakukan sesuatu yang dicabar oleh ibunya, seperti memasak, membuat biskut dan kek, menjahit dan lain-lain kerja tangan.  

Oleh kerana Anna menjadi anak pertama dari tujuh beradik dalam keluarganya (kerana kakaknya meninggal dunia ketika berumur 4 tahun), maka Anna dididik secara agak terkongkong oleh kedua ibu bapanya. Semasa di sekolah menengah, Anna tidak pernah dibenarkan mengikut rombongan/lawatan anjuran persatuan/kelab kokurikulum sekolah ke mana-mana pun, seperti berkelah ke pulau dan sebagainya.


Semangat Kebangsaan


Oleh kerana bapa Anna sangat bersemangat kebangsaan, Anna dimasukkan ke sekolah menengah aliran Melayu (pada masa itu masih menumpang di sekolah menengah aliran Inggeris). Pada anggapan Anna, pelajar-pelajar aliran Melayu merasa inferior kerana tidak fasih `speaking' berbanding rakan-rakan lain dalam aliran Inggeris. Mereka juga dipandang sebagai inferior atau pelajar prestasi rendah sebab tidak berada di aliran Inggeris. Anna rasa tidak seronok bersekolah, dan meminta ayahnya uruskan mohon pertukaran aliran. Malangnya permohonan Anna tidak diluluskan. Mungkin dasar pada masa itu untuk menghidupkan aliran Melayu, maka tidak dibenarkan pelajar yang telah memilih aliran Melayu bertukar ke aliran Inggeris. Jika dibenarkan, maka akan ramai lagilah yang memohon pertukaran. Anna merasa agak kecewa dan malas belajar, namun ayahnya sentiasa memberi motivasi supaya dia tidak berputus asa. Kata ayahnya, kalau berusaha tentu akan berjaya, malah lebih berjaya dan dapat menyaingi mereka di aliran Inggeris.

Ayahnya sentiasa meyakinkannya dengan mengatakan ada hikmah di sebalik apa yang berlaku itu. Alhamdulillah, Anna bertahan sehingga ke Tingkatan 5. Daripada dua kelas di Tingkatan 1, cuma tinggal sekelas saja di Tingkatan 4. Pada penggal akhir di Tingkatan 4, aliran Melayu berpindah ke sekolah yang baru siap dibina, maka jadilah Anna dan rakan-rakannya sebagai pelajar sulung di sekolah baru itu. Oleh kerana, kumpulan mereka tidak ramai, cuma satu kelas saja (lebih kurang 30 orang), maka pelajar-pelajar sulung ini hampir kesemuanya menjadi pemimpin pelajar. Anna pula dipilih menjadi `headgirl' pertama di sekolah itu. Kata Anna, dengan sendiri timbul motivasi diri untuk bergerak aktif dalam aktiviti sekolah, termasuklah dalam rumah sukan, persatuan dan pasukan bahas sekolah. Pasukannya pernah menjuarai pertandingan bahas peringkat daerah semasa kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Anna rasa dirinya diberi perhatian oleh guru-guru terutama dalam bidang akademik

Barangkali itulah hikmah dan sebahagian rahmat kurniaan Allah yang pernah diperkatakan oleh ayahanda Anna dahulu. Sekiranya Anna menukar kepada aliran Inggeris dan berada di sekolah yang sudah `established', mungkin Anna tidak berpeluang aktif dan terpilih sebagai pemimpin pelajar.


Menghadapi Kegagalan

Walau bagaimanapun, oleh kerana aliran Bahasa Melayu masih baru, maka tidak banyak buku teks yang tersedia dalam Bahasa Melayu, malah buku rujukan langsung tidak ada. Justeru agak sukar bagi Anna dan rakan-rakannya menguasai pengetahuan dan pelajaran kerana hanya semata-mata bergantung kepada nota dan fakta yang diberi oleh guru, sedangkan mereka menduduki peperiksaan yang sama setara dengan aliran Inggeris. Daripada kelasnya, tiada seorang pun yang mendapat pangkat 1 dalam SPM, hanya 5 orang mendapat pangkat 2 termasuklah Anna dan yang lain-lain sama ada pangkat 3 atau gagal. Oleh kerana Anna cuma mendapat pangkat 2, maka sekali lagi Anna gagal hendak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6. Malahan hanya dua buah sekolah sahaja yang menawarkan kelas Tingkatan 6 aliran Melayu pada masa itu, iaitu SMK Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah, dan Sekolah Alam Shah, Cheras, Selangor.

Kata Anna, dia berusaha mencuba mendapatkan peluang belajar dengan menulis surat kepada pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran mohon agar dipertimbangkan, tetapi jawapannya menghampakan. Atas nasihat Pengetua sekolah, Anna cuba memohon bertukar ke aliran Inggeris dan masuk ke Tingkatan 6 di sekolah pertama yang ada aliran tersebut, tetapi malangnya pihak sekolah, malah pihak Jabatan Pelajaran tidak yakin yang Anna akan dapat mengikuti pelajaran dengan baik di Tingkatan 6 aliran Inggeris. Ayah Anna turut sama berusaha turun naik Pejabat Pelajaran berjumpa pegawai-pegawai tertentu, berjumpa Pengetua sekolah Inggeris itu, merayu supaya Anna diterima masuk. Sekali lagi Anna rasa amat kecewa kerana gagal melanjutkan pelajaran. Walau bagaimanapun ayahanda Anna tidak putus-putus memotivasikan Anna dengan pesanannya, mungkin ada hikmahnya di sebalik kegagalan apa yang diusahakan dan tidak mendapat apa yang dikehendaki kerana ada yang lebih baik yang disediakan oleh Allah yang tidak diketahui.


Cita-cita Besar

Menurut Anna, dia sebenarnya bercita-cita besar. Pernah ketika di Tingkatan 5, guru kelas bertanya cita-cita setiap pelajar, Anna mengatakan hendak menjadi doktor. Guru dan rakan-rakan semuanya ketawa mendengar cita-cita Anna itu. Barangkali pada pemikiran mereka itu adalah satu angan-angan `Mat Jenin' yang tidak akan kesampaian. Mungkin sebab Anna salah masuk aliran, maka cita-cita Anna itu akan tercicir di tengah jalan. Sepatutnya kalau nak jadi doktor mestilah masuk aliran Sains, manakala pada masa itu tentulah di sekolah Inggeris yang ada menawarkan aliran Sains. Anna tidak peduli apa anggapan rakan-rakan, dia tekad akan berusaha untuk mencapai cita-cita itu. Anna selalu dimotivasikan oleh ayahandanya dengan cerita-cerita mengenai orang-orang yang berfikiran besar seperti Dr. HAMKA dengan hasil penulisannya, Prof. Diraja Engku Aziz dengan buah pemikirannya yang membawa kepada penubuhan Tabung Haji.

Oleh kerana gagal masuk ke Tingkatan 6, Pengetua sekolah telah menawarkan Anna mengajar sebagai guru sementara, dan Anna terima tawaran itu. Maka bermulalah kerjaya Anna sebagai seorang guru yang ditugaskan mengajar di Tingkatan 1 dan 2. Pada tahun berikutnya Anna diterima masuk ke Program Latihan Perguruan Daerah (RTC), iaitu Program latihan sambil bekerja. Anna mengajar pada hari persekolahan biasa, mengikuti kursus pada hujung minggu di peringkat daerah, manakala pada masa cuti sekolah dihantar mengikuti kursus di Maktab Perguruan. Program itu diadakan bagi menambahkan bilangan guru-guru terlatih secara cepat pada masa itu. Pada tahun kedua latihan, program ini dibatalkan dan semua pelatih diserap masuk ke Maktab-Maktab Perguruan seluruh negara. Anna berpeluang mengikuti program di Maktab Perguruan Melayu (MTC), Pulau Pinang dalam bidang Sains dan Matematik.


Usaha Membuahkan Kejayaan

Selepas tamat latihan perguruan, Anna ditempatkan kembali di sekolah tempat Anna belajar dahulu sebagai guru terlatih. Katanya, hatinya meronta-ronta ingin meneruskan pengajian ke peringkat Universiti. Anna tidak bertangguh untuk mengikuti pelajaran melalui Institut Malaysia Gaya Pos dan mendaftar untuk peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran. Alhamdulillah, pengalaman belajar sambil bekerja semasa dalam Program RTC memudahkan Anna merancang pengajiannya. Walau bagaimanapun, ketika keputusan STPM diumumkan Anna rasa takut hendak mengambil keputusannya, takut gagal. Setelah mendengar pelbagai cerita rakan-rakan guru lain yang telah berpengalaman beberapa kali menduduki peperiksaan tersebut, Anna jadi tidak konfiden akan berjaya. Alhamdulillah, Anna berjaya mendapat pangkat Prinsipal A dalam Ekonomi dan Prinsipal B dalam Bahasa Melayu. Dengan 2 Prinsipal yang teguh ini membolehkan Anna diterima masuk ke Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya. Seterusnya Anna mencuba nasib dengan menulis surat ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, memohon biasiswa/dermasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Ini kerana Anna telah terlepas dari cara biasa memohon biasiswa yang tarikh tutup permohonan telah pun berlalu. Alhamdulillah, Allah memudahkan jalan bagi Anna, dan ditawarkan dermasiswa (separuh biasiswa dan separuh pinjaman) untuk 3 tahun pengajian. Anna mengambil cuti belajar selama 3 tahun dengan menggantung perjanjian tugas mengajar, yang bermakna Anna akan menyambung kerjaya guru selepas tamat pengajian. Terpendam sudah cita-cita hendak menjadi seorang doktor.

Begitulah pengalaman perjuangan Anna mengatasi kegagalan peringkat awal untuk meneruskan cita-cita ke Universiti. Dengan berkat usaha dan pasrah kepada ketentuan Allah, Anna berjaya juga melanjutkan pelajaran ke Universiti. Cerita pengalaman Anna tidak berhenti setakat ini, masih banyak lagi yang akan dikisahkan sehinggalah Anna akhirnya berjaya mendapat gelaran Dr. sebagaimana yang diangan-angankan di zaman persekolahan itu. Cumanya pada zaman itu Anna tidak dapat membezakan antara Dr perubatan dan Dr Falsafah dalam pelbagai bidang ilmu lain.  Penulisan ini sengaja dipanjangkan dari cerita asal yang dikisahkan secara lisan semasa majlis sambutan Hari Raya lepas.


                                                                                                               (Bersambung)

No comments:

Post a Comment