Thursday, March 4, 2010

Kelahiran Dan Petua Temurun

Alhamdulillah, pada 9 Febuari kira-kira jam 9.40 malam, ahli baru dalam famili2748 telah selamat dilahirkan, sekaligus melengkapkan angka lapan dalam adres blog ini.  Semasa blog ini dimulakan, seperti ynng dijelaskan dalam catatan awal dulu, famili kami pada masa itu mempunyai 7 cucu dan oleh kerana cucu ke lapan ini telah berada dalam kandungan, cuma menunggu hari lahir, maka blog ini terus diletakkan adres famili2748.  Ini tidak bermakna bilangan ahli dalam famili ini akan terhad pada angka yang ada, InsyaAllah akan bertambah, walaupun belum tahu bila masanya kerana potensi akan bertambah nampaknya ada.  Namun potensi berkurang juga mungkin ada, kerana kita tidak boleh menidakkan kehendak Allah `Azzawajalla.

Semasa mengandungkan bayi ini, ibunya mengalami `morning sickness' yang teruk seperti yang pernah saya gambarkan dalam catatan lalu (Kerisauan Seorang Ibu Semasa Anak Masih Kecil).  Apa yang pernah saya alami juga dialami oleh anak saya, sehingga dia terpaksa dimasukkan ke hospital kerana dehydration dan memerlukan rawatan `dripping' beberapa botol air.  Alhamdulillah, semasa kandungan berumur 4 bulan, `morning sickness' beransur hilang, dan selera makan bertambah baik, bayi dalam kandungan juga membesar dengan sihat.  Pada kiraan doktor, bayi itu akan dilahirkan pada awal Mac, tetapi kuasa Allah mengatasi perkiraan doktor dan bayi dilahirkan kira-kira 2 minggu lebih awal.

Nak Petua Lama

Anak bungsu saya (masih di Tahun 1 menuntut dalam bidang medikal) menyuruh saya memperturunkan petua-petua melalui catatan saya dalam blog ini mengenai penjagaan diri semasa dan selepas bersalin. Saya katakan kepadanya, apa sangatlah petua-petua orang tua yang diperturunkan dari generasi ke satu generasi itu, tiada pun asas medikal, cuma berasaskan pengalaman mereka, mungkin boleh dipakai dan mungkin juga tidak boleh dipakai.  Petua-petua yang berasaskan tahyul sudah tentulah tidak boleh dipakai.  Ketika saya bersalin anak pertama dulu (39 tahun lalu), saya agak enggan dan malas nak mengikut petua-petua yang disuruh oleh ibu saya. Begitu juga ketika anak-anak perempuan saya melahirkan anak sulung mereka, saya dapati mereka juga tidak begitu hendak mengikuti petua-petua lama.  Jadi apa perlunya saya memperturunkan petua-petua itu? 

Tapi nampaknya sekarang ini banyak pula petua-petua dahulu terutama untuk penjagaan badan selepas bersalin diamalkan dalam bentuk yang dipermudahkan dan dimodenkan.  Malah ada di antara doktor pakar perbidanan, di samping membuka klinik rawatan pre natal (sebelum bersalin) turut sama menyediakan pusat rawatan ibu selepas bersalin, lengkap dengan tukang urut, bertungku, mandian herbal, rawatan bengkung / barut perut dan seumpamanya.  Mungkin juga telah ada kajian yang menunjukkan petua-petua yang diamalkan orang-orang dahulu memberi kesan positif/baik kepada ibu-ibu selepas bersalin, Wallahua'lam. 

Walau bagaimana pun dalam catatan ini saya akan cuba memperturunkan beberapa petua yang dirasakan praktikal dan berfaedah untuk pengetahuan sesiapa yang ingin mengamalkannya.  Di samping itu saya akan cuba memberikan alasan kenapa petua itu diamalkan.  Jika ada pembaca yang ingin menambahkan khazanah petua itu, maka dipersilakan memasukkannya di dalam komen anda. 

Petua Semasa Mengandung (Sebelum Bersalin)

1.   Banyakkan membaca al Quran

Semasa saya mengandung pertama, ayah dan ibu saya berpesan supaya memperbanyakkan bacaan al Quran, sekurang-kurangnya membaca Surah Yasin setiap malam selepas solat Maghrib sementara menunggu masuk waktu solat Isya'.  Beberapa surah lain juga elok dibaca seperti: Surah Yusuf, Surah Mariam, Surah As Sajadah, Surah Ar Rahman, Surah Al Waqi`ah, Surah Al Mulk, dan sebaik-baiknya membaca seluruh al Quran dalam tempuh mengandung.  Al Quran adalah penawar penyakit dan penenang hati, serta merupakan doa untuk mengurangkan kesakitan dan memudahkan proses bersalin.  Bacaan al Quran oleh ibu yang mengandung juga untuk diperdengarkan kepada bayi di dalam kandungan supaya membiasakan bayi mendengar kalam suci Allah.

2.   Banyakkan berdoa dan berzikir

Ibu-ibu yang mengandung sepatutnya memperbanykkan ucapan syukur kepada Allah yang memberikan kurniaan yang tidak terhingga nilainya, kerana ramai wanita yang tidak dapat/berupaya mengandung walaupun pelbagai cara telah diusahakan. Kurniaan Allah adalah kepada sesiapa yang dikehendaki Nya. Allah menjelaskan proses penciptaan manusia dalam Firman Nya yang bermaksud:


`Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhlik yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik.'
                                                  (Surah Al Mukminun : 12 - 14 )

Dalam ayat lain (Surah Al Hajj : 5), Allah menjelaskan bahawa ada kandungan yang sempurna dan ada pula yang tidak sempurna. Setelah lahir, ada yang diwafatkan sebelum mencapai kedewasaan dan ada pula yang dipanjangkan umur sehingga mencapai umur tua dan nyanyuk/lupa dan tidak mengetahui sesuatu apapun yang diketahuinya dahulu. Oleh itu ibu-ibu yang mengandung hendaklah sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kandungan yang sempurna dan sihat, di samping usaha menjaga kesihatan, pemakanan dan pemeriksaan doktor secara berkala.

3.   Pemakanan sihat

Ibu-ibu mengandung hendaklah menjaga pemakanan yang sihat dan seimbang.  Selain itu, mengikut petua orang-orang tua, ibu mengandung elok banyak makan buah anggur atau kismis supaya anak jadi bijak, dan makan buah delima supaya anak jadi comel, minum air soya supaya anak putih melepak.  Sejauh mana benarnya petua ini, Wallahua`lam.  Walau bagaimana pun, buah-buahan tersebut dan soya adalah kaya dengan vitamin dan minerals yang membantu dalam proses pembesaran kandungan yang sihat.

Ibu-ibu mengandung biasanya mengidam/teringin akan sesuatu makanan yang pelik-pelik, jika memudharatkan, maka janganlah diikutkan perasaan mengidam itu.
4.   Jangan banyak tidur pada siang hari  dan banyakkan pergerakan badan

Petua orang tua melarang ibu-ibu mengandung duduk bermalas-malas, mengikut rasa letih dan  rasa nak tidur sepanjang hari, kerana kurang pergerakan akan menyukarkan proses bersalin.  Oleh itu banyakkan pergerakan dan cergaskan diri.

5.   Jangan mandi malam

Petua orang tua melarang ibu mengandung mandi pada waktu malam kerana ditakuti anak terlebih membesar dalam perut dan menyebabkan susah bersalin.  Saya pun tidak pasti sejauh mana benarnya alasan ini.  Kemungkinan juga jika selalu diamalkan mandi malam akan menjejaskan kesihatan, seperti menyebabkan lemah tulang dan sebagainya.

Ibu-ibu mengandung bolehlah menyelidik sendiri mencari sebab musabab dan kewajaran petua-petua tersebut.

Petua Selepas Bersalin - dalam catatan berikut.

3 comments:

  1. Salam tuan rumah.Blog yang padat denganilmu dan informasi.Gembira dan bersyukur jumpa blog ini.Saya mohon link dalam blog saya.

    ReplyDelete
  2. Wah.. perkongsian yang sangat bermanfaat. Terima kasih admin. Petua Cepat Hamil

    ReplyDelete
  3. Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. Tips Cepat Hamil.

    ReplyDelete