Tuesday, March 9, 2010

Kelahiran Dan Petua Selepas Bersalin

Tempuh berpantang adalah jangka masa untuk memulihkan semula tubuh badan dari segi kesihatan dan juga bentuk badan kembali kepada bentuk asal.  Proses bersalin banyak menggunakan tenaga terutama semasa menahan kesakitan, dan ketika meneran bayi keluar, urat saraf ibu menjadi tegang dan kadang kala rasa kejang.   Ada ibu yang mengalami kekurangan darah kerana banyak darah keluar semasa bersalin.  Oleh itu, banyaklah pantang larang yang dikenakan orang tua kita dahulu kepada ibu-ibu lepas bersalin, ada yang wajar diikuti dan ada pula yang tidak larat diikuti oleh golongan muda sekarang.  Di antara pantang larang daqn petua-petua menjaga badan dan kesihatan selepas bersalin diperturunkan di bawah.  

1.   Kawal pergerakan

*    Ibu-ibu lepas bersalin dikehendaki mengawal pergerakan, tidak terlalu banyak bergerak, berjalan secara perlahan, tidak gopoh gapah kerana ditakuti tumpah darah.   

*    Ibu-ibu dikehendaki sentiasa menjaga kaki, memakai stoking dan jangan tersepak benda-benda keras kerana ditakuti bentan, membawa sakit hingga ke kepala dan meroyan serta lambat pulih kesihatan.

*    Ibu-ibu hendaklah duduk secara merapatkan peha supaya dapat mengecilkan/mengecutkan vagina kembali kepada asal (barangkali kerana orang dulu-dulu bersalin di rumah dan mengharapkan luka baik sendiri tanpa sebarang jahitan)

Saya perhatikan pantang larang di atas sukar dipatuhi oleh ibu-ibu muda sekarang, mereka tidak mengawal pergerakan, tidak suka pakai stoking dengan alasan panas, cara duduk pun tidak dijaga/dikawal, malah ikut rasa selesa, mungkin kerana yakin dengan `treatment' yang diberikan oleh doktor-doktor pakar.

2.   Jaga pemakanan

*    minum air perahan kunyit hidup (mungkin untuk melancarkan perjalanan darah) setiap pagi selama beberapa hari (antara 3-7 hari)  selepas bersalin.

*    untuk cepat sembuh luka vagina, makan sup ikan haruan dengan banyakkan halia muda dan lada hitam.

*   jangan atau kurangkan makan makanan bersantan dan berkanji seperti kuah kari dan pulut (mungkin kerana angin perut dan menambahkan kolestrol dalam badan, serta melambatkan proses menurunkan berat badan untuk kembali kepada bentuk asal)

*   jangan makan sayuran yang bersifat sejuk dan menyebabkan angin perut (seperti kangkung, kacang panjang, labu air, kobis, terung, nangka muda, jantung pisang) dan buah-buahan yang bersifat masam (asidic) dan sejuk (seperti mempelam, limau dan lain-lain) 

Saya masih ingat semasa ibu saya dalam pantang, dia tidak makan lauk berkuah, sebaliknya makan nasi panas dengan ikan bakar (yang disapu sedikit garam dan kunyit) serta ditaburkan serbuk lada hitam.  Ibu saya juga makan 2 biji telur ayam kampung yang jadi masak apabila dibancuhkan bersama madu lebah asli.   Badan sentiasa berpeluh kerana panas madu lebah dan lada hitam, muka kemerah-merahan (tidak pucat lesi)dan cepat pulih kesihatan.  

3.    Mandi Air Serung / Rebusan Herbal

*    mandi setiap pagi dengan air rebusan daun-daun herba seperti mengkudu, kadok, pandan, serai wangi, kunyit, jambu batu, dan lain-lain serta dimasukkan juga asam keping, kulit kayu manis dan cengkih.

*    atau lebih mudah sekarang ini boleh juga menggunakan bungkusan herba yang disediakan khas untuk direbus sebagai air mandian.

4.     Berurut

*     Selepas beberapa hari bersalin dan luka pada vagina dah sembuh, bolehlah diurut seluruh badan, antara 3 - 7 hari,  kira-kira 1 jam setiap hari.  Sebaik-baiknya berurut hendaklah pada waktu pagi, suasana masih segar dan sejuk.  

*     Tumpuan berurut juga kepada bahagian perut, untuk menaikkan rahim kembali ke tempat asal.

*     Bolehlah diulang berurut mengikut keperluan, terutama jika ada rasa letih dan tegang urat saraf selepas   menyusukan bayi.  Boleh juga diulang berurut pada hari-hari ke 40 hingga 44, iaitu sebelum selesai berpantang, terutama untuk tujuan menaikkan (menyekak) peranakan. 

5.  Bertungku / bergagang

*     Selepas berurut diikuti pula dengan bertungku, terutama di bahagian perut dan peranakan, untuk cepat kecutkan peranakan dan sekaligus mengempiskan perut ibu kembali kepada bentuk asal.

*    Ada juga di antara ibu-ibu yang mengamalkan bergagang, iaitu dengan menjiruskan air ke atas tungku panas, kemudiaan selinkupkan kain sarung dan berkangkang di atasnya supaya wap panas dapat memanaskan vagina dan mengucutkan peranakan.  Boleh juga menggunakan peralatan mandi wap seperti yang disediakn di pusat rawatan kecantikan/spa.

6.   Berbengkung / barut perut

*    Membarut perut/berbenkung dengan olehan campuran kapur sirih dan limau nipis selama antara 3 hingga 7 hari pertama selepas bersalin.  Campuran ini cepat mengecutkan peranakan dan mengmpiskan perut.  Ada ibu-ibu yang menggunakan ragi untuk tujuan ini.

*    Selepas berurut, bertungku dan bergagang, maka perut bolehlah di barut dengan olehan bancuhan herba rawatan bersalin.  Ini banyak dijual dalam pasaran dengan berbagai jenama. 

7.    Bersalai / Berdiang

*     bersalai/berdiang bermaksud tidur di atas salain atau katil yang diletakkan bara api di bawahnya. Katil biasanya ditinggikan supaya tidak terlalu dekat dengan bara api.

*     bersalai/berdiang biasanya dibuat pada waktu pagi ketika cuaca sejuk dengan tujuan untuk memanaskan badan dan mengeluarkan peluh, cepat mengecutkan peranakan dan mengempiskan perut.  Bila bersalai, ibu-ibu akan merasa haus dan banyak minum air, dengan itu dapat dikeluarkan toksin dari badan dan ibu-ibu akan cepat merasa sihat.

*     bersalai/berdiang sekarang ini bolehlah dibuat di atas tilam b-ion, iaitu tilam yang ada batu-batu jade dan dipanaskan dengan kuasa letrik. 

8.    Menyapu pilis

*     menyapu pilis pada dahi, untuk menyejukkan bahagian kepala dan mencerahkan mata, serta mengelakkan dari sakit kepala yang mungkin boleh menyebabkan meroyan.

*      pilis biasanya boleh didapti bersama pakej herba/jamu bersalin.  Pilis juga boleh dibuat sendiri, iaitu dengan memarut halus jambu batu muda dicampurkan dengan bedak sejuk dan air mawar. 

9.    Memakan Jamu bersalin / Minum Air Rebusan Akar Kayu (Ubat Periuk)

*     Ibu-ibu dahulu biasanya mengamalkan meminum air rebusan akar kayu (ubat periuk) yang disediakan oleh bidan/bomoh kampung.

*     Ibu-ibu sekarang boleh memilih banyak alternatif Jamu Bersalin yang bersesuaian untuk diamalkan.

10.    Memanjangkan tempuh berpantang

*     Orang-tua dahulu biasanya melanjutkan tempuh berpantang kepada ibu-ibu lepas bersalin sehingga ke seratus hari, terutama untuk tujuan kembali mengadakan hubungan sex dengan suami, supaya dapat memastikan badan benar-benar pulih dan sihat, memerhatikan kitaran haid yang betul bagi membolehkan merancang keluarga dan mengambil precaution kehamilan.

Semoga ibu-ibu muda atau bakal-bakal ibu dapat mempelajari sesuatu daripada petua-petua yang dicatatkan ini.  Rasa-rasanya ini sajalah yang dapat saya perturunkan, mungkin ada yang dah lupa, sebab berpantang saya yang terakhir adalah 19 tahun  yang lalu.

Thursday, March 4, 2010

Kelahiran Dan Petua Temurun

Alhamdulillah, pada 9 Febuari kira-kira jam 9.40 malam, ahli baru dalam famili2748 telah selamat dilahirkan, sekaligus melengkapkan angka lapan dalam adres blog ini.  Semasa blog ini dimulakan, seperti ynng dijelaskan dalam catatan awal dulu, famili kami pada masa itu mempunyai 7 cucu dan oleh kerana cucu ke lapan ini telah berada dalam kandungan, cuma menunggu hari lahir, maka blog ini terus diletakkan adres famili2748.  Ini tidak bermakna bilangan ahli dalam famili ini akan terhad pada angka yang ada, InsyaAllah akan bertambah, walaupun belum tahu bila masanya kerana potensi akan bertambah nampaknya ada.  Namun potensi berkurang juga mungkin ada, kerana kita tidak boleh menidakkan kehendak Allah `Azzawajalla.

Semasa mengandungkan bayi ini, ibunya mengalami `morning sickness' yang teruk seperti yang pernah saya gambarkan dalam catatan lalu (Kerisauan Seorang Ibu Semasa Anak Masih Kecil).  Apa yang pernah saya alami juga dialami oleh anak saya, sehingga dia terpaksa dimasukkan ke hospital kerana dehydration dan memerlukan rawatan `dripping' beberapa botol air.  Alhamdulillah, semasa kandungan berumur 4 bulan, `morning sickness' beransur hilang, dan selera makan bertambah baik, bayi dalam kandungan juga membesar dengan sihat.  Pada kiraan doktor, bayi itu akan dilahirkan pada awal Mac, tetapi kuasa Allah mengatasi perkiraan doktor dan bayi dilahirkan kira-kira 2 minggu lebih awal.

Nak Petua Lama

Anak bungsu saya (masih di Tahun 1 menuntut dalam bidang medikal) menyuruh saya memperturunkan petua-petua melalui catatan saya dalam blog ini mengenai penjagaan diri semasa dan selepas bersalin. Saya katakan kepadanya, apa sangatlah petua-petua orang tua yang diperturunkan dari generasi ke satu generasi itu, tiada pun asas medikal, cuma berasaskan pengalaman mereka, mungkin boleh dipakai dan mungkin juga tidak boleh dipakai.  Petua-petua yang berasaskan tahyul sudah tentulah tidak boleh dipakai.  Ketika saya bersalin anak pertama dulu (39 tahun lalu), saya agak enggan dan malas nak mengikut petua-petua yang disuruh oleh ibu saya. Begitu juga ketika anak-anak perempuan saya melahirkan anak sulung mereka, saya dapati mereka juga tidak begitu hendak mengikuti petua-petua lama.  Jadi apa perlunya saya memperturunkan petua-petua itu? 

Tapi nampaknya sekarang ini banyak pula petua-petua dahulu terutama untuk penjagaan badan selepas bersalin diamalkan dalam bentuk yang dipermudahkan dan dimodenkan.  Malah ada di antara doktor pakar perbidanan, di samping membuka klinik rawatan pre natal (sebelum bersalin) turut sama menyediakan pusat rawatan ibu selepas bersalin, lengkap dengan tukang urut, bertungku, mandian herbal, rawatan bengkung / barut perut dan seumpamanya.  Mungkin juga telah ada kajian yang menunjukkan petua-petua yang diamalkan orang-orang dahulu memberi kesan positif/baik kepada ibu-ibu selepas bersalin, Wallahua'lam. 

Walau bagaimana pun dalam catatan ini saya akan cuba memperturunkan beberapa petua yang dirasakan praktikal dan berfaedah untuk pengetahuan sesiapa yang ingin mengamalkannya.  Di samping itu saya akan cuba memberikan alasan kenapa petua itu diamalkan.  Jika ada pembaca yang ingin menambahkan khazanah petua itu, maka dipersilakan memasukkannya di dalam komen anda. 

Petua Semasa Mengandung (Sebelum Bersalin)

1.   Banyakkan membaca al Quran

Semasa saya mengandung pertama, ayah dan ibu saya berpesan supaya memperbanyakkan bacaan al Quran, sekurang-kurangnya membaca Surah Yasin setiap malam selepas solat Maghrib sementara menunggu masuk waktu solat Isya'.  Beberapa surah lain juga elok dibaca seperti: Surah Yusuf, Surah Mariam, Surah As Sajadah, Surah Ar Rahman, Surah Al Waqi`ah, Surah Al Mulk, dan sebaik-baiknya membaca seluruh al Quran dalam tempuh mengandung.  Al Quran adalah penawar penyakit dan penenang hati, serta merupakan doa untuk mengurangkan kesakitan dan memudahkan proses bersalin.  Bacaan al Quran oleh ibu yang mengandung juga untuk diperdengarkan kepada bayi di dalam kandungan supaya membiasakan bayi mendengar kalam suci Allah.

2.   Banyakkan berdoa dan berzikir

Ibu-ibu yang mengandung sepatutnya memperbanykkan ucapan syukur kepada Allah yang memberikan kurniaan yang tidak terhingga nilainya, kerana ramai wanita yang tidak dapat/berupaya mengandung walaupun pelbagai cara telah diusahakan. Kurniaan Allah adalah kepada sesiapa yang dikehendaki Nya. Allah menjelaskan proses penciptaan manusia dalam Firman Nya yang bermaksud:


`Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhlik yang (berbentuk) lain. Maka Maha Suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik.'
                                                  (Surah Al Mukminun : 12 - 14 )

Dalam ayat lain (Surah Al Hajj : 5), Allah menjelaskan bahawa ada kandungan yang sempurna dan ada pula yang tidak sempurna. Setelah lahir, ada yang diwafatkan sebelum mencapai kedewasaan dan ada pula yang dipanjangkan umur sehingga mencapai umur tua dan nyanyuk/lupa dan tidak mengetahui sesuatu apapun yang diketahuinya dahulu. Oleh itu ibu-ibu yang mengandung hendaklah sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kandungan yang sempurna dan sihat, di samping usaha menjaga kesihatan, pemakanan dan pemeriksaan doktor secara berkala.

3.   Pemakanan sihat

Ibu-ibu mengandung hendaklah menjaga pemakanan yang sihat dan seimbang.  Selain itu, mengikut petua orang-orang tua, ibu mengandung elok banyak makan buah anggur atau kismis supaya anak jadi bijak, dan makan buah delima supaya anak jadi comel, minum air soya supaya anak putih melepak.  Sejauh mana benarnya petua ini, Wallahua`lam.  Walau bagaimana pun, buah-buahan tersebut dan soya adalah kaya dengan vitamin dan minerals yang membantu dalam proses pembesaran kandungan yang sihat.

Ibu-ibu mengandung biasanya mengidam/teringin akan sesuatu makanan yang pelik-pelik, jika memudharatkan, maka janganlah diikutkan perasaan mengidam itu.
4.   Jangan banyak tidur pada siang hari  dan banyakkan pergerakan badan

Petua orang tua melarang ibu-ibu mengandung duduk bermalas-malas, mengikut rasa letih dan  rasa nak tidur sepanjang hari, kerana kurang pergerakan akan menyukarkan proses bersalin.  Oleh itu banyakkan pergerakan dan cergaskan diri.

5.   Jangan mandi malam

Petua orang tua melarang ibu mengandung mandi pada waktu malam kerana ditakuti anak terlebih membesar dalam perut dan menyebabkan susah bersalin.  Saya pun tidak pasti sejauh mana benarnya alasan ini.  Kemungkinan juga jika selalu diamalkan mandi malam akan menjejaskan kesihatan, seperti menyebabkan lemah tulang dan sebagainya.

Ibu-ibu mengandung bolehlah menyelidik sendiri mencari sebab musabab dan kewajaran petua-petua tersebut.

Petua Selepas Bersalin - dalam catatan berikut.