Wednesday, July 6, 2011

Kisah Inda & Indawan : Bertunang Pilihan Keluarga

Dalam filem Bollywood banyak dipaparkan kisah gadis dikahwinkan dengan teruna pilihan keluarga yang telah ditunangkan dari sejak kecil lagi. Kemudian berlakulah berbagai episod drama, umpamanya penentangan daripada gadis, lalu mengambil tindakan melarikan diri dengan kekasih pada hari perkahwinan, atau menurut kehendak keluarga berkahwin juga tunang pilihan keluarga tetapi hidup tidak bahagia dan mengalami pelbagai tragedi yang menyayat hati dalam rumah tangga mereka.  Maka bergenanganlah air mata penonton menyaksikan tayangan yang dramatik itu.

Dalam masyarakat Melayu, perkara ini pun kerap berlaku dahulu, tetapi sekarang tidaklah diketahui budaya ditunangkan sejak kecil ini masih wujud atau telah pupus ditelan masa disebabkan meningkatnya tahap pelajaran remaja dan mereka ingin mencari pasangan hidup sendiri.  Mereka ingin berkenalan dulu dengan pasangan, mencari kesesuaian, bercinta dan kemudian barulah membuat keputusan untuk berkahwin.  Namun tidak semestinya mereka yang berkahwin dengan pasangan pilihan keluarga itu tidak bahagia rumah tangga mereka, manakala pasangan yang bercinta dahulu sebelum berkahwin itu bahagia dan kekal rumah tangga mereka hingga ke akhir hayat.  Realiti kehidupan masyarakat Melayu (Islam) tidak semestinya sama seperti yang digambarkan dalam filem-filem bollywood itu.  Didikan agama yang tegas dan berkesan menjadikan anak-anak taat dan patuh kepada kehendak orang tua mereka kerana tidak mahu mendurhaka kepada ibu bapa, kemudian bertawakkal kepada Allah atas takdir dan jodoh yang ditentukan untuk  mereka.

Ini adalah kisah Inda (panggilan cucu-cucunya kepada arwah ayah saya) dan Indawan (panggilan cucu-cucunya kepada arwah ibu saya).  Saya kisahkan disini untuk menjadi tatapan anak-anak saya serta cucu-cucu Inda dan Indawan yang lain (berjumlah 35 orang) serta cicit-cicit yang semakin membesar dan bertambah bilangannya. Tentunya mereka tidak begitu tahu kisah nenek dan atuk mereka kalau tidak diceritakan oleh ibu bapa mereka. Malah ada di antara ibu atau bapa mereka sendiri pun tidak begitu tahu kisah ayah dan emak mereka kerana tidak pernah mendengar atau tidak pernah diceritakan kepada mereka. Maka sebagai anak pertama dalam keluarga, saya rasa ingin berkongsi cerita dengan mereka apa yang saya dapat tahu daripada cerita ayah dan emak saya.  Mungkin ada fakta yang tidak begitu tepat, sebab dah lama diceritakan oleh emak saya.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya, saya tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa atau mana-mana pihak tetapi sekadar memberi panduan hidup kepada anak cucu dari kisah-kisah silam ahli keluaga mereka, serta mengingatkan mereka agar menerima ketentuan Allah yang telah ditetapkan dari sejak azali.  Semoga Allah meredhai hasrat saya ini.


Kematian Ibu

Mengikut cerita Indawan, ibunya meninggal semasa dia masih kecil, lalu ia diserahkan di bawah belaan ibu angkat yang merupakan saudara dekat kepada ibu kandungnya.  Pasangan ibu angkat dan bapa angkat itu tidak mempunyai anak, maka mereka memewahkan kehidupan Indawan dengan pelbagai pakaian dan mainan yang dibawa balik belayar dari Siam kerana bapa angkat Indawan bekerja sebagai peniaga yang berulang alik ke Siam dan Singapura.  

Kebahagian Indawan dengan ibu bapa angkat tidak bertahan lama.  Bapa angkatnya agak joli, maklumlah bekerja sebagai peniaga, banyak duit, suka berkunjung ke restoran/kedai kopi yang ada pelayan-pelayan jelita sehingga menimbulkan rasa cemburu dan kemarahan ibu angkatnya, akhirnya membawa kepada perceraian mereka.  Tinggallah Indawan dengan ibu angkatnya.  Kehidupan Indawan menjadi terkongkong dan tidak dibenarkan keluar rumah.  Kemarahan ibunya terpalit kepadanya, sehingga menurut kata Indawan, dia pernah dipukul oleh ibu angkatnya kerana keluar rumah pergi menemui bapa angkatnya.  Indawan juga tidak dimasukkan ke sekolah, hanya diajar mengaji dirumah.  Ibu angkatnya garang dan tegas mendidik Indawan, terutama dalam menjalankan tugas-tugas rumah tangga.

Inda pula kematian ibu ketika dia sudah agak besar.  Bapa Inda bekerja sebagai pelayar, bertugas sebagai captain boat besar/kapal yang membawa penumpang berulang alik ke Siam, pantai timur Semenanjung dan Singapura.  Suatu ketika dulu pengangkutan melalui laut adalah yang paling utama untuk ke bandar-bandar utama di sebelah pantai timur.  Inda juag hidup agak mewah semasa zaman kanak-kanaknya. Namun selepas perang dunia kedua, bapa Inda tidak lagi menjadi captain kapal, maka kehidupan Inda tidak lagi sesenang zaman sebelumnya.  Inda berhenti dari sekolah Arab setakat 4 senawi kerana tidak mampu lagi hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, walaupun mempunyai cita-cita besar hendak ke Universiti Al Azhar.  Beberapa rakannya yang berkemampuan berjaya meneruskan pengajian mereka ke universiti berkenaan dan kemudiannya  berjaya menjadi pemimpin masyarakat.  Inda pula terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupannya dan bapanya yang tidak lagi belayar kapal.


Bertunang sejak kecil  

Bapa Inda adalah abang kepada ibu Indawan.  Apabila ibu Indawan meninggal dunia dan dia masih kecil, maka abangnya merasa bertanggung jawab ke atas anak saudaranya itu.  Walaupun Indawan diserahkan di bawah jagaan ibu angkatnya, bapa saudaranya itu masih ingin mengambil berat terhadap Indawan.  Maka dengan sebab itulah agaknya Indawan ditunangkan dengan Inda dari sejak kecil lagi.

Apabila Indawan sudah cukup usia remajanya sebagai gadis sunti, maka ibu angkatnya risaukannya dan ingin segera dikahwinkan dengan tunanganya sejak kecil itu.  Inda pula baru lepas 4 senawi, masih bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tentunya belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.  Walau bagaimana pun tiada pilihan bagi Inda, tunangan telah dipilih sejak kecil lagi, saudara sepupu pula, tidak mahu memporak perandakan ikatan kekeluargaan, maka Inda terpaksa ikut kemahuan orang tuanya.  Inda pasrah kepada ketentuan Allah dengan memohon Allah melimpahkan rahmatNya dan kurniaan terbaik kepadanya dan keluarganya.


                                                                            (Bersambung)

1 comment: